- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Afifa Thabet. (13 Jun 2016). Everyone Should Know Kairouan, a City of Peace,
Knowledge and Power. Mvslim.
https://mvslim.com/kairouan-city-peace-knowledge-power/
https://mvslim.com/kairouan-city-peace-knowledge-power/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
DARI
PENGASASAN HINGGA KE ERA ABBASIYYAH
“Kairouan adalah Ibu
segala kota dan ibu kota dunia, ia adalah bandar terhebat di dunia Barat Islam,
paling ramai penduduknya, paling mewah, dan paling maju dengan
bangunan-bangunan yang sempurna,” tulis al-Idrisi, salah seorang ahli geografi
Muslim yang masyhur tentang pemerinciannya terhadap Kairouan di dalam bukunya, Nuzhah al-Musytaq fi Ishtiraq al-Afaq (Kenikmatan
Pada Keinginan Untuk Menjelajah Negeri-Negeri Jauh).
Kairouan yang juga
dikenali sebagai al-Qayrawan, adalah salah sebuah bandar Islam-Arab yang paling
masyhur di dunia. Terletak di tengah-tengah Tunisia, Kairouan memainkan peranan
yang penting dalam penyebaran Islam di Eropah dan Afrika.
Saya secara peribadi
jatuh cinta dengan Kairouan semasa lawatan pertama saya di bandar berkenaan.
Saya maih lagi ingat tanggapan pertama saya terhadap bandar bersejarah ini.
Saya berasa kagum dengan sejarah lampaunya yang gemilang dan berasa sangat
bersyukur kerana dapat merasai pengalaman berjalan di jalan-jalan bandar
lamanya, melawat pasar-pasarnya, menghidup rempat-ratus dari timur, dan merasai
manisan-manisan Tunisia.
Saya masih ingat betapa
bersyukur dan leganya hati saya semasa merasakan ketenangan Islam-Arab dari
masjid pertama yang dibina di Afrika Utara (dan salah sebuah masjid paling
penting di dunia), iaitu Masjid Jamek Kairouan atau lebih dikenali sebagai
Masjid Uqbah ibn Nafi.
SEJARAH
BANDAR KAIROUAN
Kairouan ditubuhkan
pada tahun 670 Masehi oleh Uqbah ibn Nafi, salah seorang komander tentera
Muslim yang berkhidmat untuk Dinasti Umayyah semasa pemerintahan Khalifah
Mu’awiyah ibn Abi Sufyan. Kairouan adalah bandar Islam-Arab pertama di Afrika
Utara.
Nama bandar tersebut
diambil daripada perkataan bahasa Arab iaitu kairuwan, yang datang daripada Karavan
dalam bahasa Parsi yang membawa maksud ‘kem ketenteraan atau tempat
beristirahat’. Pada asalnya, ia adalah sebuah kem ketentaraan dan sebuah pos
kawalan tentera. Kelak, bandar ini bakal menjadi tempat penting dalam
penaklukan bahagian barat Afrika Utara, negara-negara Sub-Sahara dan Eropah
(Andalusia, Sicily dan Malta).
Untuk memastikan bahawa
kota yang beliau tubuhkan ini tidak dirampas oleh Byzantine dan sekutu-sekutu
Berber bukan-Islam mereka di samping untuk menubuhkan bandar ketenteraan Islam
yang kuat, Uqbah dan pasukan tenteranya mendirikan tiga simbol penting bagi
Kairouan. Hal ini bertujuan untuk mempamerkan kekuatan agama, politik dan
ketenteraan Muslim kepada Byzantine dan sekutu mereka.
Perkara pertama yang
dilakukan adalah mengubah Kairouan dari sebuah kem ketenteraan kepada
bandar-berkubu. Perkara kedua pula adalah membina sebuah masjid, iaitu Masjid
Uqbah ibn Nafi.
Terdapat dua matlamat
di sebalik pembinaan masjid di wilayah yang baru dikuasai oleh Islam ini.
Pertama adalah untuk menyebarkan mesej persaudaraan antara Arab-Muslim dan
saudara-saudara Islam mereka yang baru, iaitu Berber-Mslim. Matlamat kedua pula
adalah untuk mempamerkan kepada Byzantine dan Berber bukan-Islam bahawa agama
Islam kini memiliki tapak yang kuat di rantau berkenaan.
Perkara selanjutnya
yang dilakukan oleh Uqbah di Kairouan adalah membina sebuah pusat pentadbiran
untuk menyelia pemerintahan Dinasti Umayyah di Kairouan di samping menjamin
kuasa politiknya di Afrika Utara. Menyusuli jejak langkahnya, seorang panglima
Muslim yang bernama Hassan ibn Nu’man menubuhkan kota Tunis, menewaskan
putera-putera Berber bukan-Islam di Al-Kahina lalu menawan Carthage.
Afrika Utara secara
rasmi menjadi wilayah Islam baharu dengan Kairouan berfungsi sebagai ibu
kotanya di rantau berkenaan. Sejak detik itulah kaum Muslim mula memasang
impian untuk menyebarkan Islam ke wilayah merentas laut di Eropah. Siapakah
yang mencetuskan idea tersebut? Beliau adalah Musa ibn Nusayr, panglima Umayyah
yang berkhidmat semasa pemerintahan Khalifah Al-Walid I, merangkap gabenor baru
yang mentadbir Kairouan. Beliau memerintahkan Tariq ibn Ziyad agar menakluki
Sepanyol dari Tangier. Kita pada hari ini mungkin tidak dapat menyebutkan
tentang penaklukan Al-Andalus atau wilayah-wilayah lain di Afrika Utara tanpa
menyebutkan peranan penting yang dimainkan oleh Kairouan.
Semasa Dinasti
Abbasiyah memerintah di Baghdad, Ifriqiyah (Tunisia moden meliputi Algeria
timur dan Libya barat) menjadi wilayah penampan. Ifriqiyyah melindungi Dinasti
Abbasiyah daripada musuh-musuh dalaman seperti sejumlah bangsa Berber yang
enggan menumpahkan kesetiaan kepada Abbasiyah, di samping musuh-musuh luar
terutamanya Byzantine yang beberapa kali melakukan cubaan untuk mendominasi
Laut Mediterranean.
Pada tahun 800 Masehi,
Khalifah Abbasiyah Harun al-Rashid menyerahkan Ifriqiyyah kepada Ibrahim ibn
al-Aghlab. Beliau ditugaskan untuk menangani Dinasti Umayyah di Al-Andalus dan
Dinasti Idrisiyyah (sebuah dinasti Syiah) di Maghribi.
Ibrahim ibn al-Aghlab
kemudiannya mengasaskan Dinasti Aghlabiyyah, dinasti Arab di Afrika Utara yang
pertama yang bersifat semi-merdeka dari pemerintahan Abbasiyah. Dalam erti kata
lain, Dinasti Aghlabiyyah mengambil sebarang keputusan berkenaan urusan dalam
negara mahupun luar negara seperti hal politik dan komersial tanpa merujuk
kepada pemerintahan pusat di Baghdad. Justeru itu, selama mana mereka membayar
ufti tahunan kepada Khalifah Abbasiyah dan nama khalifah disebutkan semasa
khutbah Jumaat, Kairouan terus menjadi ibu kota bagi Dinasti Aghlabiyyah.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kairouan: Kota Agung Umat Islam Yang Dilupakan’
- Get link
- X
- Other Apps

