MASJID BIRU DI MAZAR-I-SHARIF, AFGHANISTAN – SEBUAH TEMPAT IBADAH YANG MASYHUR DENGAN KEINDAHANNYA

Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (12 Disember 2018). Blue Mosque in Mazar-I-Sharif, Afghanistan: A Shrine of Renowned Beauty. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/blue-mosque-0011156

Penterjemah: Amir Zayyanid


Afghanistan pada masa ini sering dikaitkan dengan peperangan dan tragedi. Namun, ia sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang dan pernah menjadi sebuah pusat kebudayaan yang penting selama beberapa kurun. Negara Asia ini juga mempunyai sejumlah bangunan yang mengagumkan, antara yang paling indah adalah Masjid Biru yang masyhur dengan Makam Ali, berlokasi di Mazar-i-Sharif. Tempat ibadah yang mengagumkan ini menerima nasib yang baik kerana terselamat daripada banyak peperangan dan konflik yang memusnahkan Afghanistan di zaman moden.


DI MANAKAH LOKASI MASJID BIRU DAN MAKAM ALI?

Masjid dan makam ini terletak di Mazar-i-Sharif, bandar keempat terbesar di Afghanistan yang berada di bahagian utara Afghanistan, tidak berapa jauh dari sempadannya dengan Uzbekistan. Mazar-i-Sharif meraih namanya kerana menempatkan sebuah makam mulia di Masjid Biru (bermaksud makam yang mulia). Masjid ini terletak di tengah-tengah bandar dan paling menonjol berbanding bangunan-bangunan yang lain. 

Masjid tersebut bukan hanya sebuah tempat ibadah dan penyimpan makam mulia, malah ia juga adalah tempat pendidikan dan salah sebuah ruangan sivik yang paling penting dalam bandar berkenaan. Di sana, terdapat sebuah monumen yang didedikasikan untuk wira kebangsaan, Ahmad Shah Massoud, pemimpin Mujahidin yang memerangi Soviet dan Taliban sebelum terbunuh pada than 2001.

Corak bergeometri pada batu-batu marmar


Binaan ini memiliki ukuran 174 x 124 kaki besar (53 x 38m) dan memiliki seni bina yang sangat indah. Dua buah kubah kecil (cupola) berwarna biru, yang salah satunya berukuran kira-kira 50 kaki lebar (15m) menonjolkan lagi binaan masjid berkenaan. Terdapat juga sejumlah menara dan dua buah lengkungan di gerbang timur dan barat. Masjid Biru secara kasarnya berbentuk segi empat tepat dan pada bahagian tengahnya pula menempatkan ruang makam yang indah, yang lokasinya betul-betul di bawah cupola terbesar. Kompleks ini menjalani pembesaran pada setiap masa, dan makam demi makam baru dibina di bahagian dalam masjid.


SEJARAHNYA YANG MENJANGKAU RATUSAN TAHUN

Sultan Ahmed Seljuk, pemerintah Empayar Seljuk membina makam pertama di tapak masjid ini pada tahun 1130an. Makam dan masjid tersebut kukuh berdiri di situ selama hampir sekurun sebelum kedatangan Genghis Khan dan tentera-tentera Monggol. Pada kurun ke-15, seorang sultan dari Dinasti Timurid, yang merupakan keturunan penakluk agung Timurlane, membangunkan binaan yang kekal sehingga ke hari ini. Pemerintah Timurid yang bernama Sultan Husayn Miza Bayqarah (1469-1506) merupakan penggemar seni dan beliau membina masjid ini sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk membangunkan bandar Mazar-i-Sharif. Makam dan masjid ini menjalani pembaikian secara giat pada kurun ke-20.

Patung Timurlane yang dibina berdasarkan bentuk tengkoraknya


Pada setiap tahun, ribuan jemaah yang menganut fahaman Syiah mengunjungi Masjid Biru dan Makam Ali secara khusus, terutama semasa sambutan Tahun Baru (Neuroz) pada 21 Mac. Mereka menganggap makam tersebut sebagai tempat keramat.


LEGENDA-LEGENDA SEPUTAR MASJID BIRU

Semasa makam tersebut ditemukan, ia menggamit Sultan Seljuk untuk membangunkan sebuah binaan makam dan masjid, yang pertama sebelum diruntuhkan dan dibina semula. Sehingga ke hari ini, banyak legenda yang menyelubungi makam berkenaan, terutama berkenaan siapakah sebenarnya yang disemadikan di dalam makam itu. 

Bagi penganut Syiah, mereka meyakini bahawa Sayyidina Ali ibn Abi Talib, sepupu baginda Nabi Muhammad merangkap Khalifah keempat umat Islam (600-601M), dikebumikan di makam tersebut selepas kononnya dipindahkan ke situ oleh seekor unta. Naratif ini mendakwa bahawa pemindahan tersebut berlaku untuk menghindari jasad beliau dari dinodai oleh musuh-musuhnya. Namun bagi kebanyakan Sunni, mereka tidak meyakini bahawa Sayyidina Ali dimakamkan di situ. Menurut mereka, jasad beliau disemadikan di Masjid Imam Ali, Najf, Selatan Iraq.

Pemandangan Masjid Imam Ali, Najf pada waktu malam


Terdapat satu lagi legenda berkenaan Masjid Biru ini, iaitu kononnya tapak suci ini pada suatu masa pernah tertimbus di bawah gundukan tanah untuk menyelamatkannya dari amukan bala tentera Monggol.

Antara legenda lain pula adalah kononnya nabi Parsi yang bernama Zoroaster turut dikebumikan di sini. Zoroaster adalah pengasas salah sebuah agama monoteistik pertama di dunia, iaitu Zoroastrianism. Agama ini pernah diamalkan secara meluas di Parsi dan masih terdapat pengikut ajaran ini di Iran dan India. Namun legenda ini tidak memiliki sebarang asas fakta, walaupun sememangnya Zoroaster meninggal dunia di sebuah bandar berhampiran, iaitu Balk yang kini sudah pun ditinggalkan.


MENGUNJUNGI MASJID BIRU DAN MAKAM ALI

Mazar-i-Sharif dikuasai oleh Taliban selama beberapa tahun sebelum bandar tersebut dibebaskan oleh angkatan tentera bantuan Amerika Syarikat pada tahun 2001. Keadaan di Mazar-i-Sharif sudah semakin pulih dan bandar tersebut berada dalam keadaan yang selamat. Namun, ancaman Taliban dan IS masih tetap perlu diawasi.


SUMBER
  • Banting, E. 2003. Afghanistan: The Land. Crabtree Publishing Company.
  • Don, N. 2014. Understanding Afghanistan Today. Mitchell Lane Publishers,
  • Golombek, L. & Koch, E. 2017. The Mughals, Uzbeks, and the Timurid Legacy. A Companion to Islamic Art and Architechture.