- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (23 Mei 2013). Archaeologists unearth one of the world’s oldest
civilizations in Bahrain. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/archaeologists-unearth-one-world-s-oldest-civilizations-bahrain-00472
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/archaeologists-unearth-one-world-s-oldest-civilizations-bahrain-00472
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ketika berbicara
tentang tamadun-tamadun purba, kebiasaannya tamadun yang tercetus dalam fikiran
adalah Mesir, Cina, Maya, Lembah Indus mahupun Mesopotamia. Jarang sekali
bayangan kita meneroka bumi Bahrain, yang pada hakikatnya adalah wilayah yang
menempatkan salah sebuah tamadun perdagangan tertua di dunia.
Bahrain memiliki banyak
tapak purba dan salah satunya terletak di Saar. Tapak tersebut memiliki
signifikasi yang sangat tersendiri. Ia pernah menjadi tapak bagi tamadun Dilmun
yang penuh misteri, yang dipercayai berdiri pada milenium ke-3SM.
Kerja-kerja ekskavasi
yang dijalankan di tapak arkeologi yang ditemukan di Saar (dinamakan bersempena
kampung moden paling berhampiran) itu kini mendedahkan maklumat baru tentang
tamadun purba lagi maju tersebut. Antaranya adalah tapak ini menghadirkan
pengetahuan kepada ahli arkeologi bahawa ia pernah menjadi sebuah hab bagi
laluan perdagangan utama antara Mesopotamia – tamadun tertua dunia – dan Lembah
Indus di Asia Selatan. Dilmun juga dipercayai mempunyai hubungan komersial
dengan tapak-tapak purba seperti Elam di Oman, Alba di Syria dan Haittan di
Turki.
Ahli-ahli arkeologi
kini menumpukan perhatian kepada pemeliharaan tapak berkenaan agar ia dapat
bertahan sehingga tempoh yang panjang di masa hadapan. “4000 tahun tapak ini
berada di bawah tanah dan makanya ia berada dalam keadaan yang terpelihara,”
ujar Salman al-Mahari, ketua pasukan arkeologi yang bertugas. “Kini setelah
menjalani kerja-kerja ekskavasi, ia mula terdedah kepada bahaya cuaca. Kami
tidak memiliki perancangan masa terdekat untuk menjalankan kerja-kerja
ekskavasi lanjut. Kami hanya mahu melindungi tapak ini dan menjelaskan apa yang
telah kami temukan ini kepada para pengunjung.”
Usaha-usaha
penyelidikan di tapak-tapak purba di Bahrain telah mendedahkan satu ciri
uniknya yang amat khusus, iaitu kelimpahan air manis yang mengalir daripada
mata air-mata air menjadi salah satu batu penjuru bagi Tamadun Dilmun. Pulau
tersebut adalah sebuah oasis subur purba yang terpencil. Hal ini melahirkan
legenda yang menyebutkan bahawa Bahrain berkemungkinan adalah Kebun Eden yang
dikisahkan di dalam Bible.
Satu lagi aspek yang
menarik pada Tamadun Dilmun adalah amalan kepercayaan mereka yang boleh
dibuatkan perbandingan dengan komuniti yang lebih maju di zaman itu. “Sistem
kepercayaan di sini (Dilmun) mempunyai banyak persamaan dengan Mesopotamia dan
Mesir,” ujar Abdullah Hassan Yehia, pegawai yang menjaga Qal’at Bahrain.
“Kepercayaan mereka terhadap kehidupan selepas mati dapat dibuktikan menerusi
amalan mengebumikan si mati bersama pemilikannya seperti peralatan, makanan,
bekas minuman dan emas. Kami bahkan pernah menemukan senjata.”
Ahli-ahli arkeologi di
Bahrain kini berusaha keras untuk mempersembahkan kebudayaan dan sejarah purba
mereka kepada orang ramai dengan tujuan agar mereka dapat menyaksikan dan
menghargainya pada masa akan datang. Khalifa Ahmed al-Khalif, Pembantu Pengarah
Program di Pusat Warisan Dunia rantau Arab berkata, “Dengan bantuan teknologi
baru, kami berupaya meletakkan Bahrain di peta dunia purba.”
- Get link
- X
- Other Apps
