- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ashley Cowie. (5 November 2019). Three Ancient Shipwrecks Still With Cargo
Found Off Greek Island. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/shipwrecks-greece-0012818
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/shipwrecks-greece-0012818
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tiga buah bangkai kapal
ditemui di pantai kecil Kasos, Laut Aegean.
Dalam sebuah kenyataan
yang disiarkan pada Isnin (4 November), Kementerian Kebudayaan Greece
menyatakan bahawa sebuah usaha penerokaan sublaut yang didanai oleh Kasos
Association of New York dan disokong oleh Majlis Perbandaran Pulau Kasos telah
menemukan tiga buah bangkai kapal yang masih mengandungi sebahagian besar kargo
mereka.
Para penyelam yang terlibat berjaya mengenal pasti lokasi berkenaan di
pantai Pulau Kasos, Laut Aegean dalam sebuah kerja tinjauan laut dalam yang
berakhir pada bulan lalu. Ahli-ahli arkeologi marin melaporkan bahawa mereka
telah menemukan sejumlah meriam, sauh batu, tembikar, pinggan mangkuk yang
masih elok, dan artifak-artifak berharga lain.
![]() |
Meriam Besi ditemukan di dalam bangkai kapal |
KAPAL-KAPAL
DAGANG BERSEJARAH
Pulau Kasos terletak di
antara Crete dan Rhodes, di atas laluan perdagangan maritim bersejarah yang
menghubungkan antara Timur Tengah dan Aegean. Menurut Greek Reporter, bangkai
kapal tertua di antara kapal-kapal yang ditemukan itu adalah sebuah kapal
dagang berusia 2300 tahun. Di dalam kapal tersebut, ahli-ahli arkeologi
menemukan lima buah sauh batu, pinggan mangkuk yang masih elok dan sejumlah amphorae (balang tanah liat yang
digunakan untuk menyimpan minyak, arak dan makanan). Dua kapal lain yang turut
ditemui masing-masing berusia dari kurun pertama Sebelum Masehi dan kurun ke-8
hingga kurun ke-10 Masehi.
![]() |
Sauh batu dari bangkai kapal yang datang dari penghujung zaman klasik |
Sebuah artikel di
National Herald menyebutkan bahawa fasa projek ini memerlukan penglibatan
seramai ’67 orang penyelam’ yang bersama-sama melakukan peninjauan ke atas
lebih satu pertiga daripada keluasan tapak yang ditetapkan semasa musim
penerokaan 2019. Mereka merancang untuk menyambung kerja-kerja menyelam pada tahun
2020 dan akan terus melanjutkannya sehingga penghujung tahun 2021. Ahli-ahli
arkeologi masih perlu ‘menemukan, mengkaji dan mengenal pasti’ bahagian badan
kapal-kapal purba ini, yang suatu masa dahulu pernah berlayar di laluan laut
yang penting yang berfungsi sebagai laluan rentas-budaya antara dunia timur dan
barat selama berkurun-kurun.
BANGKAI
KAPAL YANG LAMA MAHUPUN BARU
Sebuah kapal kurun ke-8
atau ke-10 Masehi (era Byzantine) ditemui bersama sebuah kapal Yunani yang
dipercayai karam pada kurun pertama Sebelum Masehi. Namun, bangkai kapal tertua
yang terbengkelai di Pulau Kasos memiliki usia yang menjangkau kurun ke-4SM.
Menambahkan lagi nilai penemuan ini, kapal yang paling purba itu jugalah
merupakan kapal yang mengandungi paling banyak kargo, atau artifak berharga
berupa empat jenis tembikar purba.
![]() |
Kerja-kerja menaikkan amphora dari bangkai kapal era Byzantine |
Kasos, dan wilayah
sekitarnya berfungsi sebagai laluam persimpangan maritim selama ratusan tahun
di mana barangan eksotik dari dunia timur datang dan masuk ke dalam
tamadun-tamadun yang terdapat di bahagian timur Mediterranean. Walau
bagaimanapun, tidaklah semua penemuan yang dilakukan ini berasal daripada dunia
purba. Menurut Greek Reporter, ‘kapal terakhir’ yang ditemui oleh para penyelam
arkeologi di sana adalah sebuah kapal era moden yang membawa bahan-bahan
pembinaan. Terdapat juga sebuah bangkai kapal lain yang ditemui, berusia dari
era Perang Kemerdekaan Greek pada 1820an.
![]() |
Bingkai-bingkai dan paip-paip dari bangkai kapal yang datang dari zaman revolusi Greek |
2019
– TAHUN KAPAL-KAPAL HANTU
Bangkai kapal kurun
ke-4SM, dengan kesemua tembikarnya adalah berlainan jenis, datang dari kurun
yang sama dengan sebuah bangkap kapal yang dianggap sebagai “bangkai kapal
lengkap yang paling tua di dunia”, yang disebutkan di dalam artikel The
Guardian pada Oktober telah ditemukan di dasar Laut Hitam pada awal tahun ini.
Dengan usia 2400 tahun, kapal purba Yunani yang sebesar 75 kaki (23m) itu
ditemui dalam keadaan yang hampir sempurna, masih lengkap dengan kemudi,
bangku-bangku dayung dan juga tiang layar utama.
Profesor Jon Adams
merupakan ketua penyelidik yang terlibat dalam penemuan tersebut, bersama
kerjasama dengan Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam (Black Sea Maritime Archaeology Project [MAP]). Beliau berkata
bahawa faktor yang membuatkan bangkai kapal tersebut sangat terpelihara walau
berada pada kedalaman sebegitu adalah disebabkan oleh kekurangan oksigen. Pun
begitu, walau dengan pengalamannya yang luas, beliau menyatakan bahawa penemuan
kapal yang masih sempurna keadaannya dari dunia klasik di kedalaman 1.24 batu
(2km) dari permukaan laut adalah suatu perkara yang “beliau sama sekali tidak
yakini akan berlaku”. Justeru, penemuan tersebut benar-benar “mengubah
kefahaman kita terhadap pembuatan kapal dan perlayaran laut di zaman purba”.
BANGKAI
KAPAL YANG PALING TUA ANTARA SEMUA
Bagi artikel seperti
ini, yang memerihalkan bangkai kapal purba yang ditemui pada tahun 2019, tidak
akan sempurna tanpa menyebut tentang pengumuman yang dilakukan oleh Daily Sabah
pada April 2019 berkenaan sebuah penemuan mengagumkan yang dibuat oleh
sekumpulan penyelidik lautan Turki dari Jabatan Penyelidikan Laut Dalam
Universiti Antalya. Betul-betul di pantai barat bandar Antalya, mereka
menemukan sebuah bangkai kapal dari Zaman Gangsa yang saiznya sepanjang 46 kaki
(14m) pada kedalaman 164 kaki (50m) dari permukaan laut. Di dalam bangkai kapal
tersebut turut ditemui 1.5 tan jongkng tembaga. Dengan usia yang mencecah 3600
tahun, kapal tersebut berupaya dijuluki sebagai ‘bangkai kapal tertua’ di
dunia.
Diandaikan bahawa
bangkai kapal ini jauh lebih tua berbanding kapal dagang Yunani yang ditemui di
pantai Laut Hitam Bulgaria pada tahun 2018, yang berusia sekitar 3400 tahun dan
dinobatkan sebagai “bangkai kapal tertua dunia yang berkeadaan sempurna” pada
tahun tersebut. Dibina pada sekitar tahun 1600SM, kapal yang ditemui di pantai
Antalya itu disifatkan oleh Gabenor Antalya, Munir Karaloglu sebagai
‘Gobeklitepe’ bagi dunia arkeologi laut. Hal ini merujuk kepada signifikasi
Gobeklitepe sebagai sebuah tapak arkeologi di atas darat yang seringkali
dianggap sebagai Titik Sifar oleh dunia arkeologi.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Tiga Bangkai Kapal Purba Ditemui Di Perairan Yunani’
- Get link
- X
- Other Apps