- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Donavyn Coffey. (24 Jun 2019). Why is space so cold if the sun is so hot?
Popular Science.
https://www.popsci.com/why-is-space-cold-sun-hot/
https://www.popsci.com/why-is-space-cold-sun-hot/
Penterjemah:
Alam Bahasa
Mengapa ruang angkasa
itu sangat sejuk sekiranya matahari itu sangat panas? Soalan yang bijak. Tidak
seperti habitat kita di bumi, sistem suria kita ini penuh dengan suhu yang
ekstrim. Matahari merupakan bebola api dan gas yang bersuhu hampir 15 000 000℃ pada bahagian teras
dan 6000℃ pada bahagian permukaan. Namun, suhu angkasa pula mencapai suhu -270℃.
Bagaimana hal ini boleh terjadi?
Haba bergerak merentasi
angkasa sebagai radiasi, iaitu sebuah tenaga gelombang inframerah daripada
objek yang lebih panas kepada objek yang lebih sejuk. Gelombang radiasi
tersebut mempercepatkan molekul yang bersentuhan dengannya lalu menyebabkannya
menghangat. Begitulah kaedah haba bergerak dari matahari ke bumi.
Akan tetapi, tenaga
gelombang inframerah itu tadi hanya menghangatkan molekul-molekul dan jirim
yang bersentuhan secara langsung pada laluannya. Justeru perkara-perkara lain
kekal bersuhu sejuk. Misalnya planet Utarid, suhu waktu malam di sana boleh
mencapai 500℃ lebih rendah berbanding suhu di waktu siang yang terdedah
dengan tenaga gelombang inframerah, menurut NASA.
Berbanding dengan keadaan di bumi, di mana udara di
sekeliling kita tetap hangat walaupun berada dalam keadaan yang terlindung,
atau bahkan pada musim tertentu dan juga pada waktu malam. Hal ini kerana haba
bergerak ke seluruh planet kita ini dengan tiga kaedah, iaitu pengaliran,
perolakan dan juga radiasi.
Apabila radiasi matahari bersentuhan dan menghangatkan
molekul-molekul di atmosfera bumi, ia mengalirkan tenaga lebihan itu kepada
molekul di sekelilingnya. Molekul-molekul itu kemudiannya saling bertembung dan
menghangatkan kawasan sekitar. Pemindahan haba dari satu molekul ke satu
molekul ini dipanggol sebagai pengaliran, dan ia merupakan tindak-balas
berantai yang menghangatkan kawasan-kawasan di luar laluan radiasi matahari.
Walau bagaimanapun, ruang angkasa bersifat vakum. Molekul gas di ruang
angkasa terlalu sedikit dan jauh antara satu sama lain sehingga tidak membolehkannya
saling bertembung. Maka, walaupun matahari menghangatkan molekul-molekul
tersebut menerusi tenaga gelombang inframerah, proses pemindahan haba tersebut
melalui tindak-balas pengaliran tidak mungkin berlaku.
Begitulah juga dengan tindak-balas perolakan, iaitu satu bentuk pemindahan
haba yang berlaku melalui kehadiran graviti. Tindak balas ini penting dalam
menyebarkan kehangatan di seluruh bumi, namun ia tidak dapat berlaku di ruang
angkasa yang tidak ada graviti.
Perkara-perkara sebegini adalah antara yang dipertimbangkan oleh Elisabeth
Abel, seorang jurutera haba yang bertugas dalam projek DART NASA, ketika beliau
menyiapkan jentera-jentera dan peralatan untuk perjalanan-panjang merentas
ruang angkasa. Menurutnya ketika bekerja di Parker Solar Probe (Prob
Suria Parker), keadaan di ruang angkasa sememangnya seperti yang dinyatakan di
atas.
Sebagaimana yang boleh kita teka menerusi namanya, Parker Solar Probe merupakan
sebahagian daripada misi yang dilancarkan oleh NASA untuk mengkaji matahari.
Prob ini memfokuskan pada lapisan luar atmosfera matahari, dipanggil sebagai corona
lalu mengumpulkan data tentangnya. Pada April 2019, prob tersebut berada
sekitar 24 juta kilometer dari matahari, jarak yang paling dekat pernah dicapai
oleh prob berkenaan. Pelindung haba yang memenuhi satu sisi prob berkenaan
berkemungkinan menjadi faktor penting bagi kejayaan tersebut.
“Fungsi pelindung haba tersebut,” ujar Abel, “adalah untuk
memastikan tiada radiasi suria dapat menyentuh mana-mana bahagian pada prob
berkenaan.” Maka, walaupun pelindung haba itu menerima suhu setinggi 121℃
daripada matahari, badan prob itu sendiri kekal sejuk, iaitu sekitar -150℃.
Sebagai ketua jurutera haba untuk DART, iaitu sebuah pesawat
angkasa yang direka khusus untuk bertembung dengan asteroid lalu meletupkannya,
Abel mengambil langkah praktikal untuk menangani suhu di ruang angkasa. Variasi
suhu ekstrim di antara sejuk beku dan panas mendidih memberikan cabaran yang
bukan kecil. Sebahagian daripada badan pesawat angkasa itu perlukan kelengkapan
bantuan untuk mengekalkannya bersuhu sejuk, sementara bahagian lain pula
memerlukan peralatan yang membantunya kekal hangat.
Persiapan untuk perubahan naik-turun suhu pada skala ratusan
darjah mungkin kedengaran sangat mencabar, namun begitulah keadaan alami di
ruang angkasa. Keanehan yang paling hakiki sebenarnya terletak pada bumi; di
kala suhu yang terlampau sejuk dan terlampau panas, atmosfera bumi masih jua
mampu mengekalkan kesederhanaan suhu, paling tidak sehingga sekarang.
- Get link
- X
- Other Apps
