- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (28 April 2019). Went Salt Was Traded for Gold: The Salt Trade of
West Africa that Built Kingdoms and Spread Culture. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/salt-trade-0011802
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/salt-trade-0011802
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada Zaman Pertengahan,
garam di Afrika Barat didagangkan dengan bayaran emas. Perkara ini sememangnya
suatu hal yang menarik memandangkan pada hari ini, garam merupakan satu
komoditi yang murah dan mudah didapati. Walau bagaimanapun pada zaman dahulu,
garam amat sukar untuk diperoleh di kawasan-kawasan tertentu.
Keadaan ini
memaksudkan bahawa kawasan yang mampu mengeluarkan garam berpotensi untuk
mendagangkannya sebagai suatu barang yang amat berharga, senilai emas. Di
Afrika Barat, perdagangan garam membawa kepada pembangunan jalan-jalan perdagangan
dan kekayaan melimpah-ruah buat kota-kota yang dilalui oleh kafilah-kafilah
dagang pada zaman pertengahan.
GARAM
MENINGKATKAN KETAHANAN MAKANAN
Walaupun kelebihan
garam seringkali dikaitkan dengan makanan, ia sebenarnya memiliki banyak
kegunaan. Pada hari ini, garam secara umumnya diguna untuk menghadirkan rasa
masin pada makanan. Namun pada zaman dahulu, garam memainkan satu kefugsian
yang sangat penting – meningkatkan ketahanan makanan. Pada zaman sebelum
wujudnya peti sejuk, makanan seperti daging dan sayur-sayurkan akan dibubuh
garam agar ia masih boleh dimakan di kemudian hari.
Kepentingan garam turut
dapat dilihat secara ketara di zaman Rom, di mana tentera-tentera mereka
dibayar dengan salarium argentum atau
‘wang garam’. Daripada istilah inilah lahirnya perkataan ‘salary’ dalam Bahasa Inggeris.
![]() |
| Garam sangat penting bagi meningkatkan ketahanan makanan |
Sekitar kurun ke-5
Masehi, penggunaan unta secara meluas membolehkan masyarakat penutur Bahasa
Berber meredah Gurun Sahara. Menjelang kurun ke-8 Masehi pula, aktiviti
perdagangan mula berjalan secara tahunan di rantau Sahara dan sub-Sahara,
Afrika Barat. Wilayah sub-Sahara Afrika Barat dilimpahi dengan sumber emas.
Justeru, emas-emas ini lazimnya ditukar dengan garam yang dibawa oleh kafilah-kafilah
dagang yang tiba dari utara.
LOGISTIK
DALAM PERDAGANGAN GARAM
Garam yang diangkut
oleh kafilah-kafilah dagang ini diperoleh dari lombong-lombong garam di Gurun
Sahara. Di beberapa tempat tertentu seperti Taghaza dan Taoudenni, kawasan
simpanan garam dapat ditemui tidak begitu jauh dari permukaan padang pasir.
Lazimnya, operasi perlombongan dilakukan di kawasan-kawasan seperti ini dan
hamba atau buruh-buruh dibawa masuk dengan jumlah yang banyak untuk melakukan
kerja-kerja melombong garam.
Garam yang berbentuk
bongkah-bongkah itu kemudiannya dimuatkan ke atas badan unta-unta. Lalu,
unta-unta ini membawanya ke selatan untuk ditukarkan dengan emas.
![]() |
| Kafilah yang membawa bongkah-bongkah garam, melalui jalan perdagangan garam |
Perdagangan ini dijalankan
dengan menggunakan satu proses yang dipanggil sebagai ‘perdagangan barter
senyap’, memandangkan kedua-dua pihak pedagang langsung tidak bercakap dan
bahkan, tidak bertemu antara satu sama lain.
Di lokasi perdagangan
yang mereka tetapkan, pedagang-pedagang garam akan mempamerkan garam yang
dibawa oleh mereka. Lalu, gendang akan dipukul untuk memaklumkan hasrat mereka
untuk menjual garam. Setelah itu, mereka kembali ke dalam khemah.
Kemudian,
pedagang-pedagang emas yang mendengar bunyi pukulan gendang itu akan keluar
untuk melihat garam-garam yang dipamerkan, lalu meletakkan jumlah emas yang
mereka rasakan sesuai sebagai pertukaran ke atas garam yang mahu mereka ambil.
Kemudian, mereka akan memukul gendang dan kembali ke dalam khemah.
Para pedagang garam
kemudiannya akan keluar semula dan melihat jumlah emas yang ditawarkan.
Sekiranya mereka berpuas hati dengan jumlah emas tersebut, maka emas itu akan
diambil dan garam yang mereka bawa pula ditinggalkan sebelum memukul gendang
dan beredar meninggalkan kawasan perdagangan tersebut.
Seandainya mereka tidak
berpuas hati dengan jumlah emas yang ditawarkan, mereka akan tinggalkan kesemua
garam dan emas terdapat di situ, lalu memukul gendang dan kembali ke khemah
bagi menantikan tawaran yang lebih baik daripada pedagang emas.
KEPENTINGAN
JALAN-JALAN PERDAGANGAN GARAM
Sebahagian ilmuwan
berpendapat bahawa para sejarahwan terlalu berlebih-lebihan dalam memerikan
kepentingan perdagangan garam. Antara faktor yang disuarakan oleh ilmuwan
sebegini adalah garam bukanlah satu-satunya komoditi yang dibawa oleh para
pedagang dari Afrika Utara.
Antara barangan lain
yang dibawa oleh para kafilah mereka termasuklah kaca, batu-batu berharga dan
barangan seramik buatan Afrika Utara. Di samping itu, masyarakat di Afrika
Barat boleh sahaja memperoleh sumber garam dari tumbuhan dan tanah, yang mana
sumber tersebut cukup untuk memenuhi keperluan mereka. Tambahan lagi, garam-garam
yang dilombong dari Gurun Sahara dianggap sebagai barangan mewah yang hanya
mampu dibeli oleh orang-orang kaya lagi berkuasa.
Walau bagaimanapun,
impak perdagangan garam di rantau ini sama sekali tidak boleh dinafikan. Pada
hakikatnya, bukanlah sumber garam atau perlombongannya yang dikejarkan oleh
penguasa-penguasa Afrika Barat. Akan tetapi, apa yang ditekankan oleh mereka
adalah jalan-jalan perdagangan. Meraih kawalan ke atas jalan-jalan perdagangan
ini memberi maksud bahawa mereka boleh mengenakan cukai ke atas kafilah-kafilah
yang melaluinya. Cukai sebegini berupaya memberikan keuntungan yang besar buat
mereka dan hal inilah yang mendorong kepada pembangunan empayar-empayar hebat
di Afrika Barat seperti Empayar Ghana, Mali dan Songhai. Selain itu, terdapat
sejumlah kota penting yang ditubuhkan di sepanjang jalan perdagangan itu.
Antaranya adalah
Timbuktu, yang bukan hanya berfungsi sebagai sebuah pos perdagangan penting,
malah meraih kemasyhuran sebagai pusat kebudayaan Islam. Lebih daripada itu,
disebabkan oleh adanya jalan-jalan perdagangan inilah makanya Islam dapat
tersebar sehingga ke sub-Sahara Afrika Barat.
![]() |
| Laluan-laluan perdagangan garam Sahara sekitar tahun 1400 dengan wilayah Niger moden ditonjolkan |
Walaupun garam sejak
sekian lama telah kehilangan status sebagai komoditi yang bernilai tinggi, akan
tetapi aktiviti melombong garam masih terus dijalankan di Sahara dan ia terus
dijadikan sebagai punca rezeki masyarakat yang menetap di sana. Sama seperti
masyarakat terdahulu, pelombong-pelombong garam di Sahara pada hari ini masih
lagi bergantung kepada unta untuk mengangkut garam yang dikeluarkan. Hanyasaja
kuantitinya jauh lebih kecil berbanding dahulu, dan ia tidak lagi ditukarkan
dengan emas.
SUMBER
- Masonen, P. 1995. Trans-Saharan Trade and the West African Discovery of the Mediterranean World.
- Rouge, D. 2007. Saharan salt caravans ply ancient route.
- Sacred Valley Salt Co. 2019. Salt Vs Gold.
- SaltWorks. 2019. History of Salt?
- Smithsonian Center for Education and Museum Studies. 2019. Trading Gold for Salt.
- The Editors of Encyclopedia Britannica. 2019. Timbuktu.
- The Metropolitan Museum of Art. 2000. The Trans-Saharan Gold Trade (7th-14th Century).
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Ketika Garam Lebih Berharga Dari Emas’
- Get link
- X
- Other Apps



