RANGKA 227 ORANG KANAK-KANAK MANGSA RITUAL KORBAN DITEMUI PERU – TAPAK KORBAN TERBESAR DI DUNIA

Pautan ke artikel asal:
Brandon Specktor. (31 Ogos 2019). At Leats 227 Slaughtered Children Found at World’s Largest Child Sacrifice Site in Peru. Live Science.
https://www.livescience.com/worlds-largest-child-burial-site-chimu-peru.html

Penterjemah: Amir Zayyanid


“Di mana sahaja anda lakukan penggalian, rangka seorang lagi kanak-kanak pasti akan ditemukan,” ujar ketua arkeologis yang menjalankan kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan.


Di padang pasir yang terletak di pesisiran utara Lima, Peru, para arkeologis menemukan tulang-belulang milik seramai 227 orang kanak-kanak yang dipercayai mati dibunuh dan dikebumikan pada ratusan tahun dahulu dalam sebuah upacara ritual korban secara besar-besaran. Menurut pasukan penyelidik yang melakukan ekskavasi di tapak berkenaan selama lebih dari setahun, penemuan ini diperkirakan sebagai tapak pengebumian tunggal bagi kanak-kanak yang paling besar di dunia. Angka yang ditemukan setakat ini juga berkemungkinan hanyalah jumlah minima.

“Di mana sahaja anda lakukan penggalian, rangka seorang lagi kanak-kanak pasti akan ditemukan,” ketua pasukan arkeologis yang bekerja di tapak berkenaan, Feren Castillo memaklumkan kepada media AFP pada Rabu (28 Ogos).

Jasad-jasad yang dianggarkan dikebumikan sekitar 600 hingga 800 tahun dahulu, ditemui dalam keadaan menghadap ke laut di bandar Huancaco, Peru moden. Pada masa dahulu, tempat ini pernah menjadi pelabuhan kegemaran masyarakat Chimu, satu kelompok masyarakat yang hidup sekitar tahun 900M di sepanjang pantai utara Peru sehingga mereka ditakluk oleh Empayar Inca sekitar tahun 1475.

Menurut Castillo, kanak-kanak yang dikebumikan di sini dipercayai telah ditikam seorang demi seorang di bahagian dada. Kemudian, jasad mereka dilonggokkan di dalam sebuah lubang kubur yang besar. Kanak-kanak di tapak Huanchaco ini dianggarkan terkorban pada usia antara 4 hingga 14 tahun. Malahan, beberapa jasad masih memiliki kesan kulit dan rambut.

Mempertimbangkan lokasi tapak pengebumian ini dan hakikat bahawa jasad-jasad tersebut dikatakan telah dikebumi semasa cuaca lembab, Castillo menyimpulkan bahawa kanak-kanak tersebut berkemungkinan telah dibunuh sebagai mangsa korban yang dipersembahkan kepada dewa-dewa yang mengawal fenomena El Nino – suatu kitaran cuaca semi-tahunan yang berupaya mengakibatkan berlakunya ribut taufan di Amerika Selatan.

Upacara korban manusia yang dipersembahkan atas faktor yang sama (faktor cuaca) berkemungkinan juga pernah berlaku di tapak pengebumian Chimu, Huachaquito yang terletak berhampiran. Tapak yang ditemukan pada tahun 2018 itu dikatakan menempatkan jasad milik seramai 140 orang kanak-kanak yang dianggarkan dibunuh pada usia antara 5 hingga 14 tahun. Jasad-jasad yang ditemukan di tapak ini berada dalam keadaan dada terbelah, dan bagi sebilangan jasad, hati mereka telah dibuang. Di tapak pengebumian itu juga dijumpai jasad 200 ekor llama. 

Pada waktu itu (tahun lepas), tapak berkenaan dianggap sebagai tapak pengebumian kanak-kanak yang paling besar di dunia, sebelum penemuan terbaharu ini mengambil tempat tersebut.



Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Tapak Mangsa Ritual Korban Terbesar Ditemui Peru