- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Aleksa Vuckovic. (5 Oktober 2019). Egyptian Cat Goddess Bastet, Protector of
the King. Ancient Origins
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/bastet-0012680
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/bastet-0012680
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dunia dewata Mesir
dipenuhi dengan pelbagai jenis makhluk yang mengagumkan. Setiap satunya
menggamit perhatian menerusi gambarannya yang unik. Panteon yang besar ini
terdiri dari ratusan dewata, yang kebanyakannya dirincikan berbentuk haiwan.
Hal ini dilihat sebagai isyarat penekanan tentang hubungan yang terjalin rapat
lagi mendalam antara masyarakat Mesir purba dengan alam. Namun, terdapat satu
dewata yang amat menonjol antara semua. Malah dalam lipatan sejarah, kultus
yang menyelubungi dewata ini merupakan antara yang paling terkemuka di Mesir.
Nama dewata yang dimaksudkan
ini adalah Bastet si dewi cinta, kegembiraan, wanita dan juga kesenangan. Dewi
ini digambarkan sebagai seekor kucing. Disifatkan sebagai bengis namun penuh
dengan ghairah, dewata ini amat dikasihi oleh masyarakat Mesir purba dalam
rentang waktu yang agak panjang. Pada kesempatan kali ini, mari kita telusuri
serba-serbi tentang Dewi Bastet.
![]() |
Bastet si dewi kucing Mesir |
BENTUK
TERAWAL DEWI BASTET
Dalam mitologi
masyarakat Mesir purba, Bastet merupakan salah satu dari sekalian dewata yang
memegang gelaran ‘Mata Dewa Ra’. Hal ini sekaligus membuktikan keupayaannya
sebagai dewata pelindung dan juga dewata penghukum. Bastet pada asalnya
dikenali sebagai Bast, atau Baast, Ubaste dan juga Baset. Beliau dianggap
sebagai salah satu dewata yang paling awal dikaitkan dengan masyarakat Mesir.
Kultus seputar Dewi
Bastet berkembang secara stabil dalam sepanjang sejarah Mesir. Merentas masa,
Bastet kemudiannya menjadi salah satu dewi utama dalam panteon Mesir. Begitu
tingginya kedudukan yang diraih oleh dewi ini hinggakan ia memiliki pusat
pemujaan tersendiri di sebuah kota yang dinamakan bersempena dengannya – iaitu
kota Bubastis. Bubastis merupakan salah sebuah kota purba Mesir yang paling
terkemuka, berlokasi di Mesir Hilir (Lower Egypt) atau tepatnya, berhampiran
Delta Nil yang subur.
Maksud sebenar nama
Bast sejak sekian lama telah menghantui para pengkaji Mesir purba. Tulisan
hieroglif bagi namanya mengandungi bentuk yang menggambarkan balang (atau
bekas) dan juga sepotong roti di sisinya.
![]() |
Artifak pengebumian dari dinasti ke-18 yang dtemukan di makam Tutankhamun, berupa balang kosmetik alabaster yang dihiasi pada bahagian atasnya dengan singa betina, mewakili Bastet |
Balang tersebut
dikenali sebagai ‘bas’, manakala imej
bulatan-separa kecil yang menggambarkan sepotong roti pula merujuk kepada
sebutan penamat – t, yang menjadikan sebutannya berbunyi ‘bast’. Ramai penyelidik bersepakat mengatakan bahawa terjemahan
sebenar bagi nama berkenaan adalah ‘Dewi Balang Sapuan’ (She of the Ointment Jar) – memandangkan bas di sini merujuk kepada balang seramik yang digunakan oleh
masyarakat Mesir untuk menyimpan wangian ataupun sapuan. Barangan sebegini
lazimnya dianggap sebagai barangan kebesaran diraja pada zaman tersebut.
Peranan Dewi Bastet
yang paling utama agak mirip dengan beberapa dewi kucing yang lain, iaitu
melindungi para raja. Sama seperti Mafdet si kucing pelindung kamar peribadi
firaun, dan juga Sekhmet si singa betina bengis yang berperanan menghancurkan
musuh sang raja, Bast pula dianggap sebagai dewi yang bertanggungjawab mengasuh
dan melindungi raja.
Kemasyhuran Bastet di
zaman Mesir purba meraih kemuncak sekitar zaman dinasti ke-22, atau tepatnya
pada tahun 945SM. Pada waktu itu, firaun pengasas bagi dinasti tersebut iaitu
Hedjkheperre Setepenre Shoshenq I menjadikan Bubastis sebagai pusat
pemerintahannya. Hal ini sekaligus
membuatkan kota berkenaan menjadi sebuah kota Mesir yang penting.
Beliau memulakan usaha
pembinaan kuil yang megah lagi hebat. Projek pembinaan ini diteruskan oleh
puteranya, Osorokon II dan disiapkan oleh cucunya, Osorokon III. Kuil ini
didedikasikan khusus buat Dewi Bastet.
Gambaran-gambaran
terawal bagi Dewi Bastet menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang wanita
berkepala singa betina. Gambaran awal seperti ini memiliki banyak kesamaan
dengan dewi pahlawan iaitu Sekhmet yang juga terkenal sebagai dewata singa.
Namun, seiring peredaran zaman, imej Bast berubah menjadi lebih jinak. Justeru,
imej singa betina yang dikaitkan dengannya mula berubah menjadi imej kucing.
Setelah itu, Dewi
Bastet mula digambarkan sebagai seorang wanita berkepala kucing, atau bahkan
kucing tanpa langsung ada sifat-sifat manusia. Susulan daripada hal tersebut
memperlihatkan wujudnya perkembangan amalan memuja kucing di Mesir, di mana
haiwan tersebut dianggap sebagai haiwan suci.
![]() |
Bastet digambarkan sebagai wanita berkepala kucing |
Dalam sejarah Mesir
purba, kucing menduduki tempat yang sangat istimewa dan diberikan penghormatan
khusus. Banyak haiwan lain yang dihormati dan dipersembahkan sebagai haiwan
korban kepada para dewa, antaranya seperti babun, buaya, anjing, burung
sekendi, cerpelai dan lain-lain. Namun di antara semua haiwan itu, tiada yang
dapat menanding keistimewaan kucing.
Penghormatan dan pemujaan
kucing tersebar begitu meluas hinggakan apabila amalan tersebut merudum ataupun
menghilang, kita dapat melihatnya dengan begitu jelas sekali. Hal ini
disebabkan kerana masyarakat Mesir lebih menumpu pada aspek-aspek kedewataan
haiwan tersebut, iaitu Dewi Bastet dan bukannya haiwan itu sendiri. Justeru,
tidak hairanlah jika mereka memumiakan begitu banyak kucing sebagai satu bentuk
pemujaan Dewi Bastet.
Mengikut perkiraan ahli
arkeologi, jumlah mumia kucing yang telah ditemukan mencecah jutaan. Amalan
memuja Dewi Bastet dengan mempersembahkan korban kucing yang berleluasa pada
hakikatnya membawa kepada implikasi yang amat buruk kepada haiwan berkenaan.
Misalnya, banyaknya bilangan kucing yang diperlukan untuk dijadikan sebagai
mumia (untuk dipersembahkan kepada Dewi Bastet) telah melahir dan mengembangkan
sebuah sektor ekonomi yang tersendiri dalam kalangan masyarakat Mesir purba.
Rangkaian perdagangan yang luas melibatkan kucing mula wujud, di mana ia
meliputi kerja-kerja pembiakan dan penjualan kucing, penjualan patung dan
keranda pengebumian kucing, pegawai yang menyelia kerja-kerja memumiakan
kucing, penjual makanan, minyak, resin dan juga bahan-bahan awet serta segala
perkara yang berkait dengan amalan pemujaan Dewi Bastet.
Di samping itu,
terdapat banyak necropolis yang
dibangunkan secara khusus untuk kucing, terutama di tapak pengebumian Saqqara
(Memphis) di Bubastis. Begitu juga dengan Speos Artemidos yang terletak
berhampiran Beni Hasan. Setiap tapak pengebumian ini menempatkan ratusan bahkan
ribuan kucing yang telah terlebih dahulu dimumiakan. Selain tulang-temulang
kucing, antara yang turut ditemukan sudah tentulah keranda-kerana kucing yang
dihasilkan dengan begitu terperinci, sesuai kefungsiannya sebagai sembah korban
buat Dewi Bastet.
PEMUJAAN
KUCING – KERANA KASIH MAKA DIMUMIAKAN
Pada tahun 1890, suatu
pemandangan yang amat mengejutkan didokumentasikan oleh Sir William Martin
Conway, 1st Baron Conway of Allington. Ketika menziarahi Mesir,
beliau sempat menyaksikan kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan di sebuah tapak
pengebumian kucing yang amat luas saiznya. Bertempat di Speos Artemidos,
berhampiran Beni Hasan. Di situ sahaja, terdapat lebih 200 000 ekor kucing
dikuburkan. Barang-barang berharga di dalamnya pula telah pun dicuri.
![]() |
Pameran mumia-mumia kucing di Muzium Louvre |
Pencuri-pencuri
tersebut sejak sekian lama melakukan aktiviti penjarahan ke atas tapak
berkenaan dan memilih mumia-mumia yang berkualiti tinggi untuk dijual kepada
para pelancong yang lalu-lalang di kawasan sekitar. Pada masa itu, anda boleh
sahaja membeli kucing Mesir sebenar yang telah dimumiakan dengan bayaran
beberapa keeping syiling. Malah, kebanyakan mumia-mumia kucing itu dihantar ke
England, terutama Liverpool. Di sana, sebahagian daripada mumia tersebut dijual
sebagai cenderamata manakala sebahagian yang lain pula dijadikan sebagai baja.
Walaupun kucing-kucing
tersebut dibunuh dalam skala yang begitu besar – paling kurang 10 000 kucing
dimumiakan pada setiap tahun – pada hakikatnya haiwan itu diberikan penghormatan
yang tinggi dalam kalangan masyarakat Mesir purba. Perbuatan membunuh kucing
tanpa sebab dianggap sebagai satu kesalahan jenayah tahap tinggi. Diodorus
Siculus pernah menulis tentang seorang warga Rom di Mesir yang dijatuhi hukuman
bunuh oleh orang awam di atas perbuatannya membunuh seekor kucing.
Mencederakan kucing
merupakan satu penghinaan yang berat buat mereka. Begitu juga dengan perbuatan
membunuh burung sekendi, burung gagak ataupun kucing – baik secara sengaja
ataupun tidak sengaja – kesemuanya merupakan jenayah yang boleh dijatuhi
hukuman mati.
Para pemuja Dewi Bastet
lazimnya berkumpul pada setiap tahun dalam sebuah keraian yang diadakan secara
khusus untuk dewi tersebut. Hal ini dituliskan secara terperinci oleh Herodotus
yang pernah menyaksikan sendiri festival berkenan. Beliau mencatatkan bahawa
Festival Dewi Bastet merupakan keraian yang paling masyhur sepanjang tahun.
Kira-kira 700 000 orang berhimpun dan berlayar merentasi Sungai Nil untuk
menuju kota Babustis demi menghadiri festival berkenaan.
Festival tersebut
disambut dengan penuh mewah dan para hadirin kebiasaannya meminum arak jauh
lebih banyak berbanding pada hari-hari biasa. Acara ritual dan sembah korban
merupakan acara kemuncak bagi festival itu, di mana kesemua aktiviti ini dilangsungkan
di Kuil Bastet, Bubastis. Herodotus turut menyebutkan tentang sekumpulan besar
pemuja wanita yang turut terlibat dalam festival itu. Hal ini menggambarkan
kepada kita tentang peranan atau signifikasi yang dibawa oleh Dewi Bastet,
iaitu mengangkat atau meninggikan darjat wanita pada zaman itu.
![]() |
Seorang paderi wanita memberikan makanan dan susu sebagai sembah korban kepada roh kucing. Di atas altar itu terdapat mumia kucing yang telah mati |
Merentas peredaran
masa, imej Dewi Bastet semakin berbeza berbanding Sekhmet yang disifatkan
sebagai singa betina yang bengis. Gambaran Bastet diubah menjadi kucing yang
lebih jinak. Pada masa-masa ini, Dewi Bastet mula dianggap sebagai dewi cinta,
asmara, wanita, keibuan, kosmetik, kegirangan, kesuburan, tarian dan juga
kesembuhan. Bastet disifatkan sebagai dewata dari keluarga kucing yang jinak
manakala Sekhmet pula dewata dari keluarga kucing yang bersifat bengis, iaitu
singa.
Disebabkan oleh tahap
kesuburan kucing-kucing jinak yang tinggi, Dewi Bastet turut dikaitkan dengan
peranan yang menjurus kepada hal-hal sedemikian. Begitu juga dengan sifat
anggun dan juga ramah yang dimiliki oleh kucing jinak, ianya juga mempengaruhi
ciri-ciri yang dikaitkan dengan Dewa Bastet seperti berahi, lemah-lembut dan
berorientasikan kekeluargaan. Bastet juga dianggap sebagai dewata pelindung
wanita yang paling utama, dengan peranan yang melibatkan asmara, kehamilan,
kelahiran, dan juga keibuan.
Sebelum tertubuhnya
dinasti ke-22 dalam pemerintahan Mesir, peranan Dewi Bastet bersifat lebih
dualistik. Aspek yang disandangnya terbahagi kepada dua – ibu yang bersifat
sebagai seorang pelindung dan pengasuh, dan juga pelunas dendam yang memiliki
kebengisan luar biasa. Namun, peranannya yang paling utama diletakkan pada
sifat-sifat yang lebih mulia – iaitu sebagai dewi kelahiran dan dewi kehamilan.
Di zaman Greek-Mesir, hal tersebut membuatkan Bastet disamakan dengan Dewi
Artemis – iaitu dewi pemburu yang digeruni merangkap dewi pelindung yang
bersifat luhur.
Selain itu, Dewi Bastet
juga disifatkan sebagai pelindung kepada isi rumah, justeru dipersonafikasikan
sebagai kucing belaan, yang mana kucing belaan lazimnya disayangi oleh seluruh
ahli keluarga. Oleh kerana itu, apabila mana-mana kucing belaan meninggal dunia
akibat sakit tua, seluruh keluarga akan dirundung rasa duka yang berpanjangan.
Bagi mengekspresikan kedukaan tersebut, mereka akan mencukur kening dan terus
meratap sehinggalah bulu kening tersebut tumbuh semula.
BASTET
SI DEWATA KEIBUAN
Bastet juga ada
disebutkan di dalam Catatan-Catatan Piramid yang masyhur, di mana dalam catatan
tersebut, beliau disebut sebagai pelindung keluarga diraja. Malah, dicatatkan
bahawa ibunda merangkap kepada raja adalah Dewi Bastet itu sendiri.
Dalam sejarah Mesir,
Bastet turut disebut sebagai ibu kepada Maahes, si dewa kucing jantan, zuriat
Bastet bersama Dewa Ptah. Maahes merupakan dewa perang dan pisau, dan dikenali
dengan beberapa gelaran seperti Pemikul Pisau, Raja Merah Galak dan Raja
Penyembelihan. Sama seperti Sekhmet dan Bastet versi awal, Maahes digambarkan
sebagai seorang lelaki berkepala singa yang amat menggerunkan.
![]() |
Maahes berkepala singa memakai mahkota dan memegang sebilah pisau |
Pada suatu tempoh masa,
Bastet meraih kemasyhuran yang begitu tinggi dalam kalangan masyarakat Mesir hinggakan
kultusnya tersebar dalam skala yang begitu besar. Ramai orang mula berkunjung
ke Babustis dari seluruh Mesir. Mereka sanggup mengembara ke utara, meredah
padang pasir dan merentasi Sungai Nil untuk memuja Dewi Bastet.
Sampai pada suatu
ketika, para pengunjung ini meminta supaya dijualkan kucing-kucing mumia supaya
kelak, mereka boleh mempersembahkannya khusus buat Dewi Bastet. Hal ini membawa
kepada peningkatan permintaan terhadap kucing.
Semenjak itu, ribuan
kucing segera dibiakkan dengan satu tujuan khusus, iaitu untuk dibunuh dan
dimumiakan. Pun begitu, angka yang dicapai tidak pernah cukup untuk memenuhi
permintaan para pemuja Dewi Bastet. Hal ini berkemungkinan menjadi factor
mengapa mumia-mumia kucing yang ditemukan oleh ahli-ahli arkeologi hanya
mengandungi sebahagian daripada anggota badan kucing. Malah, terdapat juga
keranda-kerana mumia yang sama sekali kosong tidak memiliki isi.
Daripada sini,
kita dapat menduga bahawa kebanyakan paderi dan pihak berkuasa tidak berkongsi
idealogi atau fahaman yang sama dengan para pemuja Dewi Bastet. Justeru, mereka
memperdaya kebanyakan daripada para pemuja agar membeli kucing-kucing mumia
yang pada hakikatnya, tidak mengandungi sebarang kucing di dalamnya.
Walau bagaimanapun,
selain daripada mumia, gambaran-gambaran utama yang menunjukkan imej Bastet
adalah tugu, seni ukiran dan juga binaan tiang yang kebanyakannya diperbuat
daripada gangsa. Lazimnya, gambaran pada patung-patung tersebut mempunyai
kemiripan dengan kucing belaan – bersifat anggun dan lampai – dan dikelilingi
oleh banyak anak kucing. Selain itu, seringkali juga kucing yang digambarkan
pada patung atau ukiran mempamerkan kucing berpostur duduk sambil dikelilingi
oleh barang perhiasan.
![]() |
Patung Bastet dari Mesir purba setelah digambarkan sebagai kucing jinak, pada suatu tempoh di antara 664-610SM |
Gambaran sebegini turut
pernah dicatatkan oleh Herodotus ketika beliau menulis tentang rumah
kucing-kucing Mesir yang dihiasi dengan anting-anting dan juga perhiasan emas.
Herodotus juga menulis bahawa setiap kucing (patung atau tugu kucing) mempunyai
pelindung atau penjaganya yang tersendiri.
Walau bagaimanapun,
jika dilihat daripada sudut pemikiran logik, pemujaan dewata kucing dalam
kalangan masyarakat Mesir purba mempunyai asas-asas yang agak mudah dan
ringkas. Pada suatu tempoh dalam lembaran sejarah Mesir, iaitu ketika zaman di
mana simpanan makanan mereka seringkali diancam oleh tikus dan haiwan-haiwan
perosak yang lain, secara alaminya kucing berperanan menjadi pemangsa sekaligus
membunuh haiwan-haiwan perosak berkenaan. Justeru, agak munasabah untuk haiwan
berkenaan dilihat sebagai haiwan pelindung.
Tidak dinafikan bahawa
jika dilihat dari satu sudut, kepercayaan masyarakat Mesir purba bersifat agak
primitif dan banyak menumpu pada alam di sekeliling mereka. Delta Nil yang
subur turut dihuni oleh bermacam-macam hidupan. Justeru, komuniti manusia yang
menghuni kawasan tersebut secara perlahan-perlahan menerapkan kepercayaan
terhadap haiwan-haiwan pelindung dan juga haiwan-haiwan perosak, sebelum kemudiannya
memuja mereka.
KEMASYHURAN
BASTET DISELUBUNGI KEMATIAN KUCING-KUCING JINAK
Dewi Bastet merupakan
salah satu dewata yang paling masyhur dan dikasihi dalam lipatan sejarah Mesir
purba. Kultus pemujaannya hanya dapat ditandingi oleh dewata-dewata hebat
seperti Ra, Seth, Osiris, Thoth ataupun Ptah. Walau bagaimanapun, keadaan
tersebut tidaklah menghairankan dan kita pun sedia maklum akan
faktor-faktornya.
Bastet meraih
penghormatan dan kasih-sayang yang bukan calang-calang berikutan personafikasi
dan juga sifat-sifatnya, iaitu kucing wanita yang anggun dan memberahikan namun
pada masa yang sama bersifat bengis lagi menggerunkan. Selain itu, Bastet
sebagai kucing pula menjadi bahagian penting dalam kehidupan sehari-hari
masyarakat Mesir, justeru dalam setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan
mereka, nama Dewi Bastet tidak luput dari turut dikaitkan bersama.
Walau bagaimanapun,
kita secara sebulat suara boleh menyebutkan bahawa kemasyhuran Dewi Bastet sama
sekali tidak mencerminkan sikap atau layanan yang baik diberikan kepada
kucing-kucing jinak di Mesir purba. Hanya semata-mata disebabkan oleh kultus
pemujaan Bastet, para pemuja dewi berkenaan sanggup melakukan kekejaman yang
langsung tidak memiliki nilai keperimanusiaan.
SUMBER
- Engels, D. 1999. Classical Cats – The Rise and Fall of the Sacred Cat. Routledge.
- Hart, G. 2000. A Dictionary of Egyptian Gods and Goddesses. Routledge.
- Ikram, S. 2005. Divine Creatures – Animal Mummies in Ancient Egypt. The American University in Cairo Press.
- Markoe, G. and Capel, A. 1996. Mistress of the House, Mistress of Heaven – Women in Ancient Egypt. Hudson Hills Press.
- Pinch, G. 2002. Handbook of Egyptian Mythology. ABC-Clio.
- Trumble, K. 1996. Cat Mummies. Scholastic Inc.
- Cass, S. 2003. All About Bast.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kucing Disembah Sebagai Tuhan Oleh Mesir Purba’
- Get link
- X
- Other Apps