- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (16 Oktober 2019). 800 Archaeological Sites Unearthed in Northern
Ireland. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/archaeological-sites-0012729
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/archaeological-sites-0012729
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Semenjak tahun 2015,
terdapat kira-kira 800 buah tapak arkeologi ditemui di Ireland Utara.
Undang-undang baharu yang menetapkan agar syarikat-syarikat pembinaan
merekodkan mana-mana tapak penerokaan yang mempunyai potensi arkeologi.
Penetapan ini membawa kepada banyak penemuan yang usianya boleh dijejak dari
zaman prasejarah hingga ke zaman moden.
Antara penemuan yang
dilakukan tersebut adalah rumah-rumah Neolitik, sebuah tapak ritual Zaman
Gangsa, sebuah kawah memasak dari zaman purba, puing-puing runtuhan dari zaman
pertengahan, dan kilang-kilang perindustrian. Perincian berkenaan
penemuan-penemuan ini telah pun disiarkan di dalam sebuah buku kecil yang
berjudul, Unearthed yang diterbitkan
oleh Jabatan Kemasyarakatan.
Penetapan undang-undang
baru yang disebutkan sebelum ini adalah susulan daripada keperluan untuk
menggalakkan pembangunan mapan di samping melindungi warisan Ireland Utara.
Pada tahun 2015, kuasa melakukan perancangan diserahkan kepada lembaga majlis
tempatan. Hal ini dilakukan sedemikian adalah untuk ‘memastikan suasana
bersejarah dapat dipelihara supaya generasi akan datang sempat memahami dan
menikmati warisan tersebut’, lapor Unearthed.
Jabatan Kemasyarakatan
turut memberikan khidmat nasihat kepada lembaga masjlis tempatan tentang
kaedah-kaedah terbaik dalam menguruskan dan meraih lesen penyelidikan
tapak-tapak arkeologi. Sejak tahun 2015, dianggarkan sebanyak 800 buah lesen
telah dikeluarkan oleh jabatan terlibat untuk membenarkan kerja-kerja
penggalian arkeologi dilakukan. Seorang ahli arkeologi senior yang bernama
Andrew Gault dari Universiti Ulster memerincikan penggalian-penggalian tersebut
sebagai ‘pelonggaran arkeologi’ , lapor BBC.
TAPAK-TAPAK ARKEOLOGI
BERUSIA SEHINGGA 8000 TAHUN
Penemuan-penemuan
arkeologi tersebut telah dibahagikan kepada tiga zaman. Zaman pertama adalah
Zaman Prasejarah yang ‘merangkumi era ketibaan manusia di Ireland hinggalah era
ketibaan agama Kristian di negara berkenaan’. Tarikh bagi zaman ini adalah
kira-kira 8000SM hingga 400M.
Puing-puing runtuhan
dari sebuah ‘rumah Neolitik berbentuk segi empat tepat telah pun ditemui di
pekan Turmeel, Co. Londonderry semasa kerja-kerja penyelidikan arkeologi A6
dijalankan berhampiran Dungiven,” lapor Unearthed.
Lebih 1000 serpihan tembika ditemui di tapak berkenaan. Tapak ini
berkemungkinan dihuni oleh sejumlah petani awal di Ireland.
![]() |
| Kerja-kerja ekskavasi di sebuah tapak rumah Neolitik di Turmeel, Dungiven |
Sebuah rumah berbentuk
bulat dari Zaman Gangsa, yang merangkumi pancang-pancang, lubang-lubang dan
puing-puing runtuhan turut ditemui semasa penggalian dilakukan di sebuah ladang
solar di Rasharkin, Co. Antrim. Menurut BBC, “Puing-puing runtuhan seperti ini
secara umumnya berusia menjangkau Zaman Gangsa Pertengahan, iaitu sekitar
1500SM.” Para penyelidik melaporkan bahawa mereka juga menemukan sebuah batu
pengasah di lokasi tersebut.
TAPAK ARKEOLOGI BARBEKU
ZAMAN GANGSA
Semasa melakukan
penggalian di sebuah tapak pembangunan perumahan berhampiran Dundonald di Co.
Antrim, puing-puing runtuhan prasejarah ditemui oleh pasukan arkeologis yang
terlibat. Ruangan arkeologi tersebut meliputi sejumlah rumah prasejarah dan
tempat pembakaran mayat. Di ladang solar Bukit Laurel (Laurel Hill) di Donaghcloney pula, para penyelidik berhasil
menemukan sebuah fulacht fiadh –
iaitu sebuah kawah yang berfungsi untuk memasak haiwan-haiwan liar, lapor BBC.
![]() |
| Gambar sebuah fulacht fiadh yang ditemui di sebuah tapak arkeologi di Donaghcloney |
Mekanisme kawah
tersebut adalah batu-batu panas diletakkan di sebuah parit yang dipenuhi dengan
air. Sebaik sahaja air tersebut mendidih, ia akan digunakan untuk memasak
daging.
Walau bagaimanapun,
penemuan prasejarah yang mungkin paling penting adalah sebuah tapak ritual yang
ditemui di Jalan Glenshane (Glenshane
Road), Claudy. Tapak ritual ini mengandungi lubang-lubang yang
berkemungkinan adalah bekas daripada bulatan kayu-kayu besar.
Pada suatu ketika
dahulu, tapak ritual berkenaan dipercayai terdiri daripada ‘tiang-tiang kayu
besar yang lengkap dengan perkarangan berpagar’, yang usianya dianggarkan
sekitar 2500SM, lapor Unearthed.
Tapak ritual ini digunakan oleh penduduk dari Zaman Gangsa.
RUANGAN-RUANGAN ZAMAN
PERTENGAHAN
Para arkeologis turut
menemukan sejumlah tapak yang bertarikh dari zaman St. Patrick (kurun ke-5
Masehi) hingga ke era Perladangan Ulster (Ulster
Plantation), iaitu era di mana negara berkenaan dihuni oleh
pendatang-pendatang Inggeris dan Scotland. Kebanyakan penemuan daripada zaman
ini adalah runtuhan-runtuhan tembok mahupun dinding.
Menurut Unearthed, terdapat ‘puing-puing dari
zaman pertengahan dengan dua set tebing dan parit, di mana lanskap sebegini
lazimnya dikaitkan sebagai pemilikan individu yang berstatus tinggi’. Penemuan
yang berkemungkinan paling mengagumkan arkeologis terletak di Killuney, Co.
Armagh. Di sini, antara tinggalan yang ditemukan adalah sebuah ketuhar tanah
yang terletak bersebelahan dengan parit luar.
KILANG-KILANG PENGISAR
DAN LUBANG-LUBANG MENYAMAK
Kategori ketiga adalah
pasca-zaman pertengahan dan fasa Arkeologi Industri yang secara kasarnya
berlangsung dari tahun 1600 hingga 1900. Para arkeologis menemukan sejumlah
tapak penting yang dikaitkan dengan sejarah pengindustrian Ireland Utara. Di
Royal Exchange Development, tepat di tengah-tengah bandar Belfast ditemui
sebanyak 15 lubang yang ditandakan dengan kayu-lurus.
![]() |
| Lubang-lubang menyamak di Royal Exchange, Belfast |
Lubang-lubang tersebut
berfungsi sebagai lubang menyamak yang digunakan dalam pembuatan kulit pada
kurun ke-18. Puing-puing runtuhan sebuah kilang pembuat kain linen turut
ditemui di Bessbrook, Co. Armagh. Penggalian di Milltown pula menemukan
runtuhan sebuah kilang gandung.
Salah satu trivia
paling menarik yang kami sedari dalam penulisan artikel ini adalah kerja-kerja
penggalian kawasan-kawasan pembangunan tenaga solar seringkali berakhir dengan
penemuan arkeologi yang berjaya. Hal ini disebabkan ladang-ladang solar
tersebut dibina di bukit-bukit yang menghadap ke arah selatan, suatu ciri yang
mungkin turut dijadikan sebagai faktor pemilihan tapak-tapak penghunian manusia
baik dari zaman prasejarah mahupun zaman moden. Diharapkan agar
penemuan-penemuan arkeologi daripada kerja-kerja penggalian di masa akan datang
turut disiarkan secara tahunan dalam edisi Unearthed
yang selanjutnya.
- Get link
- X
- Other Apps



