- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (27 Julai 2019). Religion of the Aztecs: Keeping the Balance in an
Unpredictable and Terrifying World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/aztec-religion-0012359
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/aztec-religion-0012359
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Empayar Aztec merupakan
empayar yang paling besar dan berjaya di Mesoamerika dalam soal saiz dan
demografi. Empayar ini terbentang luas merentasi gunung-ganang, dataran
pesisiran, lembah-landai dan hutan-hutan. Lantaran itu, bukanlah suatu perkara
yang mengejutkan seandainya agama pegangan masyarakat Aztec memiliki pengaruh
yang agak kuat.
TAMADUN
AZTEC DAN MESOAMERIKA
Agama masyarakat Aztec
tidaklah muncul tanpa memiliki asal-usul yang mempengaruhinya. Ia hadir
daripada pengaruh tamadun-tamadun Mesoamerika yang bersilih-ganti sepanjang
ribuan tahun, meliputi Zapotec di Monte Alban, Teotihuacan, Toltec, dan juga
Mixtec.
Banyak kepercayaan yang
dipegang oleh masyarakat Aztec dikongsi oleh kebudayaan-kebudayaan di
sekelilingnya. Sebagai contoh, Naga Berbulu telah pun dipuja selama satu
milenia oleh beberapa tamadun seperti Teotihuacan dan Toltec. Kebanyakan dewa
di dalam panteon Aztec juga turut dipuja oleh tamadun-tamadun Mesoamerika yang
lain.
DEWA-DEWA
AZTEC
Sama seperti kebanyakan
budaya Mesoamerika yang lain, masyarakat Aztec mengamalkan kepercayaan politeisme.
Mereka meyakini bahawa segala aspek alam seperti angin dan hujan, serta segala
macam aktiviti manusia seperti pertanian dan peperangan mempunyai dewata
pelindung yang tersendiri.
Ilmuwan agama Aztec
membahagikan dewata Aztec kepada tiga kategori, iaitu dewa-dewa pencipta atau
kosmik, dewa-dewa pertanian, air dan kesuburan serta dewa-dewa perang dan
ritual korban.
Dewa-dewa kosmik
bertanggungjawab dalam penciptaan dan pentadbiran alam. Salah satu dewata
kosmik yang utama adalah Huehueteotl-Xiuhtecuhtli si dewa api dan musim.
![]() |
| Patung batu berpostur duduk bagi Huehueteotl-Xiuhtecuhtli, dewa api dan musim Aztec |
Huehueteotl-Xiuhtecuhtli
mewakili keupayaan dunia untuk berubah sifat dan melakukan penjanaan semula.
Beliau juga bertanggungjawab ke atas pertukaran musim dan kitaran alam yang
lain, yang berkaitan dengan pembaharuan dan penjanaan semula bumi.
Satu lagi peranan
penting yang dimainkan oleh Huehueteotl-Xiuhtecuhtli adalah mencipta matahari.
Beliau sangat penting dalam tradisi agama Mesoamerika purba dan gambarannya
buat kali pertama muncul di tapak-tapak arkeologi seperti Cuicuilco yang
usianya menjangkau zaman pra-klasik Mesoamerika.
Antara dewata kosmik
lain yang utama adalah Tezcatlipoca. Tezcatlipica atau ‘Cermin Asap’ dianggap
sebagai dewa malam dan sihir. Beliau diyakini oleh masyarakat Aztec sebagai
dewa keadilan yang mennghakimi pelaku-pelaku jenayah.
Raja-raja Aztec
dianggap sebagai wakil-wakilnya dalam melaksanakan penghakiman tersebut. Mereka
turut dituntut untuk melaksanakan upacara di hadapan patung dewa berkenaan bagi
memperoleh hak untuk memerintah. Dalam beberapa buah tradisi Mesoamerika,
Tezcatlipoca dianggap sebagai dewata terulung yang amat berkuasa lagi suci.
Beliau adalah figura yang digeruni, yang menjadi personafikasi bagi alam itu
sendiri.
Quetzalcoatl juga
merupakan dewa penting yang dikaitkan dengan planet. Namanya boleh
diterjemahkan sebagai ‘Naga Berbulu’. Masyarakat Aztec mempercayai bahawa
beliau merupakan pencipta manusia di samping dewata yang paling ramah terhadap
manusia.
![]() |
| Kuil Naga Berbulu Aztec di Xochicalco, dihiasi dengan ukiran naga berbulu |
Beliau juga dianggap
sebagai dewa kesenian dan ilmu pengetahuan. Tambahan lagi, beliaulah dewa yang
menyelamatkan manusia pada permulaan zaman matahari kelima dan mengembalikan
tulang-temulang manusia dari alam kematian agar nyawa dapat dimasukkan semula
ke dalam tubuh mereka.
Salah satu dewa yang
menojol bagi aktiviti pertanian, unsur air dan kesuburan adalah dewa hujan yang
bernama Tlaloc. Dalam hasil-hasil seni masyarakat Aztec dan Mesoamerika, Tlaloc
digambarkan sebagai dewa yang memakai kaca mata. Antara dewa penting dalam hal
peperangan dan ritual korban pula adalah Huitzilopochtli. Dewata ini dianggap
sebagai dewa kebangsaan Aztec. Namanya membawa maksud ‘Hummingbird Kiri’.
KOSMOLOGI
DAN MASYARAKAT AZTEC
Masyarakat Aztec
percaya bahawa alam terdiri daripada tiga tingkat yang bersambung dengan paksi
pusat. Paksi pusat ini kononnya menghubungkan alam kematian, alam bumi dan alam
kayangan.
![]() |
| Templo Mayor Aztec di Tenochtitlan |
Dunia bagi manusia
dikenali sebagai Tlaltipac, yang berbentuk seperti sekeping cakera di
tengah-tengah alam semesta. Alam kematian pula terdiri daripada 9 tingkat.
Kayangan pula mempunyai 13 tingkat.
Masyarakat Aztec
meyakini bahawa alam ini terdiri daripada hubungan yang saling berbalikan, di
mana keseimbangan menjadi tunjang utama yang membolehkan dunia terus berfungsi.
Keseimbangan ini meliputi panas dan sejuk, kering dan basah, lelaki dan wanita,
serta cahaya dan gelap.
Dualisme sebegini
sangat sebati dalam hati dan pandangan alam masyarakat Aztec. Mereka percaya
bahawa manusia bertanggungjawab dalam mengekalkan keseimbangan alam menerusi
ritual dan korban manusia.
KOSMOGONI
DAN MASYARAKAT AZTEC
Bentuk paling lazim
dalam mitos penciptaan masyarakat Aztec menyebutkan bahawa pada permulaan masa,
alam ini dipenuhi dengan kekosongan. Dewa pencipta mereka memiliki kedua-dua
jantina dan sifat – lelaki dan wanita, cahaya dan gelap, jahat dan baik. Dewa ini
memiliki empat anak, iaitu Tezcatlipoca, Quetzalcoatl, Xipe Totec dan
Huitzilpochtli.
Masyarakat Aztec juga
meyakini bahawa empat zaman telah pun berlalu dan kini, mereka hidup di zaman
matahari kelima. Pada setiap zaman, satu dewa yang berbeza memainkan peranan
sebagai matahari dan setiap zaman juga dikaitkan dengan elemen yang berlainan.
Pada zaman matahari
pertama, Tezcatlipoca memainkan peranan sebagai matahari. Namun, beliau tidak
berupaya mencapai tingkat tertentu dan hanya menjadi separa-matahari. Pada
zaman ini, dunia dihuni oleh gergasi. Berlaku persengketaan antara Tezcatlipoca
dan Quetzalcoatl. Para gergasi pula dimusnahkan dengan wabak harimau bintang.
Elemen bagi zaman ini adalah bumi.
![]() |
| Dewa Tezcatlipoca menjadi matahari pada zaman pertama |
Pada zaman matahari
kedua, Quetcalcoatl menjadi matahari dan manusia mengambil rupa bentuk seperti
manusia pada hari ini. Namun, manusia-manusia tersebut menjadi rosak sikapnya
lantas disumpah menjadi monyet. Kononnya, monyet moden merupakan keturunan mereka.
Zaman matahari kedua ini berakhir dengan badai ribut taufan yang dihantar oleh
Quetzalcoatl untuk menghapuskan hampir seluruh monyet berkenaan. Elemen yang
menjadi teras bagi zaman ini adalah angin.
Pada zaman matahari
ketiga, Tlaloc memerintah sebagai dewa tertinggi dan elemen bagi zaman ini
adalah api. Di zaman inilah Tezcatlipoca menculik isteri Tlaloc. Untuk membalas
dendam, Tlaloc mengubah kesemua manusia yang menghuni dunia menjadi ayam turki,
anjing dan rama-rama. Zaman ini berakhir apabila api memenuhi langit atas
perintah Quetzalcoatl.
![]() |
| Patung dewa Tlaloc di Mexico |
Pada zaman matahari
keempat, adik perempuan Tlaloc iaitu Calchiuhtlicue menjadi dewata tertinggi.
Elemen bagi zaman ini adalah air. Pada zaman ini, Quetzalcoatl dan Tezcatlipoca
saling menyimpan rasa cemburu sekaligus mengakibatkan matahari jatuh dari
langit. Zaman ini berakhir dengan bencana banjir dan manusia dari zaman ini
diubah menjadi ikan.
Zaman matahari kelima
pula adalah zaman yang berlangsung sekarang. Dewa yang menjadi matahari bagi
zaman ini adalah Nanahuatzin. Kononnya pada permulaan zaman ini, para dewa
mengorbankan diri untuk membolehkan nyawa manusia dikembalikan.
BANJIR
PARA DEWA DAN KORBAN MANUSIA
Masyarakat Aztec
percaya bahawa para dewa telah menumpahkan darah mereka sendiri untuk
menghidupkan semula alam dan manusia. Lantaran itu, manusia berhutang kepada
para dewa dan perlu membayar semula dengan cara menumpahkan darah mereka
senidri.
Kononnya jika mereka
tidak berbuat demikian, keseimbangan alam akan hilang. Pahlawan-pahlawan Aztec
digalakkan untuk mencontohi amalan mengorbankan diri sendiri yang dilakukan
oleh para dewa demi melancarkan pergerakan alam.
Cara yang paling
berkesan untuk membekalkan darah buat alam adalah dengan mengorbankan hati
manusia. Atas sebab inilah para pahlawan dan mangsa perang dikorbankan secara
berkala sepanjang tahun.
KALENDAR
RITUAL AZTEC
Sama seperti kebudayaan
Mesoamerika yang lain, masyarakat Aztec merupakan ahli astronomi yang mahir.
Pengetahuan tentang kitaran astronomi sangat penting untuk mengetahui peredaran
masa dan membantu dalam pertanian serta penetapan upacara sivik dan keagamaan.
![]() |
| Lukisan kosmologikal Aztec dengan dewa Xiuhtecuhtli, dewa api dan musim (calendar) berada di tengah dan dewa-dewa penting lain di sekelilingnya, setiap satu di hadapan sebatang pokok keramat |
Kalendar Aztec terdiri
daripada 260 hari bagi kitaran ritual dan 365 hari bagi kitaran matahari.
Kalendar 260 hari terhasil daripada pemerhatian yang dilakukan oleh para paderi
dan ahli astronomi Mesoamerika di mana kononnya, matahari mencapai titik
kemuncak di atas kota Capan di Maya pada setiap 260 hari. Kalendar ritual ini
mengandungi 20 buah tempoh yang setiap tempoh terdiri dari 13 hari. Penetapan
hari bagi ritual dan festival bagi setiap dewa utama diselaraskan sepanjang 260
hari itu.
Kalendar 365 hari pula
berdasarkan tahun matahari. Kalendar ini secara umum digunakan untuk tujuan
pertanian memandangkan ia lebih tepat dengan peredaran musim. Ia dibahagikan
kepada 18 tempoh di mana setiap tempoh mengandungi 20 hari.
5 hari terakhir bagi
setiap tahun dianggap sebagai tempoh peralihan. Tempoh ini dihabiskan dengan
kelangsungan festival-festival keagamaan. Setiap 52 tahun, calendar olar dan
calendar ritual akan menemui titik selari. Pada masa itu, festival selama 12
hari akan diadakan dan pada permulaan festival ini, kesemua api akan dipadam.
12 hari selanjutnya
merupakan tempoh berpuasa di seluruh kota. Pada akhir tempoh berpuasa ini,
seorang banduan akan dikorbankan dan api upacara akan dinyalakan semula.
Upacara ini bertujuan untuk menjadi simbolisme bahawa matahari akan terus
menyinari alam untuk 52 tahun berikutnya.
KUIL-KUIL
AZTEC
Kompleks kuil
Mesoamerika lazimnya terdiri daripada sebuah platform yang ditnggikan. Atau
jika tidak, ia berbentuk piramid dengan sebuah kuil diletakkan di tingkat
tertinggi. Pada tapak platform atau piramid ini mula terdapat plaza atau
kawasan lapang.
![]() |
| Kuil Itza Chichen |
Ruangan-ruangan terbuka
ini dibina bersebelahan dengan tangga yang membawa ke gerbang kuil. Contoh
terawal yang menerapkan seni bina sebegini datang dari zaman Olmec, iaitu
sekitar 1200-900SM. Melepasi tahun 600SM, ciri sebegini disebarkan ke seluruh
Mesoamerika dan dijadikan sebagai piawai bagi seni bina kuil sehingga zaman
ketibaan Sepanyol. Upacara pemujaan lazimnya dilangsungkan di kawasan luar dan
di dalam kuil itu sendiri.
KUIL
KORBAN
Masyarakat Aztec
lazimnya menggunakan banduan perang sebagai korban manusia. Mangsa korban
kebiasaannya akan dimaklumkan bahawa mereka adalah seorang yang berani
seandainya memberikan kerjasama.
Mereka percaya bahawa
gempa bumi yang bakal memusnahkan dunia hampir sahaja berlaku. Untuk
melambatkan ketibaan bencana itu, korban-korban manusia perlu dipersembahkan.
Jika tidak, bukan sahaja gempa bumi akan berlaku, malah matahari tidak akan
muncul lagi dan dunia akan menemui pengakhirannya.
Lazimnya, mangsa-mangsa
korban ini akan dibawa ke altar di mana mereka akan dipegang oleh empat orang
paderi. Seorang pegawai kemudian akan mengeluarkan hati mangsa dari dadanya dan
hati tersebut akan dipersembahkan di altar. Setelah itu, tubuh mangsa akan
ditolak atau diturunkan dari tangga kuil, bergantung kepada keberanian yang
dipamerkan oleh mangsa.
Jumlah manusia yang dikorbankan
bergantung kepada keadaan. Kadangkala, hanya seorang sahaja yang dikorbankan.
Namun ada juga kes di mana angka tersebut mencecah ribuan orang.
Disebabkan adanya
keperluan secara berterusan terhadap korban manusia, maka masyarakat Aztec
sentiasa mengadakan peperangan ritual dengan tujuan khusus untuk menangkap
tawanan perang untuk dijadikan sebagai korban. Perang-perang sebegini disebut
sebagai perang bunga. Antara kaum yang lazim menjadi serangan mereka adalah
kaum Tlaxcala.
AGAMA
AZTEC – LEBIH DARI SEKADAR RITUAL KORBAN
Agama masyarakat Aztec
amat sinonim dengan persembahan korban manusia. Aspek-aspek lain di dalam
kepercayaan Mesoamerika seperti hubungan yang mendalam dengan kitaran alam,
lazim dikesampingkan. Padahal faktor berlangsungnya amalan mempersembahkan
korban manusia adalah bertuntas daripada kepercayaan mereka yang berpaksi pada
keseimbangan alam.
Masyarakat Aztec juga
memandang tinggi pendidikan dan kesenian. Salah satu dewa paling penting dalam
panteon Mesoamerika adalah Quetzalcoatl. Beliau mengajarkan manusia kaedah
menggunakan sumber alam untuk membangunkan kemajuan. Untuk itu, mereka terlebih
dahulu perlu diajar pengetahuan tentang alam. Pada sudut sebegini, Quetzalcoatl
diangap mirip dengan Prometheus, dewa dalam mitologi Yunani.
Ilmuwan berpendapat
bahawa andai kebudayaan Mesoamerika dapat hidup selama beberapa kurun lagi,
mungkin sahaja idea-idea tentang Quetzalcoatl ini akan membawa kepada
kebangkitan keilmuan bagi Mesoamerika sebagaimana yang berlaku di Ionia dan
pantai timur Aegean sekitar tahun 500-400SM, di mana ahli-ahli falsafah
pra-Socrates menjadi masyarakat barat pertama yang mengemukakan pemikiran
tentang sains dan asal-usul sumber bumi.
Terdapat banyak aspek
keagamaan masyarakat Aztec yang mungkin tidak sesuai untuk terus diterapkan di
zaman moden, seperti amalan mempersembahkan korban manusia. Namun, sebahagian
aspek yang lain pula mungkin boleh memperkayakan dunia moden justeru
membuktikan bahawa falsafah dan kepercayaan masyarakat Aztec jauh lebih
kompleks dan terkehadapan berbanding apa yang sering kita gambarkan.
SUMBER
- Aztec.com. 2010. Religion. Aztec Systems Corp.
- Aztec-history.com. Date Unknown. Aztec Flower War.
- Barone, F. 2017. Featured Culture: Aztecs, cosmology and ancient rituals in eHRAF. Human Relations Area Files.
- Gendrop, P. 1987. Temple: Mesoamerican Temples. Encyclopedia of Religion. Encyclopedia.com.
- Gillan, J. 2019. The Aztec Calendar Wheel and the Philosophy of Time. Ancient Origins.
- Holloway, A. 2013. Aztec Creation myths. Ancient Origins.
- Maestri, N. 2019. Huitzilopochtli. ThoughtCo.
- Maestri, N. 2019. Profile of Huehueteotl-Xiuhtecuhtli, Aztec God of Fire. ThoughtCo.
- Maestri, N. 2019. Quetzalcoatl – Pan-Mesoamerican Feathered Serpent God. ThoughtCo.
- Maestri, N. 2019. Tezcatlipoca: Aztec God of Night and Smoking Mirrors. ThoughtCo.
- Maestri, N. 2019. The Aztec Religion and Gods of the Ancient Mexica. ThoughtCo.
- Nicholson, H. 2005. Mesoamerican Religions: Postclassic Cultures. Encyclopedia of Religion.
- Senior, M. 1996. Aztec Cosmology and Worldview. The Art History Department at the Australian National University, Canberra.
- Get link
- X
- Other Apps







