- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (29 Mei 2019). The Great Mosque of Touba: Spiritual Home of the
Mouride Brotherhood. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/great-mosque-touba-0011983
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/great-mosque-touba-0011983
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Islam mempunyai sejarah
yang panjang lagi mengasyikkan di bumi Afrika. Antara yang paling mencuri
tumpuan adalah sejarah seputar Senegal, yang dipengaruhi sepenuhnya oleh agama
Islam dan menjadi tempat berdirinya salah sebuah masjid terbesar di benua
Afrika, iaitu Masjid Jamek Touba. Masjid ini mempunyai saiz yang amat
mengagumkan dan seni binanya pula memukau. Ia berperanan sebagai pusat
penyebaran sufi yang terkenal di seluruh Senegal dan wilayah-wilayah sekitar.
SEJARAH
MASJID JAMEK TOUBA
Masjid ini ditubuhkan
pada kurun ke-19 oleh Sheikh Ahmadou Bamba yang berhasrat untuk mendirikan
sebuah tempat ibadah yang unik di pekan Touba, terletak di tengah-tengah
Senegal. Bamba merupakan salah seorang individu yang paling hebat dalam sejarah
Senegal. Beliau adalah ahli sebuah kumpulan sufi sebelum meninggalkannya atas
sebab-sebab tertentu,
Rentetan itu, pada
tahun 1883, tidak lama setelah beliau menubuhkan pekan Touba, Bamba mengasaskan
pula tariqat sufi Mouride (Muridiyya). Pekan yang dibangunkannya itu direka
supaya menjadi tempat di mana hal kerohanian dan keduniaan dapat disatukan dan
orang ramai dapat hidup bersesuaian denan ajaran al-Qur’an.
Bamba merupakan seorang
ahli teologi Islam yang sangat berpengaruh dan sangat menekankan keperluan
untuk berusaha bersungguh-sungguh di samping penerapan nilai pengawalan diri
dalam kalangan para pengikutnya. Ajaran-ajaran beliau diterima ramai dan beliau
dianggap oleh ahli-ahli tariqat tersebut sebagai seorang pembaharu atau
Mujaddid Islam. Beliau juga merupakan khalifah pertama bagi tariqat tersebut.
Beliau sangat cintakan keamanan dan tidak menggunakan kekerasan untuk menentang
polisi budaya dan politik para kolonis Perancis yang menguasai wilayah Senegal
moden.
Tariqat Mouride semakin
teguh sejak kematian Bamba pada tahun 1927. Masjid Touba pula menjadi tempat
perkumpulan ribuan pengikut tariqat berkenaan, terutama dari Senegal, Ivory
Coast, Mauretania dan Gambia. Secara umum, masyarakat setempat memperakui
bahawa rumah ibadat tersebut merupakan kunci kepada kejayaan dan pembangunan
pekan Touba,
DIBINA
OLEH SEORANG LELAKI YANG BERSUNGGUH-SUNGGUH
Masjid ini terletak di
tengah-tengah pekan Touba, pekan keramat bagi tariqat Muridiyya. Rumah ibadah
tersebut mengambil masa selama hampir 80 tahun untuk disiapkan dan dari semasa
ke semasa, ia terus diluas dan diindahkan.
Salah sebuah menara dengan Menara Lampu Fall di kanan |
Masjid ini mempunyai
lima buah menara dan menara yang paling masyhur memiliki ketinggian yang
mencecah 286 kaki (87 meter) dan dikenali sebagai Lampu Fall, bersempena nama
Sheikh Ibrahima Fall yang merupakan salah seorang murid Syeikh Bamba yang
paling berpengaruh. Terdapat juga tiga buah kubah besar di masjid tersebut dan
makam Sheikh Ahmadou Bamba terletak di bawah kubah yang tengah. Ia didirikan di
suatu sudut dan dilindungi oleh pagar bersalut emas. Makam khalifah-khalifah
tariqat Muridiyya yang lain dan anak-anak kepada pengasasnya turut bertempat di
masjid ini.
Makam Sheikh Ahmadou Bamba |
Bersebelahan tempat
ibadah ini adalah dewan awam rasmi dan perigi keramat. Terdapat juga
perpustakaan, pejabat dan binaan-binaan lain di kompleks berkenaan. Masjid
tersebut dibina dengan ciri Islam klasik dengan kubahnya diwarnakan dengan biru
dan hijau. Tariqat Muridiyya yang dimulakan dari sebuah penghijrahan kini
merupakan sebuah pergerakan antarabangsa dan mereka menganggap Masjid Touba
sebagai pusat pergerakan kerohanian mereka. Khalifah tariqat itu sekarang hidup
di kawasan perumahan berhampiran.
PERHIMPUNAN
AGUNG DAN MASJID JAMEK TOUBA
Pada setiap tahun,
ahli-ahli tariqat sufi Muridiyya dari seluruh dunia akan berkunjung ke Masjid
Jamek Touba untuk majlis houl dan meraikan ajaran Sheikh Bamba. Makam sheikh
yang dikatakan mempunyai keberkatan tersendiri merupakan sebuah destinasi yang
agak masyhur.
Ruangan dalam Masjid Jamek |
Kunjungan sebegini adalah
antara yang paling besar di Afrika, dengan kira-kira 3 juta orang pengikut
mengambil bahagian pada setiap tahun. Terdapat aktiviti-aktiviti yang
dijalankan sepanjang siang dan malam, antaranya seperti pembacaan syair dan
zikir keagamaan. Kunjungan seperti ini meraih liputan yang luas hinggakan ia
disiarkan secara langsung di stesen televisyen Senegal.
PERJALANAN
FIZIKAL KE MASJID JAMEK TOUBA
Touba telah membangun
dengan pantas sejak penghujung kurun ke-19 dan kini menempatkan kira-kira
setengah juta penduduk. Bandar ini diperintah hampir sepenuhnya oleh Pertubuhan
Sufi dan terletak hanya 100 batu (161 km) dari Dakar. Terdapat perkhidmatan
pengangkutan yang disediakan berhampiran Masjid Jamek Touba dan keadaan di kota
ini pula selamat.
Binaan keagamaan yang
indah ini dibuka untuk kunjunan orang ramai tanpa mengira agama. Namun, sudah
tentulah terdapat beberapa jenis pengetatan terhadap orang bukan Islam pada
waktu-waktu tertentu.
SUMBER
- Cantone, C. (2012). Making and remaking mosques in Senegal. Brill.
- Coulon, C. (1999). The Grand Magal in Touba: A religious festival of the mouride brotherhood of Senegal. African Affairs. 98(391). 195-210.
- Ross, E. (1995). Touba: a spiritual metropolis in the modern world. Canadian Journal of African Studies/La Revue canadienne des etudes africaines. 29(2). 222-259.
- Get link
- X
- Other Apps