- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (2 Mac 2019). Sargon of Akkad: Famliar and Legendary Tales of a
Famous Mesopotamian King. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/sargon-akkad-0010542
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/sargon-akkad-0010542
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tepat pada tahun 2334
Sebelum Masehi, Raja Sargon mengasaskan salah sebuah empayar paling hebat dalam
sejarah dunia. Datang dari latar-belakang yang biasa-biasa sahaja, beliau
membawa Zaman Keemasan buat Mesopotamia. Hikayat dan legenda menukilkan kisah
bagaimana pemimpin yang gagah perkasa ini menakluk wilayah-wilayah di selatan
Mesopotamia, Syria, Anatolia dan Elam (Iran barat). Kemudian, beliau melakukan
usaha-usaha yang pelbagai supaya empayarnya itu dapat mentadbir dengan lancar.
![]() |
Patung kepala gangsa seorang raja dari dinasti Akkadia Lama, sama ada Naram-sin atau Sargon. Ditemukan di Nineveh (kini Iraq) |
PENGEMBARAAN
BAYI DI DALAM BAKUL YANG MEREDAHI SUNGAI – SIAPAKAH SARGON?
Nama Sargon dikatakan
merupakan terjemahan Bible bagi nama yang berasal dari bahasa Akkadia, iaitu
‘Sarru-kinu’. Nama ini boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai
‘Raja Sebenar’. Dicatatkan bahawa masa pemerintahan Sargon bermula dari tahun
2334 hingga 2279 Sebelum Masehi.
Tidak banyak maklumat
yang dipunyai tentang kehidupan sebenar Sargon. Kebanyakan kisah berkenaan
beliau hadir dalam berupa cebisan-cebisan legenda yang dicantumkan. Misalnya,
legenda beliau ketika masih bayi amat mirip dengan kisah Nabi Musa terutama
apabila beliau dimasukkan ke dalam bakul lalu dihanyutkan ke sungai. Jika Nabi
Musa dihanyutkan di Sungai Nil, Sargon pula dihanyutkan di Sungai Furat.
Identiti bapa kandung
Sargon masih kekal misteri dalam kalangan sejarahwan. Ibunya pula dipercayai
seorang paderi kuil atu mungkin pengkhidmat suci Dewi Ishtar. Apapun, insan
yang bakal menjadi pengasas Empayar Akkadia ini ditemui oleh seorang petani
yang berkhidmat untuk Ur-Zababa, raja wilayah Kish.
![]() |
“Legenda Sargon (Dewi Ishtar muncul di hadapan Sargon, si pemuda pekebun)”, oleh Edwin J. Prittie |
Berikut adalah apa yang
dituliskan oleh Sargon dalam autobiografinya:
“Sargon
si raja perkasa, raja Agade, itulah aku.
Ibuku adalah manusia yang ditukar, sementara bapaku tidak pula aku ketahui.
Saudara kepada ayahku amat mengasihi bukit-bukau.
Sementara kotaku adalah Azupiranu yang terletak di tebing Furat.
Ibuku adalah manusia yang ditukar, sementara bapaku tidak pula aku ketahui.
Saudara kepada ayahku amat mengasihi bukit-bukau.
Sementara kotaku adalah Azupiranu yang terletak di tebing Furat.
Ibuku
mengandungkanku dan melahirkanku secara rahsia.
Dia meletakkan daku ke dalam sebuah raga secara tergesa-gesa, dan menutup mulut raga itu dengan minyak tar.
Lalu, aku dihanyutkan ke sungai yang airnya sama sekali tidak menyimbahi tubuhku.
Furat membawaku kepada Akki, seorang penarik air.
Dia meletakkan daku ke dalam sebuah raga secara tergesa-gesa, dan menutup mulut raga itu dengan minyak tar.
Lalu, aku dihanyutkan ke sungai yang airnya sama sekali tidak menyimbahi tubuhku.
Furat membawaku kepada Akki, seorang penarik air.
Akki
si penarik air mengangkatku keluar semasa dia sedang mendapatkan bekalan air.
Akki si penarik air menjadikan aku sebagai anak angkatnya dan mengasuhku.
Akki si penarik air kemudian menjadikan aku sebagai pengusaha tanamannya.
Ketika aku masih merupakan seorang petani, Ishtar mengurniakanku dengan kasihnya…”
Akki si penarik air menjadikan aku sebagai anak angkatnya dan mengasuhku.
Akki si penarik air kemudian menjadikan aku sebagai pengusaha tanamannya.
Ketika aku masih merupakan seorang petani, Ishtar mengurniakanku dengan kasihnya…”
Sargon kemudiannya
berkhidmat sebagai pembawa cawan untuk Ur-Zababa. Atas sebab-sebab yang tidak
diketahui, Ur-Zababa berasa terancam dengan Sargon dan berusaha untuk
menghapuskannya. Beliau menemukan jalan terbaik untuk melaksanakan niat jahat
itu apabila Lugal-zage-si, raja Sumeria dari Umma, datang bersama bala
tenteranya untuk menakluk wilayah Kish.
Ur-Zababa mengutus
Sargon untuk menyampaikan tablet tanah liat kepada Lugal-zage-si, kononnya
tablet itu membawa pesanan yang memohon perdamaian. Namun tanpa beliau ketahui,
tablet tersebut sebenarnya mengandungi pesanan yang meminta Lugal-zage-si agar
membunuh Sargon. Walau bagaimanapun, helah tersebut gagal. Lugal-zage-si
sebaliknya meminta Sargon agar menyertai beliau dalam kempen ketenteraannya
memerangi Kish.
![]() |
Sargon menghantar tablet tanah liat kepada raja Uruk |
Lantas, mereka pun
berganding bahu dalam menakluk Kish dan menggulingkan Ur-Zababa. Pun begitu,
tidak lama kemudian, kedua insan itu bertelagah dan menjadi seteru antara satu
sama lain. Sebaagian versi penceritaan menyebutkan bahawa Sargon menjalinkan
hubungan sulit dengan isteri Lugal-zage-si. Dalam perseteruan itu, Sargon
berjaya menakluk Uruk dari tangan Lugal-zage-si dan raja itu ditewaskan dalam
pertempuran yang berlaku di Kish.
Untuk menambahkan lagi
kehinaan yang dialami oleh Lugal-zage-si, Sargon mengikat leher musuhnya itu
lalu mengusungnya ke Nippur. Di sana, beliau memaksa Lugal-zage-si agar
melakukan perbuatan yang menghina dirinya sendiri di samping memalukan dewa
pelindung Uruk, iaitu Enlil dengan sengaja mara memasuki kota itu melalui
gerbang Enlil. Dewa pelindung Sargon adalah Ishtar. Justeru, tindakan beliau
ini juga membawa maksud pengisytiharan kuasa dewinya itu.
![]() |
Sargon menakluk Uruk dan Kish menerusi cara yang belum lagi dapat dikenal pasti |
EMPAYAR
YANG DITADBIR SECARA EFISIEN DAN BERKEMBANG DENGAN PESAT
Sebahagian besar
wilayah Sumer (selatan Mesopotamia) berada di bawah kekuasaan negara-kota Uruk.
Justeru, kekalahan Lugal-zage-si ini bermaksud bahawa Sargon kini menjadi
pemerintah baharu bagi wilayah berkenaan. Dari wilayah tersebut, beliau dengan
mudah boleh melancarkan kempen ketenteraan dan memperluaskan sempadan
empayarnya. Namun, peperangan bukanlah satu-satunya perkara yang memenuhi ruang
minda Sargon. Beliau turut menumpahkan perhatian untuk mentadbir dan
menyelenggara wilayah kekuasaannya.
Untuk tujuan itu,
antara perkara yang beliau lakukan adalah menubuhkan birokrasi yang efisien, di
mana sejumlah pegawai kepercayaannya diletakkan di setiap kota Sumeria untuk
memerintah di bawah namanya.
Dalam pada itu, Sargon
tetap jua meneruskan usaha untuk memperluaskan empayarnya. Di sebelah timur,
Sargon memerangi dan menewaskan Elamites yang menghuni bahagian barat dan barat
daya Iran. Di sebelah barat pula, Sargon menakluk sebahagian Syria dan
Anatolia.
![]() |
Sargon Yang Agung |
Menerusi teks yang
dikenali sebagai Epik Raja Peperangan, kita berupaya memperoleh maklumat
berkenaan kempen ketenteraan Sargon di Anatolia yang dilancarkan atas
permintaan para pedagangnya yang bergiat di sana, di mana mereka ini meminta
agar Sargon melindungi mereka dari raja wilayah Purshahanda (lokasinya belum
dikenal pasti). Teks itu juga turut menyebutkan bahawa Sargon sempat merentasi
Laut Mediterranean dan tiba di Cyprus.
Catatan tentang kempen
ketenteraannya ini ditulis sendiri oleh Sargon:
“Pada
usiaku yang ke-55, kesemua wilayah bangun menentangku dan mereka mengepungku di
Agade. Namun, singa tua ini masih mempunyai taring dan cakar. Aku berangkat
untuk memerangi dan menewaskan mereka. Aku tumbangkan mereka dan hancurkan
ketumbukan mereka. Kini, mana-mana raja yang mahu menggelar dirinya setara
denganku, biarkan sahaja dia pergi!”
LEGASI
YANG MEMASYHURKAN SARGON
Salah satu kesan
susulan daripada penaklukan-penaklukan yang dilakukan oleh Sargon adalah
terbangunnya aktiviti perdagangan dengan lebih rancak. Sargon menguasai
hutan-hutan cedar di Lebanon dan lombong-lombong perak di Anatolia, di mana
wilayah-wilayah ini membekalkan bahan-bahan mentah yang bernilai tinggi
kepadanya. Barangan ini kemudiannya didagangkan ke Tamadun Lembah Indus serta
tamadun-tamadun yang terdapat di Oman dan Teluk (Teluk Parsi).
Namun, itu bukanlah
satu-satunya legasi yang ditinggalkan oleh Sargon. Raja agung ini juga dikenang
sebagai seorang pemerintah yang mewujudkan sebuah masyarakat yang di dalamnya,
golongan lemah dilindungi. Legenda menceritakan bahawa di zaman
pemerintahannya, tidak seorang pun rakyatnya mengemis. Balu-balu dan anak-anak
yatim kesemuanya terbela nasib mereka.
Walau bagaimanapun,
pemberontakan merupakan perkara yang lazim berlaku semasa pemerintahan Sargon.
Pun begitu, sepertimana beliau sendiri tulis, musuh-musuhnya itu hanya
ditakdirkan untuk berhadapan dengan ‘singa yang bertaring dan bercakar gagah’.
Sargon Yang Agung memiliki latar belakang yang biasa-biasa sahaja. Beliau
menaiki puncak kuasa bukanlah semata-mata untuk menyelamatkan rakyatnya. Namun,
empayarnya tetap jua dianggap sebagai Zaman Keemasan.
Sargon dicatatkan
mangkat atas faktor sakit tua dan kedudukannya diwarisi oleh putera beliau yang
bernama Rimush. Empayar yang beliau tubuhkan ini berkuasa selama seabad
setengah. Kekuasaan Akkadia berakhir apabila ia digantikan oleh Dinasti Gutian
dari Sumer pada kurun ke-22SM.
![]() |
Gambaran moden Sargon berbicara dengan salah seorang rakyatnya |
SUMBER
- Dalley, S. M. 2017. Sargon.
- Gill, N. 2017. Sargon.
- HistoryOnTheNet. 2016. Sargon the Great, the Akkadian Emperor.
- New World Encyclopedia. 2015. Sargon I.
- TheAncientEarNeast. 2015. Sargon the Great.
- TheFamousPeople. 2018. Sargon of Akkad.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Raja Sargon: Raja Purba Agung Mesopotamia’
- Get link
- X
- Other Apps