- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (7 September 2018). Shaka Zulu: The Story of a Ruthless Ruler.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/shaka-zulu-story-ruthless-ruler-004191
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/shaka-zulu-story-ruthless-ruler-004191
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pemerintah Zulu yang
bernama Shaka hidup sezaman dengan maharaja Perancis yang masyhur, iaitu
Napoleon. Beliau bahkan digelar sebagai ‘Napoleon Afrika’ oleh sesetengah
sejarahwan. Walau bagaimanapun, selain daripada reputasi mereka berdua sebagai
ketua tentera yang hebat, sejarah memperingati keduanya dengan sangat berbeza.
Walaupun diselubungi
peperangan demi peperangan di seluruh Eropah, Napoleon dianggap sebagai seorang
pemerintah kuku besi yang dipandang dengan penuh hormat. Manakala Shaka pula
diingati dengan sentimen yang lebih negatif, iaitu sebagai seorang pemerintah
kejam yang dahagakan darah.
PERMULAAN
HIDUP SHAKA
Bagi yang ingin
mengetahui tentang keganasan Shaka, mungkin anda boleh mulakan dengan zaman
kanak-kanaknya. Menurut kepercayaan popular, Shaka merupakan anak tidak sah
taraf hasil perhubungan antara Senzangakhona kaJama, seorang pengemuka Zulu dan
juga Nandi. Dikatakan bahawa Shaka dikandungkan ketika keduanya melakukan uku-hlobanga,
satu bentuk perhubungan intim tanpa melakukan penetrasi yang dibenarkan oleh kaum
tersebut kepada pasangan yang belum berkahwin
Amalan ini bertujuan
untuk melepaskan tekanan seksual dalam kalangan orang-orang muda di samping
menghindari kaum wanita daripada mengandung. Namun bagi kes yang melibatkan
Senzangakhona dan juga Nandi, peraturan tersebut dilanggar. Sebaik sahaja
status kehamilan Nandi diketahui umum, satu dakwaan rasmi dihantar kepada
Senzangakhona.
Namun, beliau tidak
mengendahkan berita tersebut dan memberikan alasan bahawa kitaran haid Nandi
yang tidak tetap menjadi punca kepada kehamilan tersebut, yang kononnya
berakibat daripada parasit usus yang dikenali sebagai iShaka. Apapun, Nandi
bersalin beberapa bulan kemudian dan Senzangakhona diperintahkan agar mengutip
Nandi dan anak lelakinya itu. Anak tersebut dinamakan sebagai Shaka, merujuk
kepada nama parasit usus berkenaan.
Ketika masih
kanak-kanak, Shaka membantu bapanya menggembala kambing. Ketika beliau
membiarkan seekor anjing membunuh seekor kambing yang digembalanya, Shaka
dimarahi teruk oleh bapanya. Namun, Nandi mempertahankan anaknya. Akibat
daripada kejadian tersebut, ibu dan anak itu diusir dari kraal (sebuah
perkampungan pondok tradisional Afrika).
![]() |
| Sebuah kraal kaum Zulu. (1849). Shaka dan ibunya, Nandi dicatatkan diusir dari kraal mereka oleh bapa Shaka |
Selama beberapa tahun,
Shaka dan ibunya berpindah dari satu kraal ke satu kraal yang
lain. Mereka berdua seringkali ditindas dan dilayan dengan buruk. Sekitar tahun
1803, Shaka dan Nandi pada akhirnya menemukan tempat perlindungan yang terletak
di wilayah hegemoni Mthethwa, sebuah kraal milik sekumpulan kaum yang
dominan di daerah berkenaan.
Tampuk pemerintahan
Mthethwa dipegang oleh Raja Dingiswayo yang menubuhkan sebuah federasi
melibatkan 50 kaum menerusi kaedah diplomasi dan juga peperangan. Di bawah pengaruh
raja inilah kehidupan Shaka menjadi semakin baik.
BERUBAHNYA
TAKDIR – SHAKA MENJADI SEORANG PAHLAWAN
Pada usia 16 tahun,
Shaka menjadi penggembala senior ternakan-ternakan Dingiswayo rentetan
kebijaksanaan, keberanian dan juga semangat yang dimilikinya. Menurut satu
kisah, Shaka pernah berhadapan dengan seekor harimau bintang yang menyerang
gembalaannya. Dengan hanya tangan kosong, Shaka berjaya membunuh pemangsa buas
tersebut, sekaligus meraih pujian dan anugerah daripada Dingiswayo.
Persaingan antara para
penggembala di daerah tersebut untuk mendapatkan kawasan berumput (tempat
gembalaan mereka makan) mengakibatkan konflik tidak dapat dihindarkan dari
terus berlaku. Dingiswayo bersiap-sedia bagi menghadapi keadaan ini dengan
mengarahkan para pemuda kaumnya untuk membentuk rejimen-rejimen tentera
berdasarkan usia masing-masing. Lantas, Shaka pun dengan segera direkrut
sebagai salah seorang perajurit yang terlibat, dan rejimen yang disertainya itu
dikenali sebagai Izi-cwe (Tentera Belukar).
Shaka dilengkapkan
dengan senjata lazim yang digunakan oleh daerah tersebut – iaitu perisai bujur
dan tiga batang assegai (lembing ringan untuk dilontar). Beliau juga
dipakaikan kain pinggang yang diperbuat daripada bulu, mantel kulit burung dan
sandal kulit lembu. Pergelangan tangan dan kakinya pula dililit dengan ekor
kerbau putih.
![]() |
| Lukisan tentang seorang pahlawan Zulu yang mengenakan pakaian tradisional dan persenjataan lazim |
Pertempuran antara
kaum-kaum di daerah tersebut pada masa itu lazimnya dimulakan dengan ketumbukan
perajurit masing-masing saling berhadap-hadapan pada jarak sekitar 35 hingga 45
meter (115-148 kaki). Masing-masing kemudiannya akan melontar lembing ringan ke
arah musuh dan mengambil semula lembing yang telah dilempar. Pertarungan hanya
akan berakhir apabila salah satu pihak mengalah dan melarikan diri.
Jika pihak pemenang
melakukan pengejaran, perajurit musuh yang tertawan boleh menyelamatkan diri
dengan mencampakkan senjata bagi mengisyaratkan penyerahan-diri. Bentuk
pertarungan sebegini dilihat tidak munasabah bagi Shaka. Menurut pandangannya,
lembing ringan yang dilempar ke arah musuh yang jauh sama sekali tidak
memberikan kecederaan yang serius kepada mereka.
KAEDAH
PERTEMPURAN BARU DENGAN SENJATA BARU
Maka, Shaka pun
mengambil keputusan untuk mengubah kaedah peperangan. Beliau yang tidak
bersetuju dengan kaedah melempar lembing dari jarak jauh mula memperkenalkan
kaedah pertarungan yang menuntutnya menghampiri musuh dan melangsungkan
pertarungan melee. Sebaik sahaja musuh melemparkan lembingnya, beliau
akan menangkis lembing tersebut dengan menggunakan perisainya.
Kemudian, beliau akan
mara ke hadapan dan menjatuhkan perisai musuh dengan menghentakkan perisainya,
lalu menikam musuh sehingga mati dengan menggunakan lembing yang dibawa. Untuk
menambahkan lagi kadar keefisienannya, Shaka membuang sandal kulit lembu yang
dipakainya kerana ia memperlambatkan pergerakan beliau.
Selain itu, Shaka juga
mereka-cipta sejenis lembing baru untuk digunakan dalam pertempuran. Hal ini
kerana lembing ringan yang digunakannya sebelum ini terlalu rapuh untuk
digunakan bagi menetak dan menikam musuh. Maka, beliau pun menghasilkan lembing
yang terdiri daripada bilah besar yang dilekatkan pada sebatang kayu dan
berpemegang pendek. Senjata ini dipanggil sebagai iklwa, merujuk kepada
bunyi yang terhasil ketika senjata tersebut menusuk dan ditarik dari tubuh
mangsa.
Antara sumbangan Shaka
yang lain adalah penambahbaikan terhadap formasi ketenteraan sedia ada, di mana
beliau memperkenalkan formasi ketenteraan baharu yang dikenali sebagai ‘tanduk
kerbau’. Formasi ini terdiri daripada ‘kepala’ (unit utama), ‘tanduk’ (unit
sayap) dan juga ‘pinggang’ (unit simpanan).
![]() |
| Pahlawan Zulu yang bersenjtakan lembing iklwa (dicipta oleh Shaka untuk pertempuran yang lebih berdarah) |
SHAKA
MENJADI LEBIH KEJAM SEIRING MENINGKATNYA KUASA BELIAU
Dalam tempoh beberapa
tahun, Shaka menundukkan pengemuka-pengemuka lain dan meluaskan wilayah yang
dikuasai oleh kaum Zulu. Shaka juga menjadi semakin ganas dan gila. Antara
kegilaan yang dicatatkan adalah perajurit-perajurit yang berkhidmat untuknya
akan dicemeti sehingga mati sekiranya mempamerkan sifat yang lemah.
Malahan, mereka-mereka
yang sebelum ini melayan Shaka dan ibunya dengan buruk turut dijatuhi hukuman
yang tragis. Selain itu, Shaka juga tidak pernah memperisterikan mana-mana
wanita secara sah ataupun menjadi bapa kepada seorang anak. Hal ini kerana
sifat paranoidnya yang khuatir pewarisnya kelak akan menggulingkannya.
Seandainya salah seorang gundiknya didapati mengandung, gundik tersebut akan
dijatuhi hukuman mati.
Malah, ketika ibunya
meninggal dunia, Shaka membunuh ribuan rakyatnya semata-mata supaya keluarga mangsa
akan meratap bersamany pada hari itu. Kegilaan Shaka ini membuatkan ramai
daripada mereka yang sebelumnya akrab dengan beliau bertindak menjauhkan diri
dari Shaka demi menyelamatkan nyawa masing-masing.
SEBERAPA
BANYAK KISAHNYA YANG BENAR?
Pada tahun 1828,
saudara tirinya yang bernama Dingawe membunuh Shaka lalu menyemadikan jasadnya
di sebuah perkuburan tidak bertanda. Pucuk kepimpinan kaum Zulu juga
diambil-alih oleh Dingawe.
Walaupun sifat ganas
Shaka masyhur sehingga ke hari ini, pada hakikatnya banyak riwayat hidupnya
tidak diketahui dengan jelas. Misalnya, kisah berkenaan kelahiran dan zaman
kanak-kanaknya tidak memiliki banyak bukti untuk menyokong kebenarannya.
Selain itu, oleh kerana
sumber-sumber berkenaan kisah hidup Shaka ini datang daripada kaum Zulu atau
pencerita-pencerita berkulit putih (pendatang Eropah) yang sedia maklum
bersifat pilih bulu, maka terdapat kemungkinan bahawa sifat ganas yang
diletakkan pada Shaka dilebih-lebihkan. Sebahagian sejarahwan turut berpendapat
bahawa mungkin terdapat sebab-sebab yang rasional di sebalik keganasannya itu –
walaupun ianya mungkin telah hilang dari catatan sejarah.
Apapun, rasa tertarik
terhadap sosok figura yang bernama Shaka ini berhasil membuatkan kaum Zulu
meraih perhatian daripada pelbagai media massa yang menampilkan mereka di dalam
beberapa buah buku dan siri televisyen. Baru-baru ini, syarikat The Bomb Productions dari Afrika Selatan
telah mengumumkan rancangan mereka untuk menghasilkan sebuah siri yang
membincangkan tentang Shaka – seputar pengaruh, sekutu dan juga musuh-musuhnya.
Menerusi judul yang
berbunyi, ‘Shaka-llembe’, rancangan yang dijangka berlangsung selama tiga musim
itu disasarkan untuk meraih audiens dari peringkat global. Lebih daripada itu,
pihak produksi secara jelas menyatakan hasrat mnereka untuk menjadikan siri
tersebut sebagai ‘Game of Thrones’ versi Afrika. Bagi merealisasikan impian
tersebut, mereka turut membentuk pasukan penasihat yang terdiri daripada
sejarahwan, ketua-ketua kebudayaan, pemelihara sejarah lisan dan juga penasihat
diraja, yang mana kesemuanya ini bertujuan untuk menyampaikan kisah Shaka
seupaya mungkin tepat.
SUMBER
- Carrol, R. 2006. Shaka Zulu’s brutality was exaggerated, says new book.
- HistoryNet. 2006. Shaka: Zulu Chieftain.
- South African History Online. 2015. King Shaka Zulu.
- Whipps, H. 2008. How Shaka Zulu Changed the World.
- History.com. 2015. Shaka Zulu assassinated.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Shaka Zulu: Napoleon Afrika Yang Menggegar Dunia’
- Get link
- X
- Other Apps




