- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
SUMBER
Wu Mingren. (3 January 2015). The Fascinating Life of a Chinese Eunuch in the Forbidden
City of China. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/fascinating-life-chinese-eunuch-forbidden-city-china-002524
https://www.ancient-origins.net/history/fascinating-life-chinese-eunuch-forbidden-city-china-002524
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kota Larangan merupakan
kediaman peribadi maharaja, tempat di mana tiada siapa dibenarkan singgah
terlalu lama. Para menteri, pegawai tentera, dan bahkan kerabat lelaki maharaja
sendiri turut dikehendaki beredar daripada Istana Diraja menjelang malam.
Satu-satunya golongan lelaki yang dibenarkan kekal berada di dalam Kota
Larangan adalah sida-sida Cina, walaupun hakikatnya mereka bukanlah lelaki
sejati memandangkan setiap seorang daripada mereka telah pun dikasi.
Walaupun Kota Larangan
dibina pada zaman pemerintahan Dinasti Ming iaitu pada kurun ke-15 Masehi,
amalan mengasi dan juga tradisi penggunaan sida-sida di Cina boleh dijejak
sejarahnya pada tempoh masa yang cukup jauh. Di zaman Cina purba (menjangkau
masa pemerintahan Dinasti Sui), kasi merupakan salah satu dari Lima Hukuman,
iaitu sekumpulan hukuman fizikal yang dijatuhkan oleh sistem kehakiman Cina.
Walau bagaimanapun,
kasi juga merupakan satu kaedah untuk mendapatkan kerja dalam bidang
perkhidmatan di istana. Memandangkan tugasan mereka itu membolehkan mereka
berada hampir dengan maharaja, maka sida-sida berpotensi untuk memberikan
pengaruh yang cukup besar kepada maharaja (keputusan baginda misalnya) di
sambil melebarkan pengaruh dalam urusan-urusan politik.
Oleh kerana mereka juga
tidak lagi berupaya untuk meraih zuriat sekaligus mencantas kemungkinan untuk
menurunkan kuasa (atau pangkat), maka mereka tidak dianggap sebagai ancaman
serius kepada dinasti yang memerintah. Para maharaja Cina kadangkala memiliki
ribuan gundik di dalam Kota Larangan, tanpa perlu risau mereka diganggu oleh
sida-sida yang berkhidmat di istana.
![]() |
Ribuan sida-sida telah berkhidmat di Kota Larangan |
Walaupun sida-sida
tidak dianggap sebagai potensi ancaman lantaran ketidakupayaan mereka untuk
menubuhkan dinasti tersendiri (tiada zuriat), mereka sebenarnya memiliki
keupayaan untuk menjatuhkan sesebuah dinasti yang memerintah. Pengaruh besar
yang dimiliki oleh beberapa sida-sida kadangkala membuatkan mereka menjadi
korup, mengubah karakter mereka menjadi individu yang tamak, tidak berhati
perut dan penuh bermuslihat.
Dalam drama dan filem
Cina yang berkisar tentang kehidupan di dalam istana, sida-sida seringkali ditampilkan
sebagai karakter jahat. Banyak contoh sida-sida yang jahat boleh didapati dalam
sejarah Cina. Misalnya peristiwa kejatuhan Dinasti Qin boleh
dipertanggungjawabkan pada seorang sida-sida yang bernama Zhao Gao.
![]() |
Sida-sida di zaman Dinasti Ming |
Menurut catatan-catatan
sejarah, Zhao Gao berasal daripada keluarga yang berpengaruh besar di negeri
Zhao, salah sebuah dari tujuh buah negeri yang wujud di Zaman Negara-Negara
Berperang. Ketikamana orang tua Zhao Gao didakwa melakukan jenayah, mereka
dijatuhi hukuman manakala adik-beradiknya pula dikasi. Hukuman yang sama
diandaikan turut dijatuhkan ke atas Zhao Gao. Zhao Gao kemudiannya berkhidmat
untuk Qin Shi Huang lantaran beliau merupakan seorang yang pakar dalam
undang-undang dan kehakiman. Hal ini membolehkan Zhao Gao mendaki tangga kuasa
dan menjadi salah seorang penasihat terdekat maharaja.
Tidak lama selepas
kemangkatan Qin Shi Huang, Zhao Gao dan Perdana Menteri, iaitu Li Si, mengatur perampasan
kuasa dengan merencanakan pembunuhan putera mahkota, iaitu Fu Su serta dua
orang pengikut setianya yang bernama Meng Tian dan Meng Yi. Setelah itu, putera
bongsu Qin Shi Huang iaitu Huhai ditabalkan sebagai maharaja boneka. Tiga tahun
kemudian, pemberontakan pun meletus dan Zhao Gao memaksa Huhai membunuh diri.
Zhao Gao kemudiannya
menaikkan Ziying (sama ada putera atau pakcik kepada Fu Su) sebagai maharaja
yang baru. Menyedari bahawa Zhao Gao akan menghapuskannya kelak, Ziying
mengambil keputusan untuk menentang Zhao Gao dan berhasil membunuhnya. Pun
begitu, pemberontakan tetap jua tidak berjaya ditamatkan. Ziying tunduk di
tangan Liu Bang yang mengasaskan Dinasti Han. Justeru, boleh dianggap bahawa
tindakan-tindakan sida-sida Zhao Gao bertanggungjawab mengakibatkan kejatuhan
Dinasti Qin hanya tiga tahun setelah kemangkatan Qin Shi Huang.
Walaupun dikenali dalam
lipatan sejarah dengan reputasi yang agak buruk, tidaklah semua sida-sida itu
jahat. Sebahagian daripada mereka bahkan memberi sumbangan yang besar kepada
ketamadunan Cina. Kertas yang merupakan salah satu dari Empat Ciptaan Hebat,
dikatakan telah dicipta oleh seorang sida-sida yang bernama Cai Lun di zaman
pemerintahan Dinasti Han Timur.
Tambahan lagi, Zheng
He, seorang sida-sida yang berkhidmat untuk Maharaja Ming Yongle mengepalai
armada diraja dalam pengembaraan ke Asia Tenggara, India, Tanah Arab, Parsi dan
juga Afrika Timur – ekspedisi lautan yang menghubungkan Cina dengan dunia-dunia
luar menerusi jalan perdagangan.
Selain itu, sida-sida
Cina juga dicatatkan telah memberikan sumbangan dalam mainan musik di istana
Cina. Misalnya sida-sida di zaman Dinasti Ming merupakan kelompok Cina pertama
yang memainkan musik Klasik Barat, sementara Maharaja Qianlong dari Dinasti
Qing pula menubuhkan sebuah kumpulan orchestra yang terdiri daripada sida-sida
yang mengenakan pakaian Eropah.
![]() |
Sida-sida di zaman Dinasti Qing |
Tamatnya pemerintahan
Dinasti Qing pada awal kurun ke-20 Masehi membawa pengakhiran kepada sistem
diraja Cina sekaligus menamatkan juga kefungsian sida-sida. Pada tahun 1924,
seramai 1500 orang sida-sida terakhir dibuang dari Kota Larangan. Sun Yaoting,
sida-sida diraja terakhir, dicatatkan telah meninggal dunia pada bulan Disember
1996 sekaligus menamatkan suatu amalan zaman-berzaman yang sejarahnya
menjangkau ribuan tahun.
SUMBER
- Anderson, M.M. 1990. Hidden Power. The Palace Eunuchs of Imperial China.
- Graham-Harrison, E. 2009. China’s last eunuch spills sex secrets.
- Hays, J. 2013. Eunuchs in China.
- Peter. 2013. Top 10 notorious eunuchs in ancient China.
- Wikipedia. 2014. Eunuch.
- Wikipedia. 2014. Zhao Gao.
- BeijingMadeEasy. 2014. Chinese Eunuchs.
- China.org. 2007. Top 10 eunuchs in ancient China.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kehidupan Sida-Sida Cina Yang Kita Tak Tahu’
- Get link
- X
- Other Apps