- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (15 Ogos 2019). The White Lotus Secret Society and the Demise of
Mongol Rule in China. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/white-lotus-society-and-demise-mongol-rule-china-008182
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/white-lotus-society-and-demise-mongol-rule-china-008182
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Persatuan Teratai Putih
(diromanisasikan sebagai ‘Bai Lian Jiao’)
merupakan sebuah gerakan yang wujud dalam pemerintahan diraja Cina. Sebagai
sebuah pergerakan keagamaan, ajaran-ajaran yang disebarkan oleh Persatuan
Teratai Putih secara umumnya bersandarkan dari tradisi Buddhisme walaupun
terdapat juga beberapa elemen Taoisme dan amalan-amalan asli Cina yang
diterapkan ke dalamnya. Selain itu, Persatuan Teratai Putih turut dikembangkan
menjadi sebuah gerakan politik dan mengambil bahagian dalam beberapa buah
pemberontakan penting dalam sejarah Cina.
PERMULAAN
Persatuan Teratai Putih
mempunyai akar-akar keagamaan yang tumbuh daripada Sekolah Tanah Suci
Buddhisme. Cabang daripada Buddhisme-Mahayana ini diasaskan oleh Huiyuan pada
kurun ke-4 Masehi di Gunung Lu, Wilayah Jiangxi. Ajaran-ajaran Huiyuan ini mula
disebarkan di Kuil Dongjon yang dibangunkan sendiri oleh beliau. Menjelang masa
pemerintahan Dinasti Song Utara (antara kurun ke-10 hingga kurun ke-12),
ajaran-ajaran tersebut sudah pun tersebar sehingga ke selatan Cina.
Kolam Teratai di Kuil Donglin |
Walau bagaimanapun, Persatuan Teratai Putih
hanya ditubuhkan pada pertengahan kurun ke-12 oleh seorang sami Buddhisme yang
bernama Cizhao. Sebahagian dari amalan persatuan ini adalah pemujaan Amitabha
Buddha, penerapan lima disiplin utama Buddhisme, dan penyebaran ajaran-ajaran
Buddhisme menerusi lukisan atau gambaran.
Ajaran-ajaran yang
disampaikan oleh persatuan ini sangat ringkas dan mudah untuk difahami. Malah,
penggunaan imej dan lukisan menjadikan ajaran Buddhisme sesuai untuk penerimaan
semua lapisan masyarakat. Sebagai kesan susulan, ramai orang menjadi pengikut
Persatuan Teratai Putih.
PERUBAHAN-PERUBAHAN
DALAM PERSATUAN TERATAI PUTIH
Mungkin disebabkan oleh
kepopulariti yang diraih oleh gerakan keagamaan ini, maka pihak autoriti
Cina mula memasang syak-wasangka ke atas Persatuan Teratai Putih. Lantaran itu,
mereka tidak memperakui gerakan tersebut secara rasmi. Walau bagaimanapun,
situasi mula berubah sejak penubuhan Dinasti Yuan pada lewat kurun ke-13
Masehi.
Para pemerintah Monggol
di Cina memperakui kedudukan Persatuan Teratai Putih. Bahkan dalam beberapa
keadaan, mereka turut memberikan dana kepada mereka. Hal ini membuatkan
ajaran-ajaran tersebut semakin tersebar luas dan membolehkan Persatuan Teratai
Putih meraih capaian yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat, sekaligus
menjadikannya sebagai sebuah cabang Buddhisme yang amat penting.
Gambaran Shizu, atau lebih dikenali sebagai Kublai Khan sebagaimana penampilannya pada 1260an |
Pun begitu, seiring
peredaran masa, ajaran-ajaran Persatuan Teratai Putih mula mengalami perubahan
terutama apabila orang-orang awam mula membangunkan kefahaman tersendiri
berkenaan aliran agama berkenaan. Salah satu perubahan paling penting adalah
kepercayaan bahawa Buddha akan turun dari Kayangan untuk membawa keselamatan
kepada manusia.
Dalam erti kata lain,
Persatuan Teratai Putih mula menerapkan pengaruh yang menjurus kepada ajaran
agama Kristian, atau apa yang disebut sebagai millenarian. Aspek millenarian
pada gerakan ini semakin menjadi-jadi apabila pihak kerajaan melemah dan
semakin korup, yang mana perkara-perkara sebegitu menimpakan penderitaan yang
beramatan kepada orang awam.
PASUKAN
TENTERA KEAGAMAAN DALAM PEMBERONTAKAN SERBAN MERAH
Para pengikut Persatuan
Teratai Putih yang berpegang kepada aspek millenarian
pada ajaran tersebut berhasrat untuk mempercepatkan kehadiran Amitabha
Buddha / Maitreya Buddha dengan cara menumbangkan Dinasti Yuan. Lantaran itu,
mereka pun mula melancarkan pemberontakan menentang kerajaan. Susulan daripada
tindakan tersebut, Persatuan Teratai Putih pun diharamkan oleh Dinasti Yuan
pada tahun 1308 dan pengharaman tersebut hanya ditarik semula beberapa tahun
kemudian.
Lukisan berjudul ‘Persatuan Teratai Putih’ oleh artis yang tidak dikenali |
Pun begitu, gerakan ini
sekali lagi diharamkan pada tahun 1322 berikutan meningkatnya jumlah
pemberontakan yang melibatkan, atau malah diketuai oleh para pengikut Persatuan
Teratai Putih.
Kemudian, Dinasti Yuan
ditumbangkan sebagai susulan dari Pemberontakan Serban Merah yang
berpanjangan dari tahun 1351 hingga 1368 Masehi. Ajaran-ajaran Persatuan
Teratai Putih dijadikan sebagai asas-asas keagamaan dalam menyokong
pemberontakan tersebut. Malah, kebanyakan pemimpin yang mengetuai
pasukan-pasukan pemberontak berkenaan adalah pengikut Persatuan Teratai Putih.
Salah seorang daripada
mereka adalah Han Shantong, yang diambil-alih peranannya oleh anaknya sesudah
kematian beliau. Kemudian, kedudukan anaknya itu digantikan pula oleh seorang
panglima yang pada asalnya merupakan seorang petani, iaitu Zhu Yuanzhang.
Beliau menjadi individu yang bertanggungjawab menewaskan Monggol dan menubuhkan
Dinasti Ming.
Lukisan diraja rasmi bagi maharaja Hongwu (Zhu Yuanzhang), memerintah 1368-1398M, Dinasti Ming |
PEMBERONTAKAN
TERATAI PUTIH
Terdapat sebuah lagi
pemberontakan penting yang dilancarkan oleh ahli-ahli Persatuan Teratai Putih,
iaitu Pemberontakan Teratai Putih. Pemberontakan ini berlangsung pada zaman
pemerintahan Dinasti Qing dan berpanjangan dari tahun 1796 hingga 1804 Masehi.
Namun, pemberontakan ini tidak meraih kejayaan sepertimana Pemberontakan Serban
Merah lantaran kerajaan Qing berupaya menundukkannya.
Walau bagaimanapun, ia
tetap berhasil mendedahkan kelemahan pentadbiran Qing, melemahkan kuasa dinasti
dan menghabiskan perbendaharaannya. Impak-impak ini dapat dilihat menerusi Kod
Sah Qing Agung yang mengandungi seksyen beerikut, di mana perundangan ini
digunapakai sehingga tahun 1912:
“[Semua]
persatuan yang menggelarkan pertubuhan mereka sebagai Teratai Putih,
komuniti-komuniti (yang percaya terhadap) Buddha Maitreya, atau agama Ming
ts’un (Manichaean), atau sekolah (aliran) Awan Putih, dsb, berserta mereka yang
menjalankan amalan-amalan menyeleweng, atau mereka yang berada di tempat-tempat
rahsia dan yang menyebarkan risalah dan lukisan, mereka yang menghimpnkan orang
ramai dengan membakar setanggi, mereka yang membuat pertemuan pada waktu malam
dan bersurai pada waktu siang, mereka yang mengacau dan memperdaya orang ramai
sehingga menganggap kononnya mereka pejuang keadilan, mereka semua ini perlu
dihukum.”
Salah seorang figura
yang paling menarik dan paling berkuasa semasa berlangsungnya Pemberontakan
Teratai Putih adalah Wang Cong’er, seorang pemimpin wanita dari salah sebuah
cabang Persatuan Teratai Putih di zamannya. Beliau mengamalkan taktik perang
gerila ketika memerangi kerajaan Qing dan berhasil meraih sejumlah kemenangan
dengan strategi tersebut.
Walaupun dianggap
sebagai pemberontak oleh kerajaan Qing di zamannya, Wang Cong’er dikenang
sebagai seorang perwira oleh beberapa sumber di zaman moden. Sebahagian
daripadanya malah membandingkan beliau dengan pahlawan wanita legenda Cina, Hua
Mulan.
Mulan sebagaimana digambarkan dalam album ‘Gathering Gems of Beauty’ |
SUMBER
- GlobalSecurity. 2011. Bai Lien / White Lotus Society.
- GlobalSecurity. 2011. White Lotus Rebellion 1796 – 1804.
- Szczepanski, K. 2017. The Red Turban Rebellion in China. 1351-1368.
- The Editors of Encyclopedia Britannica. 2017. White Lotus Rebellion.
- Theobald, U. 2012. Bailian jiao, the White Lotus Sect.
- Watkins, T. 2017. The White Lotus Religion.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Persatuan Teratai Putih Di China Dengan Kejatuhan Monggol’
- Get link
- X
- Other Apps