- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (30 Mei 2019). The Lost City of Aztlan – Legendary Homeland of the
Aztecs. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-myths-legends-americas/lost-city-aztlan-legendary-homeland-aztecs-002550
https://www.ancient-origins.net/news-myths-legends-americas/lost-city-aztlan-legendary-homeland-aztecs-002550
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Adakah Aztlan itu
merupakan tanah air bagi kaum Aztec yang hebat, ataukah ia hanya sekadar sebuah
bumi mitos yang terkandung di dalam legenda-legenda purba?
Kaum Aztec dari Mexico
membina salah sebuah empayar paling penting di Amerika. Walaupun kebanyakan
maklumat tentang empayar mereka yang berlokasi di Bandar Mexico moden dapat
diketahui, keadaan yang sebaliknya berlaku bagi pengetahuan tentang titik mula
kebudayaan Aztec. Ramai yang menganggap Pulau Aztlan yang hilang sebagai tanah
air bagi kaum Aztec, yang sudah pun terbentuk sebagai sebuah tamadun sebelum
berhijrah ke Lembah Mexico.
Sebahagian ilmuwan
mempercayainya sebagai sebuah bumi mitos yang saling tidak tumpah seperti
Atlantis atau Camelot, yang akan terus hidup di dalam legenda akan tetapi tidak
akan pernah ditemukan secara fizikal. Sebahagian ilmuwan yang lain pula
menganggapnya benar-benar wujud, yang mana lokasi fizikalnya mungkin akan dapat
diketahui pada suatu hari nanti. Banyak usaha pencarian tanah Aztlan dilakukan
di seluruh Mexico Barat hingga ke Utah, dengan harapan dapat menemukan pulau
legenda itu. Namun, segala usaha pencarian ini tidak menemukan keberhasilan
memandangkan lokasi dan kewujudan Aztlan masih kekal misteri.
Gambar sebuah piramid Aztec, bukan lokasi sebenar |
TUJUH
KAUM DI CHICOMOZTOC
Pembentukan tamadun di
Aztlan bermula dari sebuah legenda. Menurut legenda Nahuatl, suatu ketika
dahulu terdapat tujuh buah kaum yang hidup di Chicomoztoc – “sebuah tempat yang
mempunyai tujuh buah gua”. Kaum-kaum ini membentuk tujuh kumpulan Nahua: iaitu
Acolhua, Chalca, Mexica, Tepaneca, Tlahuica, Tlaxcalan dan Xochimilca (sumber
yang berbeza akan memberikan kepelbagaian nama bagi kumpulan-kumpulan ini).
Tujuh kumpulan ini,
dengan kumpulan bahasa yang sama, meninggalkan gua masing-masing lalu menetap
di sebuah kawasan berhampiran Aztlan sebagai sebuah kumpulan tunggal. Menurut
beberapa catatan, ketibaan tujuh kumpulan ini di Aztlan didahului oleh sebuah
kumpulan yang dikenali sebagai Chichimecas, yang dianggap kurang bertamadun berbanding
ketujuh-tujuh kumpulan Nahua. Mexica merupakan kumpulan terakhir yang berangkat
ke Aztlan, yang berkemungkinan diakibatkan oleh kemarau panjang yang melanda
dari tahun 1100 hingga 1300 Masehi.
ADAKAH
AZTLAN ITU SEBUAH SYURGA ATAUPUN TANAH PEMERINTAHAN KUASA TIRANI?
Perkataan Aztlan bermaksud
‘tanah utara; tanah yang darinya kita, Aztec datang.” Disebutkan bahawa pada
masa-masa terkemudian, kaum yang menghuni Aztlan dikenali sebaai Aztec. Mereka
ini kemudiannya berhijrah dari Aztlan menuju ke Lembah Mexico. Dalam beberapa
buah hikayat, Aztlan digambarkan sebagai sebuah syurga buat seluruh
penghuninya.
Dalam Manuskrip Aubin,
Aztlan merupakan sebuah tempat di mana kaum Aztec dijadikan sebagai hamba
kepada kaum Azteca Chicomoztoca – kam elit yang bersifat tirani. Demi
menyelamatkan diri dari kekukubesian Chicomoztoca, kaum Aztec pun meninggalkan
Aztlan dengan diketuai oleh paderi mereka. Dalam legenda, Dewa Huitzilopochtli
berpesan kepada mereka agar tidak menggunakan nama Azteca, dan memaklumkan
bahawa mereka akan dikenali sebagai Mexica. Penghijrahan kaum Aztec dari Aztlan
ke Tenochtitlan merupakan bahagian penting dalam sejarah Aztec. Ia bermula pada
24 Mei 1064, tahun pertama dalam calendar solar Aztec.
Mexica berangkat dari Aztlan. Dari Manuskrip Boturini abad ke-16 |
AZTLAN
ADALAH SEBUAH PULAU DI SEBUAH TASIK
Walaupun Aztlan tidak
pernah dikenali secara fizikal, ia dirincikan sebagai sebuah pulau. Namun, ia
bukanlah pulau yang berada di atas laut. Sebaliknya, Aztlan merupakan pulau
yang berada di atas sebuah tasik. Ramai ilmuwan telah melakukan pelbagai cubaan
untuk mengenal pasti lokasi Aztlan, dengan harapan dapat menemukan tempat
berasalnya kaum Aztec yang kelak dikenali sebagai Mexica.
Sebahagian daripada
mereka berpendapat bahawa usaha pencarian Atlantis dan usaha pencarian Aztlan
merupakan sebuah pencarian yang sama, di mana ianya adalah tanah yang sama yang
mempunyai nama yang berbeza. Namun, pendapat ini dibantah dan ramai ilmuwan
yang meyakininya sebagai sebuah pulau yang sama sekali berbeza dengan Atlantis.
Antara misteri besar
yang menyelubungi Aztlan adalah seberapa jauh ia terletak di kawasan utara.
Dengan radius pencarian yang luas meliputi kawasan sehingga ke Utah, hadir
pendapat yang mengemukakan bahawa kaum Aztec tidak berasal dari Mexico.
Sebaliknya, kebudayaan mereka dibentuk di sebuah kawasan yang kini dikenali
sebagai Amerika Syarikat, jauh sebelum mereka berhijrah ke Lembah Mexico moden.
Walau bagaimanapun,
sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa sekiranya teori ini benar, maka
keturunan-keturunan Aztec yang berada di Amerika Syarikat pada hari ini akan
menegaskan bahawa mereka bukanlah pendatang tidak sah. Sebaliknya, mereka
adalah keturunan Aztec yang hanya pulang ke tanah air.
Chicomoztoc – tempat bagi tujuh gua. Asal-usul mitos bagi kaum nahuatlaca. Dari ‘Historia Tolteca chicimeca’, sebuah manuskrip tahun 1550 |
PENCARIAN
AZTLAN
Walaupun telah ramai
yang melakukan usaha-usaha pencarian dengan harapan dapat menemukan Aztlan,
para arkeologis tidak meyakini bahawa penemuan pulau berkenaan akan menjumpai
banyak runtuhan ataupun artifak. Penemuan Aztlan sudah tentu akan memberikan
pemahaman yang lebih lanjut berkenaan sejarah Aztec dan asal-usulnya, walaupun
ilmuwan bersepakat dalam mengatakan bahawa asal-usul Aztec tidaklah sepenting
sejarah penghijrahan mereka ke Lembah Mexico dan peristiwa-peristiwa yang
berlaku sesudahnya.
Terdapat tiga masalah
metodologi yang berbangkit ketika kita cuba mengenal pasti lokasi Aztlan.
Permasalahan pertama dikenali sebagai ‘jangkauan’. Terdapat kemungkinan besar
bahawa kaum Aztec tidak berhijrah secara langsung dari Aztlan ke Lembah Mexico
memandangkan ia akan menjadi sebuah perjalanan langsung yang sangat panjang
(lama). Oleh kerana itu, mungkin mereka bersimpang-siur dalam melakukan
perjalanan, dan membuat sejumlah perhentian yang berlangsung selama beberapa
tempoh. Justeru, sukar untuk membezakan antara lokasi sementara dan juga durasi
keseluruhan perjalanan.
Kuil purba. Adakah kota legenda Aztlan akan ditemui? |
Masalah kedua adalah
‘lapisan’, yang mana permasalahan ini mempertimbangkan kemungkinan terdapat
lebih dari satu penghijrahan dari Utara ke Selatan, sekaligus sukar untuk
mengenal pasti secara tepat penghijrahan yang mana satukah yang boleh dikaitkan
dengan Aztlan. Permasalahan ketiga pula adalah ‘lipatan’. Masalah ini berbangkit
daripada hakikat bahawa terdapat kemungkinan berlakunya penghijrahan
berulang-alik, dari utara ke selatan dan dari selatan ke utara.
Tiga permasalahan
metodologi ini menyukarkan ilmuwan untuk membuktikan Aztlan sebagai lokasi asal
Aztec, atau sekadar sebuah tempat legenda yang menjadi simbol bagi Aztec.
Sehingga ke hari ini,
kewujudan sebuah pulau yang dikenali sebagai Aztlan masih belum dapat
dipastikan. Ramai yang telah melakukan pencarian terhadap pulau tersebut,
dengan harapan dapat memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang asal-usul
Aztec dan sejarah purba Mexico. Namun, sama seperti kota-kota hilang yang lain,
tiada kepastian sama ada Aztlan akan dapat ditemukan ataupun tidak.
Mungkin pada suatu masa
dahulu Aztlan adalah sebuah pulau yang telah pun tenggelam ke dasar tasik, atau
telah pun diubah atau dimusnahkan. Mungkin juga ia adalah sebuah bumi yang sama
sekali tidak wujud dalam bentuk fizikal dan hanyalah sebuah ciptaan legenda
bagi menerangkan asal-usul Aztec. Setakat ini, Aztlan kekal sebagai lokasi
legenda bagi pembentukan Aztec sebagai sebuah tamadun sebelum mereka berhijrah
ke Bandar Mexico moden.
Gambaran Cuauhtemoc, tlatoani terakhir (ketua Aztec) |
SUMBER
- How Far North? A Conjecture on the Roots of Aztlan – University of Texas at San Antonio.
- Aztlan – the Search for the Aztec Homeland – Ancient Worlds.
- http://www.ancientworlds.net/aw/Article/362232Aztlan, The Mythical Homeland of the Aztec-Mexica – About Education.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kota Aztlan Milik Tamadun Aztec Yang Hilang’
- Get link
- X
- Other Apps