- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Soniya Shah Noor. (5 Oktober 2018). A Mosque Built by Camel Breeders: The
Beauty of the Marree Mosque in Australia Lies in Its Simplicity. Mvslim.
https://mvslim.com/a-mosque-built-by-19th-century-camel-breeders-the-beauty-of-the-marree-mosque-in-australia-lies-in-its-simplicity/
https://mvslim.com/a-mosque-built-by-19th-century-camel-breeders-the-beauty-of-the-marree-mosque-in-australia-lies-in-its-simplicity/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Masjid-masjid
bersejarah lazimnya mempunyai suatu elemen tersendiri yang sangat unik – elemen
yang apabila dilihat walau secara sepintas lalu, akan membuatkan sesiapa pun
jua berasa terpesona dan kagum dengan senibina bangunannya. Binaan
masjid-masjid seperti ini seakan-akan memiliki suara, walaupun tiada bunyi yang
dapat didengari. Dalam kesempatan kali ini, mari kita menjengah memori sebuah
masjid yang dibina di bumi yang terletak di hujung bawah dunia.
Masjid Marree dibina di
bandar Marree, Australia Selatan sekitar tahun 1882, walaupun ada sebilangan
sejarahwan yang berpendapat tahun 1861 sebagai tahun pembinaannya. Masjid ini
dibina oleh komuniti Afghan yang menetap di Australia pada waktu itu. Ketika
membuat penyelidikan yang lebih mendalam, ternyata mereka bukanlah orang Afghan
yang datang dari Afghanistan mahupun Timur Tengah, akan tetapi mereka datang
dari British-India. Mereka menetap di Australia Selatan dan bekerja sebagai
pembiak dan pembawa unta-unta tunggangan.
Individu di sebalik
pembinaan masjid ini adalah Abdul Kadir, seorang pedagang yang juga merupakan
pemilik perusahaan pembiakan dan pengangkutan unta di stesen Wangamana, tempat
berdirinya binaan Masjid Marree.
Masjid Marree dianggap
sebagai masjid pertama yang dibina di Australia. Masjid ini memiliki
signifikasi tersendiri yang tidak hanya terhad sebagai mercu sejarah.
Sebaliknya, masjid ini juga merupakan simbol yang mewakili sumbangan
pendatang-pendatang Muslim dan bagaimana usaha-bersama antara komuniti Muslim
dan masyarakat tempatan dalam membina serta membangunkan bandar Marree di
Australia Selatan.
MASJID-MASJID
DI MARREE
Bandar Marree
sebenarnya mempunyai tiga buah masjid yang aktif dan sering dikunjungi oleh
komuniti Afghan tempatan. Namun pada hari ini, hanya sebuah sahaja yang masih
kekal. Masjid yang masih tinggal ini dianggap sebagai binaan semula kepada
masjid pertama dari ketiga-tiga masjid yang pernah dibina. Masjid ini berdiri
di tengah-tengah bandar Marree. Walaupun bandar tersebut kelihatan kosong tidak
meriah dengan penghuni, ia sama sekali tidak bermaksud masjid tersebut tidak
digunakan.
Menurut laporan-laporan
yang dapat diakses, seorang pemilik rumah tumpangan menyatakan bahawa pada dua
tahun yang lalu, terdapat dua orang Muslim datang mengunjungi Marree dan
bermalam di rumah tumpangan miliknya. Pemilik yang bernama Phil itu melanjutkan
kenyataannya dengan mengatakan bahawa ‘mereka sama sekali tidak kelihatan
seperti orang tempatan (penghuni bandar).”
Tambahnya lagi, sosok
tubuh kedua-dua pengunjung itu boleh dicam walau dari jarak berbatu-batu
berikutan pemakaian mereka yang menonjol, “berjubah panjang dan berselipar,
tidak seperti orang-orang biasa. Kita juga boleh mengetahui bahawa mereka tidak
pernah keluar (memasuki bandar) sebelum ini. Kehadiran mereka benar-benar
memberi kesan kepada penduduk Marree.”
Orang ramai lantas
mengunjungi tapak masjid tersebut untuk menyaksikan sendiri titik kemasukan
Islam di Australia dan buat pertama kalinya sejak sekian lama, bandar Marree
mendengar gema seruan yang tidaklah asing, suatu seruan yang telah lama hilang
namun kembali berkumandang dengan begitu menenangkan. Seruan yang kita kenali
sebagai azan.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Masjid Yang Dibina Oleh Penternak Unta Di Australia’
- Get link
- X
- Other Apps