- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (25 Disember 2015). Maria Pita: The Woman Who Saved a
Galician Town from the British. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/maria-pita-woman-who-saved-galician-town-british-005028
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/maria-pita-woman-who-saved-galician-town-british-005028
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada penghujung kurun
ke-16 Masehi, armada Ratu Elizabeth memasang impian mahu menguasai jalan
perairan antara England ke Portugal. Sejumlah kapal geliung pimpinan Sir
Francis Drake yang dihantar Ratu Elizabeth berhasil menanam kegerunan pada
pelabuhan-pelabuhan di barat Sepanyol. Tepat pada tanggal 4 Mei 1589, armada
Inggeris tersebut kelihatan bakal menguasai bandar La Coruna di Spanish
Galicia. Para penduduknya masing-masing menaruh harapan memohon keselamatan.
Ternyata, pemakbulan ke atas harapan tersebut hadir bukan dalam bentuk
sebatalion tentera, akan tetapi menerusi seorang srikandi yang keberaniannya
berhasil menyelamatkan bandarnya.
DETIK KEPERWIRAAN
Pada awal bulan Mei
1589, British menyerang salah sebuah bandar tertua di Sepanyol – iaitu La
Coruna. Pada pertempuran yang berlangsung pada empat haribulan, Pita keluar
daripada rumahnya sama seperti sebilangan kecil wanita lain, demi
mempertahankan bandar bersama suami masing-masing. Namun malang menimpa apabila
suami Maria Pita terkena bidikan busur silang sekaligus terkorban di medan
perang.
Ketika itu, boleh
sahaja Maria Pita melarikan diri pulang ke rumah. Namun, catatan-catatan
sejarah menyebutkan bahawa Pita yang didorong oleh perit kehilangan insan
tersayang bertindak menyertai barisan tentera lelaki dalam memerangi pihak
British. Beliau berjaya membunuh seorang tentera Inggeris semasa musuh tersebut
cuba menembusi tembok pertahanan. Kemudian, Maria mengambil kedudukan di puncak
tembok kota dan berteriak dengan lantang, “Quen tena honra que me siga!’ (“Sesiapa
daripada kalian yang masih mempunyai maruah, ayuh ikut aku!”)
![]() |
Ilustrasi Maria Pita bertempur melawan tentera-tentera British
|
Berkat laungan penuh
semangatnya itu, pasukan pertahanan yang melindungi La Coruna seakan-akan
memperoleh kekuatan baharu sekaligus berjaya menyelamatkan bandar berkenaan.
Tindakan perwira Maria Pita ini diganjari oleh Raja Philip II yang menganugerahkannya
pencen pegawai tentera. Berikutan meritnya itu, beliau kemudiannya dikenali
sebagai salah seorang wanita paling dihormati di Sepanyol.
SRIKANDI YANG DILUPAKAN
Hampir 200 tahun
sesudah kematiannya, masih tiada siapa yang menulis tentang biografi beliau.
Maria Pita seakan-akan dilupakan oleh negara dan bahkan bandarnya sendiri.
Malang sekali, sepanjang tempoh itu, banyak maklumat tentang beliau hilang
tanpa sempat dicatatkan oleh tinta sejarah.
Buku pertama yang
memerihalkan kehidupan dan keperwiraan beliau hanya muncul pada lewat kurun
ke-19. Buku tersebut mengisahkan bahawa Maria Pita dilahirkan pada tahun 1565 di
Cambre, sebuah pekan berhampiran bandar La Coruna. Nama sebenarnya adalah Mayor
Fernandez de Carnara y Pita. Namun atas sebab yang tidak diketahui, beliau
dikenali sebagai Maria. Terdapat beberapa teori yang dikemukan berkenaan isu
nama ini. Antara penjelasan yang paling munasabah adalah namanya itu merupakan
tanda kenang-kenangan terhadap saudara perempuannya.
Maria sempat berkahwin
sebanyak empat kali dan memiliki empat orang anak. Suami yang kematiannya
menyuntik semangat kepahlawanan dalam diri Maria Pita merupakan suami keduanya.
Bilangan perkahwinan dan kekurangan sumber sejarah tentang diri beliau
mengakibatkan banyak permasalahan buat penyelidik moden dalam usaha
menyempurnakan biografi Maria Pita.
DI MANAKAH KUBUR MARIA
PITA?
Maria Pita meninggal
dunia pada tahun 1643 di pekan kecil yang sama tempat beliau dilahirkan.
Setelah bertahun-tahun lamanya hidup dengan penuh penghormatan di bandar La
Coruna, beliau yang telah meningkat usia memutuskan untuk kembali ke rumah
keluarganya. Beliau meninggalkan La Coruna dan meninggal dunia dengan tenang di
Cambre. Pita disemadikan bersebelahan dengan salah seorang suaminya. Namun
seiring peredaran masa, orang ramai mula lupa di manakah lokasi kubur beliau.
![]() |
| Potret Maria Pita |
Lokasi pertama yang
dianggap paling munasabah adalah Gereja St Mary di Cambre. Gereja tersebut
dianggap sebagai gereja paling berprestij di pekan tersebut. Lokasi ini
merupakan lokasi yang paling diyakini oleh para penyelidik sebagai lokasi
bersemadinya Maria Pita.
Namun, menurut maklumat
yang ditinggalkan oleh Pita sendiri, jasad beliau seharusnya bersemadi di
Gereja St Dominic di bandar La Coruna. Di dalam wasiatnya, beliau meminta agar
jasadnya disemadikan di gereja yang terletak berhampiran dengan tempat paling
lama beliau luangkan masa hidupnya. Tempat itu juga merupakan tempat
bersemadinya salah seorang suaminya.
Kajian terkini
berpendapat bahawa wasiatnya itu mungkin tidak dilaksanakan dan beliau
berkemungkinan disemadikan di sebuah gereja yang terletak di Oza, sebuah lagi
pekan kecil yang terletak di wilayah yang sama. Apapun, lokasi kubur Maria Pita
masih lagi belum dapat dipastikan.
TUGU MARIA PITA
Di celah-celah jalanan
kecil di kawasan paling tua di bandar La Coruna, terdapat sebuah tempat yang
secara khusus menghargai memori Maria Pita. Tempat yang dimaksudkan ini adalah
Museo Maria Pita Casa, iaitu sebuah muzium kecil yang terletak di sebuah rumah
yang dahulunya pernah didiami oleh Maria Pita sendiri. Dari rumah inilah beliau
berangkat ke medan perang semasa mempertahankan bandar La Coruna pada tahun
1589.
Para pengunjung mungkin
akan berasa terkejut apabila mendapati betapa sedikitnya artifak-artifak
sebenar dari zaman Maria Pita yang dipamerkan. Namun dengan kekreatifan dan
kedalaman pengetahuan para penyelidik, para pengunjung dapat mengetahui
tempat-tempat yang pernah dijejaki oleh Maria Pita dan keluarganya.
![]() |
| Potret Maria Pita oleh artis yang tidak dikenali. Maria Pita Casa Museo, La Coruna |
Kini, di tengah-tengah
bandar berkenaan, terdapat sebuah dataran bernama Plaza Maria Pita. Di dataran
ini, masyarakat Galicia mengenang jasa srikandi yang pernah mengubah sejarah
bandar mereka itu menerusi sebuah tugu. Tugu tersebut menggambarkan Maria Pita
yang sedang menyerang pihak British. Tepat di kaki tugu tersebut, terdapat
sebuah plak yang mempamerkan tulisan yang berbunyi ‘Libertad’ (Kebebasan)
– satu perkataan yang paling penting dalam menyimpulkan seluruh kehidupan
srikandi Sepanyol ini.
![]() |
| Tugu Maria Pita di Plaza Maria Pita |
SUMBER
- Maria del Carmen Saavedra Vazquez, “Maria Pita: una aproximacion a su vida y a su tiempo, 2003.
- Luis Gorrochategui Santos, “La Guerra de la Sirena. Nueva perspectiva de Maria Pita”, 2002.
- Ana Rodriguez. (21 Jun 2009). La heroina sin epitafio Maruxa de Pite, vecina de Pita. La Opinian Coruna.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Maria Pita: Srikandi Yang Melawan Gempuran British’
- Get link
- X
- Other Apps




