- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Bryan Hill. (7 Mei 2015). Joyeuse: The Legendary Sword of Charlemagne. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/joyeuse-legendary-sword-charlemagne-003020
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/joyeuse-legendary-sword-charlemagne-003020
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pedang Joyeuse, yang kini tersimpan rapi di Muzium Louvre, merupakan
salah satu pedang paling masyhur dalam sejarah. Catatan-catatan sejarah
mengaitkannya dengan Charlemagne Agung, Raja Franks. Seandainya benar pedang
itu milik raja masyhur yang memerintah kira-kira 1200 tahun lalu, pedang
Joyeuse berkemungkinan telah digunakan dengan begitu kerap dalam
upacara-upacara pemahkotaan. Selain itu, ia turut dikaitkan dengan mitos dan
legenda purba yang mendakwa kononnya ia memiliki kuasa magis.
Kisah bermula pada tahun 802M. Legenda menyebutkan bahawa pedang
Joyeuse, yang membawa maksud ‘riang bahagia’ dalam Bahasa Perancis, ditempa
oleh seorang tukang besi masyhur bernama Galas dan mengambil masa selama tiga
tahun untuk disiapkan. Pedang ini kononnya dikatakan memiliki kuasa magis.
Dicatatkan bahawa cahaya pedang itu juga sangat terang hingga mampu menyilaukan
sinar matahari dan membutakan musuh-musuh di medan tempur. Sesiapa sahaja yang
menggunakan pedang legenda itu dipercayai bebas dari ancaman racun. Sepulang
dari Sepanyol, Maharaja Charlemagne mendirikan kem di rantau berkenaan dan pada
masa itulah beliau memperoleh pedang ini.
![]() |
| Pedang Joyeuse yang ditempa dengan begitu sempurna |
Charlemagne (742-814M), yang juga dikenali sebagai Charles Agung,
merupakan raja Franks dan maharaja Kristian di dunia barat. Beliau banyak
menyumbang dalam usaha membentuk dan mencirikan zaman pertengahan Eropah di
samping mengepalai Kebangkitan Carolingian (Carolingian Renaissance).
Sesudah ketumbangan Empayar Rom, beliau adalah orang pertama yang menyatukan
semula Eropah Barat. Beliau memerintah kerajaan yang luas, terdiri dari
Perancis, Jerman, Itali, Austria dan Negara-Negara Bawah moden, di samping
berperanan dalam memperteguhkan agama Kristian di seluruh empayar kekuasaannya.
Kejayaan-kejayaannya pada sudut ketenteraan sering dikaitkan dengan keganasan,
seperti memenggal lebih dari 2500 orang pengemuka kampung Franks dan Saxon.
![]() |
| Lukisan Raphael sekitar tahun 1515 berjudul pemahkotaan Charlemagne |
Song of Roland, sebuah puisi epik abad ke-11 yang dikarang
berdasarkan Pertempuran Roncevaux yang berlangsung pada tahun 778M merincikan
bagaimana Charlemagne menunggang kudanya memasuki medan tempur dengan
menyandang Joyeuse:
“[Charlemagne] mengenakan baju rantai putih dan topi keledarnya
bertatahkan batu-batu emas; di sisinya pula tersandar Joyeuse dan tiada pedang
mampu menandinginya. Warnanya berubah sebanyak 30 kali dalam sehari.”
Pada suatu hari, semasa berlangsung pertempuran, Charlemagne dikatakan
telah kehilangan Joyeuse. Lantaran itu, beliau menawarkan janji untuk
memberikan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang berjaya menemukannya. Setelah
melakukan beberapa percubaab, salah seorang tenteranya membawa pedang tersebut
penghadapan beliau. Charlemagne pun menepati janji dengan berkata, “Di sini
akan dibinakan sebuah estet di mana kamu akan menjadi tuan tanah. Keturunan
kamu dikurniakan nama pedangku ini: Joyeuse.”
Turut dikisahkan bagaimana Charlemagne membenamkan
pedang tersebut ke dalam tanah untuk menandakan titik di mana kota itu bakal
dibina. Menurut legenda tersebut, inilah sejarah penubuhan bandar Joyeuse di
Ardeche, Perancis yang dinamakan bersempena pedang itu.
![]() |
| Bandar Joyeuse di Ardeche, Perancis |
Tiada catatan sejarah yang memberikan maklumat lanjut tentang nasib
pedang Joyeuse sesudah kemangkatan Charlemagne. Namun pada tahun 1270M, sebilah
pedang yang dikenal pasti sebagai Joyeuse dicatatkan telah digunakan dalam
upacara pemahkotaan Raja Perancis, iaitu Philip The Bold yang berlangsung di
Reims Cathedral, Perancis. Tradisi itu turut diamalkan oleh kebanyakan raja
sesudahnya. Pedang itu disimpan di biara berdekatan yang terletak di Saint-Devis,
sebuah tempat pemakaman para raja Perancis di mana ia kekal berada di bawah
lindungan pada paderi paling tidak sehingga tahun 1505 Masehi.
Kemudian, Joyeuse dipindahkan ke Louvre pada tanggal 5 Disember 1793
berikutan Revolusi Perancis. Ia digunakan buat kali terakhir oleh seorang raja
Perancis pada tahun 1824 dalam upacara pemahkotaan Charles X. Joyeuse adalah
satu-satunya pedang yang digunakan sebagai pedang kebesaran dalam upacara
pemahkotaan Raja-Raja Perancis.
![]() |
| Lukisan Hyacinthe Rigaud sekitar tahun 1701 menggambarkan Raja Louis XIV bersama Joyeuse |
Pada hari ini, keadaan Joyeuse sangat terpelihara memandangkan beberapa
bahagian tertentu ditambahkan selama ia digunakan. Bilah ini bercirikan
Oakeshott Style XII, dengan bilah lebar, rata dan sekata. Hulu pedang Joyeuse
dianggarkan berusia darikurun ke-10 hingga kurun ke-11 sementara bahagian
silangnya pula menjangkau separuh kedua kurun ke-12. Pemegang pula berasal dari
abad ke-13M.
Bahagian pemegang pedang itu dahulunya pernah memiliki ciri
fleur-de-lis. Namun, ianya dibuang semasa pemahkotaan Napoleon I pada tahun
1804. Ukiran dua naga membentuk bahagian silang sementara matanya diperbuat
daripada lapis lazuli. Sarung pedang Joyeuse juga diubah-suai – diperbuat daripada
baldu yang dihiasi corak fleur-de-lis dan mengalami penambahbaikan lanjut
semasa pemahkotaan Charles X pada tahun 1824M. Kedua-dua belah hulu pedang pula
didekorasi dengan motif berciri repouse yang menggambarkan burung-burung
affrontee, mirip dengan perhiasan Scandinavia abad ke-10 dan ke-11. Dua
pelindung bahagian silang (kiri dan kanan) pula berbentuk sayap bernaga dan
usianya menjangkau kurun ke-12M. Gelendong emas, yang diliputi dengan sebuah
permata pula, dipercayai berasal dari kurun ke-13 atau ke-14M.
![]() |
| Pedang Joyeuse di Muzium Louvre |
Pedang Joyeuse terus hidup sehingga hari ini sebagai bukti kepada
regalia luar biasa yang telah pun digunakan selama berabad-abad. Kemunculan
dalam upacara pemahkotaan Raja-Raja Perancis menambahkan lagi kemasyhurannya
sebagai simbol kuasa dan autoriti. Kondisinya sangat memukau dan pada hari ini,
Joyeuse membarisi senarai pedang bersejarah yang paling masyhur di dunia.
SUMBER
- O’Neil, Tim. The Legends of Joyeuse.
- Hellqvist, Bjorn. “The Sword of Charlemagne – MyArmoury.com.”
- “4 / Ceremony and Society.” Art Through Time: A Global View.
- Gaundreau, HJ. “The Sword of Charlemagne.”
- Barclay, Shelly. “The History of Charlemagne’s Sword – Joyeuse.” Examiner.com.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Joyeuse – Pedang Ajaib Legenda Zaman PertengahanEropah’
- Get link
- X
- Other Apps





