- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (14 Mac 2019). Shinigami: The Grim Reaper and God of Death in
Japanese Folklore. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/shinigami-grim-reaper-japanese-folklore-006072
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/shinigami-grim-reaper-japanese-folklore-006072
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Shinigami adalah dewa
atau semangat kematian masyarakat Jepun. Ia saling tidak tumpah seperti Grim Reaper dalam beberapa sudut. Namun,
makhluk ini tidaklah begitu mengerikan berbanding Grim Reaper dan mereka muncul dalam legenda masyarakat Jepun pada
masa yang agak lewat. Merentas abad, peranan Shinigami juga mengalami
perubahan.
Shinigami tidak wujud
dalam legenda tradisional Jepun dan mereka hanya muncul di masa-masa
terkemudian. Shinigami itu sendiri
adalah gabungan perkataan Jepun yang berbunyi ‘shi’ (mati) dan ‘kami’
(merujuk kepada dewa ataupun semangat).
SHINIGAMI
SEBAGAI PENCABUT NYAWA JEPUN
Walaupun mitologi Jepun
sejak sekian lama dipenuhi dengan pelbagai jenis kami sebagai semangat alam, Shinigami hanya muncul dalam legenda
Jepun sekitar kurun ke-18 dan kurun ke-19 Masehi. Shinigami sendiri bukanlah
perkataan yang terdapat dalam mana-mana sastera klasik Jepun. Istilah tersebut
pertama kali muncul di Zaman Edo, ketika mana ia digunakan dalam teater boneka
dan sastera Jepun dengan beberapa perkaitan seperti perkaitan terhadap semangat
jahat si mati, semangat-semangat yang merasuki orang hidup dan juga perbuatan
membunuh diri secara bersama.
Sekitar waktu itulah
idea-idea Barat, terutama berkenaan agama Kristian mula berinteraksi dan
bercampur dengan kepercayaan tradisional Shinto, Buddhisme dan Taoisme.
Mitologi Shinto sejak awal-awal lagi memiliki dewi kematian yang bernama
Izanami. Buddhisme pula mempunyai sejenis syaitan bernama Mrtyu-mara yang
dikatakan menghasut manusia supaya membunuh diri. Namun, apabila budaya timur mula
bertemu dengan budaya barat serta idea tentang Grim Reaper, maka lahirlah satu dewa baru iaitu Shinigami.
Walaupun Shinigami
memiliki banyak kemiripan dengan Grim
Reaper, pada hakikatnya mereka sama sekali tidak serupa dan terdapat
sejumlah perbezaan penting antara keduanya.
![]() |
| Gambaran Grim Reaper |
Misalnya dalam
kepercayaan barat, Grim Reaper dianggap
sebagai makhluk yang menakutkan dan merupakan personafikasi Kematian itu
sendiri. Sebaliknya dalam legenda Jepun, kematian tidaklah dilihat sebagai satu
entiti atau individu. Akan tetapi, ia dilihat sebagai kitaran hidup yang
bersifat semula jadi. Oleh kerana itu, Shinigami dianggap sebagai ejen yang
menyelia kitaran tersebut supaya berjalan dengan lancar.
Tidak seperti Grim Reaper yang boleh dikatakan sebagai
makhluk pencabut dan pengumpul nyawa, peranan Shinigami hanya sekadar
memastikan manusia mati pada masa yang telah ditetapkan dan kemudian, mengiring
jiwa mereka kembali ke alam kematian.
Penampilan mereka juga
boleh dianggap kurang menakutkan berbanding Grim
Reaper, lebih-lebih lagi kerana mereka seringkali mendekati manusia supaya
menerima kematian mereka dengan sopan. Ia tidak menakutkan mereka, apatahlagi
mengheret mereka menuju ke alam kematian. Malah, jauh sekali untuk mereka
menggunakan pendekatan-pendekatan yang bersifat agresif ketika berhadapan
dengan manusia.
Selain itu, berbeza
dengan Grim Reaper yang digambarkan
sebagai makhluk tunggal dan berupa-paras tengkorak yang diselubungi jubah hitam
serta membawa sabit tajam, Shinigami dipercayai memiliki jumlah yang banyak
dengan rupa paras yang tidak dapat dipastikan. Malah, mereka lazimnya bekerja
secara bergandingan antara satu sama lain.
![]() |
| Shinigami dari Ehon Hyaku Monogatari. Oleh Shunsensai Takehara |
SEBUAH
KISAH TENTANG SHINIGAMI
Dalam sebuah hikayat,
diceritakan bahawa terdapat seorang lelaki yang berputus-asa terhadap
kehidupannya dan bersedia untuk membunuh diri. Namun sebelum sempat beliau
melaksanakan hasratnya itu, beliau dikunjungi oleh Shinigami yang memaklumkan
kepadanya bahawa ajal beliau belum lagi tiba. Shinigami itu juga menjelaskan
bahawa nyawa setiap manusia diukur pada sebatang lilin. Apabila api lilin itu
terpadam, maka manusia itu akan meninggal dunia.
Keadaan ini menunjukkan
bahawa Shinigami sama sekali tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hidup mati
seseorang manusia. Untuk menghentikan hasrat lelaki itu dari membunuh diri,
Shinigami tersebut berkongsikan kaedah mudah untuk membuat duit kepada lelaki
itu.
Lelaki itu diberitahu
oleh si Shinigami bahawa beliau boleh berpura-pura menjadi seorang doctor yang
kononnya boleh merawat segala jenis penyakit. Dengan menuturkan beberapa kata
magis, Shinigami boleh dipaksa pulang ke Alam Kematian sekaligus memanjangkan
nyawa seseorang.
Lelaki itu juga dipesan
bahawa magis tersebut hanya berfungsi sekiranya Shinigami duduk di kaki katil
si pesakit. Seandainya Shinigami duduk di kepala katil, ia bermaksud bahawa si
pesakit tidak dapat diselamatkan. Dengan memanfaatkan nasihat tersebut, lelaki
itu pun menjadi semakin kaya.
Pada suatu hari, lelaki
itu dipanggil ke sebuah rumah untuk mengubati seseorang. Sebaik sahaja beliau
memasuki rumah berkenaan, beliau melihat Shinigami sedang duduk di kepala katil
pesakit sekaligus mengisyaratkan bahawa kematian si pesakit tidak lagi dapat
dielakkan.
Walau bagaimanapun,
keluarga pesakit itu merayu dan memohon agar beliau dirawat. Mereka malah
menawarkan jumlah wang yang besar. Lantaran didorong oleh rasa tamak, lelaki
itu pun bersetuju, Ketika Shinigami tersebut terleka, lelaki itu segera mengambil
kesempatan untuk mengubah kedudukan katik pesakit sekaligus berhasil
menyelamatkan nyawanya.
![]() |
| Katil perbaringan si pesakit, sekadar gambaran |
Namun, Shinigami sudah
tentu tidak menyenangi perbuatan tersebut. Sebaik sahaja lelaki itu sampai di
rumahnya, beliau dicela atas keingkarannya. Selepas puas memarahi lelaki itu,
si Shinigami mengubah nada suaranya dan mengajaknya keluar minum untuk meraikan
pendapatan yang diperolehi tadi. Lelaki itu berhasil diperdaya dengan muslihat
Shingami tersebut. Beliau bukannya dibawa ke rumah teh untuk minum, sebaliknya
dibawa ke sebuah bangunan yang dipenuhi dengan lilin.
Si Shingami kemudiannya
menunjukkan lilin milik lelaki itu, yang hampir habis terbakar akibat
perbuatannya tadi. Lelaki itu ditawarkan peluang untuk memanjangkan hayatnya
dengan memindahkan lilinnya itu pada lilin orang lain. Namun, lelaki tersebut
gagal melaksanakannya lantaran lilin yang dibawanya itu terjatuh dan beliau pun
serta-merta meninggal dunia.
SHINIGAMI
DALAM BUDAYA POP
Shinigami bergerak seiring
peredaran masa. Mereka seringkali ditampilkan di dalam anime dan manga moden
Jepun, antaranya seperti Death Note,
Bleach, Naruto dan Soul Eater.
Dalam setiap anime atau manga ini, Shinigami seringkali
diberikan peranan yang agak berbeza dengan peranan asalnya. Selain daripada
perkaitannya dengan unsur kematian, Shinigami moden ini juga tidak mempunyai
banyak kesamaan dengan bentuknya seperti di dalam legenda.
SUMBER
- Brigham Young University. 2014. Japanese Folklore.
- Japanese Mythology. 2016. Kami and Other Spirits.
- Kincaid, A. 2013. Shinigami – Angels of Death.
- Origins Scientific Research Society. 2014. The Underworld Come to Life: Meet the Shinigami.
- Tvtropes. 2016. Shinigami.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Shinigami: Malaikat Maut Masyarakat Jepun’
- Get link
- X
- Other Apps



