- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (13 Oktober 2019). Achaemenid Religion: Lightning the Spirit of
Ancient Persia. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/achaemenid-religion-0012716
https://www.ancient-origins.net/history/achaemenid-religion-0012716
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dalam konteks sejarah,
Empayar Achamaenid memiliki signifikasi yang cukup penting buat dunia Barat
memandangkan besarnya pengaruh tamadun Parsi terhadap Yunani dan Yahudi purba.
Lantaran itu, tamadun Barat sangat terhutang budi kepada Empayar Achaemenid
dalam banyak perkara, di mana salah satunya adalah agama. Baik ajaran-ajaran Yahudi
mahupun unsur-unsur mistik dalam masyarakat Yunani purba, masing-masing
memiliki pengaruh daripada agama Parsi.
LATAR
BELAKANG SEJARAH
Banyak pengetahuan kita
tentang Achaemenid datang daripada tulisan-tulisan Yunani purba. Menurut
sumber-sumber tradisional, Empayar Achaemenid ditubuhkan sekitar tahun 550SM
apabila Cyrus, seorang raja Parsi yang kelak dikenali sebagia Cyrus Agung,
memimpin pemberontakan masyarakat Parsi yang menentang pemerintah kota Media,
iaitu Raja Astyages. Selepas menundukkan Medes, Cyrus meneruskan usahanya untuk
menakluk Kerajaan Lydia pada 540an SM di Asia Kecil dan Babylon pada 539SM.
Pewaris Cyrus, iaitu
Cambyses pula meluaskan lagi empayar dengan menakluk Mesir pada tahun 525SM.
Penaklukan tersebut membuatkan Cambyses terkenal sebagai pemerintah yang
menewaskan sebuah adikuasa di zaman purba.
Pemerintahan Empayar
Achaemenid disusun dan diperteguhkan lagi oleh Raja Darius I (522-486SM),
terutama dengan penubuhan sistem satrapi. Empayar dibahagikan kepada beberapa
buah wilayah dan daerah percukaian, dengan setiap satunya diperintah oleh
seorang pegawai yang dikenali sebagai satrap.
Empayar ini mengecapi
perluasan kuasa kemuncaknya semasa berada di bawah pemerintahan Raja Xerxes I
(486-465SM), pengganti Darius I. Xerxes juga masyhur kerana memerintah sebagai
raja Parsi semasa berlakunya Pertempuran Thermopylae menentang Spartan, dan
kemudian menjarah Athens pada tahun 480SM.
Sesudah pemerintahan
Xerxes I, Empayar Achaemenid tidak mengalami perkembangan walaupun kuasanya
kekal sedemikian sehingga zaman pemerintah terakhirnya, yang ditewaskan oleh
Alexander Agung dalam Pertempuran Gaugamela pada tahun 331SM.
![]() |
| Pertempuran Gaugamela, oleh Jan Brueghel the Elder, 1602 |
AGAMA
PARA PEMERINTAH ACHAEMENID
Agama anutan raja-raja
Achaemenid merupakan sebuah topik yang cukup kontroversi dan masih
diperdebatkan oleh ilmuwan. Pandangan tradisi melihat bahawa mereka menganut
agama Zoroastrianisme. Terdapat bukti yang pasti tentang pengaruh agama
berkenaan terhadap para pemerintah Achaemenid. Darius I dan Xerxes I misalnya,
pernah membuat pengisytiharan dengan menyatakan bahawa mereka dipilih oleh
Ahura Mazda, Dewa Ulung dalam ajaran Zoroastrian untuk membawa keadilan dan
kesejahteraan kepada dunia.
Pun begitu, raja-raja
Achaemenid juga dilihat mengambil sikap yang berbalikan dengan ajaran
Zoroastrian. Raja-raja Achaemenid masing-masing pernah disebutkan memberi
penghormatan kepada dewa-dewa selain Ahura Mazda. Misalnya, Cyrus Agung membina
semula kuil buat para dewa Mesopotamia dan menunjukkan kepatuhannya kepada para
dewa.
Selain itu, Cyrus juga
direkodkan dalam Bible sebagai seorang pemerintah yang memperakui autoriti
Yahweh (dewa tertinggi kaum Yahudi) walaupun kenyataan ini mungkin hanya
berdasarkan penafsiran peribadi kaum Yahudi terhadap ayat berkenaan.
![]() |
| Ahura Mazda pada bumbung Muzium Sejarah Zoroastrian di Yazd, Iran |
Walau bagaimanapun,
raja-raja Achaemenid mungkin hanya sekadar menunjukkan penghormatan ke atas
kepercayaan atau agama rakyat mereka dan sama sekali tidak meletakkan sandaran
kepada dewa selain Ahura Mazda. Hal ini dilakukan oleh mereka mungkin untuk
tujuan meningkatkan pengaruh dan kemasyhuran dalam kalangan rakyat. Malahan,
ilmuwan masih lagi belum dapat memastikan sama ada penganut Zoroastrian pada
zaman awal meyakini bahawa Ahura Mazda adalah satu-satunya dewa atau dewa ulung
mereka.
Walaupun ilmuwan masih
belum dapat memastikan sama ada raja-raja Achaemenid menganut agama Zoroastrian
ataupun tidak, mereka secara jelas menghormati agama tersebut dan memeliharanya
dengan baik dalam empayar mereka.
AGAMA
IRANI PURBA DAN RAJA-RAJA ACHAEMENID
Achaemenid masyhur
sebagai salah satu adikuasa multi-budaya pertama dalam dunia purba. Ia juga
merupakan empayar terbesar yang pernah muncul dalam sejarah Asia Barat pada
waktu itu, dengan wilayah kekuasaannya terbentang luas dari Anatolia dan Mesir
di barat dan India di timur.
Disebabkan Empayar
Achaemenid terbentuk daripada budaya dan agama yang pelbagai, maka dewa-dewa
Mesir purba, Babylonia dan Yahudi serta budaya-budaya lain turut disembah dalam
lingkungan sempadannya.
Di wilayah pusat Parsi,
agama Iran purba terus diamalkan. Nenek moyang Parsi buat kali pertama memasuki
dataran Iran dari steppe-steppe Asia Tengah kira-kira pada separuh kedua
milenia ke-2 Sebelum Masehi. Mereka pada asalnya adalah kaum nomad-penternak
yang secara umum menggembala lembu, biri-biri dan kambing. Mereka juga
menternak kuda yang digunakan sebagai haiwan tunggangan dan penarik pedati.
![]() |
| Gambaran lelaki-lelaki Parsi purba |
AGAMA
IRANI PURBA
Menjelang zaman
pemerintahan Achaemenid, masyarakat Iran purba telah terbahagi kepada empat
kelas sosial iaitu bangsawan, paderi, petani dan penternak, dan artisan.
Menjelang milenia pertama Sebelum Masehi, mereka mengamalkan gaya hidup yang
lebih tetap dan berfokus pada amalan pertanian. Walau bagaimanapun, legasi
penternakan mereka tetap kekal bersama mereka. Hal ini dapat dilihat pada sifat
patriarki dalam agama mereka.
Dalam penerangan ini,
banyak istilah dan konsep akan disebutkan di mana ianya lazim di dalam agama
moden Zoroastrianism. Namun, perlu dinotakan bahawa kesemua konsep ini yang
wujud dalam agama pra-Zoroastrian yang dianut oleh masyarakat Iran purba tidak
seharusnya sama dengan konsep yang wujud dalam Zoroastrianism moden. Susulan
daripada itu, perincian tentang perkara tersebut di dalam artikel ini mungkin
berbeza berbanding kefahaman Zoroastrian moden.
Kepercayaan masyarakat
Iran purba mempunyai asal-usul yang sama dengan agama Vedic, dan kedua-duanya
mungkin bersandar kembali kepada agama Indo-Eropah. Kepercayaan Iran moden
berbeza dengan kebanyakan agama tradisi di Timur Tengah, di mana masyarakat
Iran purba secara umumnya tidak menghasilkan ukiran imej dewa-dewa sembahan
mereka dan tidak pula mereka mendirikan kuil sembahan. Masyarakat Iran purba
memuja dewa dalam keadaan yang sangat terbuka.
Mereka menganggap api
sebagai satu unsur suci yang mempunyai hubungan langsung antara kemanusiaan dan
kedewataan. Api itu sendiri dipercayai sebagai dewa. Disebabkan itu, api
memainkan peranan penting dalam kepercayaan Irani purba.
![]() |
| Bahagian dalam sebuah kuil api Zoroastrian, di Iran |
Amalan-amalan keagamaan
Irani purba agak berbeza-beza dan ia tidak terdiri daripada banyak ritual yang
lazim. Salah satu ritual penting yang menjadi pusat kepada agama Irani purba
adalah ritual hidangan yang dikenali sebagai yazna. Yazna merupakan
sebuah jamuan rasmi yang dijadikan sebagai ritual.
Penyedia jamuan ini
adalah manusia dan tetamunya pula adalah dewa. Dipercayai bahawa manusia yang
melakukan upacara ini bermaksud untuk mengadakan hubungan langsung dengan para
dewa, sama ada untuk membuat permintaan khusus ataupun sebagai satu bentuk
ketaatan.
Satu bahagian penting
dalam ritual jamuan ini adalah penggunaan Houma. Dalam masyarakat Iran purba,
Houma dianggap sebagai barang yang suci lagi keramat. Pokok asal yang daripada
minuman itu diekstrak menjadi subjek yang masih diperdebatkan oleh ilmuwan.
Namun, mereka berpendapat bahawa bahan yang terkandung dalam minuman purba itu
adalah halusinogen.
![]() |
| Salah satu bahan yang mungkin digunakan untuk menghasilkan soma - Houma |
Sama seperti tradisi
agama purba yang lain, agama purba Iran tidak memiliki teologi yang tersusun.
Apapun, Irani purba secara umum meyakini bahawa para dewa boleh dibahagikan
kepada dua kategori, iaitu ahura dan daiva. Daiva dianggap sebagai dewa kecil.
Sebahagian tradisi Iran seperti Zoroastrianism menganggap daiva ini sebagai
syaitan. Ahura pula merupakan kelompok dewa tertinggi yang mentadbir alam.
Sebelum kebangkitan
Zoroastrianism pada penghujung zaman pemerintahan Achaemenid sendiri, agama
Iran purba mengandungi elemen dualistik yan gkuat. Mereka meyakini bahawa bukan
sahaja manusia, malah para dewa dan haiwan turut mempunyai kebebasan untuk
membuat pilihan moral. Mereka berpegang kepada etika dualism, di mana setiap
perkara yang baik pasti ada pasangannya yang bertentangan sifat dengannya.
Pantheon mereka
dibahagikan antara dewa-dewa baik dan syaitan-syaitan yang jahat. Terdapat juga
haiwan yang baik dan makhluk yang berbahaya. Selain itu, mereka juga memiliki
perkataan-perkataan yang berbeza bagi merujuk kepada insan yang benar dan insan
yang jahat.
Dalam pandangan Irani
purba, alam ini diperintah oleh Ahura Mazda, yang menurut mereka, mentadbir
menerusi perantaraan satu dewa kecil, iaitu Spenta Mainyu. Nama Spenta Mainyu
membawa maksud ‘semangat kebajikan’. Dalam beberapa teks Irani purba, Spanta
Mainyu sebagai unsur yang baik digandingkan dengan Angra Mainyu si semangat
jahat.
![]() |
| Syaitan Div Akvan menghumban Rustam ke dalam Laut Caspian |
Walaupun sebahagian
teks Irani purba mengisyaratkan bahawa Spenta Mainyu adalah dewata yang berbeza
sama sekali dengan Ahura Mazda atau bahkan mungkin personafikasi bagi dewa
ulung itu, akan tetapi literasi Irani dan Zoroastrian di zaman terkemudian menggambarkan
bahawa AHura Mazda menentang Angra Mainyu secara langsung. Dalam kepercayaan
Irani purba, baik dan jahat itu ditentukan oleh kebenaran (arta) dan tipu-daya (drauga).
Arta dipercayai menjadi asas keamanan bagi alam semesta dan juga
keamanan sosial dalam kalangan masyarakat. Drauga pula wujud dengan sifat yang
berbalikan daripada arta, dan secara esensinya ia adalah tipu-daya dan
huru-hara – asas kepada kejahatan, menurut kepercayaan Irani purba.
Zarathustra, pengasas Zoroastrianism, muncul sebagai salah seorang nabi
terawal yang mengembangkan sebuah paragdigma-ekstalogi, suatu ajaran yang
melibatkan elemen penyelamatan sejagat – menyelamatkan dunia dari kejahatan.
![]() |
| Gambaran-gambaran penganut Zoroastrian terhadap pengasas agamanya dengan berpakaian putih dan berjambang lebat |
Konsep Arta ini mungkin merupakan salah satu ciri agama Irani purba yang
menarik perhatian raja-raja Achaemenid. Mereka menggunakan retorik tentang arta
dan drauga untuk meraih kemanfaatan, dengan mengaitkan pemerintahan mereka dengan
pemerintahan Ahura Mazda ke atas alam semesta. Kononnya, mereka adalah
perantara bagi Ahura Mazda yang berperanan mendirikan arta dalam lingkungan
sosial mahupun politik manusia.
KOSMOLOGI DAN KOSMOGONI
IRANI PURBA
Masyarakat Iran purba melihat alam semesta dengan kepercayaan sama
seperti kebudayaan-kebudayaan lain pada zaman itu. Mereka mempercayai bahawa
alam ini terdiri daripada tiga lapisan. Bumi terapung di lautan kosmik dan
mempunyai sebuah gunung besar, iaitu Hara di tengah-tengahnya. Tepat di atas
bumi terdapat langit yang berbentuk kubah. Di sebalik kubah itu pula terdapat
alam cahaya yang tiada penghujung. Bahagian bawah bumi menempatkan alam
kegelapan dan huru-hara.
Kosmogoni Irani purba tidaklah dapat difahami secara keseluruhan oleh
ilmuwan. Akan tetapi, ia dapat diperincikan secara ringkas sebagai konflik yang
berterusan antara dua daya kosmik yang bertentangan. Pada permulaan sejarah,
dipercayai bahawa kononnya terdapat dua kembar purbakala. Seorang membunuh
seorang yang lain dan kemudian, jasad yang terbunuh itu digunakan untuk
mencipta alam – langit dibentuk daripada tengkoraknya dan gunung-ganang dicipta
daripada tulangnya. Dagingnya pula diguna untuk menjadikan bumi.
Versi mitos yang lain ada menyebutkan bahawa nama manusia pertama dalam
kepercayaan Irani purba adalah Yama. Yama juga merupakan raja pertama manusia.
Pada masa pemerintahannya, tipu-daya belum lagi dibebaskan ke dunia dan dunia
pada waktu itu bersifat tenteram dan sempurna secara total (idyllic). Tiada kematian mahupun
peningkatan usia. Dunia berada dalam keharmonian tanpa wujud sebarang unsur
yang bertentangan dengan keharmonian.
Misalnya, tiada panas mahupun sejuk. Segalanya berjalan sempurna di
dunia sehinggalah tipu-daya mula diperkenalkan. Yama kemudian digulingkan oleh
si tirani yang bernama Azhi Dahaka, atau Dahaka Si Ular.
![]() |
| Lukisan Parsi, menggambarkan Jamshid (Yama), dikerat-separuh di hadapan Zahhak |
Semasa pemerintahan Dahaka yang dipenuhi dengan penuh ketakutan, dunia
mengalami kemusnahan dan kehuru-haraan. Kemudian, Dahaka digulingkan oleh
Thraituana yang dianggap sebagai wira legenda Irani purba. Thraituana
dipercayai sebagai pengasas kepada kavis,
iaitu jalur keturunan raja-raja Irani yang paling legenda.
AHURA MAZDA DAN MITHRA
Dua dewata utama dalam agama Irani purba adalah Ahura Mazda dan Mithra.
Ahura Mazda dipercayai sebagai dewa ulung yang mengungguli dewa-dewa lain.
Beliau adalah pencipta alam dan asal-usul bagi segala kebenaran dan keamanan
yang wujud di dunia. Walaupun Ahura Mazda tidaklah secara langsung dikaitkan
dengan langit, beliau dilihat mengambil beberapa peranan dewa langit dalam
pantheon proto-Indo-Eropah, iaitu Dyeus Pater di mana beliau dianggap sebagai
ketua para dewa dan digandingkan dengan dewi bumi.
Dalam Zoroastrianism, Ahura Mazda dipercayai sebagai satu-satunya dewa
yang layak disembah. Para daiva dikelaskan-semula sebagai syaitan atau iblis.
Ajaran-ajaran Zoroastrianism yang merangkumi perbendaharaan dan teologi mungkin
ada memberikan pengaruh terhadap perkembangan agama Yahudi memandangkan pada
beberapa tempoh terkemudian, teks-teks Yahudi dilihat menyerap ajaran-ajaran
Zoroastrian.
Kenyataan ini tidaklah bermaksud untuk mengatakan bahawa Yahudi purba
itu tidak asli, akan tetapi hanya sekadar memaksudkan bahawa sebahagian konsep
teologi Zoroastrian turut dimuatkan ke dalam teologi Yahudi.
Mithra pula adalah dewa yang dikaitkan dengan matahari, atau lebih
spesifik, sinaran pertama fajar. Dalam kebudayaan Iran barat, beliau dikaitkan
secara langsung denan matahari. Nama Mithra pada hakikatnya digunakan oleh
masyarakat Iran barat bagi merujuk kepada matahari secara fizikal. Namun pada
masa yang sama, Mithra juga dikaitkan dengan etika dan tidak hanya berperanan
sebagai dewa matahari.
Misalnya, beliau dianggap sebagai dewa perjanjian di mana dalam
perjanjian tersebut, mereka harus dimuliakan. Nama Mithra juga digunakan untuk
merujuk kepada maksud ‘perjanjian’. Mithra kemudiannya menjadi pusat kepada
kepercayaan mistik Yunani-Rom, walaupun kaitan antara Mithra-Parsi dan
kepercayaan-misteri Yunani-Rom di zaman terkemudian belum dapat dipastikan
secara tuntas.
![]() |
| Mithra membunuh kerbau |
LEGASI AGAMA RAJA-RAJA
ACHAEMENID
Secara relatifnya, tidak banyak yang diketahui tentang agama anutan
raja-raja Achaemenid. Namun, kemasyhuran ajaran-ajaran Zarathustra dilihat
menetapkan satu pegangan pasti bagi dinasti-dinasti Parsi di zaman terkemudian.
Sebelum mereka dikuasai oleh kaum Muslim, Parsi merupakan tanah yang umumnya
menganut Zoroastrian. Ajaran-ajaran Nabi Zarathustra juga mungkin mempengaruhi
agama Yahudi purba.
Penyebaran ajaran Yahudi kononnya dianggap membantu mempercepatkan lagi
kebangkitan Kristian dan Islam, yang mana dua agama tersebut kemudiannya
menjadi anutan utama Empayar Rom (Byzantine dan Kesultanan Rum).
Agama Kristian secara khusus memberi pengaruh yang mendalam terhadpa
tamadun Barat, Slavic dan Byzantine manakala agama Islam pula menjadi instrumen
yang membangunkan tamadun di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Jika dipertimbangkan betapa besarnya pengaruh tamadun-tamadun yang
terbangun daripada dua agama utama ini, boleh dikatakan bahawa kebanyakan
penduduk dunia pada hari ini tidak dapat lari daripada pengaruh Parsi
Achaemenid walau dalam skala yang kecil sekalipun.
SUMBER
- Boyce, M. 2014. Achaemenid Religions. Encyclopedia Iranica.
- Lendering, Jona. 2019. Achaemenids. Livius org.
- Lendering, Jona. Guagamela. (331 BCE). 2019. Livius org.
- Malandra, William W. 2016. Ancient Iranian Religion. Encyclopedia Britannica.
- Nigosian, S.A. 1975. The Religions in Achaemenid Persia. Studies in Religion/Sciences Religieuses.
- “The Achaemenid Persian Empire (550-330 B.C.)”. 2004. The New York Metropolitan Museum of Art.
- Get link
- X
- Other Apps









