- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Maurane Dierckx. (Disember 2018). Shajarat al-Durr: The Powerful Sultans Widow
who Stopped the Crusade Attacks. Mvslim.
https://mvslim.com/shajarat-al-durr-powerful-sultans-widow-2/
https://mvslim.com/shajarat-al-durr-powerful-sultans-widow-2/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Shajar al-Durr, wanita
yang muncul dari bayang-bayang sejarah untuk kemudiannya memerintah sebagai
seorang Sultanah dan sempat pula menghentikan Perang Salib Ketujuh, sememangnya
merupakan seorang wanita yang amat mengagumkan.
Beliau bermula sebagai
seorang hamba yang dibeli untuk dihadiahkan kepada Sultan Mesir. Kemudian,
setahun pertama hidupnya di istana dilimpahi rahmat apabila mereka berdua
berkahwin dan dikurniakan zuriat. Pun begitu, perjalanan hidupnya tidak
berterusan bahagia sebegitu.
Keadaan berubah sedih
apabila Sultan mangkat. Menambah duka yang dialami, pada masa-masa itu jugalah
Louis IX dari Perancis memulakan serangan ke atas Mesir yang mana serangan ini
merupakan sebahagian daripada kempen Perang Salib Ketujuh.
Sebagai seorang wanita
yang tabah dan berbakat dalam kepemimpinan, Shajar tidak berlama-lama berduka
dengan kemangkatan suaminya sebaliknya terus mengambil-alih tampuk pemerintahan
negara dan melakukan persiapan untuk menghadapi peperangan dengan bantuan ketua
panglima.
Mereka berjaya
menewaskan ketumbukan Perancis dan menawan Louis IX. Hal ini merupakan tamparan
yang hebat buat Perancis memandangkan mereka terkenal dengan kegagahan dan
kekuatan dari segi ketenteraan. Tentera-tentera Perancis melihat kekalahan ini
sebagai petanda bahawa Tuhan tidak memihak mereka (sebahagian tentera Salib
malah memeluk Islam sesudah kekalahan ini).
Sebaik sahaja khabar
kekalahan ini sampai ke Perancis, seramai 10 000 orang petani berangkat menuju
ke Mesir demi menyelamatkan raja mereka. Walau bagaimanapun, organisasi mereka
bersifat caca-merba sehingga mendorong mereka memeterai perjanjian untuk
mengembalikan raja mereka itu dengan bayaran sebanyak 400 000 livres tournois (sekitar 30% dari
keseluruhan penghasilan tahunan Perancis).
Kali ini, Shajar,
seorang wanita yang memerintah negara Muslim dan mengetuai perundingan,
benar-benar berhasil memalukan Perancis. Beliau,
Walau bagaimanapun,
episod hidupnya tidak berhenti di situ. Terdapat satu lagi cabaran yang perlu
ditempuh oleh Shajar iaitu anak tirinya, Turanshah/Turan yang merupakan pewaris
takhta. Sejurus sahaja selesai peristiwa yang melibatkan urusan dengan pihak
Perancis itu tadi, Turanshah tiba-tiba sahaja muncul di tampuk kekuasaan.
Beliau mungkin adalah calon pemerintah yang paling buruk sifatnya. Mana
tidaknya, beliau meminum arak secara terbuka dan menentang sesiapa sahaja yang tidak
mematuhinya. Di samping itu, beliau juga membawa masuk sejumlah hamba bagi
menggantikan orang-orang yang telah berjasa menaikkan beliau. Salah seorang
mangsa yang disasarkan oleh Turanshah tidak lain tidak bukan adalah Shajar, dan
sudah tentulah itu merupakan tindakannya yang paling dangkal.
Dengan pasukan tentera
memihaknya, Shajar membunuh Turanshah dan beliau secara rasmi ditabalkan
sebagai Sultanah. Pada zaman pemerintahannya, Shajar malah mencetak syiling
tersendiri.
Namun malangnya,
terdapat pihak luar yang tidak menerima wanita sebagai pemegang takhta. Baghdad
tidak memberikan perakuan terhadap kedudukan Shajar dan beranggapan bahawa
wanita tidak seharusnya memegang jawatan sebagai seorang pemerintah. Khalifah
di Baghdad malah menghantar surat terbuka kepada penduduk Mesir yang berbunyi,
“Memandangkan tidak ada lelaki dalam kalangan kalian yang layak menjadi Sultan,
maka aku akan hantarkan seorang yang layak kepada kalian.”
Untuk menenangkan
keadaan, Shajar menikahi seorang pegawai yang pernah berkhidmat untuk suaminya,
iaitu Aybek/Aibak. Aibak ditabalkan sebagai Sultan, namun Shajar masih terus
mengendalikan kebanyakan urusan negara. Beliau juga memakai gelaran Sultanah.
Beberapa tahun
kemudian, Aybek menikahi isteri ketiganya dengan tujuan untuk menguatkan lagi
pengaruh dan kuasanya. Apa yang berlaku sesudah peristiwa ini berbeza antara
satu kisah dengan satu kisah. Namun, Shajar tidak bersenang hati dengan
perkahwinan sebegini lalu bertindak membunuh Aybek ketika beliau berada di
kamar mandi.
Tidak lama kemudian,
beliau pula mangkat dan sekali lagi, tidak ada kepastian tentang bagaimana dan
di mana Shajar menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dinasti Mamluk yang
beliau mulakan batu asasnya berkuasa selama 300 tahun sebelum Uthmaniyah muncul
dan mengambil-alih hegemoni.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Shajar al-Durr: Sultanah Penyelamat Islam Dari Tentera Salib’
- Get link
- X
- Other Apps
