- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (4 November 2013). ‘Historical Amnesia’ has led to forgotten
achievements of Muslim culture. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-evolution-human-origins/historical-amnesia-has-led-forgotten-achievements-muslim-culture-00998
https://www.ancient-origins.net/news-evolution-human-origins/historical-amnesia-has-led-forgotten-achievements-muslim-culture-00998
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dalam sebuah artikel
yang ditulis oleh Craig Considine, beliau telah menyebutkan tentang bagaimana
berlakunya ‘amnesia sejarah’ yang ekstrim yang berlaku terhadap pencapaian dan
sumbangan tamadun Islam dalam pendidikan, falsafah, penjagaan kesihatan dan
sains.
SUMBANGAN
DALAM BIDANG PENDIDIKAN
Mungkin, sebilangan
masyarakat akan berasa terkejut apabila mengetahui bahawa universiti paling tua
di dunia ditubuhkan oleh dua orang wanita Muslim, iaitu Fatima dan Miriram
al-Firhi. Mereka berdua menubuhkan al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi pada tahun 859M.
Pelajar-pelajar yang mendapatkan pendidikan di sini kebanyakannya mengambil
subjek secular dan agama.
Di penghujung tempoh
pembelajaran, pihak guru akan membuat penilaian ke atas para pelajar dan
menganugerahkan ijazah kepada mereka berdasarkan prestasi yang
memberangsangkan. Konsep penganugerahan ijazah seperti ini kemudiannya tersebar
ke Andalusia, Sepanyol dan kemudian memasuki Universities of Bologna di Itali
dan Oxford di England.
Muslim-Muslim Sepanyol
di Andalusia merupakan ejen penggalak pendidikan yang amat berpengaruh dan pada
kurun ke-8 hingga kurun ke-15 Masehi, ia menjadi salah satu pusat pendidikan
dan keilmuan utama dunia. Pelajar-pelajar yang datang daripada kumpulan
keagamaan lain mempelajari sains daripada ilmuwan Islam dalam sebuah suasana
keilmuan yang menitikberatkan kepentingan bertoleransi.
SUMBANGAN
DALAM BIDANG FALSAFAH
Salah satu sumbangan
terbesar umat Islam kepada tamadun manusia dilakukan pada kurun ke-8 Masehi
apabila ilmuwan-ilmuwan Islam menterjemahkan mutiara-mutiara hikmah yang
terkandung di dalam teks-teks falsafah Yunani purba, sekaligus membawa kepada
salah satu proses pemindahan ilmu terbesar dalam sejarah manusia.
Ilmuwan-ilmuwan Islam
membawa idea penulis-penulis Yunani ulung seperti Socrates, Aristotle dan Plato
ke Eropah, di mana falsafah mereka kemudiannya diterjemahkan ke dalam
bahasa-bahasa di sana. Umat Islam menghidupkan semula falsafah Yunani dan
meniupkan nyawa baru kepada benua Eropah yang sebelum itu telah pun diruntuhkan
oleh dogma keagamaan dan konflik dalaman yang berpanjangan.
![]() |
| Averroes (Ibnu Rusydi), seorang ahli falsafah Muslim dan pengasas Averroisme, satu gerakan falsafah yang masyhur di Eropah zaman pertengahan |
SUMBANGAN
DALAM BIDANG KESIHATAN
Pada tahun 872 Masehi
di Kaherah, Mesir, hospital Ahmad ibn Tulun dibangunkan dan dilengkapi dengan
sebuah institusi yang menghadirkan kepelbagaian fungsi: sebagai sebuah pusat
rawatan kesihatan, sebuah rumah pemulihan bagi mereka yang sedang menjalani pemulihan
dari penyakit atau kemalangan, dan rumah penjagaan yang menyediakan keperluan
hidup asas kepada golongan berusia dan lemah yang tidak mempunyai keluarga
untuk menjaga mereka.
Hospital ini juga
adalah yang pertama memberikan rawatan kepada pesakit mental. Sama seperti
hospital-hospital Islam yang lain, Hospital Ahmad ibn Tulun merupakan sebuah
institusi sekular yang meletakkan keutamaan moral dalam merawat mana-mana insan
tanpa mengira sama ada lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak, dan Muslim
mahupun bukan-Muslim.
Seratus tahun sesudah
tertubuhnya hospital berkenaan, seorang pakar bedah bernama Al-Zahrawi
mengarang sebuah ensiklopedia bergambar yang mutakhirnya digunakan sebagai
kitab rujukan bagi pakar-pakar bedah di Eropah sepanjang lima kurun lamanya.
Peralatan bedah yang digunakannya, seperti pisau bedah, pemotong tulang, dan
forsep masih lagi digunakan oleh pakar-pakar bedah moden pada hari ini. Beliau
juga dicatatkan sebagai pakar bedah pertama yang melakukan pembedahan caesarean.
![]() |
| Lukisan seorang lelaki menerima rawatan di sebuah hospital Islam |
SUMBANGAN
DALAM BIDANG SAINS
Umat Islam juga
memberikan sumbangan yang signifikan dalam bidang sains. Kurun ke-7 hingga
kurun ke-16 Masehi dijuluki sebagai Zaman Emas Islam. Tamadun berkenaan
mengamal dan memajukan sains pada skala yang belum pernah dilakukan oleh
manusia dalam sejarah-sejarah lampau.
Saintis-saintis Islam
mencipta banyak proses dan peralatan asas yang digunakan oleh ahli-ahli kimia
moden. Mereka turut dikreditkan dengan perubahan alkemis kepada ilmu kimia
menerusi penyulingan pada kurun ke-8 dan kurun ke-9 Masehi.
Di zaman pertengahan,
tamadun Islam memandang sains secara holistik. Disiplin-disiplin sains didekati
secara saling berkait antara satu disiplin dengan satu disiplin yang lain, di
samping pendekatan secara menyeluruh – seakan-akan ia adalah dahan-dahan bagi
sebatang pokok. Saintis-saintis Islam yan terkemuka lazimnya mahir dalam ilmu
perubatan, astronomi dan matematik. Ilmuwan-ilmuwan yang memiliki bakat yang
pelbagai ini memerincikan dan mencirikan kesatuan sains. Mereka mengadunkan
pembangunan sains dengan kedalaman pandangan yang mereka miliki, dan berjaya
dalam penerokaan atau ujikaji yang dilakukan.
Umat Islam memberikan
sumbangan yang cukup besar buat tamadun manusia. Menurut Consodine, manusia di
seluruh dunia seharusnya diajar tentang sumbangan-sumbangan tersebut supaya
dapat menghindarkan tercetusnya persepsi yang salah di samping agar budaya atau
peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah dunia seperti ini tidak lagi dilupakan
atau dipandang enteng.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Amnesia Sejarah: Dunia Melupakan Pencapaian Tamadun Islam’
- Get link
- X
- Other Apps


