- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (30 Mei 2016). The Infamous Eagle Warriors: Elite Infantrymen of
the Aztec Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/infamous-eagle-warriors-elite-infantrymen-aztec-empire-005994
https://www.ancient-origins.net/history/infamous-eagle-warriors-elite-infantrymen-aztec-empire-005994
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pahlawan-pahlawan
helang merupakan pasukan tentera infantri elit dalam barisan pertahanan Empayar
Aztec. Komuniti ini terdiri daripada golongan kehormat dan juga orang awam yang
berupaya menunjukkan kebolehan di medan tempur. Dalam bahasa Nahuatl/Aztec,
pahlawan helang disebut sebagai cuauhtli. Bersama-sama dengan pahlawan
harimau kumbang yang disebut sebagai ocelotl, kedua-dua pasukan elit ini
secara kolektif dikenali sebagai cuauhtlocelotl (bermaksud pahlawan
helang-harimau kumbang). Pahlawan-pahlawan ini dicatatkan membentuk komuniti
pahlawan elit yang paling besar dalam barisan pertahanan Aztec.
PEMILIHAN
PAHLAWAN-PAHLAWAN MATAHARI
Dalam mitologi Aztec,
helang dianggap sebagai simbol bagi matahari. Justeru itu, pahlawan-pahlawan
helang turut dikenali sebagai pahlawan-pahlawan matahari. Anggota-anggota elit
ini berpakaian seperti helang, menghiasi diri dengan bulu-bulu helang serta
memakai kelengkapan kepala daripada kepala helang. Kelengkapan kepala ini
mempunyai paruh yang ternganga. Menerusi paruh itulah pahlawan-pahlawan helang
melihat. Imej pahlawan-pahlawan helang ini boleh dilihat menerusi beberapa buah
artifak, terutama pada patung-patung hasilan masyarakat Aztec di samping
gambar-gambar yang boleh ditemukan di dalam manuskrip-manuskrip lama Sepanyol.
Setiap lelaki Aztec
dikehendaki menjalani latihan ketenteraan asas. Progres setiap tentera pelatih
ini sentiasa diuji oleh pihak kuil tempatan. Mereka yang mempamerkan bakat luar
biasa akan disenarai-pendek untuk menjalani latihan lanjut yang boleh
menjadikan mereka sebagai pahlawan helang. Kebanyakan daripada mereka dipilih
daripada golongan kehormat. Pun begitu, orang awam yang memperagakan bakat luar
biasa juga akan turut terpilih.
![]() |
| Pintu masuk ke ruang dalam Kuil Pahlawan-Pahlawan Helang di Malinalco |
MENANGKAP MUSUH
Latihan sahaja tidak
cukup untuk melahirkan pahlawan helang. Untuk menyertai barisan pahlawan elit
itu, tentera-pelatih perlu membuktikan keupayaan mereka di medan tempur
sebenar. Bagi keadaan ini, mereka dikehendaki untuk menangkap pahlawan musuh
yang kemudiannya tawanan ini akan dikorbankan dalam upacara keagamaan.
Satu sumber menyatakan
bahawa seorang tentera Aztec perlu menangkap seramai empat orang musuh sebelum
boleh diiktiraf sebagai pahlawan helang. Sumber lain pula menyebutkan bahawa
angka tersebut mencecah 12 orang atau lebih, bersama syarat tambahan iaitu
tawanan-tawanan tersebut perlu ditangkap dalam dua buah pertempuran secara
berturut-turut. Sementara itu, ada juga sumber yang menyebutkan bahawa mereka
perlu menangkap seramai 20 orang tentera musuh untuk menjadi pahlawan helang.
Apapun, untuk
memudahkan mereka melaksanakan tugas menangkap musuh secara hidup-hidup,
tentera-tentera pelatih Aztec dibekalkan dengan senjata-senjata yang direka
khusus untuk memengsankan musuh, dan bukannya untuk membunuh. Senjata yang
lebih kurang sama turut dibekalkan kepada pahlawan-pahlawan helang.
Antara
kelengkapan perang lain yang digunakan oleh pahlawan elit ini adalah busur
panah, lembing, pisau pendek, tali pelempar, atlatis (sejenis tombak
untuk dilempar), dan juga machahuitls (senjata yang mengandungi
bilah-bilah tajam). Sebagai kelengkapan perlindungan pula, pahlawan-pahlawan
helang dibekalkan dengan sejenis pakaian pelindung berupa kapas berlapik di
samping perisai bulat berwarna terang dan dihiasi dengan bulu dan juga kulit
haiwan. Tidak lupa juga kelengkapan kepala yang diperbuat daripada kepala
helang.
KEDUDUKAN SOSIAL
Di luar medan tempur,
pahlawan-pahlawan helang menikmati kedudukan yang tinggi dalam kalangan
masyarakat Aztec. Misalnya, anggota pahlawan elit ini dibenarkan untuk
mengenakan perhiasan dan juga kostum cantik di khalayak umum. Mereka turut
dibenarkan untuk menggunakan kain kapas dan sandal ketika berada di
istana-istana raja, di samping dikurniakan hak untuk menyimpan gundik.
Selain itu, mereka
turut dianugerahkan dengan tanah. Tanah ini bebas daripada cukai dan sebarang
keuntungan yang diperoleh daripada tanah tersebut menjadi hak milik pahlawan
helang sepenuhnya. Tidak cukup sekadar itu, tanah ini juga bersifat sepanjang
hayat dan dibolehkan untuk diwariskan kepada keturunan mereka. Walaupun
dianggap sebagai pahlawan perang sepenuh masa, anggota pahlawan helang juga
dibenarkan untuk terlibat dalam politik.
![]() |
| Patung pahlawan helang yang ditemui semasa ekskavasi di Kuil Mayor, Tenochtitlan |
Akhir sekali, elok
kiranya diutarakan hakikat bahawa walaupun pahlawan-pahlawan helang dianggap
sebagai pahlawan yang berkdudukan tinggi dalam barisan pertahanan Aztec, mereka
sebenarnya bukanlah berada di puncak hierarki. Terdapat dua buah lagi badan
ketenteraan lain yang memiliki prestij yang lebih tinggi berbanding pahlawan
helang. Sudah tentu, kegagahan yang jauh lebih hebat diperlukan untuk menyertai
kedua-dua badan ketenteraan ini. Badan ketenteraan yang dimaksudkan tersebut
adalah otontine (Otomies) dan juga cuauhchicaueh.
SUMBER
- Aztecs and Tenochtitlan. 2016. Aztec Eagle Warriors.
- Legends and Chronicles. 2016. Aztec Warriors.
- Mursell, I. 2014. Which was the highest rank in the Aztec army?
- Warriors and Legends. 2016. Aztec Eagle and Jaguar Warriors.
- Ancient Military. 2010. Aztec Warriors.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Pahlawan Helang: Tentera Elit Dari Empayar Aztec’
- Get link
- X
- Other Apps


