- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Owen Jarus. (1 Ogos 2019). This Young Man and Woman Were Buried Face-to-Face
4000 Years Ago in Kazakhstan. Live Science.
https://www.livescience.com/66077-ancient-couple-burial-kazakhstan.html
https://www.livescience.com/66077-ancient-couple-burial-kazakhstan.html
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Rangka seorang lelaki
dan wanita yang meninggal dunia 4000 tahun dahulu ditemui dalam keadaan saling
berhadapan di sebuah kubur di Kazakhstan.
Ahli-ahli arkeologi
menemukan rangka ini di sebuah tapak perkuburan purba yang turut menempatkan
sejumlah rangka manusia dan kuda. Lelaki dan wanita ini dikebumikan bersama
pelbagai barang pengebumian, termasuklah barang kemas (antaranya adalah emas),
pisau, seramik dan manik. Rangka-rangka kuda turut ditemukan berhampiran dengan
tapak pengebumian berkenaan.
Walaupun terdapat
beberapa laporan media yang mendakwa bahawa pasukan arkeologis tersebut turut
menemukan seorang paderi wanita di kawasan berhampiran, hakikatnya mereka sama
sekali tidak pernah menyebut tentang perkara tersebut semasa membuat kenyataan
media. Tambahan lagi, walaupun jurucakap pasukan arkeologi menyifatkan pasangan
ini sebagai ‘muda’, beliau tidak memberikan sebarang anggaran usia.
Para penyelidik masih
belum dapat memastikan apakah punca yang membunuh lelaki dan wanita itu, atau
apakah hubungan di antara mereka berdua – apakah terdapat unsur-unsur romantis
dalam hal ini?
Barang-barang
pengebumian mewah yang ditemukan menggambarkan bahawa mereka berdua mempunyai
latar belakang keluarga yang kaya. Tinggalan-tinggalan arkeologi yang ditemui
di tapak-tapak lain di Kazakhstan mengisyaratkan bahawa pasangan tersebut hidup
di zaman berlakunya peperangan dan konflik dengan kerap di rantau berkenaan.
Kerja-kerja ekskavasi
dan analisis terhadap rangka masih lagi dijalankan. Pasukan arkeologis ini
diketuai oleh Igor Kukushkin, seorang profesor arkeologi di Institusi Arkeologi
Saryarka di Universiti Negeri Karaganda, Kazakshtan. Live Science tidak
berkesempatan untuk menghubungi Dr. Kukushkin sebelum menyiarkan liputan ini.
Pada hakikatnya
terdapat banyak tinggalan arkeologi yang ditemukan di bumi Kazakshtan. Pada
tahun 2016, pasukan arkeologi yang diketuai oleh Dr. Kukushkin berjaya
menemukan runtuhan sebuah makam berbentuk piramid yang berusia 3000 tahun. Pada
tahun 2014 pula, sekumpulan arkeologis lain berhasil mengenal pasti 50 buah
geoglif dengan pelbagai bentuk dan saiz, antaranya termasuklah sebuah swastika
besar yang dianggarkan berusia 2800 tahun.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘4000 Tahun Dahulu, Mereka Dikebumikan Menghadap Satu Sama Lain’
- Get link
- X
- Other Apps
