- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Laura Geggel. (20 Mei 2019). Ancient Egyptians Built This 4-Towered Fortress
More Than 2600 Years Ago. Live Science.
https://www.livescience.com/65521-ancient-egyptian-fortress-found.html
https://www.livescience.com/65521-ancient-egyptian-fortress-found.html
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ahli-ahli arkeologi di
Mesir telah menemukan runtuhan sebuah kubu purba yang usianya menjangkau zaman
pemerintahan Dinasti ke-26, dinasti terakhir yang diperintah oleh masyarakat
Mesir sebelum kaum Parsi datang menakluk rantau itu pada tahun 525SM, ujar
Kementerian Barangan Antik Mesir.
Para penyelidik
berhasil menemukan beberapa bahagian kubu yang dibina menggunakan
bongkah-lumpur. Antara lain juga adalah menara-menara di timur laut dan
tenggara kubu yang terletak di tapak arkeologi Tell El-Kedwa, Utara Sinai. Sebelum ini pada tahun 2008, para arkeologis melakukan kerja-kerja ekskavasi ke
atas tembok timur citadel berkenaan. Namun, saiz kubu itu yang sangat besar
membuatkannya mengambil masa sehingga sekarang untuk menemukan bahagian
runtuhan yang berbaki.
Kawasan yang ditemukan
ini dipercayai sebagai lokasi utama bagi kubu berkenaan. Pasukan arkeologis
yang bertugas menemukan runtuhan sebuah pos jagaan ketenteraan yang usianya
lebih muda, dibina tepat di atas runtuhan itu.
Kubu asal ‘dianggap
sebagai salah sebuah kubu paling tua pernah ditemui di negara itu’, menurut
Moustafa Waziri, setiausaha-umum Majlis Tertinggi Barangan Antik Mesir ketika
ditemu-ramah oleh media Mesir iaitu Ahram
Online.
![]() |
| Artifak menggambarkan mata Horus yang ditemui di tapak berkenaan |
Tembok kubu yang tua
ini agak tebal, dengan ukuran hampir 23 kaki (7 meter) lebar, lapor Kementerian
Barangan Antik semasa membuat kenyataan media. Di samping itu,
terdapat juga empat buah menara pada kubu berkenaan. Pun begitu, kubu yang
dibina pada kurun-kurun yang terkemudian dipercayai lebih ampuh dengan ukuran
temboknya mencecah 36 kaki (11 meter) serta dikawal oleh 16 buah menara.
Dalam pada itu, citadel
atau kubu lama itu turut mempunyai kamar yang dipenuhi dengan pasir,
tembikar-tembikar yang telah pecah dan puing-puing binaan yang berkemungkinan
berfungsi untuk menyokong dinding tembok yang berat, ujar Nadia Khadr, ketua
Jabatan Pusat Barangan Antik Mesir Hilir (Lower
Egypt) kepada media. Ruangan-ruangan sebegini juga berfungsi sebagai tempat
takungan air hujan yang mana ia merupakan ciri unik Dinasti ke-26.
Tambahan lagi, pasukan
arkeologis juga menemukan kesan runtuhan sebuah gerbang
purba bagi
kubu berkenaan, yang berlokasi di bahagian tenggara tembok. Hal ini sebagaimana
yang dilaporkan oleh Hisham Hussein, pengarah umum Barangan Antik Utara Sinai.
Sambil itu, tepat di sebelah kanan gerbang tersebut pula terdapat kesan
tinggalan bilik yang berkemungkinan dihuni oleh para tentera pengawal yang
bertugas di gerbang itu.
Ekskavasi yang
dijalankan ini turut menemukan sebuah tembok yang berukuran hampir 280 kaki
panjang (85 meter) di sebelah kanan kubu, di samping runtuhan rumah di bahagian
dalam sebelah barat kubu. Salah sebuah rumah berkenaan menyimpan sebuah tangkal
yang padanya terdapat nama Raja Psamtik I, pemerintah yang bertanggungjawab mengusir
tentera Assyria dari Mesir dan menyatukan semula empayar
berkenaan dengan mengasaskan Dinasti ke-26. Psamtik I dicatatkan mangkat pada
tahun 610SM.
Berdasarkan penemuan
tangkal ini, “penyelidikan awal mendapati bahawa usia kubu ini mungkin
menjangkau separuh pertama era pemerintahan Dinasti ke-26, atau lebih spesifik,
zaman pemerintahan Raja Psamtik I,” maklum Hussein kepada Ahram Online.
Walau siapapun yang
berkuasa ke atas kubu yang ditemukan ini, beliau dipercayai pernah berhadapan
dengan sebuah ketumbukan musuh yang kuat memandangkan tembok-tembok yang
dijumpai itu meninggalkan bukti berlakunya serangan dahsyat.
- Get link
- X
- Other Apps

