- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (16 April 2019). Are the Distinctive Kalash People of Pakistan
Really Descendants of Alexander the Great’s Army? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/are-distinctive-kalash-people-pakistan-really-descendants-alexander-great-021731
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/are-distinctive-kalash-people-pakistan-really-descendants-alexander-great-021731
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kalash (juga dikenali
sebagai Kalasha) merupakan masyarakat asli yang hidup di wilayah Pakistan
moden. Walaupun Pakistan adalah sebuah Republik Islam dengan lebih 95%
popuasinya terdiri dari penganut agama berkenaan, kaum Kalash masih berpegang
teguh dengan kepercayaan, identiti, gaya hidup dan bahasa mereka yang
tersendiri.
Kaum Kalash juga
masyhur dengan kulit mereka yang mulus dan mata mereka yang berwarna biru
indah. Sifat-sifat sebegini turut membawa kepada lahirnya hipotesis kononnya
mereka itu berketurunan Yunani atau secara spesifik, keturunan tentera-tentera
Alexander Agung yang mengikutinya dalam kempen ketenteraan di India.
Kaum Kalash boleh
ditemui di Daerah Chitral yang terletak di barat laut Khyber Pakhtunkhwa,
Pakistan. Mereak mendiami tiga buah lembah yang ada di wilayah berkenaan, iaitu
Bumboret, Birir dan Rumbur. Dalam sebuah artikel tahun 2016, dianggarkan bahawa
komuniti Kalash terdiri daripada 3000 orang sekaligus menjadikan mereka sebagai
komuniti minoriti terkecil di Pakistan.
Walau bagaimanapun, komuniti ini sangat
masyhur dengan budaya mereka yang unik lagi terpelihara sehingga kini justeru
disenaraikan oleh UNESCO sebagai calon Warisan Kebudayaan Yang Terpeihara. Hakikatnya,
langkah untuk mendapatkan perakuan dunia ini merupakan satu usaha oleh kaum
Kalash sendiri untuk memelihara kebudayaan mereka.
![]() |
| Lembah Kalash terletak di Daerah Chitral, Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan |
Ciri unik budaya Kalash
juga membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada sektor pelancongan untuk
dijadikan sebagai sumber pendapatan. Kelompok ilmuwan terutama ahli-ahli
sosiologi, antropologi dan sejarahwan serta jurugambar secara khusus digamit
untuk melawat kaum Kalash pada setiap tahun. Misalnya pada tahun 1990an, ribuan
pelancong mengunjungi kawasan tersebut secara tahunan walaupun angka ini
dicatatkan merudum sejak berlakunya peristiwa 9/11. Satu aspek utama kaum
Kalash yang membuatkan para ilmuwan mahupun pelancong berasa terpesona adalah asal-usul
mereka yang unik.
![]() |
| Seorang pemain gendang semasa berlangsungnya festival Joshi di Bumberet, Pakistan |
LEGENDA
ASAL-USUL KAUM KALASH
Terdapat dua hipotesis
utama berkenaan asal-usul kaum Kalash. Salah satu hipotesis tersebut mengatakan
bahawa mereka adalah keturunan tentera-tentera Yunani yang mengikuti Alexander
Agung dalam kempen ketenteraannya di India. Perkaitan antara kaum Kalash dan
raja Macedonia ini mungkin dapat dilihat secara ketara menerusi tulisan masyhur
Rudyard Kipling yang berjudul ‘The Man
Who Would be King’ di mana hikayat ini dipercayai berasas daripada kaitan
antara dua pihak tersebut.
Pada tahun 2014,
ahli-ahli genetik memberikan perhatian terhadap hipotesis ini dan mendapati
bahawa sebahagian DNA kaum Kalash datang dari penduduk Eropah purba. Malahan,
ketika warga-warga tua Kalash berbicara tentang hikayat nenek-moyang mereka
semasa dalam majlis-majlis keraian, mereka sering menyebut tentang seorang
lelaki yang dipercayai sebagai salah seorang panglima Alexander, iaitu Shalakash.
Kononnya, Shalakash menetap di rantau berkenaan.
Sebahagian ilmuwan
berpendapat bahawa nama tersebut mungkin merujuk kepada Seleucus Nicator, salah
seorang panglima Alexander yang sememangnya memerintah rantau berkenaan selepas
pasukan tentera Yunani berangkat pergi.
Tambahan lagi, nama
dewata Kalash juga kedengaran mirip dengan dewa-dewi masyarakat Yunani.
Terdapat juga banyak perkataan dalam bahasa Kalash (atau Kalasha) yang mirip
dengan perkataan dalam bahasa Yunani. Walau bagaimanapun, bahasa Kalash tidak
memiliki sebarang manuskrip atau tulisan tangan untuk para ilmuwan membuat
perbandingan dengan bahasa Yunani. Cerita-cerita tradisional Kalash hanya
diturunkan secara lisan.
![]() |
| Lukisan tahun 1673 oleh Charles Le Brun berjudul Alexander dan Porus |
Selain itu, terdapat
juga hipotesis yang menyatakan bahawa Kalash adalah cabang dari Indo-Aryan.
Kajian tahun 2015 mengemukakan bukti bahawa kaum Kalash mempunyai kaitan
genetik dengan komuniti pemburu-pengumpul dari Siberia di Zaman Paleolitik. Hal
ini sekaligus memberikan gambaran bahawa sekumpulan penduduk dari Eurasia utara
berpindah secara besar-besaran sekaligus menyumbang kepada lahirnya populasi di
Eropah dan Timur Dekat, jika menurut kajian berkenaan.
Kajian ini sama sekali
tidak menyokong pendapat yang menyatakan bahawa kaum Kalash mempunyai kaitan
dengan tentera-tentera Alexander. Selain itu, wujud kepercayaan dalam kalangan
kaum Kalash bahawa nenek-moyang mereka hanya tiba di rantau tempat mereka diami
itu setelah berpindah darisebuah lokasi yang dikenali sebagai Tsiyam yang
mungkin wujud di Asia Tenggara. Walau bagaimanapun, masih tiada siapa yang
boleh mengenal pasti lokasi tersebut secara tepat.
TEKANAN
TERHADAP KEPERCAYAAN NENEK-MOYANG
Jika dibandingkan
dengan komuniti Muslim yang hidup di negara yang sama dengan mereka, kaum
Kalash mempunyai gaya hidup dan budaya yang sangat berbeza. Misalnya, cara
hidup dan hak yang dimiliki wanita-wanita Kalash agak berlainan dengan pegangan
wanita-wanita Islam. Wanita-wanita Kalash dibenarkan untuk mengahwini sesiapa
sahaja yang mereka ingini, menceraikan suami dan malah berkahwin lari.
Kaum Kalash berpegang
kepada kepercayaan politeisme dan masih mengamalkan kepercayaan pagan purba.
Dalam karya Kipling yang berjudul The Man
Who Would be King, kaum Kalash yang berpegang kepada amalan nenek moyang
dipanggil sebagai ‘kafir hitam’ – suatu istilah yang tidak digemari oleh kaum
Kalash. Jiran mereka iaitu kaum Kalash yang dipaksa memeluk Islam oleh
pemerintah Afghan yang bernama Abdur Rahman Khan pada lewat kurun ke-19
dikenali sebagai ‘kafir merah’. Setelah menukar agama, mereka ini dirujuk
sebagai Nuristanis (orang yang menerima pencerahan).
![]() |
| Kaum wanita dan kanak-kanak Kalash dalam kostum tradisional yang cerah warnanya |
Sememangnya, penukaran
agama merupakan salah satu isu yang dihadapi oleh kaum Kalash pada hari ini.
Berlaku tekanan secara langsung mahupun tidak langsung terhadap kaum Kalash.
Misalnya, mereka menerima tekanan langsung apabila terdapat pihak ekstremis
yang menyerang golongan lemah dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan kaum
Kalash. Tekanan secara tidak langsung pula melibatkan kesan-kesan pengaruh
daripada janji yang dihamburkan untuk memberi layanan dan khidmat yang
diberikan kepada mereka seandainya menukar agama.
Seiring peredaran masa,
tekanan sebegini meletuskan keganasan. Misalnya pada tahun 2016, terdapat
laporan berlakunya pergaduhan atau keganasan rentetan seorang remaja perempuan
memeluk Islam. Semenjak itu, pihak penguasa Pakistan mengharamkan Jemaah
Tabligh dari memasuki lembah tempat keganasan tersebut tercetus.
Namun, terdapat juga
laporan di Radio Free Europe/Radio Liberty yang menunjukkan bahawa penyebaran
Islam diusahakan dengan cara lain. Antaranya, ahli-ahli komuniti Kalash yang
telah memeluk Islam mengajak ahli keluarga masing-masing untuk mengikuti jejak
langkah mereka di samping perbincangan tentang budaya, bahasa dan sejarah
Kalash di sekolah semakin berkurangan. Dalam pada itu, kanak-kanak Kalash
diajarkan tentang teologi Islam dan al-Quran bersama rakan-rakan Muslim yang
lain.
Dianggarkan
bahawa bilangan ahli komuniti Kalash yang memeluk agama Islam mencecah 300
orang sejak tahun 2016. Namun, beberapa laporan tempatan mengatakan bahawa
anggaran sebenar tidaklah setinggi itu. Dengan hanya 3000 orang sahaja yang
membentuk komuniti itu secara keseluruhan, para pemimpin tempatan semestinya
akan cakna dan prihatin terhadap jumlah individu yang meninggalkan kepercayaan
nenek-moyang mereka.
Selain
itu, Radio Free Europe/Radio Liberty turut melaporkan bahawa orang tua-tua
dalam kalangan kaum Kalash secara tegas mengharamkan mereka-mereka yang telah
meninggalkan kepercayaan nenek-moyang untuk kembali menganutinya. Walau
bagaimanapun, hal ini berkemungkinan bukanlah suatu hukuman. Sebalikya, ada
yang berpendapat bahawa pengetatan itu bertujuan untuk melindungi mereka dari
kemungkinan tindak-balas agresif atas perbuatan mereka meninggalkan kepercayaan
nenek-moyang.
![]() |
| Ahli-ahli komuniti Kalash |
KAUM KALASH DAN MODENISASI
Satu
lagi ancaman yang diterima oleh kaum Kalash adalah arus modenisasi. Ramai dari
kalangan gadis Kalash yang berpendidikan tinggi memeluk agama Islam dan
mengahwini individu daripada komuniti luar. Sebahagian pemuda Kalash malah
berpindah ke kota untuk mencari kerja atau dipengaruhi arus kemodenan dan
kemajuan teknologi. Lantaran itu, lahir kekhuatiran bahawa keadaan sebgini akan
membawa kepada lunturnya kebudayaan Kalash.
Walau
bagaimanapun, di kala modenisasi secara umum dilihat sebagai pembunuh budaya
tradisional, sebahagian masyarakat beranggapan sebaliknya. Menurut mereka,
dengan wujudnya hubungan antara Kalash dan dunia luar, kaum Kalash dapat
memperkenalkan orang luar kepada budaya mereka.
Rasa
bangga yang tersemat dalam diri kaum Kalash terhadap kebudayaan dan gaya hidup
mereka tidak dapat dinafikan, amat penting dalam memelihara warisan tersebut
untuk kemudiannya nanti diperturunkan kepada generasi akan datang.
SUMBER
- Abbas, N. 2011. Pakistan: The free women of Kalash.
- Craig, T. 2016. A little-known Pakistani tribe that loves wine and whiskey fears its Muslim neighbors.
- Kalash People. 2017. Kalash People.
- Khan, M. I. 2016. Pakistan clashes over Kalash teenager’s conversion.
- Rickett, O. 2011. Culture Kalash in Pakistan.
- The Committee for Cultural Policy. 2016. Kalash Minority Seeks UNESCO Protection for Cultural Heritage: Pakistan Makes Excuses.
- Williams, B.G. 2014. The Lost Children of Alexander the Great: A Journey to the Pagan Kalash People of Pakistan.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kaum Kalash: Keturunan Tentera Alexander The Great’
- Get link
- X
- Other Apps





