JAMBATAN MEHMED PASA SOKOLOVIC

Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (29 Oktober 2019). Depth and Beauty: Grand Vizier’s Mehmed Pasa Sokolovic’s Bridge. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/mehmed-pasa-sokolovic-bridge-0012787

Penterjemah: Amir Zayyanid


Jambatan Mehmed Pasa Sokolovic di bandar Visegrad, Bosnia and Herzegovina dianggap sebagai salah sebuah jambatan yang paling memesonakan di dunia. Ia juga merupakan salah satu tapak warisan paling penting di Bosnia dan tinggalan agung seni bina Uthmaniyah. Jambatan ini diangkat sebagai salah satu simbol negara Bosnia dan disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008.


SEJARAH JAMBATAN MEHMED PASA SOKOLOVIC

Bosnia and Herzegovina pernah menjadi sebahagian daripada Empayar Uthmaniyah pada kurun ke-15 hingga kurun ke-20 Masehi. Sepanjang tempoh berkenaan, Turki Uthmaniyah sempat meninggalkan sebuah warisan yang amat berharga di negara itu. Jambatan Visegrad dibina oleh Perdana Menteri (Wazir Tertinggi) Mehmed Pasa Sokolovic, seorang pegawai tinggi Empayar Uthmaniyah di zaman pemerintahan tiga orang sultan, yang berasal dari negara berkenaan.

Jambatan ini dibina di atas Sungai Drina sekitar tahun 1571 hngga 1578 Masehi dengan tujuan untuk menggalakkan perdagangan dan aktiviti komersial. Kerja-kerja pembinaan sebegini sememangnya lazim dijalankan oleh perdana menteri di kampung halaman asing-masing. Pembinaan jambatan ini diterajui oleh seorang artikek Uthmaniyah yang bernama Koca Mi’mar Sinan Aga (atau Mimar Sinan), antara arkitek terulung di zamannya. Jambatan tersebut dianggap sebagai salah sebuah mahakaryanya.

Jambatan ini telah beberapa kali menjalani pembaikpulihan, terutama kerana kerosakan yang dialami akibat dibadai banjir. Jambatan ini juga pernah rosak teruk semasa berlakunya Perang Dunia Pertama atau lebih tepat, ketika berlangsung pertempuran antara Serbia dan Austro-Hungary di mana tiga buah lengkungannya musnah akibat dibom.

Semasa Perang Dunia Kedua, iaitu ketikamana wilayah tersebut dikuasai oleh Jerman, sejumlah lengkungan pada jambatan ini musnah. Namun beberapa tempoh kemudian, kerosakan tersebut dibaikpulih. Ia sekali lagi menjadi mangsa peperangan ketika berlakunya Perang Saudara Bosnia (1991-1995). Walaupun jambatan tersebut tidak mengalami sebarang kerosakan teruk, kerja-kerja pembaikpulihan tetap jua dijalankan. Memandangkan pihak penguasa Bosnia tidak mampu membayar kos penyelenggaran, maka projek tersebut didanai sepenuhnya oleh kerajaan Turki.

Perincian salah sebuah lengkungan Jambatan Mehmed Pasa Sokolovic


Jambatan ini terletak di kawasan Bosnia yang diperintah oleh Republika Srpska, iaitu sebuah kawasan yang majoritinya berbangsa Serbia. Mereka memiliki autonomi yang besar berikutan termeterainya Perjanjian Damai Dayton, perjanjian yang bertanggungjawab menamatkan Perang Saudara Bosnia.

Kini, muncul kerisauan dalam kalangan masyarakat terhadap perancangan pihak kerajaan yang mahu melancarkan projek hidro-elektrik. Hal ini kerana projek berkenaan berkemungkinan mengakibatkan turunnya paras sungai dan merosakkan jambatan serta keindahan pemandangan semula jadinya. Jambatan ini sering dilihat sebagai salah satu simbol Bosnia yang penting. Malah, ia dijadikan sebagai latar bagi sebuah novel klasik yang berjudul The Bride over the Drina karangan Ivo Andic, pemenang anugerah Nobel.


SALAH SEBUAH JAMBATAN PALING INDAH DI DUNIA

Jambatan ini merupakan salah sebuah contoh hidup terhebat yang mewakili seni bina monumental Turki. Terdapat sebanyak 11 buah lengkungan pada jambatan berkenaan yang direka dengan gaya klasik Turki. Ukuran lengkungan-lengkungan tersebut adalah sekitar 33 kaki (11m) dan 45 kaki (15m). Jambatan ini secara kasarnya berukuran 50 kaki panjang (18m). Bahagian tengahnya sedikit menaik dan tanjakan-tanjakan di tebing kirinya pula merendah.

Di sepanjang jambatan ini terdapat batu kornis (batu hiasan) di atas lengkungan. Di bahagian tengah jambatan pula, masih bolehkelihatan runtuhan gerbang kayu dan kepingan tebal marmar yang didekorasi dengan tulisan-tulisan Arab sebagai memperingati sejarah pembinaan jambatan tersebut. Sebuah batu monumental turut dibina di jambatan ini bagi membenarkan para pengembara untuk beristirehat sambil menikmati pemandangan Sungai Drina yang indah.

Pandangan Jambatan Mehmed Pasa Sokolovic dari sisi lain


Monumen bersejarah ini dilindungi oleh pihak kerajaan Bosnia dan ia turut mengandungi zon penampan di setiap tebing. Walapun jambatan ini dianggap sebagai binaan autentik (asli) Uthmaniyah, terdapat juga beberapa bukti pengaruh budaya lain pada struktur pembinaan dan pembaikpulihannya. Beberapa elemen pada jambatan ini mirip dengan binaan dari zaman Renaissance Itali.

Arkitek Sinan turut dilihat mengambil inspirasi daripada pelan yang digunakan oleh Michelangelo dalam membina Kubah St Peter selain dipengaruhi oleh Florentine. Walaupun telah menjalani pembaikpulihan pada tahun-tahun kebelakangan ini, jambatan tersebut masih tetap berada dalam keadaan yang tidak begitu baik.


MENGUNJUNGI JAMBATAN MEHMED PASA SOKOLOVIC

Jambatan ini terletak di bandar Visegrad yang dengan mudah boleh diakses dengan menaiki pengangkutan awam. Pelancong juga boleh menempah pakej pelancongan untuk mengunjungi jambatan tersebut dengan lebih awal dan tiada bayaran kemasukan dikenakan. Pelancong juga boleh melihat keindahan jambatan ini dari sebuah café atau restoran tempatan. Jika anda sudah berada di sana, pastikan juga anda tidak terlupa untuk mengunjungi tempat-tempat menarik yang lain di kawasan itu.


SUMBER