- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Sarah P Young. (8 Julai 2019). Ancient Mesopotamia and the Rise of
Civilization. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mesopotamia-0012257
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mesopotamia-0012257
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Mesopotamia membawa
maksud ‘tanah di antara dua sungai’. Ia merupakan sebuah rantau yang luas,
terbentang di antara Sungai tigris dan Sungai Furat di mana ketamadunan muncul
di sana pada lebih 7000 tahun lalu. Penguasa pertamanya, bangsa Sumeria,
menubuhkan sebuah sistem penulisan yang cukup maju, budaya seni dan seni bina
yang amat mengagumkan, di samping ilmu astronomi dan matematik yang agak
terkehadapan. Bangsa Akkadia kemudiannya menyusuli bangsa Sumeria, menyerap
kebudayaan mereka, menghasilkan bahasa mereka tersendiri, lalu membina empayar
pertama di dunia.
Wilayah Mesopotamia
merangkumi Iraq, Kuwait, Syria Timur, bahagian tenggara Turki, dan sebahagian
sempadan Turki-Syria dan Iraq-Iran moden. Rantau tersebut memenuhi kawasan yang
dikenali oleh sejarahwan sebagai ‘Hilal Subur’. Keadaan bumi di Hilal Subur,
yang juga merangkumi pantai Levantine, sempadan Iran-Iraq moden dan
sebahagiannya menempatkan tapak purba penting seperti Gobekli Tepe dan Jericho,
menjadikannya sebagai sebuah rantau yang ideal untuk aktiviti pertanian.
Kesemua lapan tanaman ‘asas’ dalam pertanian di zaman Neolitik (iaitu gandum
emmer. Barli, flaks (biji rami), einkorn, kacang pis, lentil, kacang kuda, dan
vetch pahit) tumbuh dengan banyak di sana, bersama haiwan-haiwan ternakan
(seperti khinzir, biri-biri, lembu dan kambing) dan kuda-kuda tunggangan.
Bangsa Sumeria adalah
yang pertama menguasai Mesopotamia dan merupakan sebahagian daripada kelompok
petani terawal yang dikenali dalam sejarah. Mereka mula menghuni perkampungan
di rantau berkenaan sekitar tahun 8000SM. Bermula daripada petempatan yang
sederhana, mereka kemudiannya berkembang menjadi sebuah tamadun berskala besar
yang pertama di dunia. Legasi Mesopotamia antara lain adalah sistem pentadbiran
dan keagamaan yang tersusun, pengorganisasian strategi peperangan, asas kepada
enam cara memantau masa yang kita ketahui sehingga kini, dan juga
kesusasteraan.
Keruntuhan tamadun di Mesopotamia
berlaku pada tahun 539SM apabila Babylon tumbang di tangan Empayar Achaemenid
sekaligus menamatkan pertumbuhan budaya dan inovasi Mesopotamia yang
berlangsung selama ribuan tahun.
DARIPADA
KAMPUNG-KAMPUNG KECIL MENJADI BANDAR-BANDAR BESAR
Tedapat beberapa detik
di dalam sejarah manusia yang menandakan titik-titik signifikan dalam
perkembangan fizikal, tabiat mahupun budaya manusia – seperti perkembangan
manusia dalam cara berjalan, belajar menggunakan dan menghasilkan api, serta alat-alat
kemudahan, malah bercakap. Kesemua ini adalah sebahagian daripada pencapaian
awal dalam sejarah manusia. Namun, salah satu loncatan besar yang dilakukan
oleh nenek-moyang kita adalah berkembang daripada gaya hidup yang tidak stabil
sebagai nomad (pemburu-pengumpul hasil hutan) menjadi kelompok penetap yang
hidup di dalam kediaman kekal.
![]() |
Runtuhan di Babylon purba, Mesopotamia yang dipulihkan |
Keadaan di rantau
Mesopotamia sangat sesuai untuk melakukan perubahan ini. Kepelbagaian dan
kuantiti haiwan yang terdapat di Mesopotamia memungkinkan masyarakat di sana
untuk tidak lagi menggembala gerombolan haiwan steppe ke sana-sini ketika
mereka bermigrasi. Tumbuh-tumbuhan seperti bijirin, gandum dan kekacang di
Hilal Subur boleh disemai dan dituai dengan kuantiti yang cukup banyak sehingga
ia boleh disimpan dan menyediakan kelangsungan hidup selama berbulan-bulan
terutama ketika musim sejuk.
Gaya hidup seperti ini
memerlukan dan membolehkan mereka membina bangunan-bangunan yang bersifat lebih
kekal. Gudang untuk menyimpan bekalan bijirin, dan rumah untuk haiwan-haiwan
ternakan juga perlu dibangunkan. Begitu juga kediaman manusia.
Memandangkan haiwan dan
tuaian menjadi elemen yang penting dalam kehidupan manusia, penghasilan pun
semakin berkembang dan populasi manusia juga meningkat, sesuai dengan keupayaan
mereka untuk menampung kehidupan dengan lebih jitu. Kampung-kampung mula
bergabung atau berkembang secara alami seiring peredaran masa, sehingga ia
kemudiannya berkembang menjadi sebuah kota atau bandar.
PEMBANGUNAN
BUDAYA
Masyarakat Mesopotamia
bukanlah masyarakat pertama yang mempunyai budaya tersendiri yang menonjol.
Masyarakat Paleolitik di bahagian utara Eropah turut mewariskan hasil seni yang
cukup mengagumkan seperti lukisan gua, ukiran Venus dan perhiasan peribadi
seperti manik gading. Dengan kelebihan masa yang dipunyai oleh masyarakat
Mesopotamia, budaya dan kemahiran mereka berupaya untuk berkembang dengan lebih
jauh berbanding pada tempoh-tempoh sebelumnya, sehingga ia mencapai tahap yang
jauh lebih terkehadapan.
Di kala ukiran-ukiran
Venus yang dihasilkan oleh masyarakat Paleolitik di bahagian utara Eropah
secara relatifnya bersifat ringkas, patung-patung dan ukiran-ukiran yang
dihasilkan di Mesopotamia jauh lebih terperinci dan sangat indah. Sebuah koleksi
sekitar 27 buah patung yang menggambarkan Gudeo, seorang pemerintah di sebuah
kota Mesopotamia purba ditemui di bahagian selatan rantau tersebut.
![]() |
Gudea adalah seorang pemerintah sebuah kota purba Mesopotamia |
Patung tersebut
memberikan gambaran yang realistik terhadap individu sebenar, dengan perincian
seperti kedukan pada fabrik pakaiannya menunjukkan betapa tingginya kemahiran
tukang-tukang ukir Mesopotamia. Hasil seni Mesopotamia boleh dibandingkan
dengan hasil seni di Mesir Purba dari segi kerumitan dan nilai kemewahan.
Meterai-Meterai Silinder dan pasu Uruk yang diukir indah merupakan antara
contoh utama yang menunjukkan betapa hasil seni masyarakat Mesopotamia
merupakan suatu perkara yang umum dan menjadi kebiasaan dalam kehidupan
seharian mereka.
![]() |
Pasu Uruk yang asli bertarikh 3200-3000SM dari Mesopotamia |
Walaupun budaya Sumeria
merupakan budaya yang utama di rantau berkenaan, hasil-hasil seni di rumah
mereka bersifat ringkas dan masyarakat mereka pun menghiasi diri dengan
barangan kemas. Selepas Mesopotamia dikuasi oleh Assyria, nilai kesenian mereka
menjadi lebih mewah. Hasil-hasil seni awam berskala besar dihasilkan dan mereka
dikenali secara khusus sebagai masyarakat yang mengukir relif-relif batu yang
menggambarkan babak peperangan mahupun perburuan. Walaupun kebanyakan relif
tersebut sudah pun hilang, terdapat sejumlah hasil seni berkenaan yang
tersimpan rapi di Muzium British dan ianya sangat menakjubkan untuk disaksikan
walau pada masa moden seperti hari ini.
PENTADBIRAN
TAMADUN MESOPOTAMIA
Sebaik sahaja populasi
bertambah dengan pesat, hadir keperluan untuk membentuk kepimpinan yang lebih
kuat. Masyarakat memerlukan perlindungan dan pengagihan bekalan makanan dan
sumber perlu dijalankan dengan lebih teratur. Tuntutan terhadap kewujudan
undang-undang, pengorganisasian tenaga manusia, perwakilan masyarakat ketika
menjalankan perdagangan antara bandar, dan banyak lagi keperluan lain mula
timbul.
Pada mulanya, keperluan
seperti ini dipenuhi oleh kelas paderi yang merupakan figura berpengaruh dalam
kalangan masyarakat berikutan peranan yang mereka mainkan dalam hal keagamaan.
Kelas paderi adalah kelompok yang menjadi pengantara antara dunia manusia dan
dunia dewa, instrumen yang dipercayai membantu melindungi ternakan dan menjamin
tumbuhan dapat dituai dengan jaya. Berikutan keperluan terhadap pentadbiran
yang lebih tersusun semakin meningkat, kelas paderi mengisi lompong tersebut.
Seiring peredaran masa,
kota-kota yang berkembang pesat memerlukan pengorganisasian lebih lanjut dan
pemimpin yang bersifat lebih sekular muncul dan bergabung dengan kelas paderi
dalam mentadbir kota, dan secara khusus menguruskan hal pembahagian tenaga
manusia. Pemimpin sekular tertinggi dipanggil sebagai ‘lugal’ dan peranannya kemudian meningkat menjadi monarki yang
berkuasa dan berpengaruh penuh.
Mesopotamia kemudiannya
berevolusi menjadi negara-negara kota semasa berada di bawah pemerintahan
Sumeria. Setiap kota diperintah oleh seorang raja yang tersendiri, dengan
masing-masing saling bekerjasama antara satu sama lain. Mereka memerlukan
sebuah sistem pentadbiran yang kompleks untuk membantu dalam menguruskan
hal-hal dalaman kota, hal-hal percukaian dan juga hal-hal perekodan yang
diperlukan untuk melancar dan menyepadukan segala urusan di setiap negara kota.
TAMADUN
MESOPOTAMIA MENCIPTA KUNEIFORM
Mentadbir dan memajukan
rangkaian bandar yang sebegitu kompleks dan mengadakan hubungan-hubungan
perdagangan jarak-jauh membawa maksud sebuah lagi loncatan yang besar dalam
perkembangan sejarah manusia perlu dilakukan – situasi sebegini merupakan
pemangkin yang membawa kepada penghasilan sistem penulisan.
Masyarakat Mesopotamia
memiliki bentuk penulisan yang tersendiri, dipanggil sebagai kuneiform yang
pertama kali digunakan sekitar 4000SM oleh bangsa Sumeria. Nama kuneiform
membawa maksud ‘berbentuk baji’ yang diambil bersempena bentuk simbol-simbolnya
yang menonjol, yang dihasilkan dengan cara menggores sejenis jarum (stylus) pada kepingan tanah liat.
![]() |
Relif Mesopotamia tahun 865-860SM, menunjukkan tulisan kuneiform |
Walaupun pada awalnya
sistem tulisan kuneiform hanya diajarkan kepada beberapa orang jurutulis
tertentu, terdapat bukti yang mengisyaratkan bahawa kecelikan huruf tersebar
secara meluas di Mesopotamia selepas zaman pemerintahan pemerintah Akkadia yang
ulung, bernama Sargon. Pada waktu itu, penggunaan kuneiform menjadi suatu
kebiasaan dalam masyarakat. Ketika itu juga wujud perpustakaan awam di kota
Babylon dan kaum lelaki mahupun wanita diajar membaca dan menulis.
Walaupun teks kuneiform
yang terselamat sehingga ke hari ini kebanyakannya meliputi subjek pragmatik
seperti urusan perdagangan yang dilakukan oleh tamadun tersebut, terdapat juga
teks-teks fiksyen. Antara yang paling masyhur adalah Epik Gilgamesh – sebuah hikayat
yang sangat terkenal dan diwarisi selama ribuan tahun. Ia masih dibaca dan
dihayati oleh orang ramai sehingga ke hari ini.
EMPAYAR
AKKADIA DAN SARGON AGUNG
Walaupun tamadun awal
di Mesopotamia ditubuhkan oleh bangsa Sumeria, mereka kemudiannya ditakluk oleh
Empayar Akkadia. Empayar ini ditubuhkan oleh Sargon, seorang lelaki yang latar
belakangnya tidak banyak diketahui oleh sejarahwan. Beliau meyakini bahawa
dirinya adalah putera kepada seorang paderi wanita. Namun, identiti bapanya
sama sekali tidak dapat dipastikan.
Selain menguasai
Mesopotamia, beliau juga berupaya menakluk sebahagian Syria, Iran, Kuwait,
Jordan, Turki dan sebilangan ilmuwan turut mempercayai bahawa Cyprus pernah
jatuh ke tangannya. Beliau dianggap sebagai pemerintah yang menubuhkan empayar
pertama di dunia. Beliau mangkat pada tahun 2279SM, selepas 56 tahun memerintah
dan kedudukannya itu digantikan oleh puteranya, Rimush.
Sesudah kemangkatannya,
Sargon diangkat ke status yang setara dengan dewa. Beliau dikenali sebagai Sargon
Agung dan sejumlah legenda dihasilkan dalam rangka menceritakan segala
pencapaian dan kejayaan yang pernah dikecapinya.
![]() |
Sargon Agung, pemerintah Empayar Akkadia di Mesopotamia |
Takhta Akkadia
kemudiannya diwariskan daripada Rimush kepada saudaranya, Manishtushu dan
kemudian diserahkan kepada putera Manishtushu yang bernama Naram-sin. Naram-sin
mangkat setelah 110 tahun semenjak datuknya menaiki takhta. Kemangkatannya itu
menandakan pengakhiran buat dinasti empayar pertama dunia lantaran ia tumbang ke
tangan Amori sebagai akibat daripada siri pemberontakan dan kebuluran.
Di bawah pemerintahan
bangsa Akkadia, Mesopotamia mengecapi sejumlah pencapaian yang signifikan.
Banyak rangkaian jalan dibina yang menghubungkan antara satu bandar dengan
bandar yang lain. Sistem pengeposan turut diwujudkan sebagai susulan daripada
tingginya tahap kecelikan dan kuatnya hubungan antara bandar di zaman
pemerintahan Akkadia. Malahan, beberapa penambahbaikan dalam teknik pertanian
turut sempat disumbangkan oleh dinasti berkenaan.
Kekayaan diraih semula,
pemberontakan demi pemberontakan ditundukkan dan bangunan-bangunan menakjubkan
seperti Kuil Ishtar di Nineveh didirikan. Akkadia membantu melonjakkan lagi
kebudayaan Mesopotamia dari tahap ‘mengagumkan’ kepada tahap ‘legenda’.
UNDANG-UNDANG
MESOPOTAMIA – MATA DIBALAS MATA DAN PEMERINTAHAN AMORI
Satu lagi perkara yang
diasaskan oleh Mesopotamia adalah kod undang-undang. Raja Amori yang bernama
Hammurabi secara rasminya menggunakan Kod Undang-Undang yang digubal olehnya
pada tahun 1772SM. Undang-undang tersebut direka supaya sesuai untuk dikenakan
ke atas seluruh rakyat Mesopotamia. Mereka memiliki kepelbagaian gaya hidup dan
kepercayaan, justeru penting untuk kod undang-undang tersebut bersifat ringkas,
spesifik dan mudah difahami. Undang-undang yang perlu difahami dan dipatuhi
oleh suri-suri rumah yang menetap di bandar adalah undang-undang yang sama
perlu dipatuhi oleh petani-petani di kampung.
Undang-undang yang
paling masyhur yang terkandung di dalam Kod Hammurabi adalah prinsip ‘mata dibalas
mata’ yang pada masa itu penggunaannya benar-benar bersifat literal.
Undang-undang ini direka untuk menghindarkan berlakunya pergaduhan fizikal.
Sesiapa sahaja yang mencederakan individu lain dalam sesebuah pergaduhan akan
dicacatkan, atau bahkan dibunuh.
Kelompok masyarakat di
kawasan-kawasan berbeza di Mesopotamia sememangnya sering bergaduh antara satu
sama lain selama ratusan tahun. Lantaran itu, undang-undang ini bertujuan untuk
menamatkan pertumpahan darah yang kerap tercetus, yang kebiasaannya
mengakibatkan permasalahan di Mesopotamia. Walaupun Kod Undang-Undang ini
kelihatan barbarik atau kejam, akan tetapi Hammurabi juga menggubal prinsip di
mana seseorang itu tidak akan dianggap bersalah melainkan setelah kesalahannya
itu dibuktikan.
EMPAYAR
ASSYRIA
Ramai sejarahwan dan
ahli arkeologi menganggap Empayar Assyria sebagai empayar tamadun Mesopotamia
yang paling hebat. Empayar ini besar dari segi saiznya dan efisien pula
pentadbirannya, di samping dominan dalam medan peperangan. Tapaknya terletak di
bahagian utara Mesopotamia, tepatnya di bandar Ashur. Runtuhan-runtuhan yang
ditemukan di tapak berkenaan mengisyaratkan bahawa kota tersebut ditubuhkan
sekitar tahun 1900SM. Namun, lokasi tersebut berkemungkinan telah pun dihuni
jauh lebih awal berbanding tarikh itu. Bandar itu merupakan pusat perdagangan
yang maju dan kekayaannya yang menimbun memaksudkan bahawa kota tersebut
merupakan adalah suatu kuasa yang sangat berpengaruh. Upayanya untuk berkembang
juga bukan calang-calang.
![]() |
Kota purba Ashur di Mesopotamia, Iraq moden |
Pemerintahan bangsa
Assyria berlangsung selama ratusan tahun, dengan kehadiran gangguan oleh
dinasti-dinasti lain pada tempoh-tempoh tertentu. Namun, kuasa dan pengaruh
yang dipegang oleh bangsa Assyria dan kota Ashur menandakan bahawa mereka
berupaya untuk merebut kembali kuasa walau menerima asakan-asakan sedemikian.
Pemerintahan akhir
bangsa Assyria ke atas Mesopotamia dikenali pada hari ini sebagai era
Neo-Assyria. Era ini menandakan peralihan Mesopotamia dari Zaman Gangsa ke
Zaman Besi. Penggunaan teknologi maju seperti senjata-senjata besi dalam
kalangan masyarakat Assyria memberikan mereka kelebihan yang besar dalam
pertempuran melawan masyarakat yang menggunakan senjata gangsa, yang jauh lebih
lemah.
Senjata-senjata yang
diperbuat daripada besi dan pasukan tentera yang cukup terlatih menjadi faktor
yang membuatkan mereka mustahil untuk ditewaskan, sekaligus mendorong empayar
tersebut untuk tersebar lebih jauh. Mereka turut menggunakan pedati perang,
mesin pengepungan dan sejumlah kemudahan seperti tangga untuk memanjat tembok
pertahanan kota musuh.
Walau bagaimanapun,
mereka tidak hanya sekadar pakar perang dan bangsa penakluk. Kesanggupan mereka
untuk melibatkan dan menyerap aspek kebudayaan yang mereka serang memaksudkan
bahawa kesenian, perubatan dan pendidikan mereka sangat maju. Raja Assyria yang
bernama Sennacherib memindahkan ibu kota Mesopotamia ke Nineveh dan kemudian
membina istana yang mewah, dilengkapi kebun-kebun yang membuatkannya seperti
Taman Tergantung.
![]() |
Lukisan patung Assyria purba |
Cucu Sennacherib iaitu
Ashurbanipal juga merupakan raja Assyria yang agung, raja terakhir mereka.
Kerajaannya sangat kaya sampaikan golongan artisan banyak menghasilkan artifak
dan perhiasan yang mengagumkan. Ashurbanipal sendiri adalah seorang pemimpin
yang kejam, namun sangat bijaksana. Beliau meghimpunkan perpustakaan besar yang
menyimpan banyak teks-teks kuneiform. Namun, pemerintahan Ashurbanipal berakhir
berlangsung selama 42 tahun apabila kota-kota pemerintahannya mula memberontak
menentang cukai tinggi yang dikenakan ke atas mereka. Hakikatnya, cukai
tersebut adalah bertujuan untuk menampungkan kos pentadbiran empayar yang
besar.
DUNIA
KEAGAMAAN TAMADUN MESOPOTAMIA
Dengan kekayaan sejarah
dan percampuran budaya seperti yang diceritakan di atas, dunia Mesopotamia
sememangnya sebuah dunia yang mengagumkan. Kepentingan agama bagi empayarnya
tidak pernah luntur signifikasinya. Agama dianggap sebagai hati bagi kehidupan
masyarakat Mesopotamia. Mungkin mereka pada awalnya percaya pada kehendak para
dewa berupaya untuk menjayakan atau menggagalkan sebarang hasil tuaian atau
perburuan. Akan tetapi, kepercayaan ini kemudiannya berkembang menjadi
kepercayaan bahawa para dewa memiliki peranan dalam setiap aspek kehidupan.
Mereka menyembah sebuah
pantheon yang sangat besar, dengan terdapat di dalamnya ribuan dewata kecil dan
sejumlah besar dewata utama. Setiap kota memiliki dewata pelindung yang
tersendiri dan setiap situasi mempunyai dewata khusus untuk diseru namanya.
Piramid bertangga
seperti binaan-binaan yang dinamakan sebagai ziggurat dibangunkan di
bandar-bandar penting sebagai rumah bagi dewata pelindung. Dipuncaknya pula
ditempatkan sebuah kuil ataupun altar yang hanya boleh dimasuki oleh golongan
paderi atau pegawai keagamaan.
![]() |
Ziggurat purba yang direka sebagai rumah buat para dewa Mesopotamia |
Para paderi baik lelaki
mahupun wanita di Mesopotamia mengekalkan kuasa yang mereka pegang selama
ribuan tahun, dan mereka dianggap memiliki kuasa atau pengaruh yang setara atau
hampir sama seperti raja. Agama memainkan peranan yang penting dalam kehidupan
masyarakat Mesopotamia sampaikan mereka memandang kelas paderi sebagai suatu
kelas yang sangat mulia. Mereka adalah penjaga kuil dan ziggurat, dan takdir
sesebuah kota bergantung pada peranan golongan paderi yang menyenangkan para
dewa. Seperti dalam kebanyakan budaya di zaman awal, golongan paderi ini juga
turut berkhidmat sebagai tukang penyembuh yang menawarkan rawatan praktikal
mahupun spiritual.
Mesopotamia sememangnya
adalah sebuah tamadun yang sangat mengagumkan, atas faktor yang tidak terhitung
banyaknya. Bermula daripada kemajuan teknologi sehinggalah perkenalan sistem
tulisan yang kompleks serta kebudayaan yang kekal selama ribuan tahun lamanya.
Tamadun ini masih memesonakan ramai orang pada hari ini – runtuhan bangunannya
dan artifak peninggalannya yang terselamat dan terpelihara rapi buat tempoh
yang panjang begitu indah lagi signifikan dari sudut sejarah dan berupaya
menggamit perhatian masyarakat sedunia. Segala pencapaian yang mereka lakukan
menunjukkan kepada kita betapa pentingnya perkembangan gaya hidup manusia
daripada hidup sebagai pemburu-pengumpul (hasil hutan) kepada hidup yang
berorientasikan pertanian.
SUMBER
- Collon, D. 2005. First Impressions, Cylinder Seals in the Ancient Near East. British Musem Press.
- Johansen, F. 1978. Statues of Gudea, Ancient and Modern. Akademisk Forlad.
- Pillow, P. 1912. Mesopotamian Archaeology.
- British Museum. Date Unknown. Mesopotamia.
- Michael, S. Date Unknown. Mesopotamia: Overview and Summary.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Mesopotamia: Tamadun Tertua Bangsa Manusia’
- Get link
- X
- Other Apps