- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (1 November 2014). Lady Fu Hao and her Lavish Tomb of the Shang
Dynasty. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/lady-fu-hao-and-her-lavish-tomb-shang-dynasty-002278
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/lady-fu-hao-and-her-lavish-tomb-shang-dynasty-002278
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Cik Puan Fu Hao
merupakan seorang tokoh yang sangat luar biasa dalam sejarah Cina, hidup lebih
3000 tahun dahulu. Dalam sebuah komuniti masyarakat yang didominasi oleh kaum
lelaki, Fu Hao mengambil peranan dan kedudukan yang tidak pernah terlintas
apalagi diimpikan oleh mana-mana kaum wanita di zamannya. Selain menjadi
seorang isteri dan ibu, Fu Hao juga adalah seorang ketua tentera, sami, dan
ahli politik yang berpengaruh. Penemuan makamnya pada tahun 1970 menyaksikan
kemewahan dan kemegahannya sekaligus mencerminkan kedudukan Fu Hao yang sangat
signifikan.
![]() |
| Tugu peringatan Fu Hao di Yinxu |
Fu Hao
hidup pada masa pemerintahan Maharaja Wu Ding dari Dinasti Shang (1250-1192SM).
Menurut catatan-catatan sejarah Cina, Wu Ding meraih kerjasama daripada
puak-puak jiran dengan cara mengahwini seorang wanita dari setiap puak itu.
Lantaran itu, beliau mempunyai isteri yang sangat ramai, 60 orang jika menurut
catatan sejarah dan Fu Hao adalah salah seorang daripada mereka. Walaupun masih
belum jelas tentang bagaimana Fu Hao boleh mendaki tangga kuasa, tinggalan
arkeologi dari zaman Dinasti Shang serba-sedikit memberikan maklumat tentang
sumbangan beliau terhadap dinasti itu.
![]() |
| Maharaja Wu Ding |
Tinggalan-tinggalan
yang ditemui di Yinxi memberikan gambaran kecil seputar kehidupan Fu Hao yang
kelihatan agak menarik. Menurut inskripsi pada tinggalan-tinggalan itu, Fu Hao
pernah memimpin beberapa buah kempen ketenteraan dengan jaya dalam memerangi
musuh-musuh Shang, termasuklah puak Tu-Fang yang telah bermusuhan dengan Shang
sejak sekian lama. Fu Hao dengan gahnya berupaya menewaskan mereka dalam sebuah
pertempuran penentuan. Beliau juga mengepalai kempen memerangi puak Yi, Qiang
dan Ba.
![]() |
| Tinggalan sejarah yang mengandungi inskripsi dari dinasti Shang, pada masa pemerintahan Maharaja Wu Ding |
Peranan Cik Puan
Fu Hao tidak hanya terhad dalam urusan ketenteraan. Beliau turut melibatkan
diri dalam upacara-upacara rasmi yang penting. Ketikamana maharaja-maharaja
Shang memegang kekuasaan mutlak dalam hal-hal sedemikian, inskripsi pada
tinggalan-tinggalan yang ditemukan itu mendedahkan bahawa Maharaja Wu Ding pernah
memberikan arahan langsung kepada Cik Puan Fu Hao dalam berbagai perkara dalam
rangka menjalankan ritual khas dan persembahan korban (keagamaan). Hal ini
mengisyaratkan pengaruh besar yang dimiliki oleh Fu Hao dan betapa Maharaja Wu
Ding memberikan kedudukan yang tinggi kepadanya.
Walaupun
perkara-perkara sebegitu mugkin hanya diberikan kepada Fu Hao setelah beliau
menduduki status yang tinggi, dalam masa yang sama ia juga menjadi bukti dan
gambaran bagaimana Fu Hao turut melakukan hal serupa semasa mendaki kedudukan
tinggi strata sosial Shang. Apapun, makam Fu Hao tersergam megah sebagai
gambaran sempurna bagi menjelaskan
betapa tinggi kedudukan yang dikecapi Fu Hao semasa hayatnya.
Memandangkan Fu
Hao mangkat terlebih dahulu sebelum Maharaja Wu Ding, maka sebuah makam dibina
khas untuknya berhampiran Anyang. Ditemukan pada tahun 1976, makam Cik Puan Fu
Hao merupakan salah satu monumen sejarah dari dinasti Shang yang paling
terpelihara kondisinya. Makam tersebut berbentuk sebuah lubang tunggal sebesar
5.6 x 4 m. Di dalam lubang ini terdapat ruangan yang berukuran 5 meter (16.4
kaki) panjang, 3.5 meter (11.5 kaki) lebar dan 1.3 meter (4.3 kaki) tinggi.
Ruangan tersebutu memuatkan sebuah keranda bersampah yang telah pun reput.
Ahli-ahli arkeologi mengenal pasti pemilik makam itu sebagai Cik Puan Fu Hao
memandangkan namanya tercatat pada inskripsi di barangan gangsa ritual yang
terdapat di situ.
![]() |
| Makam Cik Puan Fu Hao. Banyak tetulang dapat ditemukan di sini |
Tinggalan-tinggalan
yang ditemukan di dalam makam Fu Hao sememangnya mengagumkan ramai penyelidik.
Hal ini kerana kebanyakan makam purba di Cina ditemui dalam keadaan telah
diusik (dirompak), namun makam Fu Hao adalah sebaliknya. Secara keseluruhan,
terdapat lebih 400 relik gangsa dijumpai di dalam makam itu, termasuklah
senjata, loceng, cermin, dan bekas ritual.
Tambahan lagi, terdapat sejumlah jed
(755 buah), tulang-belulang (564 unit) dan barangan yang diperbuat daripada
gading gajah, batu-batuan dan seramik. Malahan, matawang Shang juga antara yang
ditemukan di makam berkenaan. Selain bahan-bahan ritual, masyarkat Shang turut
mempersembahkan korban-korban manusia kononnya supaya Fu Hao mempunyai pelayan
atau dayang yang boleh membantunya dalam kehidupan seterusnya. Hal ini terbukti
menerusi penemuan tulang-belulang milik 16 orang manusia yang tertanam sekitar
makam Fu Hao.
![]() |
| Artifak-artifak yang ditemukan di dalam makam Fu Hao |
Boleh dikatakan
bahawa penemuan makam Fu Hao ini merupakan suatu keberuntungan besar buat dunia
arkeologi. Tanpa adanya tulang-belulang atau barangan yang tertanam di dalam
makam berkenaan, mungkin sahaja Fu Hao akan hilang dari sejarah buat
selama-lamanya. Hanya menerusi artifak-artifak inilah makanya kita dapat
mengenali serba-sedikit seorang tokoh yang begitu ulung di zamannya.
SUMBER
- Depts.washington.edu. 2014. Bronzes from Fu Hao’s Tomb.
- Depts.washington.edu. 2014. Shang Tomb of Fu Hao.
- The British Museum. 2014. The Tomb of Lady Fu Hao.
- Wikipedia. 2014. Fu Hao.
- Wikipedia. 2014. Fu Hao’s Tomb.
- Get link
- X
- Other Apps





