- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Simone Doenvang. (Oktober 2018). Only Few Know of the Cham Muslims – Vietnam’s
Isolated Islamic Community. Mvslim.
https://mvslim.com/isolated-muslim-communities-know-cham-muslims-vietnam-simone-donvang/
https://mvslim.com/isolated-muslim-communities-know-cham-muslims-vietnam-simone-donvang/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ketika melakukan
pengembaraan di rantau Delta Mekong, Vietnam, saya berasa agak terkejut kerana
mendapati komuniti Muslim di sana hidup di sebuah kampung yang terpencil,
berhampiran sempadan Kemboja di Tebing Sungai Mekong. Menaiki sebuah perahu
kecil untuk tiba ke sana, kumpulan saya secara seorang demi seorang menuruni
jambatan kayu sempit yang separa-rosak untuk sampai ke kampung berkenaan.
Kemudian, kumpulan kami disambut oleh kanak-kanak tidak berkasut yang mahu
menjual snek kepada kami. Mereka malah mengikuti kami sehingga kami masuk ke
dalam kampung.
Di sana, kami melihat
sekumpulan lelaki yang berpakaian ‘Batik Lungi’, sepasang baju panjang yang
berikat pinggang dan mengenakan penutup kepala berwarna putih. Mereka yang
duduk berhampiran kami ini sedang berbualkan tentang sesuatu perkara dengan
seorang lelaki tua yang berjubah dan berserban putih.
Rumah-rumah di kampung
ini dibina pada ketinggian 2 hingga 3 meter untuk menghindari dimasuki air
banjir dari Sungai Mekong. Di bahagian bawah rumah berhampiran gerbang kampung
pula dipamerkan kain-kain tenun, sambil wanita-wanita berhijab tempatan pula
menunjukkan teknik-teknik menenun kain Cham yang mempunyai corak-corak
tradisional yang unik.
Dari kurun ke-2 hingga
kurun ke-17 Masehi, wilayah selatan Vietnam merupakan sebahagian daripada
Kerajaan Cham (Champa) yang berketurunan Melayu-Polinesia. Kekayaan Kerajaan
ini umumnya mengalir dari perdagangan maritim dank ayu cendana. Perdagangan
sebegini mungkin merupakan faktor penting yang membawa kepada kemasukan Islam
di wilayah tersebut pada kurun ke-11 Masehi.
Raja Cham secara rasmi
memeluk agama Islam pada kurun ke-17 dan menyebarkan ajaran Islam kepada
seluruh rakyatnya di selatan. Kemudian, dinasti Viet menakluk kerajaan tersebut
pada kurun yang sama. Serangan dan kekalahan ini mungkin menjadi sebab mengapa
ajaran Islam tidak sampai ke kaum Cham yang mendiami kawasan-kawasan yang lebih
jauh ke dalam, di mana pada hari ini penduduk di sana kebanyakannya menganut
agama Hindu dan Buddha.
Setelah berlakunya serangan Viet di selatan ini, kaum
Muslim-Cham melarikan diri ke Kemboja dan berlabuh di sebuah tempat yang
dikenali sebagai ‘Kampung Cham’, atau Terengganu di Malaysia. Sebahagian
daripada mereka pula ada yang kekal menetap di petempatan berhampiran Sungai
Mekong di Vietnam.
Dari gerbang masuk yang
terletak berhampiran tebing sungai, pemandu pelancong membawa kami menaiki jeti
yang disambung dengan papan-papan kayu yang menghubungkan banyak rumah. Setiap
kali papan kayu ini dipijak, ia akan menghasilkan bunyi. Setiap kali melintasi
sebuah pintu rumah pula, kami pasti akan melihat kaum wanita atau kanak-kanak
mengintai keluar untuk menjenguk kami, orang-orang asing yang mengunjungi
kampung mereka.
Kampung-kampung di
kawasan ini terdiri dari kira-kira 300 hingga 400 orang penduduk. Kebanyakan
lelaki di kampung ini bekerja sebagai nelayan. Ada juga yang bekerja di
tempat-tempat penternakan ikan di Sungai Mekong. Kaum wanita mereka pula
kebanyakannya bekerja sesama komuniti mereka sendiri dalam menghasilkan
kain-kain tradisional Cham. Ada pula yang menjadi penjual di pasar-pasar
tempatan.
Seperti kebanyakan kaum
minoriti di Vietnam, komuniti Muslim-Cham mengalami tekanan ekonomi dan sosial.
Sekiranya mereka menyertai kerja-kerja yang terdapat dalam komuniti umum,
lazimnya mereka ditawarkan pekerjaan yang bergaji rendah. Kaum wanita pula
umumnya terpaksa membuka hijab jika mahu mengelak dari didiskriminasi atau
disisih oleh kaum majoriti. Keadaan sebegini benar-benar merupakan satu cabaran
buat mereka dalam mengekalkan kepercayaan yang dianuti.
Kemudian, kumpulan kami
memasuki jalan utama yang telah bertar. Betul-betul di sebarang jalan, berdiri
sebuah masjid yang kelihatannya baru sahaja diperbaharui. Di sebelahnya pula
terdapat sebuah madrasah, di mana kedua-dua bangunan ini berdiri dengan megah
memantulkan cahaya mentari di waktu pagi.
Komuniti Muslim-Cham
banyak bergantung kepada bantuan luar dalam usaha menyelenggara dan membaik
pulih masjid mereka. Kebanyakan sumbangan diperoleh dari Malaysia dan
Indonesia. Di sana juga ramai daripada mereka yang mendapatkan pelajaran dan
ijazah. Menyalin dan mengedarkan al-Qur’an dan buku-buku agama secara tidak
rasmi diharamkan di Vietnam, justeru dari semasa ke semasa, keadaan ini
mengakibatkan berlakunya percampuran antara ritual Buddha dan ajaran Islam.
Populasi Muslim di
Vietnam dianggarkan seramai 65 000 orang, di mana majoritinya adalah komuniti
Muslim-Cham. Kumpulan kedua terbesar adalah etnik Vietnam yang memeluk Islam.
Walaupun Islam berkembang secara bertahap tetapi pasti di negara itu,
Muslim-Cham tetap merasakan adanya kerenggangan hubungan dengan etnik Vietnam –
suatu permusuhan di antara bekas kaum pemerintah (Cham) dan kaum penakluk
(Viet) yang masih tersisa dalam darah daging mereka.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Muslim Cham – Komuniti Islam Yang Tersisih Di Vietnam’
- Get link
- X
- Other Apps