- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mindy Weisberger. (25 Oktober 2019). Assyrian Tablets Contain Earliest Written
Record of Aurora’s Sky Glow. Live Science.
https://www.livescience.com/earliest-written-aurora-records.html
https://www.livescience.com/earliest-written-aurora-records.html
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tablet-tablet batu
Assyria di zaman purba mendedahkan laporan tertua tentang aurora yang pernah
ditemui, berusia lebih 2500 tahun lalu.
Perincian-perincian
yang ditulis menggunakan sistem tulisan kuneiform ini ditemui pada tiga buah
tablet batu yang dianggarkan bertarikh antara 655SM hingga 679SM. Tarikh ini
melangkaui usia bukti sejarah terawal lain berkenaan penampakan aurora dengan
seratus tahun lebih awal, lapor para penyelidik dalam kertas kajian terbaharu.
Aurora adalah fenomena
cahaya yang berlaku apabila gelombang partikel dari matahari bertembung dengan
medan magnet bumi. Dilaporkan bahawa bumi pernah menerima ribut solar yang
besar sekitar kurun ke-7SM dan aurora yang diperincikan di dalam tablet Assyria
ini berkemungkinan adalah kesan daripada aktiviti solar berkenaan, tulis para
penyelidik dalam laporan atas talian pada 7 Oktober lalu dalam The Astrophysical Journal Letters.
Catatan tentang
aktiviti pencerapan langit di zaman purba seperti tablet-tablet Assyria ini
membantu para saintis untuk mencantumkan kepingan-kepingan maklumat tentang
perkaitan antara komsik bumi dan solar. Memandangkan aktiviti mencerap dengan
menggunakan teleskop maju hanya berlaku pada sekitar 400 tahun lalu, maka
pencerapan tersebut masih lagi membekalkan gambaran yang sangat kencil tentang
sifat-sifat atau kelakuan matahari kita, ujar ketua penyelidik yang bernama
Hisashi Hayakawa, seorang ahli astrofizik di Universiti Osaka, Jepun merangkap
penyelidik sementara di Makmal Rutherford Appleton di United Kingdom.
Pada awal tahun ini,
sekumpulan penyelidik lain berjaya menemukan kejadian ribut solar besar pada
2600 tahun yang lalu, di mana ia berskala 10 kali ganda lebih kuat berbanding
kejadian di zaman moden. Kesan ledakan geomagnetik ribut berkenaan meninggalkan
atom radioaktif yang terperangkap pada ais-ais di Greenland, lapor Live Science
sebelum ini.
Para penyelidik masih
tertanya-tanya andai ahli-ahli astrologi Assyria di zaman purba ada merekodkan
sebarang perkara yang tidak biasa yang mungkin boleh dikaitkan dengan kejadian
ribut solar. Para penyelidik melakukan penelitian ke atas 389 buah laporan pada
tablet kuneiform yang terdapat dalam koleksi Muzium British. Kebanyakannya
merincikan tentang aktiviti planet dan bulan. Namun, terdapat tiga buah catatan
yang merekodkan tentang fenomena yang mungkin mempunyai kaitan dengan aurora
menerusi perincian seperti ‘sinar merah’, ‘awan merah’ dan ‘langit merah’.
“Perincian-perincian
ini sendiri agak konsisten dengan perincian-perincian di zaman moden awal
tentang fenomena aurora,” maklum Hayakawa kepada Live Science dalam sebuah
emel. Sememangnya, merah adalah warna lazim yang didapati pada aurora
beraltitud rendah dan juga pada aurora-aurora yang terhasil daripada elektron
bertenaga rendah.
Pada hari ini, aurora
di Hemisfera Utara lazimnya dikaitkan dengan daerah-daerah yang hampir dengan
Kutub Utara. Namun, medan magnet bumi bersifat dinamik dan berubah-ubah, dan
pada ribuan tahun lalu, magnetik utara terletak kira-kira 10 darjah lebih
hampir dengan Timur Tengah berbanding pada hari ini sekaligus meningkatkan lagi
kebarangkalian untuk berlakunya fenomena aurora di rantau tersebut.
Bahkan pada lewat kurun
ke-19, fenomena aurora pernah berlaku di Kaherah, Baghdad dan Iskandariah
(Alexandria), tambah Hayakawa.
“Apabila ada ribut
magnet yang besar, bukanlah suatu perkara yang mengejutkan untuk dapat melihat
aurora di Timur Tengah, atau bahkan di zaman moden awal,” kata Hayakawa.
Memandangkan perincian
sebegini jarang-jarang ada dalam rekod Assyria, penyelidik berpendapat bahawa
penulis rekod berkenaan menyaksikan sesuatu yang luar dari kebiasaan hidupnya
dan bukannya fenomena lazim seperti langit merah (mega merah) yang mengiringi
tenggelam matahari.
Sebelum penemuan ini
dilakukan, rekod terawal tentang aurora terkandung dalam tablet Babylon yang
dikenali sebagai ‘Catatan-Catatan Astronomi’ yang bertarikh 567SM. Rekod-rekod
dari Assyria ini membolehkan kita menjejak sejarah aktiviti solar seratus lebih
awal berbanding rekod yang dimiliki sebelum ini.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Rekod Tertua Berkenaan Aurora Ditemui’
- Get link
- X
- Other Apps

