- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Hassam Munir. (14 Mei 2017). A Century of Islam in a Small Alberta Town in
Canada. Mvslim.
https://mvslim.com/a-century-of-islam-in-a-small-alberta-town-in-canada/
https://mvslim.com/a-century-of-islam-in-a-small-alberta-town-in-canada/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Memandangkan agama
Islam mula tersebar di Mekah, Arab Saudi moden, maka rantau Kanada boleh
dianggap sebagai pelosok terakhir yang menerima gelombang penyebaran agama
Islam. Selama lebih dari 1400 tahun, risalah ini secara bertahap tetapi pasti
dibawa oleh umat Islam ke mana sahaja mereka pergi.
Menjelang pertengahan kurun
ke-20, kawasan utara Kanada menjadi salah sebuah tempat di dunia yang masih
belum terdedah dengan agama dan penganut agama tersebut. Namun pada tahun
1940an, keadaan itu kian berubah. Segalanya bermula di sebuah pekan kecil di
wilayah Alberta, tempat di mana perjalanan Islam yang panjang akhirnya sampai
di Kanada.
Pada hari ini, Lac La
Biche, Alberta (terletak kira-kira 140 km arah timur laut Edmonton) masih lagi
merupakan sebuah pekan yang sepi, menempatkan sekitar 2300 orang penduduk.
Keadaannya sudah tentu jauh lebih sepi bagi tiga buah keluarga dari Lebanon
yang berhijrah pada pekan tersebut pada tahun 1940 dan menjadi penduduk tetap
pada tahun 1946.
Keluarga-keluarga
Muslim ini mengikuti jejak langkah seorang peneraju dan usahawan Muslim Lebanon
yang bernama Ali Ahmed Abouchadi yang tiba di Lac La Biche pada tahun 1906 dan
melibatkan diri dalam perniagaan bulu. Sepanjang proses tersebut, Abouchadi
berkemungkinan menjadi Muslim pertama yang menuturkan bahasa Cree, bahasa
penduduk tempatan di sana.
Seorang lagi Muslim
awal yang tiba di Lac La Biche adalah Mohamed Abuali Gotmi yang berada pekan
tersebut sejak tahun 1911. Beliau pada mulanya merupakan pekerja Abouchadi.
Namun kemudian, beliau menubuhkan perusahaan bulu sendiri. Sama seperti
Abouchadi, Gotmi turut fasih menuturkan bahasa Cree dan lima bahasa Eropah yang
lain.
Menjelang 1950an,
semakin banyak keluarga Lebanon tiba di Lac La Biche. Kebanyakan daripada
mereka merupakan penganut agama Islam dan hampir kesemuanya berasal dari dua
buah kampung yang berjiran di Lembah Biqa’a, Lebanon, iaitu Kampung Lala dan
Kampung Kharbit Ruha. Memasuki tahun 1969, komuniti mereka di pekan tersebut
berkembang sehingga mencapai sebanyak 40 buah keluarga dari Lebanon, yang mana
36 daripadanya adalah penganut agama Islam.
![]() |
| Jim dan Anne Tarrabain |
Kebanyakan daripada
mereka bekerja dalam sektor penternakan sejenis haiwan yang dikenali sebagai mink. Produk-produk bulu mink yang dikeluarkan oleh sebahagian
penternak dari komuniti ini, seperti Jim Tarrabain dan Sine Abougoush mendapat
penerimaan baik di seluruh negara berikutan kualitinya yang cukup tinggi.
Komuniti Muslim awal
ini membentuk minoriti yang signifikan dalam pekan Lac La Biche, di mana mereka
bergaul (dan bahkan dalam beberapa keadaan, berkahwin kacuk) dengan orang-orang
Kanada yang rata-ratanya berbangsa Ukraine, Perancis, British dan Metis.
“Kami mengamalkan sikap
toleransi dan saling memahami, di samping sering mempamerkan morality dan nilai
murni yang tinggi. Begitu juga dengan sikap jujur, bekerja-keras dan saling
mempercayai… kerana mereka (penduduk asal) membenarkan kami mengamalkan agama
dan budaya kami sehingga kami tidak pernah meraih perasaan selain dari rasa
selesa dan dihargai,” ujar Anne Tarrabain yang pernah bekerja di sebuah
perusahaan ternakan mink pada
tahun-tahun awalnya di pekan tersebut bersama suaminya, Jim.
Menjelang tahun 1969,
komuniti Muslim di Lac La Biche membentuk sekitar 10% dari populasi keseluruhan
pekan itu – peratusan penghuni Muslim paling besar bagi mana-mana pekan atau
bandar di Amerka Utara pada masa itu. Pada tahun 1957, seramai 12 orang Muslim
bekerjasama dalam membentuk Persatuan Arab Muslim di Lac La Biche.
Tahun berikutnya,
mereka membina Masjid Alkareem di pekan berkenaan sekaligus menjadikannya
sebagai masjid kedua di Kanada dan yang ketiga di seluruh Amerika Utara. Masjid
tersebut berfungsi sebagai tempat beribadah, tempat pengajian al-Qur’an, dan
juga tempat perkumpulan awam bagi komuniti Muslim Lac La Biche.
![]() |
| Akhbar Lac La Biche (1958) |
Pada
tahun 1962, mereka mengatur dan merancang untuk membawa masuk seorang alim dari
Lebanon ke Lac La Biche menerusi perjanjian kontrak tiga tahun sebagai imam
bagi komuniti Muslim di sana. Imam tersebut juga memainkan peranan mengetuai
majlis perkahwinan dan majlis pengebumian serta guru al-Quran.
Oleh
kerana keterbatasan pengetahuan berbahasa Inggeris imam berkenaan, beliau agak
kurang bergaul dengan ahli-ahli komuniti agama lain di Lac La Biche. Walau
bagaimanapun, beliau bergiat sangat aktif dalam kalangan komuniti Muslim itu
sendiri.
Keadaan
ini adalah sebagaimana yang diterangkan oleh seorang pengunjung pekan
berkenaan, “di sini, di sebuah pekan yang terletak di pedalaman Kanada,
seseorang (yang mengunjunginya) boleh mendengar alunan al-Qur’an dan ceramah
keagamaan pada setiap minggu, sama kerap sepertimana jika berada di
kampung-kampung Lembah Biqa’a.”
Apapun, kesemua ini
merupakan perincian yang sangat umum tentang komuniti Muslim di Lac La Biche,
Alberta dan sama sekali tidak menggambarkan sepenuhnya perihal cabaran yang
dihadapi oleh mereka dalam rangka berpegang teguh pada panutan mereka. Komuniti
Muslim di Lac La Biche bukan hanya kekurangan teknologi yang membolehkan mereka
berhubung dengan Muslim di dunia luar, malah mereka juga hidup di sebuah
kawasan yang sangat terpencil di Kanada.
Kajian tahun 1969
berkenaan komuniti Muslim Lac La Biche merincikan kesukaran-kesukaran yang
dihadapi oleh mereka dalam mengekalkan segala aspek keagamaan; bermula dari
solat fardhu hingga ke berpuasa di bulan Ramadhan, di samping
persoalan-persoalan tentang nyanyian agama lain di sekolah-sekolah, sambuan
hari Krismas, hal seputar perkahwinan, percintaan, perayaan , dan pengubahan
nama Muhammad menjadi ‘Mike’ – kesemuanya ini seringkali diperbahaskan dalam
kalangan komuniti Lac La Biche sehingga mendatangkan ketidakselesaan buat
komuniti Muslim di sana.
Walau apapun, komuniti
ini berupaya kekal bertahan hidup dan berpegang teguh pada panutan agama dan
tradisi mereka. Walaupun Lac La Biche tidak lagi mendahului sebagai pekan yang
paling banyak penghuni Muslim di Amerika Utara, sehingga ke hari ini, hampir
seorang dari setiap enam orang penduduk Lac La Biche memiliki darah Lebanon.
Masjid AlKareem pula
dibina semula pada tahun 1986 dan masih lagi beroperasi sehingga ke hari ini.
Ia diperakui oleh seluruh penduduk Lac La Biche sebagai sebahagian dari warisan
mereka yang penting. Selain itu, terdapat sebuah taman dan kolam yang besar
dibina betul-betul di luar Lac La Biche, di mana ianya dinamakan sebagai
‘Alexander Hamilton’, bersempena nama Inggeris yang diambil oleh Ali Abouchadi,
Muslim Lebanon yang tiba di pekan tersebut sekurun yang lalu.
Perjalanan ini sudah
tentu tidak terhenti di Lac La Biche. Komuniti Muslim terus-menerus mencari dan
merebut peluang untuk mengembara lebih jauh ke utara dan mendiami Nunavot,
Yukon dan Wilayah-Wilayah Barat Laut hingga ke Quebec. Jika tiada aral
melintang, kita akan telusuri perjalanan ini dalam artikel-artikel akan datang.
- Get link
- X
- Other Apps


