- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (13 Januari 2016). Damascus: The Ancient City that was Fought Over
by Numerous Civilizations is Facing its Biggest Crisis Today. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/damascus-ancient-city-was-fought-over-numerous-civilizations-facing-its-biggest-020698
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/damascus-ancient-city-was-fought-over-numerous-civilizations-facing-its-biggest-020698
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Damsyik, yang terletak
di barat daya Syria merupakan salah sebuah bandar di dunia yang paling lama
diduduki manusia. Bandar ini terletak di oasis padang pasir, tepatnya di
anak-anak bukit kawasan timur banjaran Anti-Lebanon. Selain itu, bandar Damsyik
juga terletak hanya kira-kira 80km (49.7 batu) arah timur dari pantai timur
Mediterranean. Kawasan ini dipercayai telah pun dihuni seawal milenium ke-7
Sebelum Masehi, walaupun penubuhan kota Damsyik berlaku pada suatu masa sekitar
milenium ke-3SM.
SEBUTAN-SEBUTAN AWAL
TENTANG DAMSYIK
Sejak ribuan
tahun, Damsyik sentiasa menjadi rebutan dan dikuasai oleh pelbagai tamadun. Antaranya seperti tamadun Aramaean, Assyria, Achaemenid, Yunani,
Nabatea, Rom, Umayyah, Mongol, Turk dan juga Perancis. Kebanyakan tamadun ini
meninggalkan monumen-monumen yang masih boleh disaksikan sehingga ke hari ini.
Salah satu sebutan
terawal yang memerihalkan bandar ini boleh didapati pada tablet atau
inskripsi-inskripsi Ebla. Sejarahwan berpendapat bahawa kaum Amorites yang
hidup pada kurun ke-18SM merujuk Damsyik sebagai Dimaski. Sebutan lain bagi
kota itu turut ditemui di dalam Batu-Batu Bersurat Amarna di mana ia dipanggil
sebagai Dimashqa. Nama Inggeris yang digunapakai pada hari ini iaitu Damascus
pula diperkirakan mengambil sumber daripada sebutan versi Yunani.
![]() |
Tablet tanah liat yang ditemui di Ebla, Syria |
Di antara kesemua
monumen-monumen bersejarah yang wujud di Damsyik pada hari ini, antara yang
paling menonjol adalah tinggalan daripada zaman Islam yang merupakan salah satu
fasa paling terkemudian bagi kota Damsyik. Zaman ini bermula pada tahun 635M,
tiga tahun selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad di mana pada waktu itu, Damsyik
mula dikuasai oleh umat Islam. Damsyik kemudiannya meraih kegemilangan yang
lebih tinggi pada tahun 661M apabila ia dijadikan sebagai ibu kota bagi
pemerintahan Dinasti Umayyah yang baru sahaja ditubuhkan.
![]() |
Salah sebuah Batu Bersurat Amarna. Dipamerkan di Muzium British |
MONUMEN-MONUMEN BERSEJARAH
DI DAMSYIK
Salah sebuah monumen
bersejarah yang ditinggalkan oleh dinasti berkenaan adalah Masjid Jamek
Umayyah, yang juga dikenali sebagai Masjid Jamek Damsyik. Masjid ini merupakan
salah sebuah masjid paling besar di dunia. Di samping itu, masjid tersebut juga
merupakan salah sebuah tapak penunaian solat yang paling tua buat umat Islam.
Sebelum terbinanya masjid ini, kawasan tersebut merupakan tapak kepada sebuah
gereja Kristian yang didedikasikan kepada St. John the Baptist (Nabi Yahya
dalam agama Islam). Hubungan antara tapak binaan dan insan keramat Kristian
itu dikekalkan oleh Umayyah, menerusi sebuah makam yang terletak di dalam
masjid yang dikatakan menyimpan kepala mulia milik insan tersebut.
![]() |
Masjid Umayyah – Qubbat al-Nisr, Damsyik |
Walau bagaimanapun,
gereja Kristian tersebut bukanlah binaan keramat pertama yang didirikan di
tapak berkenaan. Sebenarnya, gereja itu sendiri diubah daripada sebuah kuil Rom
yang didedikasikan kepada Dewa Jupiter. Kuil berkenaan didirikan semasa
pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Theodosius I. Kesan runtuhan gerbang
barat kuil Rom itu masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Pun begitu, ia
bukanlah satu-satunya kesan tinggalan dari zaman Rom. Antara tinggalan
kurang-tampak lain yang diwariskan oleh tamadun Rom di bandar Dmasyik adalah
pelan bandar.
Ketika bahagian barat
Syria dikuasai oleh Rom hasil daripada usaha penaklukan yang dilakukan oleh
Pompey, bandar Damsyik direka semula secara keseluruhan mengikut pelan binaan
piawai bagi bandar-bandar Rom. Hal ini boleh dikesan pada Bandar Lama Damsyik
yang pelan binaannya masih mengekalkan bentuk segi empat tepat. Begitu juga
dengan Decumanus (paksi atau menara timur-barat) dan juga Cardo (paksi
atau menara utara-selatan). Ciri-ciri sebegini dianggap sebagai elemen utama
bagi mana-mana bandar yang berada di bawah kekuasaan Rom.
![]() |
Gerbang Bab Touma di Damsyik |
KRISIS BESAR MELANDA
DAMSYIK
Walaupun bukti-bukti sejarah
berbentuk fizikal terawal yang ada pada bandar Damsyik berasal dari zaman Rom, bandar
berkenaan dipercayai pernah dihuni oleh bangsa Yunani. Bandar ini dikuasai
daripada Achaemenid oleh Alexander the Great. Selepas kemangkatan penakluk
agung itu pada tahun 323SM, Damsyik menjadi titik konflik di antara Dinasti
Seleucid dan Dinasti Ptolemy, yang kedua-duanya merupakan pengganti Alexander.
Walaupun bandar ini
seringkali bertukar tangan di antara kedua-dua kuasa besar ini, kebudayaan
Hellenistik masih kekal diamalkan oleh masyarakat tempatan. Pada tahun 85SM,
tiba pula giliran tamadun Nabatea untuk mengambil alih kepemimpinan ke atas
Damsyik sekaligus pengaruh Yunani pun berkurangan dengan pantas. Sejarahwan
berpendapat bahawa terdapat sejumlah ketamadunan yang berkemungkinan pernah
menduduki kawasan Damsyik sebelum zaman Achaemenid, antaranya seperti Empayar
Neo-Babylonia di bawah pemerintahan Nebuchadnezzar, tamadun Assyria, dan juga
Kerajaan Israel di bawah pemerintahan Raja Daud (King David).
![]() |
Runtuhan kuil Rom di Damsyik yang didedikasikan kepada Dewa Jupiter |
Kini, bandar Damsyik
mungkin menghadapi salah satu krisis paling besar sepanjang sejarah penubuhannya.
Perang saudara di Syria yang terus berkecamuk bukan hanya memberi kesan kepada
masyarakat setempat, tetapi juga mengancam keselamatan monumen-monumen
bersejarahnya. Seperti kebanyakan tapak-tapak purba di Syria yang lain, Damsyik
juga menghadapi ancaman bahaya di masa kini.
Pada tahun 2013, UNESCO
meletakkan Damsyik ke dalam Senarai Warisan Dunia Yang Diancam Bahaya.
Diharapkan supaya kesemua monumen bersejarah yang berada di Damsyik dapat kekal
terpelihara dan selamat dalam menghadapi krisis berkenaan – terus berdiri kukuh
sebagai bukti kepada kekayaan sejarah bandar berkenaan.
SUMBER
- Al Jazeera. 2013. Six Syrian heritage sites declared endangered.
- Darke, D. 2014. How Syria’s ancient treasures are being smashed.
- Geographic, N. 2016. Ancient City of Damascuc.
- Kessler Associates. 2015. Damas (Damascus/Upe?).
- Lonely Planet. 2015. Damascus.
- RomeArtLover. 2016. Damascus – the Ancient Town.
- UNESCO. 2016. Ancient City of Damascus.
- Crystalinks. 2016. Damascus.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Damsyik, Kota Yang Menjadi Rebutan Sejak Zaman Purba’
- Get link
- X
- Other Apps