- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (18 November 2013). A 4400-Year-Old Egyptian Love Story.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-general/4400-year-old-egyptian-love-story-001038
https://www.ancient-origins.net/news-general/4400-year-old-egyptian-love-story-001038
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tersembunyi di sebalik
batu-batan dan dikelilingi oleh sebuah ruangan makam purba yang luas di
Saqqara, ahli-ahli arkeologi mendedahkan sebuah penemuan yang unik – sebuah
makam berusia 4400 tahun milik sepasang suami isteri, anak dan mungkin cucu
mereka. Namun, apa yang menjadikan makam ini begitu istimewa adalah lukisan
relif yang menggambarkan hubungan percintaan antara mereka berdua; suatu
perkara yang tersangat jarang berlaku di Mesir pada Zaman Piramid. Kini,
lukisan tersebut telah pun disiarkan dalam warna asalnya untuk tontonan awam.
Makam ini adalah milik
seorang paderi wanita yang bernama Meretites, dan suaminya, seorang penyanyi
bernama Kahai yang bekerja di istana firaun. “Mungkin, lantaran itu, makam
mereka diperindahkan secara khusus dan dihias oleh pelukis-pelukis istana,”
ujar Miral Lashien, seorang penyelidik di Universiti Macquarie.
Sememangnya, makam ini
dipenuhi dengan lukisan berwarna-warni yang menggambarkan orang sedang menyanyi
dan memainkan alatan muzik seperti kecapi (harp)
dan seruling. Namun, lukisan yang paling menonjol adalah lukisan di mana
pasangan suami isteri tersebut digambarkan saling menatap mata antara satu sama
lain, sambil Meretites meletakkan tangan kanannya di atas bahu kanan Kahai.
Walaupun gambaran
seperti itu mungkin kelihatan biasa-biasa sahaja bagi pasangan yang telah
berkahwin, akan tetapi di zaman Mesir purba, gambaran sebegitu hampir tidak
wujud sama sekali. Dari zaman Kerajaan Lama (2649-2150SM) iaitu zaman di mana
kedua pasangan itu hidup dan zaman di mana binaan piramid mencapai masa-masa
kemuncaknya, terdapat beberapa contoh sahaja gambaran pelukan-saling-berhadap
di antara pasangan suami isteri, ujar Miral Lashien. “Saya rasa hal seperti ini
mengisyaratkan hubungan intim yang sangat istimewa.”
Makam ini kali pertama
ditemui pada tahun 1966 dan disiarkan di dalam sebuah buku tahun 1971. Namun,
penemuan tersebut direkodkan dalam imej hitam-putih berkualiti rendah. Oleh
kerana itu, pada tahun 2000, sepasukan saintis dari Pusat Kaji Purba Mesir (Egyptology) Australia di Universiti
Macquarie kembali semula ke makam tersebut untuk melakukan kajian dan
mendokumentasikan hasil-hasil seni yang ada di sana dalam warna penuh.
“Makam ini adalah salah
satu contoh hasil seni Kerajaan Lama yang paling berwarna-warni dan pastinya,
ia layak untuk diterbitkan dalam warna penuh,” ujar Lashien.
Makam ini mengandungi
lima buah ‘pintu palsu’ berserta imej-imej si mati. Pjntu-pintu tersebut
berfungsi sebagai saluran antara dunia kehidupan dan dunia kematian. Makanan
lazimnya diletakkan di hadapan pintu-pintu tersebut agar si mati dapat keluar
daripada pintu palsu itu untuk kemudiannya menerima sembah korban berupa
makanan itu.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kisah Cinta Berusia 4400 Tahun Dari Mesir Purba’
- Get link
- X
- Other Apps
