- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Sarah P Young. (28 Januari 2019). Were the Women of Petra More Important Than
the Men? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/women-petra-0011401
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/women-petra-0011401
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kaum Nabataea merupakan
sebuah masyarakat yang menghuni Semenanjung Tanah Arab dan Levant Selatan pada
kurun ke-3 Sebelum Masehi hingga tahun 106 Masehi, tahun di mana Kerajaan
Nabataea ditakluk dan diserap menjadi wilayah naungan Empayar Rom. Masyhur
dengan laluan-laluan perdagangan yang luas, Kerajaan Nabataea berkembang
sebagai sebuah empayar yang sangat kaya dan mewah pada kurun pertama Masehi.
Ibu kotanya, iaitu Petra, dikenali sebagai hub komersial yang amat maju.
Pada hari ini, kawasan
yang dahulunya menjadi tapak kerajaan Nabataea dianggap sebagai lombong sumber
arkeologi yang kaya. Petra adalah sebuah kota yang diukir daripada batu dan
tapak-tapak semegah Kuil Al-Khazneh masih kekal terpelihara dengan keadaan yang
hampir sempurna sehingga kini.
Pada tahun-tahun
kebelakangan ini, ilmuwan berupaya untuk menafsir inskripsi-inskripsi purba
yang terdapat pada kota berkenaan. Keupayaan menafsir sebegini di samping
penemuan-penemuan penting yang lain membawa maksud bahawa banyak pengetahuan
tentang kemasyarakatan dan kebudayaan kaum Nabataea purba dan secara khusus,
kehidupan di bandar Petra dapat diteroka oleh ilmuwan. Bahkan, hadir juga
beberapa petunjuk yang menimbulkan persoalan tentang peranan wanita di bandar
Petra – mungkinkah pada suatu masa dahulu, kaum wanita tidak hanya setara malah
jauh lebih penting berbanding kaum lelaki?
Al-Uzza, dewi yang mewakili planet Venus (Zuhrah) dan mirip dengan Ishtar/Ashtart/Inanna, munul sebagai betyl (berhala mata) mahupun patung. Relif kuil di Khirbet et-Tannur, Jordan |
AGAMA
DI PETRA
Jauh sebelum agama
Islam tersebar di Timur Tengah, kaum Nabataea mengamalkan fahaman pantheistik.
Mereka menyembah dewata tempatan dan juga dewata yang diserap daripada
kebudayaan masyarakat lain, antaranya seperti Isis dan Dionysus – mungkin
mereka menemui dewa-dewa ini menerusi rangkaian perdagangan yang sangat meluas.
Panteon mereka yang
luas ini merangkumi sejumlah dewi yang dianggap berkuasa. Walaupun terdapat
banyak dewi penting yang dimuliakan seperti Allat dan Manat, terdapat salah
satu dewi yang signifikan, dikenali sebagai al-‘Uzza. Namanya sendiri membawa
maksud ‘yang paling berkuasa’. Al-‘Uzza dianggap sebagai bukti terkuat yang
mengisyaratkan kedudukan kaum wanita Petra yang sangat dihormati.
Al-‘Uzza adalah dewi
yang lazim dikaitkan dengan air, iaitu satu sumber penting bagi masyarakat yang
hidup di padang pasir. Perkaitannya dengan sumber sepenting itu seolah-olah
menggambarkan kepada kita bahawa al-‘Uzza adalah figura kunci dalam agama
Nabataea. Tinggalan yang diperkirakan sebagai patungnya ditemui di seluruh
Petra, terutama pada ukiran-ukiran kepingan batu betyls atau dalam bahasa sehari-hari, disebut sebagai ‘berhala
mata’. Panggilan ini merujuk kepada ukiran ringkas berhala itu sendiri di mana
mata pada wajahnya begitu menonjol.
Dewi al-‘Uzza – Imejnya ditemui pada ukiran kepingan batu yang dipanggil sebagai ‘betyls’ (berhala mata) di seluruh Petra |
KUIL
SINGA-SINGA BERSAYAP
Sepertimana berharganya
berhala-berhala yang masih terpelihara sehingga ke hari ini, yang mana ia
menjadi bukti bahaa pemujaan al-‘Uzza merupakan satu amalan yang meluas,
begitulah juga keadaannya bagi tinggalan sebuah kuil besar yang dipercayai
didedikasikan kepada al-‘Uzza yang masih boleh ditemukan pada hari ini di
tengah-tengah Petra. Ia merupakan sebuah binaan ulung dengan altar yang bersaiz
besar lagi tinggi serta tiang-tiang yang dihiasi ukiran. Sebahagian ukiran
tersebut menghadirkan ciri yang melahirkan nama bagi kuil berkenaan – iaitu
Kuil Singa-Singa Bersayap.
Kuil Singa-Singa Bersayap, Petra, Jordan |
Dalam runtuhan kuil
ini, para arkeologis menemukan berhala mata sekaligus mengesahkan bahawa kuil
ini mempunyai kaitan dengan al-‘Uzza dan mengisyaratkan bahawa ia merupakan
tempat di mana ritual keagamaan dilangsungkan bagi memuja dan memuliakan dewi
berkenaan. Mereka percaya bahawa paderi-paderi wanita menjadi sebahagian
daripada kultus al-‘Uzza.
Antara ritual yang diadakan ini melibatkan nyanyian,
nyalaan setanggi dan bahkan penyembahan patung berhala. Pentas yang direka
dengan penuh teliti pada kuil berkenaan membenarkan patung dewi itu terletak di
satu tempat yang terselindung. Keadaan ini melahirkan satu upacara membuka
hijab (selindung) berlangsungnya ritual keagamaan di kuil berkenaan.
BUKTI
KEWUJUDAN DEWI-DEWI LAIN
Bukti bagi kewujudan
dewi-dewi lain turut dapat ditemui di Petra. Di bawah merupakan sebuah relif
yang diperkirakan imej Atargatis, dewi kesuburan.
Patung ini berasal dari kuil Nabataea di Khirbet Tannur. Atargatis, ‘Dewi Syria’ adalah dewi kesuburan tanaman |
KEDUDUKAN
WANITA DALAM MASYARAKAT NABATEA
Pemujaan, kemasyhuran
dan kepentingan yang dimiliki oleh para dewi di seluruh kerajaan Nabataea dan
malah, Petra sendiri menunjukkan bahawa kaum wanita memiliki kedudukan yang
amat dihormati. Tambahan lagi, peranan signfikan yang dimainkan oleh paderi
wanita dalam kultus penyembahan al-‘Uzza boleh menjadi bukti lanjut bahawa kaum
wanita bukan sekadar dihormati, malah berupaya mencapai tingkat status yang
sangat tinggi dalam masyarakat Nabataea.
Bukti-bukti yang dimiliki setakat ini
cukup untuk mengesahkan bahawa kaum wanita Nabataea mempunyai hak dan kelebihan
yang jauh lebih besar berbanding kaum wanita di Eropah ataupun Rom pada zaman
itu.
Pada tahun 1961,
ahli-ahli arkeologi menemukan set lembaran yang tersimpan rapi selama hampir
2000 tahun di sebuah gua. Lembaran ini mendokumentasikan kuasa, pengaruh dan
ketinggian darjat yang dimiliki oleh seorang wanita dalam masyarakat Nabataea.
Dicatatkan bahawa wanita ini adalah seorang yang sangat berpendidikan (celik
huruf), memiliki tanah, dan harta-benda yang dikaitkan dengan raja Nabataea.
Jelas daripada dokumen ini bahawa beliau merupakan seorang wanita merdeka yang
memiliki pengaruh dan kekayaan yang sangat besar. Lembaran-lembaran tersebut
menjadi bukti bahawa kaum wanita memiliki kedudukan dalam menentukan hak dan
pemilikan harta.
Dewi Alat berdiri di atas seekor singa dan diapit oleh dua figura wanita, mungkin Manat dan al-‘Uzza |
Ketika kali pertama
ditemukan bukti yang menunjukkan bahawa kaum wanita memiliki nilai yang sangat
tinggi dalam kalangan masyarakat, ia merupakan suatu pengetahuan yang amat
mengejutkan. Namun berikutan banyaknya bukti yang dijumpai pada masa kini,
hakikat tersebut sama sekali tidak lagi dapat dinafikan.
Kuil, berhala mata,
lembaran sejarah dan bahkan tapak-tapak yang diukir di lereng bukit –
kesemuanya itu menunjukkan kepada kita bahawa pada suatu tempoh yang cukup
panjang, kaum wanita di Petra memiliki kedudukan dan memainkan peranan yang
tinggi lagi penting dalam kalangan masyarakat Nabataea. Malah, tidak
keterlaluan jikalau ada yang berpendapat bahawa kuasa dan pengaruh mereka jauh
lebih tinggi berbanding kaum lelaki di Petra mahupun Nabataea.
SUMBER
- Taylor, J. 2001. The Lost Kingdom of the Nabataeans. I.B. Tauris Publishing.
- Corbett, J. 2009. Solving the Enigma of Petra and the Nabataeans. Biblical Archaeology Review.
- Smithsonian Channel. 2017. SACRED SITES: what these scrolls tell us about women in Petra.
- Smithsonian Channel. 2017. Were the women of Petra more important than men?
- Wadeson, L. 2015. Nabataean Tomb Complexes at Petra: New Insights in Light of Recent Fieldwork. University of Oxford.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Dewi-Dewi Perempuan Masyarakat Arab Purba’
- Get link
- X
- Other Apps