- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Mac 2019). The Sacrifice of Tsali, The Cherokee Folk Hero Who
Gave His Life For His People. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tsali-0011599
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tsali-0011599
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tsali merupakan seorang
wira rakyat Cherokee yang sanggup mengorbankan nyawanya demi kemaslahatan
kaumnya. Kaum asli Cherokee bersembunyi dari pentadbiran Amerika Syarikat yang
mengeluarkan perintah pengusiran Cherokee dari kampung halaman mereka.
Tsali, juga dikenali
sebagai Charley, adalah seorang petani yang tidak begitu mengambil berat
tentang politik. Walau bagaimanapun pada tahun 1830an, masyarakat asli Amerika
dihalau secara paksa oleh pentadbiran Amerika dan Tsali menjadi legenda kaum
asli Cherokee berikutan tindakan perwiranya semasa berlaku pengusiran tersebut.
Secara ringkas, legenda tersebut menceritakan bagaimana Tsali menyerahkan diri
kepada pihak pentadbiran untuk dijatuhi hukuman mati agar kaumnya, Cherokee
tidak perlu dihalau.
SIAPAKAH TSALI?
Tidak banyak yang kita
ketahui tentang kehidupan Tsali sebelum tahun 1830an. Dicatatkan bahawa beliau
mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak lelaki. Tsali dan keluarganya
menetap di sebuah kabin berhampiran muara Sungai Nantahala, yang mengalir ke
Sungai Little Tennessee, tidak jauh dari Bandar Bryson moden, Carolina Utara.
Pada tahun 1819,
kesemua wilayah di timur Sungai Little Tennessee diserahkan oleh pihak
pentadbiran Cherokee kepada Carolina Utara. Akibatnya, sekumpulan kaum asli
Cherokee yang berpendirian konservatif mengambil keputusan untuk berundur dari
pertubuhan Negara Cherokee. Cherokee dikenali kerana pengasimilasian mereka
dengan budaya pendatang Amerika pada abad ke-19. Misalnya, pentadbiran mereka
bermodelkan Amerika Syarikat dan ejaan sukuan bahasa Cherokee pula dicipta oleh
Sequoyah, seorang tukang perak Cherokee yang berkhidmat dalam pasukan tentera
Amerika Syarikat.
![]() |
| Sungai Nantahala yang mengalir ke Sungai Little Tennesse, di mana Tsali hidup |
Walaupun Cherokee
memanfaatkan teknologi yang dibawa masuk oleh kaum pendatag, terdapat juga
sebahagian daripada mereka yang memilih untuk mengekalkan gaya hidup
tradisional. Mereka dikenali sebagai kumpulan ‘tradisionalis’ dan Tsali adalah
salah seorang daripada mereka, memandangkan kebanyakan kaum asli Cherokee hidup
di kawasan pergunungan di barat Carolina Utara.
![]() |
| Sequoyah bersama tablet yang menggambarkan sistem tulisannya buat puak asli Cherokee |
TSALI SEORANG
‘TRADISIONALIS’
Sebagai seorang
tradisionalis, kehidupan Tsali hanya berkisar seputar mencari kelangsungan
rezeki buat keluarga. Mata pencariannya adalah bercucuk tanam di lereng bukit
kecil dan juga berburu. Tsali tidak begitu mengambil endah tentang apa yang
berlaku di luar. Khabar berita yang sampai juga kebiasaannya hanya singgah
sahaja di telinganya. Walau bagaimanapun, kehidupan Tsali yang aman damai itu
akhirnya dijejaskan oleh dunia luar pada tahun 1838.
Pada tahun 1831, Akta Pemindahan
Kaum Asli dikeluarkan oleh Kongres Amerika Syarikat, yang membenarkan pentadbiran
memindahkan puak-puak asli Amerika dari kampung halaman mereka ke wilayah
padang rumput di barat. Dalam erti kata lain, pentadbiran Amerika dibenarkan
untuk mengambil-alih wilayah yang dimahukan oleh mereka dari kaum-kaum asli
Amerika dan menukarkannya dengan wilayah yang mereka tidak mahukan.
Akta Pemindahan Kaum Asli
ini tidak disenangi oleh Lima Puak Bertamadun, suatu istilah yang merujuk
kepada Cherokee, Chickasaw, Choctaw, Creek dan Seminole. Puak-puak asli ini
tidak hanya mengusahakan tanah pertanian, tetapi turut terlibat dalam aktiviti
perdagangan, memiliki rumah sendiri, membentuk pentadbiran, dan juga menghantar
anak-anak ke sekolah-sekolah mubaligh. Justeru itu, idea memindahkan kaum asli
ke tanah asing yang terletak di barat sama sekali tidak diterima oleh mereka.
![]() |
| Akta Pemindahan Kaum Asli mengakibatkan pemindahan beberapa puak asli Amerika. Tsali berjuang bersama ahli-ahli puaknya untuk kekal di kampung halaman |
Bantahan Lima Puak
Bertamadun ini tidak diperkenankan oleh pentadbiran Amerika Syarikat. Dengan
kekuatan tentera, mereka memaksa kira-kira 180 000 orang asli untuk bergerak ke
barat pada 1830an.
Pada suatu hari pada
tahun 1838, Tsali dikunjungi oleh saudara iparnya yang datang untuk memaklumkan
bahawa askar-askar Amerika telah mengepung kaum asli Cherokee dan memaksa
mereka untuk berpindah ke barat.
Pada keesokan hari,
beliau kembali bekerja di ladangnya seperti biasa. Dalam masa yang sama,
askar-askar di bawah perintah Jeneral Winfried Scott menyambung kerja
mengumpulkan kaum asli untuk diusir. Bahkan, mereka yang cuba bersembunyi di
kawasan terpencil turut dicari dan diburu.
![]() |
| Lima Puak Bertamadun |
TSALI MENENTANG AKTA PEMINDAHAN
KAUM ASLI
Kemudian pada 1
November 1838, Tsali, keluarganya dan sekumpulan kaum Cherokee yang telah lama
menyembunyikan diberkas oleh askar dan dibawa ke kurungan sebelum diperintahkan
agar berpindah ke barat.
Apa yang berlaku
selanjutnya tidak disepakati oleh pelbagai sumber. Menurut tradisi lisan
Cherokee, askar-askar tersebut melayani mereka dengan buruk sehingga
mengakibatkan Tsali bertindak balas. Beliau berpura-pura tercedera, kemudian
menyerang hendap askar-askar itu lalu meloloskan diri bersama kumpulannya.
Dalam serangan yang dilakukan, seorang askar terbunuh, dua tercedera dan
seorang parah.
Kaum asli Cherokee
terus bersembunyi sehingga mereka menerima khabar bahawa sekiranya kumpulan
penyerang yang bertanggungjawab atas serangan itu menyerah diri, saki-baki yang
lain akan dibenarkan untuk menetap di kampung halaman mereka. Maka pada
akhirnya, Tsali pun menyerah diri untuk dijatuhi hukuman mati demi kepentingan
ahli-ahli puaknya.
Walau bagaimanapun
menurut dokumen-dokumen rasmi, sebahagian puak asli Cherokee dikatakan
menyerang askar lalu melarikan diri. Oconaluftee (yang dikecualikan dari
pembuangan) serta beberapa orang dari puak asli Cherokee menawarkan diri untuk
mencari Tsali dan kumpulannya. Mereka beranggapan bahawa sesiapa sahaja yang
memberikan kepada pihak autoriti akan dibenarkan untuk kekal di kampung
halaman. Oleh kerana itu makanya Euchella, bekas jiran Tsali dan 60 orang
pimpinannya keluar memburu kumpulan penyerang tersebut.
Komander Amerika, iaitu
Kolonel William S. Foster menulis kepada Jeneral Scott bahawa misi tersebut
berjaya dan semua ahli puak asli Cherokee yang melarikan diri, kecuali Tsali,
telah pun berjaya ditangkap. Selain itu, tiga orang yang didapati paling
bersalah telah dijatuhi hukuman oleh puak mereka sendiri. William juga
menyatakan kepercayaannya bahawa Tsali tidak bersalah lantas dia membubarkan
kumpulan pencari tersebur. Walau bagaimanapun, pada keesokan hari, Euchella dan
beberapa orang ahli puak asli Cherokee menangkap dan membunuh Tsali.
Euchella dan
orang-orang Cherokee yang membantu dalam usaha pencarian tersebut dibenarkan
untuk kekal menetap di Carolina Utara. Mereka dikenali sebagai Kumpulan
Cherokee Asli Timur. Di pihak Tsali, kisah keperwiraannya itu dijadikan sebagai
tradisi lisan puak asli Cherokee dan pada tahun 1849, bentuk penceritaanya
adalah seperti apa yang kita ketahui pada hari ini. Di zaman moden, kisah Tsali
digambarkan menerusi sebuah persembahan drama yang bertajuk, Unto These
Hills.
![]() |
| Pelakon-pelakon Unto These Hills |
SUMBER
- Didatinehiulanigida. 2019. The Cherokee Legend of Tsali.
- Finger, J. R. 1996. Tsali (Charley).
- Kirk, L. 2019. The Cherokee Legend of Tsali.
- North Carolina Department of Natural and Cultural Resources. 2016. Cherokee Indian Tsali Was Captured.
- Britannica. 2016. Indian Removal Act.
- Britannica. 2019. Cherokee.
- CherokeeHistorical. 2019. Unto These Hills, By Kermit Hunter.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Tsali: Pejuang Kaum Cherokee Melawan PenjajahanAmerika Syarikat’
- Get link
- X
- Other Apps





