- Get link
- X
- Other Apps
SANGKA PERUBAHAN CUACA ITU NORMAL? DALAM TEMPOH 2000 TAHUN, SAINTIS TIDAK MENEMUKAN KEADAAN SEBEGINI
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Carly Cassella. (24 Julai 2019). Think Climate Change Is Normal? In 2000 Years,
Scientists Can’t Find Anything Like It. Science Alert.
https://www.sciencealert.com/the-current-climate-crisis-is-totally-unmatched-by-anything-in-the-last-2-000-years
https://www.sciencealert.com/the-current-climate-crisis-is-totally-unmatched-by-anything-in-the-last-2-000-years
Penterjemah:
Alam Bahasa
Sepanjang lebih dua
milenium yang lalu, iklim dunia telah mengalami pasang surut yang agak
seimbang. Namun, apa yang berlaku pada masa kini adalah sangat bertentangan
dengan keadaan tersebut.
Dua kertas penyelidikan
terbaharu telah menunjukkan bahawa kemuncak peristiwa pemanasan dan penyejukan
sebelum era Industri – seperti Zaman Ais Kecil dan Zaman Hangat Pertengahan –
sebenarnya jauh lebih kecil skalanya berbanding pemanasan global yang berlaku
pada hari ini akibat perbuatan manusia.
Dengan menggunakan data
yang dikumpulkan daripada hampir 700 rekod proksi sejarah suhu – termasuk pokok,
ais, mendaan, terumbu karang, dan bukti berbentuk dokumen – penulis kedua-dua
kertas penyelidikan tersebut telah memperoleh gambaran tentang nuansa perubahan
iklim sejak zaman Rom.
“Masalah utamanya
adalah kebolehubahan iklim pada zaman kini jauh berbeza daripada apa yang
berlaku pada 2000 tahun yang lalu,” jelas Nathan Steiger, seorang ahli sains
atmosfera dalam persidangan akhbar baru-baru ini.
“Panas dan sejuk pada
masa dahulu hanya bersifat setempat, manakala yang kita alami pada hari ini
meliputi seluruh dunia.”
Dapatan-dapatan baharu
ini, yang diraih berdasarkan tujuh teknik penstatistikan yang berbeza-beza,
telah memberikan konteks sejarah yang lebih jelas tentang krisis iklim pada
masa kini.
Walaupun dianggap
secara umum bahawa peristiwa seperti Zaman Ais Kecil berlaku serentak di
seluruh dunia, sebuah analisis yang telah diterbitkan dalam Nature tidak
menemukan sebarang bukti terhadap dakwaan ini – baik dalam simulasi model
iklim, pembinaan semula global, mahupun data proksi.
Dengan melihat trend
tahunan suhu di seluruh dunia, penulis kertas kajian pertama telah menunjukkan
kemuncak dingin pada penghujung milenium terdahulu berlaku pada masa dan tempat
yang berbeza, dengan meliputi kurang daripada separuh dunia.
Misalnya, bahagian
timur dan tengah Lautan Pasifik mengalami kemuncak suhu sejuk pada abad ke-15
manakala Eropah dan wilayah tenggara Amerika Utara pula tidak mengalami
kesejukan seperti ini kecuali pada 200 tahun kemudian.
Apabila kita melihat
kepada kejadian pemanasan, bahkan di Zaman Panas Pertengahan atau lebih
dikenali sebagai Anomali Iklim Pertengahan, penulis menunjukkan haya 40%
permukaan Bumi telah mencapai suhu kemuncak.
Di antara kesemua
perubahan cuaca ini, zaman industri dan zaman moden adalah yang paling buruk.
Setakat ini, ia merupakan zaman paling panas dalam tempoh dua milenia dan ianya
berlaku hampir di seluruh dunia, meliputi 98% kawasan bumi.
Para pengkaji sendiri
berasa terkejut dengan peningkatan krisis iklim pada skala yang membimbangkan
ini. Dalam emelnya kepada ScienceAlert, Steiger berkata bahawa beliau dan
rakan-rakannya menjangkakan akan menemukan beberapa lokasi yang belum mengalami
sinkroni pemanasan di seluruh dunia. Walau bagaimanapun pada akhirnya, hanya
sebahagian kecil Antartika Barat sahaja yang membentuk lokasi berkenaan.
“Justeru itu, walaupun
kadar pemanasan terkini tidak berlaku secara keseluruhan di seantero dunia, dan
dengan adanya beberapa tempat terpencil yang mengalami sedikit peningkatan mahupun
penurunan suhu, sistem iklim kini berada dalam keadaan yang tidak menentu,”
catat penulis.
Kesimpulan daripada
laporan pertama ini kemudiannya disahkan dengan lebih lanjut menerusi kajian
kedua yang diterbitkan dalam Geoscience Nature. Dengan memerika kadar
pemanasan permukaan bumi dan daya pencetusnya, kajian ini jelas menunjukkan perubahan
iklim di zaman pra-industri – termasuklah perubahan cuaca menjadi sejuk –
berlaku secara utamanya berakibat dari aktiviti gunung berapi.
Kedua-dua kertas kajian ini mengemukakan kesimpulan bahawa
kemuncak pemanasan dan penyejukan suhu dunia sebelum zaman revolusi
perindustrian hanya terhad kepada perubahan cuaca setempat. Perubahan ini tidak
cukup kuat atau bertahan tidak cukup lama sehingga mampu menghasilkan perubahan
cuaca berskala global.
Sebaliknya, krisis cuaca pada hari ini berlaku dalam skala
yang cukup hebat sehingga tidak mampu dijelaskan menerusi faktor variasi iklim
semulajadi sahaja.
“Tidak syak lagi bahawa manusia adalah punca utama kepada
perubahan iklim bumi,” kata Nerile Abram, seorang ahli paleoklimatologi (ahli
kaji cuaca purba) di Universiti Kebangsaan Australia, yang tidak terlibat dalam
kajian ini.
“Kajian tersebut merupakan penilaian paling komprehensif
tentang iklim bumi sepanjang tempoh 2000 tahun dan ianya menunjukkan betapa
luas biasanya keadaan iklim yang berlaku pada hari ini.”
Kelihatannya seperti seluruh dunia bersetuju dengan kenyataan
ini. Kajian tersebut telah pun disiarkan di dalam Nature dan Nature Geoscience.
- Get link
- X
- Other Apps


