- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (9 Oktober 2019). Inca Empire Constructed Over 40 000 Kms of Roads
and Superhighways in 100 Years. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/inca-empire-constructed-over-40000-kms-roads-and-superhighways-100-years-021248
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/inca-empire-constructed-over-40000-kms-roads-and-superhighways-100-years-021248
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tamadun Inca merupakan
sebuah adikuasa yang berpusat di pantai barat Amerika Selatan. Tamadun agung
ini mencapai masa-masa perdananya pada kurun ke-15 hingga kurun ke-16 Masehi.
Pada zaman keemasannya, wilayah Empayar Inca terbentang dari Quito, Ecuador di
utara hingga ke Santiago, Chile di selatan. Empayar Inca merupakan empayar
terbesar di benua Amerika dan salah satu faktor yang menyumbang kepada
keulungan tersebut adalah sistem rangkaian jalannya, yang dikenali sebagai
jalan raya diraja atau qhapaq nan.
RANGKAIAN
JALAN YANG LUAS
Jalan-jalan di Empayar
Inca dianggarkan terbentang sepanjang 40 00km (24 854 batu) dan kesan-kesan
runtuhannya masih boleh ditemui di negara-negara moden yang pernah menjadi
sebahagian daripada tamadun ini, iaitu Ecuador, Peru, Bolivia, Chile dan
Argentina.
![]() |
| Machu Picchu, gunung-ganang dan jalan-jalan binaan kaum Inca dapat dilihat dari runtuhan Wayna Picchu |
Terdapat dua jalan raya
utama yang menghubungkan antara wilayah utara dan wilayah selatan empayar ini.
Salah satu jalan tersebut terbentang di jalan pesisiran sementara jalan yang
lain pula terletak lebih jauh ke pedalaman, merentangi tanah tinggi Andes.
Selain itu, terdapat juga jalan-jalan alternatif dan beberapa batang laluan
yang jauh lebih kecil dan sempit.
Sebahagian daripada
laluan ini terhubung kepada dua jalan raya utama. Sementara itu, ada pula
jalan-jalan yang dibina di luar wilayah kekuasaan Empayar Inca. Laluan-laluan
sebegini berfungsi untuk memudahkan aktiviti perdagangan atau kempen
ketenteraan yang dilancarkan ke atas wilayah-wilayah jiran. Di sepanjang
jalan-jalan yang penting, terdapat batu tanda jarak yang diletakkan untuk
menandakan jarak antara satu lokasi dengan satu lokasi dalam unit jarak tamadun
Inca, iaitu topo di mana satu topo bersamaan dengan 7 kilometer (4.3
batu).
![]() |
| Peta menunjukkan Sistem Jalan Tamadun Inca di seluruh Amerika Selatan |
MENYERAP
KEMUDAHAN JALAN DARI TAMADUN PURBA
Di samping itu, penting
untuk dinotakan bahawa kaum Inca tidaklah membina kesemua jalan ini dari awal.
Sebahagian daripada jalan-jalan tersebut pada asalnya dibina oleh
tamadun-tamadun lain yang pernah mendiami kawasan yang dikuasai oleh kaum Inca
itu. Antaranya seperti Wari, Tiwanaku, dan Chimu. Apapun, jurutera-jurutera
Empayar Inca melanjutkan pembinaan jalan-jalan lama ini di samping melakukan
penambahbaikan ke atasnya.
Selain itu, jalan-jalan
baru yang dibina di atas permukaan yang sukar hanya dimulakan oleh akum Inca.
Antaranya seperti jalan yang terbentang di kawasan jurang, sungai, gurun dan
bahkan lereng-lereng gunung. Jalan di Gurun Atacama, Chile dan Tasik Titicaca
adalah dua contoh pembinaan jalan penting yang dilakukan oleh kaum Inca.
![]() |
| Jambatan gantung Q’eswachaca yang terletak di atas Sungai Apurimac, Quehue, Cusco, Peru |
BERISTIREHAT
DI CHASKIWASI DAN TAMBOS
Selain membina
kemudahan jalan, kaum Inca juga mendirikan stesen-stesen kecil (dikenali
sebagai chaskiwasi) di sepanjang
jalan. Kadangkala, stesen yang lebih besar (dikenali sebagai tambos) diletakkan pada jarak sekitar 20
km (12 batu) di antara satu lokasi dengan satu lokasi yang lain. Stesen-stesen
seperti ini membolehkan para pengembara berehat semasa dalam perjalanan.
Secara umum,
jalan-jalan ini digunakan bagi tujuan rasmi empayar. Sebagai contoh, ia
digunakan untuk membolehkan tentera-tentera Inca berangkat dengan lebih mudah
dalam rangka memelihara keamanan empayar mahupun melancarkan penaklukan. Selain
itu, jalan-jalan ini turut digunakan sebagai laluan perdagangan. Ufti daripada
kaum-kaum taklukan Inca juga dihantar ke pusat pentadbiran dengan menggunakan
jalan-jalan ini. Memandangkan tamadun Inca tidak meraih akses terhadap
teknologi roda, maka barangan sebegini lazimnya diangkut di atas haiwan seperti
llama ataupun orang-orang yang diupah khusus untuk mengangkut barangan
tersebut.
Sistem jalan ini juga
digunakan oleh para pegawai pentadbiran semasa melaksanakan urusan-urusan rasmi
empayar. Antaranya seperti menegakkan keadilan dan menyelenggara rekod-rekod
pentadbiran. Di samping itu, kaum Inca turut meletakkan beberapa orang utusan
di sepanjang jalan yang bertugas untuk menghantar pesanan dari satu kota ke
satu kota lain.
![]() |
| Pandangan udara Lembah Suci tamadun Inca sebagaimana yang dilihat dari bukit di Pisaq, berhampiran Cusco, Peru |
Utusan-utusan ini
lazimnya diletakkan di stesen-stesen yang berjarak antara 6 hingga 9 kilometer
antara satu sama lain. Dianggarkan bahawa maklumat yang mereka bawa itu boleh
berjalan sejauh 240km (149 batu) dalam masa sehari. Selain pesanan, para utusan
ini juga bertugas mengangkut barangan mudah rosak seperti ikan segar yang baru
sahaja ditangkap dari pantai untuk dihidangkan di meja-meja makan para
bangsawan Inca.
Walau bagaiamanpun,
masyarakat awam terlebih dahulu perlu meraih izin rasmi sebelum dibenarkan
menggunakan jalan-jalan ini. Selain itu, pihak penguasa turut meletakkan tol di
beberapa lokasi seperti jambatan di mana mereka perlu membayar cukai sebelum
dapat melintasinya.
Pada setiap tahun,
masyarakat asli Quechua di Peru akan menjalankan tradisi purba yang bertujuan
mengenang jasa nenek-moyang mereka. Tradisi ini berlangsung selama 3 hari di
mana mereka akan menenun tali jambatan Q’eswachaka yang merupakan salah satu
dari sekalian banyaknya rangkaian jalan yang dibina oleh kaum Inca.
PEMBINAAN YANG WUJUD
SEHINGGA KINI
Sebahagian daripada
jalan yang dibina oleh kaum Inca ini masih terpelihara sehingga ke hari ini.
Sejumlah 273 tapak telah pun diberikan status Warisan Dunia oleh UNESCO.
Ketahanan rangkaian jalan yang dibina oleh kaum Inca ini melangkaui ketahanan
jalan-jalan yang dibina di zaman moden. Menurut laporan, banyak jalan moden
yang hancur akibat dibadai banjir bah pada setiap tahun. Namun, jalan-jalan
binaan kaum Inca tetap jua kukuh menggagahi rintangan-rintangan alam semula
jadi selama berkurun-kurun.
SUMBER
- Hirst, K. K. 2017. Inca Road System – 25 000 Miles of Road Connected the Inca Empire.
- Jeremy Norman & Co. Inc. 2017. The Inca Road System.
- O’Brien, J. 2015. Inca Road: The ancient highway that created an empire.
- Staff writer. 2017. Inca Roads and Chasquis.
- Symnes, P. 2015. What It’s Like to Travel the Inca Road Today.
- UNESCO. 2017. Qhapaq Nan, Andean Road System.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Empayar Inca Membina Lebuhraya Sepanjang 40 000 KM Dalam 100 Tahun’
- Get link
- X
- Other Apps




