- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
B.B. Wagner. (13 Oktober 2019). Battle of the Gods, When Titans Took on Zeus.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/titanomachy-0012714
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/titanomachy-0012714
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Apabila berbicara
tentang mitos penciptaan para dewa Yunani purba sebagaimana yang dinukilkan
oleh seorang penyair yang bernama Hesiod (750-650SM), bayanan yang paling
sesuai bagi menggambarkan keadaan tersebut adalah suasana orang ramai
berhimpit-himpit di sekeliling seorang penglipur lara, atau mungkin sebuah
lubang api di tengah-tengah langit malam yang paling hitam. Hanya Hesiod sahaja
yang mencatatkan tentang permulaan ciptaan, garis masa para dewa dan para
Titan, kenaikan Zeus dan juga kemunculan manusia.
Hesiod memberikan
keterangan tentang kesemua perkara ini di dalam pelbagai karyanya. Terdapat dua
buah karya beliau yang paling diingati, iaitu ‘Theogony’ yang mengisahkan tentang perang 10 tahun antara Zeus dan
para Titan, serta ‘Works and Days’
yang membincangkan tentang penciptaan manusia pada lima zaman secara mendalam.
Beliau menukilkan
bahawa manusia diciptakan oleh para Titan dan dikurniakan ilmu menyalakan api.
Namun ketika mengalami kehancuran, mereka dibiarkan menjadi mangsa kepada Zeus
yang membenci mereka sejak awal lagi dan beliau cuba menghapuskan ras manusia
di muka bumi. Pun begitu, manusia kekal selamat dan kemudiannya terus wujud
untuk memperturunkan hikayat tentang para dewa sebaik sahaja kesemua dewata itu
hilang dari ingatan manusia.
Sama ada para Titan dan
para dewa (Dewata Olympia) itu benar-benar wujud ataupun tidak, hikayat-hikayat
yang menceritakan tentang ciri mereka menyifatkan bahawa mereka itu jauh lebih
sempurna berbanding mana-mana makhluk fana. Walaupun kebanyakan pengetahuan
tentang mereka yang masih tersisa pada hari ini hanyalah sebahagian kecil dari
legenda dan puisi purba, sumber yang kecil itu tetap jua membolehkan kita
menganalisa dan membayangkan tentang Perang Titan (Titanomachy) dan kebangkitan
manusia.
ZAMAN
HURU-HARA (CHAOS) DAN ZAMAN URANUS
Asal-usul para dewa
dimulakan dengan kemenjadian kosong yang dikenali sebagai Zaman Huru-Hara (Chaos), di mana pada waktu tiada cahaya
yang wujud. Daripada kekosongan inilah lahirnya Gaea si Bumi, wanita pertama
yang melahirkan Pontus si laut dan Ouranos (Uranus) si langit.
![]() |
| Gaea si bumi, wanita pertama dalam mitos penciptaan Yunani |
Ouranos kemudiannya
menjadi anak merangkap suami kepada Gaea. Beliau berperanan sebagai pemerintah
alam yang pertama, sekaligus zamannya dikenali sebagai ‘Zaman Ouranos’. Ouranos
berhasrat untuk mencipta makhluk-makhluk lain yang cantik dan setia dalam
memujanya.
Justeru bersama Gaea,
beliau melahirkan Briareus, Cotos dan Gyes. Ketiga-tiga anak ini adalah makhlum
bertangan seratus yang dikenali sebagai Hecatonchires. Walaupun saiz mereka
sangat besar dan kekuatan mereka luar biasa, Hecatonchires sama sekali sukar
dikawal. Justeru, Ouranos pun memenjarakan mereka di sebuah neraka gelap yang
disebut sebagai Tartaros.
Ouranos dan Gaea
kemudiannya mencipta para Cyclope yang bernama Hum, Arges, Steopes dan Brontes.
Mereka semua mempunyai saiz tubuh yang besar. Namun, mereka cuma memiliki satu
mata yang terletak di tengah-tengah muka. Dalam erti kata lain, penciptaan
mereka sama sekali tidak sempurna. Lantaran itu, para Cyclope ini pun menerima
nasib yang sama seperti Hecatonchires di mana mereka dihumban ke dalam
Tartaros.
![]() |
| Cyclopes dihumban ke Tartaros kerana sifatnya yang tidak sempurna |
Gaea berasa duka atas
nasib yang menimpa anak-anaknya itu. Beliau malah berasa berat hati untuk
melahirkan lebih banyak zuriat Ouranos. Pun begitu, beliau tetap akur dengan
perintah Ouranos lalu menciptakan para Titan yang penciptaan mereka lebihhampir
dengan kesempurnaan yang diinginkan oleh Raja Dewa itu.
PEMBERONTAKAN
TITAN
Berang dengan
pemejaraan Hecatonchires dan Cyclopes di Tartaros, Gaea lantas berkomplot
dengan para Titan untuk menyerang Ouranos. Pada mulanya, beliau mendekati
Oceanos, Titan yang sulung untuk memujuknya agar menghimpunkan adik-beradik
yang lain dalam menentang Ouranos. Namun, Oceanus merupakan seorang yang
penakut.
Kemudian, Gaea beralih
pula kepada Cronos, Titan yang paling bongsu. Beliau meminta agar Cronos
memerangi bapanya dan mengambil-alih kepimpinan ke atas seluruh ciptaan. Gaea
juga meminta bantuan Cronos agar membebaskan adik-beradiknya yang dipenjarakan
di Tartaros. Permintaan tersebut dipersetujui oleh Cronos.
Gaea kemudiannya
menghasilkan sebilah sabit kebal (adamantine
sickle) dan memberikannya kepada Cronos yang langsung sahaja menghimpunkan
adik-beradik Titan-nya. Dengan sekali serangan, Cronos dan adik-beradiknya
berhasil menundukkan Ouranos, memotong alam kelaminnya lalu mencampaknya ke
laut.
![]() |
| Dalam mitos penciptaan, Cronos mengembiri bapanya, Ouranos |
Daripada darah Ouranos
yang tumpah ke bumi, tiga jenis makhluk terlahir iaitu Gigantes, Furies dan
Meliae. Daripada titisan darah yang mengalir dari alat kelamin yang tenggelam
ke dasar laut itu pula lahir Dewi Aphrodite.
Ketika Ouranos hampir
menghembuskan nafas terakhirnya, beliau sempat berbisik ke telinga Cronos dan
menyatakan bahawa anaknya itu bakal menerima nasib yang sama dengannya iaitu
akan digulingkan oleh anak sendiri. Memenuhi hajat ibunya Gaea, Cronos kemudian
membebaskan Hecatonchires dan Cyclopes lalu mengambil-alih takhta sebagai Raja
Segala Ciptaan dan mengahwini adiknya, Rhea.
ZAMAN
CRONOS
Pada ‘Zaman Cronos’,
para Titan berharap agar dunia menjadi lebih baik berbanding sebelumnya. Namun,
keperibadian Cronos saling tidak tumpah seperti Ouranos. Cronos malah menelan
zuriatnya di saat mereka lahir kerana khuatir suatu hari nanti mereka akan
menggulingkannya sebagaimana yang diramalkan. Lebih daripada itu, Cronos turut
memenjarakan semula Hecatonchires dan Cyclopes yang dahulunya beliau pernah
berjanji kepada Gaea untuk bebaskan mereka. Semuanya ini semata-mata disebabkan
kerana rasa paranoid.
Sama seperti bapanya
sebelum ini, Cronos juga berhajat untuk mencipta makhluk sempurna yang akan
mengasihi dan memujanya. Oleh kerana itu, beliau pun mencipta manusia daripada
emas. Di mata anak-anaknya, Cronos adalah seorang tirani yang kanibal. Namun
bagi manusia-manusia emas ciptaan Cronos, beliau dianggap sebagai dewa pencipta
yang menjadi tempat perlindungan.
Manusia-manusia emas
ini menjalani kehidupan seperti dewa – tidak kenal erti susah dan derita.
Walaupun mereka dikurniakan hayat yang panjang, manusia-manusia ini masih tetap
bersifat fana dan akan disapa maut. Apabila mereka meninggal dunia, mereka
dibenarkan untuk kekal di dunia sebagai roh atau semangat yang dikenali sebagai
daimons (demon; hantu). Cronos memberikan musim bunga yang tiada penghujung
sebagai tempat tinggal mereka.
Namun, ketika Cronos
leka dengan manusia-manusia emas ciptaannya itu, Rhea melarikan diri ke sebuah
gua yang terletak di Gunung Dicte untuk melahirkan Zeus secara rahsia. Zeus
kemudiannya diasuh oleh beberapa nymph yang
bernama Adasteia dan Ida sambil dilindungi oleh sejumlah makhluk yang dikenali
sebagai Curetes. Curetes ini memukul-mukul lembing mereka pada perisai untuk
menyembunyikan suara Zeus si bayi agar tidak didengari oleh Cronos.
Ketika Rhea pulang,
beliau membawakan batu yang dibalut dengan pakaian lalu memberikannya kepada
Cronos. Tanpa berfikir panjang, Cronos pun terus sahaja menelannya.
![]() |
| Rhea menyerahkan batu kepada Cronos dan bukannya Zeus yang baru dilahirkan |
Sebaik sahaja Zeus
meningkat dewasa dan cukup umur, beliau kembali ke kerajaan Cronos dengan
menyamar sebagai seorang hamba. Beliau meraih bantuan Metis, puteri Oceanos
yang memberikannya cecair campuran arak dan biji sawi untuk Zeus berikan kepada
Cronos. Menurutnya, campuran tersebut akan membuatkan Cronos muntah besar lalu
membebaskan adik-beradik Zeus yang telah ditelan.
Apabila masa yang
sesuai tiba, Zeus pun menitiskan campuran itu ke dalam cawan Cronos lalu
mengakibatkannya memuntahkan kesemua adik-beradik Zeus. Sebaik sahaja kesemua
adik-beradik Zeus dibebaskan, mereka pun melarikan diri dan berlindung di
Gunung Olympus.
PERANG
TITAN
Perang Titan atau Titanomachy merupakan suatu tempoh
peperangan panjang antara para Titan yang diketuai oleh Cronos dan para dewa di
bawah kepimpinan Zeus yang kini menggelar diri mereka sebagai Dewata Olympia.
Konflik yang berpanjangan selama sedekad ini kemudiannya berakhir dengan
kekalahan Cronos dan kenaikan Zeus sebagai raja dewa menerusi kelicikannya
dalam hal politik dan peperangan.
Untuk menewaskan para
Titan, Zeus memerlukan bantuan para dewa yang memiliki kekuatan yang berganda
lebih besar berbandingnya. Hanya terdapat dua kumpulan dewata sahaja yang mampu
menghadirkan kegerunan buat Ouranos dan Cronos. Kumpulan yang dimaksudkan ini
adalah Hecatonchires si makhluk seratus tangan dan Cyclopes si makhluk bermata
satu yang masing-masing dihumban dan dipenjarakan oleh Ouranos dan Cronos.
Lantas, Zeus pun
mengembara ke Tartaros untuk membebaskan mereka dan membunuh Campe, makhluk
yang ditugaskan untuk mengawal mereka di Tartaros. Sebaik sahaja Zeus berjaya
membebaskan Hecatonchires dan Cyclopes, beliau tidak berbasa-basi dan langsung
meminta bantuan mereka untuk menjatuhkan Cronos.
Kedua-dua kumpulan itu
mengutarakan persetujuan mereka dengan syarat, Zeus berjanji untuk memenjarakan
para Titan di Tartaros. Syarat tersebut diterima oleh Zeus, maka Hecatonchires
dan Cyclopes pun membantu dewata Olympia.
Dengan bantuan mereka,
Zeus memperoleh persenjataan artileri yang dihasilkan oleh Hecatonchires. Senjata
ini berupaya melontar ribuan batu ke arah para Titan. Zeus juga dikurniakan
panah petir yang dicipta oleh Cyclope. Selain itu, Cyclope juga menghasilkan
sebuah topi khas buat Hades dan sebuah trisula buat Poseidon. Lebih daripada
itu, Zeus turut memperoleh Themis dan Prometheus si Titan sebagai sekutu dalam
peperangan tersebut.
![]() |
| Peperangan antara para dewa dan para Titan |
Dewata Olympia dan para
sekutu mereka berjaya menewaskan para Titan lalu mereka dihumban serta dipenjarakan
di dalam Tartaros. Zeus kemudiannya melantik Hecatonchires sebagai pengawal
penjara.
Beliau sendiri
mengambil-alih kepimpinan ke atas seluruh ciptaan. Saudaranya, Poseidon
diberikan hak pemerintahan ke atas laut sementara Alam Kematian pula ditadbir
oleh Hades. Pada masa-masa inilah Zeus mengahwini Metis, yang menjadi isteri
pertamanya.
Tindakan pertama Zeus
sebagai dewata tertinggi Olympus adalah memusnahkan saki-baki manusia emas.
Namun, Prometheus menyimpan rasa simpati terhadap mereka.
PENGKHIANATAN
PROMETHEUS DAN ZAMAN OLYMPUS
Para Titan memiliki
pertalian dengan manusia, memandangkan ciptaan tersebut merupakan keseimbangan
antara kekurangan dan kesempurnaan yang Ouranos mahukan. Disebabkan itu, Zeus
dan para dewata Olympia memandang manusia-manusia ini sebagai tinggalan
kegemilangan Zaman Cronos.
Prometheus secara
rahsia mencipta manusia semula, namun kali ini daripada bumi dan air.
Prometheus berhajat untuk memelihara legasi berupa manusia yang Cronos mulakan.
Walaupun manusia ciptaan Prometheus ini tidaklah sehebat ciptaan asal Cronos,
mereka tetap jua tampil mengagumkan. Manusia-manusia ini dipanggil sebagai
manusia perak, dan bukannya manusia emas. Akalnya juga lebih lemah berbanding
maunsia ciptaan Cronos.
![]() |
| Prometheus mencipta manusia daripada tanah dan air |
Prometheus mengajarkan
manusia-manusia ini setiap kemahiran yang ada, dari perubatan, ilmu kira-kira,
navigasi dan juga ramalan. Prometheus turut mengajarkan cara menyalakan api dan
kelebihan-kelebihannya, di mana ilmu ini beliau simpan di dalam setangkai adas
(fennel stalk) dengan tujuan untuk
merahsiakannya daripada Zeus.
Manusia-manusia perak
ini sangat menghargai kurniaan berupa api itu. Lantas, mereka pun memuliakan
dan memuja Prometheus sampai tahap memberi korban haiwan yang besar-besar.
Namun ketika mereka mempersembahkan korban sebegitu, Zeus mendengar kelakuan
mereka dan lantas menyedari perbuatan khianat yang dilakukan oleh Prometheus.
Sebagai hukuman, Zeus
memerintahkan Hephaistos agar memaku Prometheus di Gunung Caucasos di mana pada
setiap hari, seekor helang akan memakan hati Prometheus sehingga habis. Hati
tersebut kemudiannya tumbuh semula pada waktu malam dan helang itu kembali
semula untuk memakannya lagi dan lagi. Hukuman ini berlaku secara berterusan,
sehinggalah muncul Heracles di Zaman Perwira.
![]() |
| Seksaan Prometheus sebagaimana yang diceritakan oleh Hesiod |
Zeus kemudiannya
melanjutkan penderitaan manusia-manusia perak. Beliau membahagikan tahun kepada
empat musim, yang mana hal ini membuatkan manusia mula menanam bijirin dan
bersusah-payah mencari tempat berteduh. Jika mereka meninggal dunia, Zeus
menghantar roh mereka kepada Hades dan tidak lagi menjadikan mereka sebagai
semangat atau hantu di muka bumi. Namun, penderitaan mereka tidak berakhir
setakat itu.
Zeus memerintahkan
Hephaistos aar mencipta seorang manusia yang telah diubah sifatnya di mana ia
mengandungi segala macam penipuan dan ketidaksenangan. Manusia ini dikenali
sebagai Pandora.
Sebelum Prometheus
dipaku di Gunung Caucos, beliau khuatir Zeus akan menyedari hakikat tentang
manusia-manusia ciptaannya. Justeru itu, beliau berpesan kepada adiknya, Epimetheus
agar menjaga manusia perak sepanjang ketiadaannya dan berwaspada dengan
sebarang hadian pemberian dewata Olympia.
Namun, Epimetheus
diperdaya oleh Hermes yang menghadiahkannya Pandora. Jika dicantumkan kenyataan
daripada versi Babrios dari kurun ke-2M dan Hesiod dari kurun ke-4SM, dapat
disimpulkan bahawa Pandora mempunyai satu balang besar yang di dalamnya diisi
dengan segala perkara yang baik mahupun jahat.
Sebaik sahaja balang
ini dibuka, segala kejahatan terlepas ke dunia sementara segala yang baik
pulang hilang. Apa yang tinggal hanyalah harapan, yang masih tersisa untuk
terus membantu manusia-manusia perak menghadapi kejahatan-kejahatan yang tidak
dapat dinampak.
Selepas menyaksikan
nasib yang diterima oleh Prometheus dan kejahatan-kejahatan yang dilepaskan
oleh Pandora, manusia-manusia perak enggan memuliakan dan memuja Zeus. Sebagai
balasan, Zeus pun menghapuskan mereka semua dari muka bumi.
MANUSIA
GANGSA CIPTAAN ZEUS DAN BANJIR
Pada Zaman Olympus,
Zeus berhasrat untuk mencipta semula manusia yang memiliki rupa bentuk
sepertinya. Beliau merasakan bentuk tersebut jauh lebih sesuai berbanding
manusia-manusia ciptaan Titan. Kali ini, manusia dicipta daripada kayu keras
pokok ash (sejenis pokok dari genus fraxinus). Manusia-manusia ini sangat gemar
berperang dan memiliki tubuh yang kuat.
Mereka memiliki ilmu
kaji logam dan pengetahuan tentang api. Mereka juga mahir membina rumah dan
baju perisai daripada gangsa. Apa yang dilaparkan oleh mereka hanyalah untuk
menjamah daging dan menumpahkan darah dengan berperang. Tidak seperti
manusia-manusia sebelum ini, mereka memuliakan dan memuja Zeus sebagai pencipta
dan membenci para Titan.
Namun, manusia-manusia
gangsa ini berterusan menggunakan kesemua haiwan, logam dan sumber bumi
sampaikan melebihi dari yang sepatutnya. Hal ini membuatkan dewata Olympia
sentiasa sibuk dan Zeus sendiri semakin jemu dengan kedegilan mereka. Lantas,
beliau memutuskan untuk membersihkan bumi dengan banjir besar.
Dengan kebijaksanaan
Prometheus, beliau sempat melahirkan seorang anak lelaki yang bernama
Deucalion. Deucalion ini berkahwin dengan Pyrrhea, anak perempuan Pandora.
Kedua pasangan ini memerintah kerajaan Phthia. Mereka dimaklumkan tentang
rancangan Zeus yang mahu membanjirkan bumi, lalu mereka pun menghasilkan sebuah
peti besar yang diisi dengan bekalan.
Sebaik sahaja hujan
mula turun dengan lebat, Deucalion dan Pyrrhea segera masuk dan menutup peti
yang mereka bina. Zeus membanjirkan bumi dengan hujan lebat yang tidak pernah
berlaku sejak zaman Pontus, si laut lahir.
Deucalion dan Pyrrhea
dibawa meredah laut selama sembilan hari penuh sehinggalah mereka berlabuh di
Parnassos. Pada masa itu, hujan sudah pun berhenti. Maka, Deucalion dan Pyrrhea
keluar dari peti. Selepas mengekspresikan kesyukuran kerana masih diberi
peluang untuk hidup, Deucalion memuja Zeus dan mengorbankan haiwan sebagai
persembahan.
Zeus tersentuh dengan
sembah korban yang mereka lakukan, lantas mengurniakan Deucalion dan Pyrrhea
satu hajat untuk dipenuhi. Mereka berdua sememangnya menyimpan rasa simpati
terhadap manusia gangsa yang selama sembilan hari suntuk, mereka mendengar
jeritan-jeritan mereka yang mati lemas ditelan banjir. Justeru itu, mereka
sama-sama berhajat untuk menciptakan manusia semula.
Walaupun terkejut
dengan permintaan itu, Zeus tetap jua terikat dengan kewajipan untuk memenuhi
permohonan tersebut. Maka, Deucalion dan Pyrrhea pun mencipta manusia daripada
batu. Kumpulan manusia ini kemudiannya melahirkan Zaman Wira, zaman di mana
manusia hidup bersama dengan makhluk separa-dewa. Setelah hilangnya wira-wira
ini, datang pula manusia dari Zaman Besi yang daripada zaman inilah semua
manusia moden berasal.
![]() |
| Deucalion dan Pyrrha mencipta manusia daripada batu |
HESIOD
MENUKILKAN MITOS PENCIPTAAN YUNANI
Dalam kegelapan
pengetahuan tentang hari-hari di zaman purba, para muse (pemberi ilham) meniupkan inspirasi kepada seorang pengembala
kambing yang bernama Hesiod untuk menulis tentang hikayat ini agar manusia
terus memperingati zaman-zaman tersebut. Seandainya hikayat tentang Perang Titan
ini benar-benar berlaku, maka para dewa yang muncul di dalam hikayat ini tidak
lain adalah sebuah keluarga yang memiliki satu sifat lazim, iaitu perampas
kuasa yang terus-menerus terlibat dalam konflik dan sengketa.
Hesiod menyebutkan
Titan sebagai yang bertanggungjawab menciptakan manusia. Bermula dari Cronos
hinggalah Prometheus dan kemudiannya, Deucalion dan Pyrrhea, kelihatan
seolah-olah kemenjadian manusia semakin lama semakin buruk sifat dan bentuknya.
Walau bagaimanapun, manusia secara keseluruhannya diciptakan bersandarkan
bentuk dan keperibadian Titan yang mengasihi mereka, dan bukannya para Olympia
yang membenci mereka.
SUMBER
- Bruxton, R. 2004. The Complete World of Greek Mythology. Thames and Hudson.
- Campbell, J. 1949. The Hero with a Thousand Faces. Bollingen Series XVII. New World Library.
- Hard, R. 2008. Apollodorus The Library of Greek Mythology. Oxford University Press.
- Powell, B. 1995. Classical Myth. Prentice-Hall.
- Gill, N. 2019. Hesiod’s Five Ages of Man. ThoughtCo.
- Black, J. 2013. Greek mythology and human oriins. Ancient Origins.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Clash of Titan – Pertempuran Para Dewa Yunani’
- Get link
- X
- Other Apps








