- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
E.C. Rammel. (9 September 2019). Piri Reis Map – How Could a 16th
Century Map Show Antartica Without Ice? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/antarctica-ancient-technology/piri-reis-map-evidence-ancient-technology-00276
https://www.ancient-origins.net/antarctica-ancient-technology/piri-reis-map-evidence-ancient-technology-00276
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada 9 Oktober 1929,
seorang ahli teologi Jerman bernama Gustav Adolf Deissmann membuat kerja-kerja
penkatalogan barangan di perpustakaan Istana Topkapi. Ketika itulah beliau
menemukan sebuah bungkusan yang terletak di celah-celah barangan lain yang
belum berusik. Pada bungkusan kulit gazel itu tersimpan sebuah peta yang kini
dikenali sebagai peta Piri Reis.
Peta ini dilukis dan
ditandatangani oleh ahli kartografi Turki yang bernama Hagji Ahmed Muhiddin
Piri, atau Piri Reis pada tahun 1513 Masehi. Reis merupakan seorang laksamana
dalam angkatan tentera laut Turki. Selain seorang pelayar yang berpengalaman,
beliau juga terkenal sebagai ahli kartografi, yang dicatatkan menggunakan
sebanyak 20 sumber peta dan carta untuk menghasilkan petanya itu. Antaranya
termasuklah 8 peta Ptolemy, 4 peta Portugis, sebuah peta Arab dan sebuah lagi
peta daripada Christopher Columbus.
Sejak ditemui, peta Piri
Reis telah menimbulkan kontroversi dan menggamit rasa ingin tahu dalam kalangan
para penyelidik. Lebih-lebih lagi kerana bahagian yang dipercayai menggambarkan
rupa Antartika pada 300 tahun sebelum ia ditemui secara umum oleh manusia. Satu
lagi faktor lain adalah Antartika pada peta Piri Reis berupa daratan luas –
sebelum ia diyakini dipenuhi ais lebih 6000 tahun dahulu.
BUKTI TEKNOLOGI PURBA?
Perdebatan besar
dimulakan oleh Profesor Charles Hapgood apabila beliau menyiarkan teorinya
terhadap peta Piri Reis menerusi bukunya, Maps of the Ancient Sea Kings pada
tahun 1965. Beliau dan sepasukan penuntut di Universiti New Hampshire
menyelidik peta berkenaan dan menemukan sejumlah anomali. Antaranya seperti
penggunakaan unjuran Mercator dan juga gambaran rupa Antartika di zaman
pra-ais.
Walaupun masyarakat
Eropah tidak berupaya menggunakan unjuran Mercator kecuali pada kurun
ke-16, masyarakat Yunani di zaman dahulu mampu menghasilkan peta berdasarkan
pengetahuan mendalam tentang bentuk sfera bumi di samping penggunaan alat
astronomi dan geometri bagi mengukur latitud dan longitude. Pun begitu, sebelum
penciptaan kronometer pada tahun 1760, ketepatan mutlak belum lagi boleh
dicapai oleh manusia walau unjuran Mercator digunakan sekalipun.
Namun, di kala
ketepatan kiraan longitud dan latitud pada peta Piri Reis boleh dijelaskan
menerusi penggunaan peta dan carta hasilan Yunani di zaman Alexander, tiada
sebarang penerangan yang munasabah untuk menjelaskan tentang gambaran Antartika
sebagai daratan luas. Lantaran itu, Hapgood mengusulkan pandangan bahawa peta
Piri Reis dihasilkan berdasarkan sumber yang menjangkaui 4000SM, sebelum wujud
sebarang bahasa mahupun ketamadunan yang diketahui oleh sejarah.
Dalam erti kata lain,
teori ini mengandaikan bahawa terdapat sebuah ketamadunan pra-sejarah yang
mempunyai teknologi untuk menavigasi laluan-laluan utama di lautan dan membuat
kiraan yang tepat pada rupa bumi. Hapgood juga berteori bahawa gambaran
topografik di Antartika pada peta berkenaan memerlukan satu teknologi yang
mampu melihat dari atas (pandangan aerial). Katanya, tamadun pra-sejarah
ini bukan sekadar mahir ilmu lautan, tetapi juga ilmu atas udara. Beliau malah
berlebih-lebihan dalam berteori apabila mula mengaitkannya dengan penduduk
Atlantis dan bahkan lebih daripada itu, makhluk asing. Sudah tentu, tiada bukti
yang sama sekali mampu menyokong teorinya itu.
AMERIKA SELATAN vs
ANTARTIKA
Teori Hapgood yang
bersifat lebih skeptik pula mencadangkan bahawa peta berkenaan menggambarkan
pesisiran Amerika Selatan. Beliau sempat merujuk beberapa ciri fizikal pantai
dan daratan pada peta abad ke-16 milik Piri Reis itu lalu membandingkannya
dengan Amerika Selatan. Sementara itu, ada pula sebahagian pengkritik yang
memberi hujah dengan mengatakan bahawa imej peta tersebut menggambarkan
Antartika dan Amerika Selatan 0 keduanya pernah bersambung di Uruguay dan
Argentina sama sekali tidak wujud.
Ketikamana argumentasi
ini mungkin agak mengenepikan kehadiran Antartika pada peta Piri Reis sebagai
sebuah benua tersendiri (mereka mengandaikan ianya Amerika Selatan), terdapat
peta-peta anomali lain yang ditemui menunjukkan ciri yang sama terhadap benua
bebas ais. Hal ini mungkin disebabkan kerana hanya pada abad ke-19 Masehi,
manusia baru berupaya mengenalpasti secara jelas rupa bumi sebenar benua
berkenaan menerusi teknologi satelit.
Teori-teori Hapgood
yang lain telah pun ditolak-tepi. Antaranya seperti teori perubahan kutub di
mana beliau mengandaikan berlaku perubahan mengejut pada kecondongan paksi
putaran bumi sekitar tahun 9500SM sekaligus mengakibatkan lokasi Antartika
teranjak, meletakkannya beberapa ratus batu ke selatan. Beliau melanjutkan
teorinya itu dengan mengatakan berlakunya perubahan cuaca dari separa-panas
kepada beku (sehingga terbentuknya benua Antartika seperti yang diketahui hari
ini). Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang bukti yang boleh menyokong dakwaan
berlakunya perubahan cuaca ini.
KETAMADUNAN YANG TIDAK
DITEMUKAN?
Persoalan yang
sebenar-benarnya adalah, benarkah benua yan dikenal pasti pada peta Piri Reis atau
peta-peta anomal lain itu Antartika dan bukannya benua lain? Sekiranya benar,
mungkinkan peta Piri Reis itu dihasilkan berdasarkan sumber dokumen-dokumen
daripada tamadun pra-sejarah yang belum lagi ditemui sejarah? Tamadun yang
memiliki teknologi yang membolehkan mereka mengembara dan mengukur sudut bumi
dengan tepat?
Walau apa sekalipun
asal-usul sebenar sumber rujukan bagi peta Piri Reis, terdapat satu perkara
yang pasti – iaitu peta ini membuka pintu perdebatan tentang bagaimana kita
seharusnya memandang sejarah dan bagaimana reaksi kita, sekiranya salah satu
pendapat yang diutarakan itu adalah benar? Mungkin pada suatu hari nanti,
kebenaran akan dapat disingkapkan.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Antartika Tanpa Ais Wujud Dalam Peta Lama Uthmaniyah Menimbulkan Misteri’
- Get link
- X
- Other Apps