BERIMPIAN MAHU MEMBINA SEMULA ALEPPO, REMAJA INI BANGUNKAN MODEL BANDARNYA SENDIRI

Pautan ke artikel asal:
Diyora Shadijjanova. (6 Januari 2017). This Boy Dreams of Rebuilding Aleppo – So He Did It. Mvslim.
https://mvslim.com/syrian-boy-builds-a-hopeful-model-for-future-aleppo/

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sekarang ini (2017), Aleppo dan juga seluruh Syria menyimpan takdir masa hadapan yang tidak menentu. Banyak bandar telah musnah menjadi debu dan puing-puing bangunan. Tiada siapa yang mampu menjawab persoalan; siapakah yang akan membina semula Aleppo dan adakah ia suatu perkara yang boleh dilakukan?

Mohammed Qutaish, seorang pelarian Syria yang berusia 14 tahun menghasilkan sebuah model bercirikan futuristik bagi bandar Aleppo, yang telah musnah akibat perang. Beliau sememangnya berbakat dan berminat dalam seni melukis dan kedua ibu bapanya banyak membantu dalam mengembangkan lagi kemahirannya itu.

Beliau meluangkan masa selama beberapa tahun untuk menyiapkan model berkenaan, yang menurutnya adalah Aleppo di zaman moden. Model ini terdiri daripada bangunan-bangunan pelbagai warna, menara pencakar langit, taman-taman hijau, villa dan sistem laluan keretapi dan jalan yang maju.

Beliau juga membina semula Citadel, monumen bersejarah yang sebahagian daripadanya telah pun musnah akibat dibom. Turut membentuk model tersebut adalah kawasan lancongan dan petempatan penduduk.



Mohammed mereka-bentuk model ini dengan hanya menggunakan kertas, lukisan dan span dengan berpandukan video-video bimbingan di Internet.

‘Aleppo Masa Hadapan’ kini disimpan rapi di Muzium Bandar New York dan kelak akan dipindahkan ke Muzium Victoria dan Albert di London.

Mohammed mengatakan bahawa apabila beliau sudah meningkat dewasa, beliau ingin menjadi seorang arkitek dan pada suau hari nanti, beliau berimpian untuk ‘menjadikan bangunan-bangunan kertas ini sebagai bangunan sebenar’. Beliau percaya bahawa generasi mendatang akan memainkan peranan besar dalam membina semula bandar dan negara. Antara pesanannya kepada masyarakatnya adalah:

“Jika anak anda mempunyai bakat, harap anda dapat membantunya dalam mengembangkan lagi kemahirannya itu. Bantu kami dalam membina semula negara dan masyarakat kita.”

Beliau juga menambah, “Jika keadaan (di bandar ini) menjadi tenang (dan selamat), saya akan menamatkan pengajian. Saya tidak mahu meninggalkan Syria, kerana apa sahaja yang boleh saya buat di luar negara, saya boleh lakukannya di sini.”

Buat masa sekarang (2017), bandar ini mungkin masih mengalami keruntuhan, dengan puing-puing bangunan memenuhi bandar yang dahulunya berdiri megah. Namun, Mohammed menghidupkan sinar harapan yang membawa mesej bahawa Aleppo dapat dibina semula pada suatu hari nanti.

Kini, bandar ini mungkin dalam runtuhan, dengan puing-puing memenuhi bandar yang dahulunya bersinar. Namun, Mohammed membawa sinar harapan bahawa Aleppo dapat dibina semula pada suatu hari nanti.