- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Rome dan Konstantinopel berpegang kepada doktrin dyophysitism, iaitu Jesus Christ mempunyai dua sifat – satu sifat kedewataan dan satu sifat kemanusiaan. Perdebatan ini, yang hampir dipengaruhi sepenuhnya oleh perseteruan politik dan budaya, membawa kepada perpecahan terakhir Gereja-Gereja Ortodoks Oriental dari Gereja-
Kerry Sullivan. (13 April 2019). The Kingdom of Axum: Facts and Legends of a
First Millennium Powerhouse. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/axum-legendary-kingdom-ancient-ethiopia-006720
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/axum-legendary-kingdom-ancient-ethiopia-006720
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Terletak di Tanduk
Afrika, kerajaan Ethiopia purba yang bernama Aksum ini memainkan peranan yang
signfikan dalam politik antarabangsa sekitar milenia pertama. Pada masa-masa
kemuncaknya, wilayah kekuasaan Aksum terbentang luas meliputi Ethiopia,
Eritrea, Sudan, barat Yaman, selatan Arab Saudi dan juga sebahagian Somalia
moden. Walaupun sejarahnya hampir dilupakan sepenuhnya pada hari ini,
sebutan-sebutan yang merujuk kepada tamadun dari Ethiopia ini boleh dilihat di
dalam Al-Qur’an, Bible, Illiad karya Homer dan juga Divine Comedy karya Dante.
Penyebutan yang merangkumi sumber yang luas sebegini mencerminkan besarnya
kuasa dan pengaruh yang pernah dimiliki oleh Empayar Aksum.
Terdapat sejumlah
legenda menarik yang dikaitkan dengan kerajaan tersebut. Ibukotanya, yang juga
dinamakan sebagai Aksum, dikatakan merupakan tanah tumpah darah bagi Ratu Saba’
yang masyhur. Malah, legenda turut menyebutkan bahawa Tabut Perjanjian Nabi
Musa turut dibawa dan disimpan di suatu kawasan dalam kerajaan tersebut.
![]() |
| Lokasi kerajaan Aksum |
ASAL-USUL
DAN PERKEMBANGAN KERAJAAN AKSUM
Masyarakat tempatan
Agaw dari Ethiopia utara mula menghuni dan mengembangkan kota Aksum sekitar
tahun 400SM. Menjelang pertengahan kurun ke-2SM, Aksum telah pun membesar
menjadi sebuah kerajaan yang dominan di rantau tersebut. Kejayaan ini
sebahagian besarnya disumbangkan oleh transformasi maritim yang dilakukan oleh
Empayar Rom. Berikutan kedudukannya yang cukup strategik di Laut Merah,
‘kerajaan ini (Aksum) berada di persimpangan tiga benua; Afrika, Arab dan
Greek-Rom. Malah, ia juga merupakan kerajaan yang paling berkuasa yang terletak
di antara Empayar Rom Timur dan Parsi.” (UNESCO)
Tanduk Afrika merupakan
sebuah kawasan yang sangat subur. Lantaran itu, tidak hairanlah sekiranya Aksum
berupaya mengeksport pelbagai komoditi pertanian seperti gandum dan barli serta
haiwan ternakan seperti biri-biri, lembu dan juga unta. Kerajaan ini turut
diperkayakan dengan sumber emas, besi dan garam (komoditi yang sangat berharga
pada waktu itu). Aksum juga menguasai perdagangan gading gajah yang dikeluarkan
di Sudan.
Sebagai pertukaran, ia membawa masuk cengkerang kura-kura,
rempah-ratus, sutera, zamrud dan hasil-hasil tangan daripada Rom dan India.
Peranan Ethiopia sebagai hub perdagangan pernah disebutkan di dalam sebuah buku
catatan seorang pedagang Iskandariah pada kurun pertama Masehi, berjudul The Periplus of the Erythraean Sea.
![]() |
| Nama, jalan dan lokasi-lokasi dalam Periplus of the Eryhtraean Sea |
LEGENDA-LEGENDA
RATU SABA DAN DINASTI SULAIMAN
Legenda-legenda
masyarakat Ethiopia menceritakan bahawa Aksum, ibu kota Empayar Aksum,
merupakan kampung halaman Ratu Saba. Walaupun Ratu Saba hidup beberapa kurun
sebelum berdirinya Kerajaan Aksum, raja-rajanya dari Dinasti Sulaiman mendakwa
bahawa susur galur keturunan mereka berakar dari Ratu Saba’ dan Raja Sulaiman
dari Israel.
Kisah tersebut
menyebutkan bahawa Ratu Saba bertemu dengan Raja Sulaiman di Jerusalem setelah
mendengar perkhabaran tentang kebijaksanaannya. Apabila si ratu berada di sana,
Raja Sulaiman berasa terpesona dengan kecantikan beliau. Tidak lama setelah
mereka bersama, Ratu Saba pun mengandungkan anak mereka berdua. Anak ini bernama
Ibn al-Malik, juga dikenali sebagai Menalik dan beliaulah individu yang
dicatatkan oleh sejarah sebagai pengasas Dinasti Sulaiman. Raja-raja di
Ethiopia, termasuklah raja-raja dari Empayar Aksum, mendakwa bahawa mereka
berketurunan daripada Menelik.
ZAMAN
EMAS KERAJAAN AKSUM
Kerajaan Aksum mencapai
masa-masa perdananya pada kurun ke-3 hingga kurun ke-5 Masehi. Zaman keemasan
tersebut bermula apabila Raja Ezana yang masyhur mengubah agama Kristian
sebagai agama rasmi kerajaan itu pada tahun 324M. Bahkan, syiling-syiling yang
dicetak di zaman pemerintahan Raja Ezana merupakan syiling pertama di dunia
yang memiliki imej salib. Ezana turut bertanggungjawab menitikberatkan
kepentingan dokumen-dokumen bertulis.
![]() |
| Batu Ezana merekodkan tentang penukaran agama Ezana kepada Kristian dan kempennya dalam menundukkan masyarakat sekitar, termasuklah Meroe |
Lantaran itu,
manuskrip-manuskrip ini dapat diwariskan dari generasi ke generasi dan
memberikan pengetahuan yang banyak tentang Aksum. Dokumen-dokumen tersebut ditulis
dalam bahasa asli Ge’ez, antara bahasa yang usianya menjangkau
sekurang-kurangnya kurun ke-8SM. Sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa
berkemungkinan wujud scriptorium (sekolah
penulisan) di utara Ethiopia, yang mana institusi ini membekalkan penulis-penulis
untuk wilayah di rantau berkenaan, termasuklah di sekitar Lembah Nil.
![]() |
| Syiling Kerajaan Aksum di zaman Ezana |
Kerajaan Aksum
mempunyai hierarki sosial yang kompleks dan bandar-bandarnya pula mempunyai
corak susunan yang rumit. Susun lapis masyarakat Aksum terdiri dari golongan
elit atasan seperti raja dan bangsawan, disusuli oleh golongan elit bahawan
seperti bangsawan berstatus rendah, pedagang dan juga petani kaya. Lapisan
terakhir dianggotai oleh orang awam seperti petani kecil, artisan dan pedagang.
Ahli-ahli arkeologi
pernah menemukan dokumen-dokumen pentadbiran dan makam-makam yang menunjukkan
bahawa golongan elit Aksum menerima penghormatan yang tinggi semasa
dikebumikan, merangkumi amalan pengebumian yang mewah dan juga pembinaan
monumen peringatan yang dikenali sebagai stelae. Stelae yang berbentuk seperti
menara atau obelisk ini dipenuhi dengan ukiran inskripsi. Selain itu, makam
golongan elit Aksum juga mempunyai pintu-pintu batu dan jendela-jendela palsu.
Stelae yang paling tinggi dicatatkan mencecah 100 kaki (30.48m).
![]() |
| Stelae Aksum paling besar, rosak di tempat ianya tumbang |
AGAMA
DALAM KERAJAAN AKSUM
Pada mulanya, agama
Kristian hanya diamalkan oleh golongan elit. Ia tidak tersebar secara meluas
kecuali pada lewat kurun ke-5 apabila mubaligh-mubaligh Kristian melarikan diri
dari Empayar Rom Timur (Byzantium) dan mencari perlindungan di Kerajaan Aksum.
Mereka turut diberikan izin untuk membawa dan menyebarkan agama baru. Para
mubaligh ini berkumpul di Gereja Tewahedo Ortodoks Ethiopia memandangkan ia
masih mengekalkan doktrin Monophsite.
| Lukisan Ethiopia ini menunjukkan St George, Penyaliban, dan Mariam Si Perawan |
Walaupun terdapat
banyak empayar di Barat yang menerima agama Kristian pada kurun ke-5,
perdebatan hangat seputar kedudukan Christ berlangsung hebat di pihak
masing-masing. Monophysitism berpendapat bahawa Jesus Christ memiliki hanya
satu sifat atau ciri yang mana ia adalah sintesis di antara ciri kedewataan dan
kemanusiaan. Pandangan sebegini dianggap menyeleweng oleh Sidang Chalcedon pada
tahun 451M.
Rome dan Konstantinopel berpegang kepada doktrin dyophysitism, iaitu Jesus Christ mempunyai dua sifat – satu sifat kedewataan dan satu sifat kemanusiaan. Perdebatan ini, yang hampir dipengaruhi sepenuhnya oleh perseteruan politik dan budaya, membawa kepada perpecahan terakhir Gereja-Gereja Ortodoks Oriental dari Gereja-
Gereja Ortodoks
Timur dan Barat. Ia merupakan satu kesan yang sangat besar, di mana walaupun Empayar
Aksum pada akhirnya runtuh, Gereja Tewahedo Orthodoks Ethiopia masih terus
hidup dan menjadi sebuah aliran Kristian yang berkembat pesat – dianuti oleh
sekitar 45 hingga 50 juta manusia di seluruh dunia.
![]() |
| Kumpulan koir Ortodoks Ethiopia |
ADAKAH
TABUT PERJANJIAN NABI MUSA BERADA DI ETHIOPIA?
Terdapat legenda yang
menyebutkan bahawa wujud satu lagi perkaitan antara Aksum dan Israel, yang mana
ia merupakan suatu perkaitan dalam hal keagamaan yang agak penting. Legenda
menceritakan bahawa ketika Menelik tumbuh membsar, beliau pernah bertanya
tentang siapakah bapanya. Selepas mengetahui bahawa bapanya adalah Raja
Sulaiman, anak muda itu pun berjumpa dengannya. Menelik berada di samping Raja
Sulaiman selama tiga tahun. Namun, beliau diminta untuk beredar atau menjauh
selepas masyarakat Israel mengadu tentang kemiripan antara Menelik dan bapanya,
yang mana hal ini seringkali membuat mereka terkeliru.
Ketika Menelik beredar
atau diusir, beliau ditemani oleh putera sulung paderi tertinggi, Azariah dan
1000 orang dari setiap 12 suku Isarel. Namun sebelum mereka beredar, Azariah
bermimpi dan di dalam mimpi tersebut, beliau diminta supaya membawa bersama
Tabut Perjanjian Nabi Musa. Oleh kerana itu, Azariah pun mengambil Tabut
tersebut dari kuil yang menyimpannya, lalu menggantikannya dengan tabut salinan
sebelum kemudiannya membawa Tabut yang asli itu pulang ke rumahnya. Sehingga ke
hari ini, Tabut Perjanjian Nabi Musa diyakini terletak di suatu tempat di
Ethiopia.
APAKAH
FAKTOR KETUMBANGAN KERAJAAN AKSUM?
Sejarahwan tidak pasti
apakah sebenarnya yang membawa kepada kejatuhan Kerajaan Aksum. Namun, terdapat
beberapa faktor yang diperkirakan sebagai penyebab. Salah satu faktor yang
menumbangkan Kerajaan Aksum mengambil tempat pada tahun 520M, tepatnya semasa
Raja Kaleb memimpin sebuah kempen ketenteraan memerangi Raja Yahudi Himyar
bernama Dzu Nuwas yang menindas orang-orang Kristian di Yaman.
Walaupun bala tentera
Aksum Berjaya memenangi konflik berkenaan dan menjamin keselamatan penganut
Kristian di Yaman (setidak-tidaknya sehingga kemunculan Islam), tahun-tahun
peperangan yang berlangsung panjang mengakibatkan berkurangnya perbendaharaan
dan tenaga manusia Aksum. Selain itu, peperangan itu juga berkemungkinan
menjadi punca kepada menularnya Wabak Justinian yang menimpa Ethiopia sekitar
waktu yang sama. Wabak tersebut, yang menular di kebanyakan wilayah Empayar
Byzantium pada kurun ke-6, diperkirakan sebagai wabak bubonik pertama yang
pernah direkodkan sejarah.
![]() |
| Kain atau seluar kapas wanita Ethiopia, yang merupakan helaian sutera dari Sassanid dan didekorasi berdasarkan Raja Khosrau I memerangi bala tentera Aksum di Yaman, kurun ke-5 hingga ke-6 |
Ibarat menuangkan
minyak ke atas api yang marak menyala, musibah peperangan dan wabak yang menimpa
Aksum disusuli oleh perluasan kuasa Islam yang bermula pada kurun ke-7 Masehi.
Pada kurun tersebut, Islam dengan pantas tersebar ke seluruh Semenanjung Tanah
Arab dan Afrika Utara. Pada rentang waktu antara kurun ke-7 dan kurun ke-8
Masehi pula, Aksum hilang penguasaan ke atas Laut Merah dan kebanyakan kawasan
di sekitar Sungai Nil. Keadaan ini tidak hanya mengakibatkan ekonomi Aksum
tersekat, malah ia juga memaksa kebanyakan penganut Kristian yang menghuni kota
Aksum untuk berpindah lebih jauh ke kawasan pedalaman demi mendapatkan
perlindungan.
Mengakhiri segalanya,
masyarakat Ethiopia diuji dengan perubahan cuaca yang berpanjangan. Populasi
besar yang dimiliki oleh Empayar Aksum memberi kesan tekanan yang besar pada
dataran Tigrinya, tempat di mana kerajaan tersebut mendirikan tapaknya. Hal ini
pada akhirnya membawa kepada berlakunya bencana hakisan tanah. Sejarahwan
berpendapat bahawa proses yang membawa kepada berlakunya bencana tersebut
dipercepatkan lagi dengan penaruh taburan hujan sekitar 730-760M. Keadaan
tersebut merencatkan kitaran musim dan keadaan di bumi Ethiopia tidak pulih
kecuali pada kurun ke-9 Masehi.
Walaupun mengalami
keruntuhan yang dahsyat, kota Aksum masih lagi dihuni sehingga ke hari ini oleh
50 000 orang sekaligus menjadikannya sebagai kota paling tua yang secara
berterusan diduduki di benua tersebut.
![]() |
| Obelisk di Aksum, lukisan Henry Salt |
SUMBER
- Boundless. “Kingdom of Aksum”. Boundless World History I: Ancient Civilizations-Enlightenment. Boundless, 29 Ogos 2016. Web.
- Department of the Arts of Africa, Oceania, and the Americas. “Foundation of Aksumite Civilization and Its Christian Legacy (First-Seventh Centuries).” The Met’s Heilbrunn Timeline of Art History. The Metropolitan Museum of Art, Oct 2000. Web.
- Hirst, K. Kris. “How the Iron Age Kingdom of Aksum Flourished in Ethiopia.” About.com. 09 Ogos 2016.
- UNESCO. “Aksum.” UNESCO World Heritage Centre. United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization. 2016.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kerajaan Aksum – Fakta dan Legenda Kuasa Besar Milenia Pertama’
- Get link
- X
- Other Apps








