- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (22 Januari 2017). Mavia: A Powerful Warrior Queen Who
Struck Fear in the Hearts of Ancient Male Rulers. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mavia-powerful-warrior-queen-who-struck-fear-hearts-ancient-male-rulers-007415
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mavia-powerful-warrior-queen-who-struck-fear-hearts-ancient-male-rulers-007415
Penterjemah: Amir Zayyanid
Seorang wanita yang kisah hidupnya masih belum dapat dipastikan secara
jelas oleh mana-mana bukti arkeologi diperakui sebagai salah seorang ratu Arab
purba yang paling masyhur. Menyusuli Zenobia si ratu Palmyra, Ratu Mavia adalah
salah seorang wirawati dari gurun pasir. Kisahnya hanya kekal hidup dalam lagu
rakyat dan tradisi lisan. Namun dengan maklumat sebegini, para penyelidik
berupaya membina semula versi-mungkin bagi biografinya.
Padang pasir yang dihuni oleh suku-suku Arab pernah diperintah oleh
ramai penguasa yang namanya tidak dikenali. Kisah tentang para raja dan ratu
yang dilupakan ini telah hilang bagai terkambus di dalam butir-butir pasir.
Kebanyakan mereka suku-suku Arab ini adalah buta huruf. Makanya, hikayat mereka
tidak dicatatkan dengan banyak. Namun, sebahagian kenangan tentang mereka kekal
hidup menerusi lagu-lagu rakyat dan legenda-legenda yang diwarisi secara lisan.
Di zaman terkemudian, kisah-kisah ini mula dituliskan. Salah satu kisah
tersebut memerihalkan tentang legenda Ratu Mavia, yang dianggap lebih berkuasa
berbanding mana-mana lelaki lain di zamannya sekaligus menjadi inspirasi bagi
wanita-wanita Arab purba.
![]() |
| Gambaran kaum Saracens hasil seni abad ke-15 |
SEORANG RATU PADANG PASIR DAN OASIS
Nama Arabnya adalah Mawiyya. Namun, beliau juga dikenali dalam bahasa
Inggeris sebagai Mavia. Beliau berkemungkinan adalah puteri dari suku Tanukhid,
Bapanya yang telah kehilangan sokongan suku-suku Arab berhijrah ke wilayah
utara Semenanjung Tanah Arab. Puterinya, Mawiyya berkahwin dengan al-Hawari,
seorang raja suku Tanukh. Pemerintahannya berlangsung pada tahun 375M. Mavia
menjadi pemerintah-bersama ketika kaumnya menuntut pemberontakan terhadap
Empayar Rom. Selepas kemangkatan al-Hawari, Maharaja Valens dari Rom
beranggapan menakluk dan men-Kristiankan rakyat Mavia merupakan suatu tugas
yang mudah.
Namun, Mavia yang pada waktu itu hidup di Aleppo mengambil keputusan
untuk berundur dari kota dan membawa diri ke kawasan gurun – sekaligus dengan
drastik meningkatkan peluangnya untuk menewaskan musuh dari Rom. Sebahagian
penyelidik berpendapat bahawa beliau telah pun menganut agama Kristian pada
masa itu. Namun, tiada bukti jelas bagi mendokong kenyataan ini.
![]() |
| Patung marmar yang mungkin menggambarkan Maharaja Valens |
Sangkaan tersebut mungkin berakar dari sebuah legenda – legenda
pertemuan antara Ratu Mavia dan seorang paderi Ortodoks. Dikisahkan bagaimana
paderi tersebut meluangkan masanya dengan beliau dan menukarkan agamanya
menjadi Kristian. Namun, penulis-penulis Rom meragui kesahihan legenda ini dan
mengutarakan pendapat bahawa legenda tersebut berkemungkinan telah dicipta pada
masa yang lebih terkemudian. Dalam erti kata lain, Mavia mungkin adalah seorang
ratu yang mengamalkan kepercayaan paganisme.
Kehidupan Mavia kebanyakannya berlangsung di gurun pasir, di atas kuda
dan di medan perang. Selain bertempur melawan Empayar Rom, beliau juga masyhur
kerana kejayaannya di Phoenicia dan Palestin. Pasukan kavalrinya terkenal gagah
di medan tempur. Dikatakan bahawa Mavia begitu mahir menunggang kuda di samping
kegagahannya sebagai pahlawan turut diperakui. Tanpa belas kasihan, beliau
menewaskan musuh yang tidak terhitung banyaknya – masing-masing merendahkan
beliau atas faktor jantina. Ramai pemerintah lelaki tidak menghormati beliau
dan memasang hasrat untuk menakluk wilayahnya pada awal pemerintahan Mavia.
Namun seiring peredaran masa, pemerintahan Mavia berkembang menjadi sebuah
kekuatan yang digeruni di rantau Mediterranean.
![]() |
| Wilayah di bawah kepenguasaan Odaenathus, suami Zenobia |
ADAKAH BELIAU BENAR-BENAR WUJUD?
Mencari sumber-sumber sejarah primer tentang Mavia bukanlah suatu tugas
mudah. Kebanyakannya bercampur dengan kisah para pemerintah lain, termasuklah
kisah legenda Zenobia si ratu Palmyra. Oleh kerana itu, terdapat teori-teori
berlainan tentang Mavia. Memetik Archaeology Magazine:
“De Vries menotakan bahawa sifat semula jadi kaum Saracen yang hidup
secara nomad berkemungkinan meninggalkan bukti arkeologi yang sedikit
jumlahnya. “Bagi harta kebendaan Mavia, perkara yang perlu anda fikirkan adalah
khemah dan bukannya istana,” ujar beliau. “Secara umum, bukti kebendaan bagi
kebudayaan Arab pada masa itu seringkali bersifat tidak tahan lama dan secara
tekstual, mereka tidak cenderung menulis (sejarah) tentang diri mereka
sendiri.”
“Pemberontakan (terhadap Rom) tidak berpanjangan lama dan pastinya, ia
tidak meninggalkan sebarang tinggalan arkeologi yang dapat saya sedari. Bukti
arkeologi sebegini sukar untuk dilakukan pentarikhan, melainkan terdapat nama
pada bukti berkenaan,” ujar Bowersock.
Ilmuwan Islam Irfan Shahid mempercayai
bahawa sebuah inskripsi dari tahun 425M yang ditemui berhampiran Anasartha,
Syria memberikan perincian tentang sumbangan Mavia kepada penduduk Kristian tempatan.
Teks tersebut memuji seorang wanita bernama Mavia dan menyatakan bahawa beliau
membina sebuah tugu atau binaan yang didedikasikan kepada seorang saint,
iaitu St. Thomas. Shahid berpendapat bahawa tarikh dan nada pujian pada
inskripsi tersebut bersesuaian dengan seseorang yang boleh dianggap memiliki
sifat sebagai ratu srikandi.
Bowersock membalas pendapat ini dengan menegaskan bahawa nama “Mavia’
bukanlah suatu nama yang asing. Kita sememangnya pernah menemukan orang yang
bernama ‘Mawiya’ dalam inskripsi-inskripsi pada masa itu, namun itu bukanlah
sandaran utama untuk menganggap ianya merujuk kepada Mavia.”
Tambah de Vries
pula, “Irfan Shahid, rakan saya itu sememangnya berlebih-lebihan dalam memberi
ulasan terhadap bukti berkenaan kerana beliau begitu mahu supaya Mavia itu
diperakui sebagai seorang ratu dari Arab yang beragama Kristian… beliau banyak
mengeluarkan spekulasi (pendapat), dan kadangkala spekulasi itu dijadikan fakta
apabila beliau menyebutnya pada kemudian hari.”
Para penyelidik telah menganalisa ratusan teks yang berkemungkinan
memerihalkan tentang Mavia, namun tiada artifak khusus yang boleh dikaitkan
secara jelas dengan ratu tersebut. Walau bagaimanapun, beliau diyakini mangkat
di Anasartha, wilayah timur Aleppo. Kebanyakan penyelidik sependapat dalam
mengatakan tahun 425M sebagai tahun kemangkatannya; sekitar seratus tahun
setelah kemangkatan Ratu Zenobia, seorang lagi pemerintah wanita hebat yang
menjadi legenda.
![]() |
| Lukisan Herbert Gustave Schmalz berjudul “Tatapan Terakhir Ratu Zenobia Pada Palmyra”. Mavia adalah ratu Arab kedua paling masyhur |
PENCARIAN RATU YANG HIDUP SECARA SEMI-NOMAD
Kebanyakan penyelidik bersepakat mengatakan bahawa Ratu Mavia
benar-benar wujud. Beliau diyakini sebagai seorang pemerintah dunia Arab yang
hebat. Lebih dari itu, beliau adalah seorang wanita paling berpengaruh dalam
sejarah purba rantau berkenaan. Namun, sebahagian kisahnya seputar kehidupannya
kedengaran mirip dengan kisah hidup Zenobia sekaligus ilmuwan berpendapat
bahawa ianya telah pun bercampur-aduk di zaman terkemudian. Walau apapun,
kedua-dua tokoh wanita ini tetap jua diperakui sebagai ikon ulung dunia Arab.
SUMBER
- Irfan Shahid. Rome and the Arabs: A Prolegomenon to the Study of Byzantium and the Arabs. 1984.
- Warwick Ball. Rome in the East: The Transformation of an Empire. 2001.
- Jan Retso. The Arabs in Antiquity: Their History from the Assyrians to the Umayyads. 2003.
- Mavia of Arabia by Carly Silver.
- Get link
- X
- Other Apps




