- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (21 Julai 2016). The Babylonian Marriage Market: An Auction of
Women in the Ancient World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/babylonian-marriage-market-auction-women-ancient-world-006315
https://www.ancient-origins.net/history/babylonian-marriage-market-auction-women-ancient-world-006315
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada kurun ke-5SM,
sejarahwan Yunani yang bernama Herodoutus menulis tentang budaya-budaya dan
tradisi-tradisi yang beliau saksikan ketiba berada di Babylon. Salah satu
tradisi yang paling kontroversi dalam laporan beliau adalah pasar perkahwinan
Babylon, di mana ianya melibatkan gadis-gadis jelita dikumpulkan di sebuah
tempat lapang. Lalu, seorang ‘jurulelong’ meminta setiap wanita untuk berdiri,
seorang demi seorang. Kemudian, si jurulelong tersebut mengiklankan mereka
untuk dijual.
Tulisan Herodotus ini
memberikan inspirasi kepada seorang pelukis British kurun ke-19, Edwin Long
untuk menghasilkan karya seninya yang masyhur, berjudul ‘Pasar Perkahwinan
Babylon’. Lukisan tersebut mengambil masa selama 2 tahun untuk disiapkan. Ia
dirasmikan dalam pameran musim panas yang dilangsungkan di Akademi Diraja pada
tahun 1875. Pada tahun berikutnya, lukisan itu dijual pada harga 6000 guineas, yang mana pada masa itu, ia
merupakan amaun terbesar yang pernah dibayar untuk sekeping hasil karya ciptaan
seniman yang masih hidup.
![]() |
| Antara lukisan lain Long (kiri) Queen Esther (1878) dan (kanan) The Finding of Moses (1886) |
Lukisan Pasar Perkahwinan Babylon memberikan
gambaran tentang gadis-gadis yang dilelong sebagai pengantin perempuan (bukan
dijual sebagai hamba). Long mendapatkan inspirasi bagi menghasilkan lukisan
tersebut daripada Histories karya
Herodotus, atau lebih spesifik, ‘Book 1’
bagi karya berkenaan. Pada penghujung ‘Book
1’, Herodotus menulis:
“Kini, saya berikan
tumpuan pada budaya-budaya mereka yang menurut hemat saya, ia turut diamalkan
oleh kaum Illyria. Sekali setahun, di setiap kampung, budaya inilah yang mereka
lazim amalkan. Kebiasaannya, mereka akan mengambil kesemua gadis yang telah
cukup umur untuk berkahwin lalu membawa mereka semua ke sebuah tempat. Kaum
lelaki kemudiannya akan mengerumuni dan mengelilingi mereka.
Kemudian, seorang
jurulelong akan meminta setiap wanita untuk berdiri, seorang demi seorang,
sebelum beliau mengiklankannya untuk dijual. Jurulelong tersebut kebiasaannya
akan memulakan dengan gadis yang paling menawan. Apabila gadis tersebut Berjaya
mendapatkan tawaran harga yang sesuai dan dibeli oleh seorang lelaki, beliau
akan mengiklankan pula gadis kedua yang paling menawan.
Mereka-mereka ini
dijual untuk dijadikan sebagai isteri, bukannya hamba. Lelaki-lelaki kaya di
Babylon yang menginginkan isteri akan hadir dan bersaing dengan pembida-pembida
lain untuk mendapatkan gadis yang rupawan. Sementara itu, lelaki marhaen yang
mahukan isteri dan tidak berminat pada rupa paras pula lazimnya akan
memperolehi gadis yang kurang menawan dan sedikit wang yang masih tersisa.”
![]() |
| Cebisan daripada ‘Histories’ tulisan Herodotus |
Sambil itu, Franklin
Edson Belden di dalam Historic Men and
Scenes (1898) menulis:
“Masyarakat Babylon
bersifat rakus pada tahap yang melangkaui akal. Apa sahaja perkara yang boleh
menghasilkan wang akan dijual. Bahkan, nilai-nilai peribadi juga dicampak
ketepi untuk meraih kepuasan. Setiap wanita dalam kalangan mereka pasti pernah
sekali seumur hidup muncul di khalayak ramai di hadapan kuil Beltis, di mana
pada perhimpunan tersebut, orang-orang asing digamit perhatian untuk
mengunjungi kota Babylon.
Sering juga gadis-gadis
dihimpunkan dan dilelong, sehingga menarik perhatian putera-putera kaya dari
wilayah-wilayah jiran. Ayah-ayah dan abang-abang, membawa anak atau saudara
perempuan masing-masing dan bersiap-sedia untuk menukarkan mereka dengan wang.
Segala sesuatu yang
menyumbang kepada kepuasan dalam hal perhiasan, selera makan dan syahwat
dipenuhi dan digauli sebanyak mungkin. Malah, dewan-dewan istana dijadikan
sebagai harem, tempat melampiaskan berahi.”
Selain daripada tulisan
Herodotus, Long juga mendapatkan sumber inspirasi dan ilham daripada
artifak-artifak purba. Pada masa-masa itu, sejumlah ekspedisi arkeologi
dijalankan di Mesopotamia. Artifak-artifak yang ditemukan di rantau berkenaan
dibawa pulang ke London. Memandangkan beliau berhasil meraih akses untuk
melihat artifak-artifak Assyria di Muzium British, Long berupaya mendapatkan
perincian-perincian yang mendalam bagi menghasilkan lukisannya itu. Hal ini
membolehkan Long memberikan gambaran yang sehampir mungkin tepat berkenaan
situasi Babylon yang sebenar.
Lukisan ini boleh
dilihat menerusi beberapa kacamata. Antaranya, terdapat sebilangan yang
memandang lukisan tersebut sebagai cerminan kepada pasar perkahwinan versi
Victorian. Disebutkan bahawa tahun berlangsungnya pameran yang merasmikan
lukisan ini merupakan masa-masa di mana ‘pasar perkahwinan’ British bergiat
agak aktif. Pada waktu itu, kebanyakan masyarakat menghadiri
perkumpulan-perkumpulan di mana lelaki dan wanita dipasang-pasangkan.
Lukisan tersebut kini
disimpan di Royal Holloway College.
Hasil seni itu turut dilihat pada kacamata tersendiri oleh sebuah institusi
pendidikan yang bermula sebagai sebuah kolej wanita. Menurut perspektif
institusi berkenaan, lukisan tersebut berperanan sebagai pemangkin kepada
perdebatan tentang peranan baharu wanita dalam kalangan masyarakat, kedudukan
undang-undang mereka dan juga perundangan perkahwinan yang melibatkan mereka.
![]() |
| Thomas Holloway, dermawan kurun ke-19 |
SUMBER
- Herodotus. The Histories. [Waterfield, R. (trans.). 1998. Herodotus’ The Histories. Oxford: Oxford University Press.]
- Seymour, M. 2014. Babylon: Legend, History and the Ancient City. London: I.B. Taurus & Co Ltd.
- Gilmartin, S. 2008. For Sale in London, Paris and Babylon: Edwin Long’s The Babylonian Marriage Market.
- Mywebtiscali. 2016. Edwin Long RA (1829-1891)
- Royal Holloway. University of London. 2016. Babylonian Marriage Market.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Pasar Perkahwinan Babylon – Penjualan Wanita Di Zaman Purba’
- Get link
- X
- Other Apps



