- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (23 Jun 2019). El Tajin, The Lost City of a Mysterious People.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/el-tajin-0012184
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/el-tajin-0012184
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dalam dekad-dekad
kebelakangan ini, banyak kota purba yang hilang telah ditemui semula oleh
ahli-ahli arkeologi atau peneroka. Salah satu penemuan semula kota purba yang
paling misteri adalah kota puba El Tajin yang terletak di Veracruz, Mexico.
Kota tersebut telah pun disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada
tahun 1900an memandangkan kesemua monumen yang terdapat di El Tajin,
termasuklah lanskap sekitarnya telah menggagahi kurun yang panjang, tersembunyi
dari manusia di sebalik hutan tropika.
MISTERI EL TAJIN
Kota purba tersebut
dibina dan dihuni pada tempoh 800SM hingga 1200M oleh sebuah tamadun yang
ilmuwan berpendapat dipengaruhi oleh Olmecs, walaupun siapa sebenarnya mereka
masih lagi belum diketahui secara pasti. Sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa
mereka adalah nenek-moyang kepada Toltecs, atau paling tidak, mereka adalah
salah satu cabang dari bangsa Maya yang gagah. Beberapa bukti yang ada
memberikan petanda bahawa masyarakat yang membina El Tajin ini adalah
nenek-moyang kepada masyarakat Huastec yang masih hidup di Veracruz pada hari
ini.
Bukti arkeologi yang
ditemui mengisyaratkan bahawa kota purba tersebut bersifat mewah dan kaya.
Malah, ia dipercayai merupakan ibu kota bagi sebuah kerajaan yang mendominasi
bahagian barat daya Mexico. Ia memainkan fungsi sebagai rangkaian perdagangan
yang penting dan merupakan sebuah bandar multi-etnik.
Pada masa-masa
kemuncaknya, terdapat sekitar 20 000 orang yang menetap di El Tajin,
terutamanya di sekitar kawasan bukit. Kota purba tersebut dan kawasan
sekitarnya terselamat dalam keruntuhan sosial yang berlaku di Zaman Klasik dan
malah, terus berkembang maju. Namun pada tahun 1300 Masehi, bandar ini diserang
oleh sebuah komuniti nomad yang dikenali sebagai Chitimec, yang hidup di
kawasan Mexico utara. Sebahagian daripada kota purba ini habis dimusnahkan dan
ditinggalkan.
Penghuninya kemudian
menubuhkan sebuah kota baharu di tempat yang jauh. Kota purba El Tajin yang
ditinggalkan ini diketahui oleh Toltecs dan kemudian Aztecs. Mereka mengaitkan
runtuhan kota purba tersebut dengan alam ghaib dan alam kematian. Selepas era
penaklukan Sepanyol, kota ini sama sekali dilupakan. Mungkin, kelupaan ini
mempunyai kaitan dengan runtuhnya komuniti Huastec berikutan perang dan wabak
penyakit.
PENEMUAN
SEMULA KOTA PURBA EL TAJIN YANG TELAH LAMA HILANG
El Tajin terletak di
tanah tinggi semi-tropika dan justeru ia dengan pantas diselubungi oleh
pokok-pokok hutan. Kota purba ini tersembunyi di sebalik hutan tebal dan hanya
ditemukan semula oleh seorang pegawai kerajaan yang sedang mencari
ladang-ladang tembakau haram pada tahun 1785 Masehi.
![]() |
| Model El Tajin berskala kecil |
Khabar penemuan kota
purba yang hilang ini mencetuskan kekecohan, namun hanya pada kurun ke-20
barulah kota ini menjalani kerja-kerja ekskavasi. Penemuan minyak pula
membuatkan kawasan hutan tersebut mula dibersihkan oleh ahli-ahli arkeologi.
Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini hanya 50% sahaja dari kota El Tajin
telah diselidiki dan diisytiharkan sebagai tapak arkeologi negara demi
melindungi runtuhan-runtuhan yang terdapat di dalamnya.
KEAJAIBAN
EL TAJIN, MEXICO
Bahagian tertua pada
kota ini adalah kawasan yang disebut sebagai Kumpulan Aroyo (Aroyo Group), iaitu sebuah plaza yang
dikelilingi oleh sejumlah piramid bertangga yang ditemukan semula di sebalik
hutan tebal. Di bahagian puncaknya pula terdapat sejumlah kuil.
Sebelum kota tersebut
tumbang, plaza ini digunakan sebagai pasar yang turut dihiasi dengan pelbagai
patung. Mungkin, bangunan yang paling penting yang terdapat di El Tajin adalah
Piramid Ceruk. Piramid tersebut mendapat namanya lantaran banyaknya ceruk yang
terdapat di setiap tingkat, seolah-olah ianya adalah gua yang mensimbolkan
laluan masuk ke alam kematian. Binaan ini diperbuat daripada batu-batu ubin (flagstone) dan berdiri setinggi tujuh
tingkat. Piramid Ceruk terdiri daripada tiga sisi yang cerun dan satu dinding
yang menegak – suatu ciri lazim bagi Mesoamerika.
![]() |
| Piramid Ceruk, El Tajin |
Apa yang membuatkan
piramid ini dan juga piramid-piramid lain yang lebih kecil agak menonjol adalah
penggunaan sagang-sagang terbang (flying
butrresses). Ramai pakar meyakini bahawa piramid tersebut pernah diwarnakan
merah dan pada puncaknya terdapat sebuah patung dewata yang besar. Tidak
seperti kuil-kuil yang lain, Kuil Biru yang berada di puncak Piramid Ceruk
tidak mempunyai sagang-sagang terbang.
Satu lagi kawasan penting
yang terdapat di El Tajin adalah Tajin Chico, iaitu sebuah kompleks bangunan
yang sebahagiannya merupakan bangunan pentadbiran. Kawasan ini terpelihara
dengan baik dan ia turut diperbuat daripada batu-batu ubin.
Terdapat
sekurang-kurangnya 17 buah gelanggang bola di kota purba ini, di mana para
peserta bermain satu permainan yang mempunyai signifikasi keagamaan yang cukup
besar. Dipercayai bahawa tradisi ini diambil daripada kaum Maya, di mana pihak
yang kalah akan dipancung dan dkikorbankan kepada dewata.
![]() |
| Gelanggang bola di El Tajin |
TIPS
SEBELUM MENGUNJUNGI EL TAJIN
Terdapat bas-bas yang
bergerak dari Poza Rica/Papantla ke bandar El Tajin. Penginapan juga tersedia
di kawasan berhampiran kota purba tersebut. Selain mengunjunginya secara
berjalan kaki sendirian, pengunjung juga boleh mengupah pemandu pelancong.
Terdapat sebuah muzium
yang mengandungi banyak artifak seperti altar. Relif-relif daripada sejumlah
monumen seperti Piramid Ceruk juga terdapat di sana, justeru menawarkan
pengalaman unik terhadap kehidupan masyarakat Mesoamerika dan kepercayaan
mereka. Pada setiap tahun dalam bulan Mac, terdapat sebuah keraian yang
dilangsungkan bagi menyambut budaya dan muzik asli. Di samping itu, bandar
moden Tajin juga mempunyai mercu-mercu tanda yang penting seperti gereja
Iglesias de la Asuncion.
SUMBER
- Koontz, R. (2009). Lightning gods and feathered serpents: the public sculpture of El Tajin. University of Texas Press.
- Tuggle, H. David. “Cultural inferences from the art of El Tajin, Mexico.” (1966)
- Tuggle, H. D. (1968). The Columns of El Tajin, Veracruz, Mexico. Ethnos. 33(1-4), 40-70
- Get link
- X
- Other Apps



