- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Yasemin Saplakoglu. (29 Ogos 2019). Oldest Evidence of North American
Settlement May Have Been Found in Idaho. Live Science.
https://www.livescience.com/america-settlement-was-by-boat.html
https://www.livescience.com/america-settlement-was-by-boat.html
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Para penghuni awal
Amerika Utara berkemungkinan adalah orang-orang laut.
Manusia mungkin
mendiami Amerika Utara buat pertama kalinya sekitar 16 000 tahun, di mana
mereka berlayar menggunakan perahu-perahu dari timur laut Asia dan merentasi
Pantai Pasifik, tulis kertas kajian terbaharu. Menurutnya, ia merupakan
penempatan terawal di rantau tersebut yang berjaya dibuktikan.
Ilmuwan masih lagi
memperdebatkan dengan hangat tentang bagaimana para penghuni awal tiba di
Amerika Utara. Tahun demi tahun berlalu, dan teori yang paling dominan
berkenaan perdebatan tersebut menyatakan bahawa manusia pertama berjaya tiba di
Amerika Utara dengan merentasi Jambatan Daratan Bering (Bering Land Bridge) yang menghubungkan antara Asia dan Amerika
Utara ketika paras laut menurun dengan mendadak di penghujung zaman ais.
Kemudian, teori ini
dilanjutkan dengan pendapat bahawa daripada sana, mereka menelusuri daratan
bebas-ais (ice-free corridor) yang
wujud sekitar 14 000 tahun dahulu, menuju ke Amerika Utara.
Walau bagaimanapun,
bukti terkini mengisyaratkan bahawa mereka (penghuni terawal Amerika Utara)
tidak merentasi daratan tersebut, sebaliknya berlayar di sepanjang Pantai
Pasifik dengan menaiki perahu-perahu purba.
Penghijrahan ini
merupakan salah satu pergerakan manusia secara besar-besaran yang terakhir,
ujar ketua penyelidik yang bernama Loren Davis, seorang profesor antropologi di
Universiti Negeri Oregon.
Untuk menghasilkan
semula gambaran berkenaan penghijrahan ini, Davis dan pasukannya melakukan
penganalisaan terhadap tinggalan-tinggalan purba yang ditemui di tapak
arkeologi Cooper’s Ferry yang terletak di persimpangan Rock Creek dan Sungaon
Salmon di barat Idaho.
Tapak Cooper’s Ferry
digali buat pertama kali pada 1960an. Sebelum itu, ia dipercayai pernah menjadi
sebuah perkampungan purba bernama Nipehe, sebagaimana yang terkandung dalam
sejarah-sejarah lisan yang disampaikan oleh kaum Niimiipuu kepada Davis.
Pada tempoh antara 2009
hingga 2018, Davis dan pasukannya membuka dan menjalankan kerja-kerja ekskvasi
pada dua buah lubang galian yang besar di tapak berkenaan – salah satunya
merupakan fokus bagi kajian ini. Di lubang galian berkenaan, yang berkeluasan
sekitar 23 kaki x 43 kaki, mereka berhasil menemukan artifak-artifak dan
tinggalan-tinggalan purba yang amat berharga.
Pasukan arkeologi
tersebut menjumpai sebanyak 189 buah artifak, termasuk 27 alatan batu dan 161
keping deburan (debitage) atau
serpihan (flakes) batu yang terhasil
semasa proses penghasilan alatan batu. Alat-alat batu ini antaranya termasuklah
alat bermata-tumpul yang sebelum ini pernah ditemukan di hampir seluruh
bahagian barat Amerika Syarikat.
Selain itu, mereka
turut menemukan serpihan tulang dari spesis kuda yang telah pupus. Di kawasan
sekitar serpihan tulang haiwan berkenaan, pasukan arkeologi menemukan pula
sejumlah alatan batu. Tidak berapa jauh dari situ, mereka menjumpai sesuatu
yang mirip dengan lubang api ataupun ketuhar tanah. “Kami beranggapan bahawa
tapak ini memberikan gambaran tentang seseorang (di zaman purba) yang melapah
seekor kuda dan kemudian memasak dan memakannya,” ujar Davis kepada Live
Science.
Tambahnya lagi,
penemuan-penemuan ini mungkin merupakan bahan-bahan terawal yang berupaya
membuktikan interaksi antara manusia dan haiwan-haiwan yang telah pupus di
Amerika Utara, yang kesemuanya ini telah menjalani ujian pentarikhan
radiokarbon.
Menerusi ujian pentarikhan
radiokarbon – suatu kaedah yang menganalisa karbon radioaktif pada
sampel-sampel biologi dengan tujuan untuk mengenal pasti usianya – mereka
berhasil menemukan bahawa sampel-sampel di ketuhar tanah berkenaan memiliki
usia yang sama dengan tulang-tulang yang dijumpai di tapak sama.
Pentarikhan radiokarbon
bagi arang-arang dan juga sampel-sampel tulang mendedahkan bahawa kawasan
tersebut telah dihuni oleh manusia dalam tempoh yang lama, dengan sampel
biologi tertua mengisyaratkan usianya adalah sekitar 16 560 hingga 15 280
tahun. Ujar Davis, “Memandangkan ia (arang-arang dan ketuhar tanah) ditemukan
pada lapisan yang sama seperti artifak-artifak manusia (alatan batu mislanya),
maka terdapat kecenderungan bahawa ianya memiliki usia yang sama.”
Sebelum ini, para
ilmuwan sejak sekian lama berangapan bahawa penghuni Amerika terawal adalah
manusia ‘Clovis’ yang tiba di sana sekitar 13 000 tahun yang lalu. Namun,
hasil-hasil ekskavasi terbaharu di pelbagai tapak di seluruh Amerika Utara dan
Amerika Selatan mendedahkan bukti kewujudan penempatan-penempatan manusia yang
usianya melangkaui usia kebudayaan Clovis, antaranya seperti tapak Monte Verde
di Chile yang mengandungi beberapa buah artifak yang usianya dianggarkan
sekitar 14 000 hingga 19 000 tahun dahulu.
Hasil penyelidikan yang
baru ini pula mencadangkan bahawa manusia telah pun hidup di Idaho sekitar 16
000 tahun dahulu – seribu tahun lebih awal berbanding masa di mana Daratan
Bebas-Ais (ice-free corridor) wujud
di bahagian barat Amerika Syarikat.
“Oleh kerana itu, anda
boleh sahaja menganggap bahawa penemuan kami ini adalah bantahan kepada
hipotesis berkenaan penghijrahan melalui daratan bebas-ais,” ujar Davis.
Tambahnya lagi, “Penemuan-penemuan terbaru ini menyokong hipotesis bahawa
manusia berhijrah (ke Amerika Utara) dengan merentasi Pantai Pasifik.”
Kajian ini “memberikan
sokongan lanjut terhadap pendapat yang mengemukakan Pantai Pasifik sebagai
laluan yang menerusinya, orang-orang asli Amerika berupaya tiba di daratan
ber-latitud pertengahan di Amerika Utara,” ujar John Hoffecker, seorang felo di
Institusi Penyelidikan Artik dan Alpine di Universiti Colorado, Boulder yang
tidak terlibat dengan kajian berkenaan. “Pentarikhan yang dikemukakan oleh
hasil kajian ini melahirkan pendapat bahawa penghunian manusia di Cooper’s
Ferry adalah lebih awal (berbanding yang diperkirakan sebelum ini,” iaitu
hampir 15 000 tahun dahulu, ujar beliau kepada Live Science.
Para penyelidik yang
menjalankan kajian berkenaan turut menyatakan bahawa sebahagian alatan yang
mereka temui di Cooper’s Ferry, seperti mata lembing memiliki kesamaan yang
sangat ketara dengan alatan yang ditemukan di utara Jepun yang memiliki usia
yang sama. “Maka, lahir satu hipotesis ringkas yang mencadangkan bahawa
kebudayaan manusia di sini adalah lanjutan daripada kebudayaan manusia di
kawasan utara Jepun,” ujar Davis.
Walau bagaimanapun,
“ujian genetik dan antropologi pergigian membuktikan bahawa orang-orang asli
Amerika tidak berasal dari wilayah utara Jepun,” jelas Hoffecker.
Sementara itu, Ben
Potter yang merupakan pengerusi jabatan dan profesor arkeologi di Universiti
Alaska, Faibanks yang turut tidak terlibat dengan penyelidikan berkenaan
berpendapat bahawa, “Perbandingan yang dibuat antara alatan dari Barat dan
alatan sama dari Jepun adalah suatu perbandingan yang bersifat dangkal dan
tidak meyakinkan. Ia hanya dilakukan berdasarkan daripada lima spesimen
terpilih semata-mata demi mengemukakan bukti terdapatnya kemiripan morfologi
antara keduanya.”
Ujarnya lagi,
penemuan-penemuan tersebut tidak berupaya untuk membantah secara menyeluruh
idea berkenaan penghijrahan melalui daratan bebas-ais. Katanya, ‘tarikh paling
tua’ sebagaimana yang dinyatakan oleh hasil kajian itu sama sekali tidak
menghalang berlakunya penghijrahan daratan bebas-ais.
Walau bagaimanapun, Potter
memberitahu kepada Live Science bahawa perkara ini bagaikan sebuah kisah
geoarkeologi yang menarik dan dinamik. “Pada pandangan saya, (kajian di)
Cooper’s Ferry merupakan suatu perkara yang menarik, namun ia bukanlah pengubah
paradigm.”
Davis dan pasukannya
berharap agar dapat membuat penerokaan lanjut lebih-lebih lagi jika memang
benar terdapat kaitan antara penghuni awal Amerika Utara ini dengan penghuni
purba Jepun. Mereka juga berhasrat untuk meluangkan lebih banyak masa menganalisa
artifak-artifak yang mengambil masa sedekad untuk ditemukan.
- Get link
- X
- Other Apps
