- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (7 Mei 2019). Explaining the Fall of the Great Akkadian Empire.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/akkadian-empire-0011871
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/akkadian-empire-0011871
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Empayar Akkadia
merupakan sebuah empayar purba yang wujud pada penghujung milenia ketiga
Sebelum Masehi. Ia merupakan empayar pertama di Mesopotamia dan sebilangan
ilmuwan menganggapnya sebagai empayar sebenar yang pertama dalam sejarah dunia.
Empayar Akkadia diasaskan oleh Raja Sargon yang dianggap sebagai pemerintah
Empayar Akkadia yang paling masyhur. Beliau menguasai Mesopotamia dan
memusatkan pemerintahannya di ibu kotanya, Akkad. Pengaruh Empayar Akkadia
tersebar jauh melangkaui batas sempadannya. Walau bagaimanapun, empayar agung
ini tidak bertahan lama dan tumbang pada sekurun setengah setelah penubuhannya.
Zaman Mesopotamia yang
mendahului masa penubuhan Empayar Akkadia dipanggil oleh ahli-ahli arkeologi
sebagai zaman Dinasti Awal yang berlangsung dari tahun 2900 hingga 2350SM.
Zaman Dinasti Awal ini menyaksikan munculnya negara-negara kota di selatan Mesopotamia
seperti Ur, Uruk, Lagash dan Kish.
Lanskap politik di
rantau berkenaan bersifat berpecah-belah dan negara-negara kota terbabit sering
berperang antara satu sama lain. Namun begitu, tinggalan-tinggalan kebudayaan
daripada pelbagai masyarakat di sana menunjukkan bahawa mereka sebenarnya adalah
serumpun.
Ketikamana bahagian
selatan Mesopotamia diperintah oleh bangsa Sumeria, bahagian utaranya pula
didominasi oleh bangsa Akkadia. Sama seperti Sumeria, Akkadia juga menubuhkan
negara-negara kota mereka yang tersendiri dan mereka saling berperang antara
satu sama lain.
Situasi di Mesopotamia
mula berubah pada kurun ke-24SM dengan kebangkitan Empayar Akkadia. Dengan
terbangunnya empayar ini, bangsa Sumeria di bahagian selatan Mesopotamia dan
bangsa Akkadia di bahagian utara disatukan di bawah satu pemerintahan buat
pertama kalinya dalam sejarah rantau berkenaan. Individu yang bertanggungjawab
ke atas penyatuan ini adalah Sargon, yang dianggap sebagai pembina empayar
terawal di dunia.
![]() |
| Gambaran moden terhadap Sargon berbicara dengan salah seorang rakyatnya |
PEMERINTAH
PERTAMA EMPAYAR AKKADIA
Dari sudut pandang
sejarah, tidak banyak maklumat yang dimiliki tentang riwayat hidup Sargon. Hal
ini kerana ibu kota Empayar Akkadia, iaitu Akkad masih lagi belum dikenal pasti
lokasinya dan justeru, apa sahaja rekod atau dokumen yang ditulis dan disimpan
di kota berkenaan masih lagi belum ditemukan.
Tambahan lagi, ilmuwan
banyak bergantung kepada sumber-sumber bertulis di zaman terkemudian untuk
mengetahui tentang kehidupan Sargon. Sumber-sumber tersebut hadir dalam
pelbagai bentuk seperti legenda mahupun kisah rakyat. Wujudnya sumber-sumber
sebegini bukanlah suatu perkara yang mengejutkan jika kita mengamnbil kira
reputasi yang ditinggalkan oleh Sargon si pemerintah ulung.
Legenda menyatakan
bahawa ketika beliau masih bayi, Sargon ditemui di dalam sebuah bakul yang
dihanyutkan ke dalam sungai. Beliau ditemui oleh seorang pekebun yang langsung
sahaja mengambilnya sebagai anak angkat dan mengasuhnya sebagai anak sendiri.
Identiti bapa sebenar Sargon tidak diketahui.
Ibunya pula dipercayai
merupakan seorang paderi wanita di sebuah kota yang terletak di bahagian tengah
Sungai Furat. Walaupun Sargon hanyalah seorang pekebun kecil dan tidak
mempunyai sebarang latar belakang yang berpengaruh seperti bapa angkatnya,
beliau tetap berjaya meraih kedudukan sebagai pemikul cawan peribadi pemerintah
negara kota Kish.
![]() |
| Tablet tanah liat berkaitan kelahiran Sargon, pemerintah pertama Empayar Akkadia dan persengketaannya dengan raja Ur-Zababa |
Menurut legenda yang
dikenali sebagai Legenda Sargon, nama pemerintah Kish ini adalah Ur-Zababa.
Beliau melantik Sargon sebagai pembawa cawan peribadinya atas sebab yang tidak
dapat dipastikan. Pembawa cawan peribadi diraja merupakan satu kedudukan yang
sangat penting pada waktu itu memandangkan ia membolehkan penjawatnya berada
sangat hampir dengan pemerintah sekaligus membolehkannya menjadi penasihat
paling akrab dan dipercayai oleh pemerintah.
Dalam Legenda Sargon,
dikisahkan bahawa beliau mengalami mimpi di mana Ur-Zababa dilemaskan oleh
seorang gadis di sungai berdarah yang besar. Mimpi ini dibincangkan antara raja
dan Sargon, sekaligus membuatkan Ur-Zababa berasa amat takut. Lantas, beliau
mengatur perancangan untuk menyingkirkan Sargon.
Beliau memberikan
cermin-tangan yang diperbuat daripada gangsa kepada Sargon untuk dihantar
kepada Belic-tikal, ketua tukang besi diraja yang berada di E-sikil. Sebaik
sahaja barang itu dihantar, tukang besi itu diperintahkan agar melontarnya dan
Sargon ke dalam acuan dengan maksud untuk membunuhnya. Sargon mentaati perintah
Ur-Zababa dan pergi ke E-sikil tanpa langsung mengetahui tentang rancangan
jahat Ur-Zababa itu.
Namun, sebelum sempat
tiba di tempat tersebut, Sargon dihentikan oleh Dewi Inanna yang memaklumkan
kepadanya bahawa E-sikil adalah sebuah tempat suci dan tiada siapa yang
dicemari dengan darah boleh memasukinya. Lantaran itu, Sargon pun bertemu
dengan tukang besi di luar bangunan dan menyerahkan cermin berkenaan tanpa
dibunuh.
Beberapa hari kemudian,
Sargon kembali menghadap raja dan tatkala melihat Sargon masih hidup, Ur-Zababa
langsung sahaja disapa ketakutan sekali lagi. Kali ini, beliau memutuskan untuk
menghantar Sargon kepada Lugal-zage-si, raja Uruk dengan membawa satu pesanan
yang meminta raja itu untuk membunuh utusan yang dihantar. Baki legenda ini
hilang dari simpanan dan makanya, penamat bagi kisah tersebut tidak diketahui.
Walau bagaimanapun, sudah tentulah ia berlangsung dan berakhir dengan keadaan
yang membawa kepada kenaikan takhta Sargon.
Menurut sumber-sumber
yang dimiliki, ilmuwan sedia maklum bahawa Lugal-zage-si merupakan seorang
pemerintah berpengaruh yang menyatukan negara-negara kota Sumer. Ilmuwan tuut
mengetahui bahawa sebaik sahaja Sargon meraih kuasa, beliau menyerang
Lugal-zage-si dan menewaskannya. Selepas negara-negara kota di bahagian selatan
Mesopotamia ditundukkan, Sargon membersihkan tangannya di ‘lautan rendah’
(Teluk) di mana hal ini menjadi satu simbolik untuk menunjukkan bahawa seluruh
Sumer kini berada di bawah pemerintahannya.
Namun, penaklukan ke atas
bahagian selatan Mesopotamia masih belum cukup bagi Sargon. Beliau terus
melanjutkan usaha meluaskan empayarnya. Beliau melancarkan kempen ketenteraan
ke timur, di mana beliau menewaskan Elam dan menerima penyerahan diri para
pemerintah lain di rantau berkenaan. Sargon juga bergerak ke sempadan barat
Empayar Akkadia dan menundukkan Mari dan Ebla, dua buah negara kota di Syria
moden yang sentiasa saling berperang.
![]() |
| Empayar Agung Akkadia |
Salah satu kesan
susulan daripada penaklukan-penaklukan yang dilakukan oleh Sargon ini adalah
tertubuhnya laluan-laluan perdagangan. Memandangkan seluruh Mesopotamia kini
berada di bawah pemerintahan Akkadia, maka barangan dagang dapat dibawa dengan
selamat dari utara ke selatan dengan melalui Sungai Furat.
Kayu cedar dibawa masuk
dari hutan-hutan Lebanon, manakala logam-logam berharga pula diperoleh dari
lombong-lombong yang terletak di Pergunungan Taurus. Akkadia menggiatkan
perdagangannya ke wilayah yang jauh, sehingga ke Anatolia, Magan (mungkin Oman
moden) dan bahkan India.
Dalam Hikayat Raja
Perang (Epic of the King of the Battle),
disebutkan bahawa Sargon melancarkan kempen ketenteraan jauh ke wilayah pusat
Antaolia. Kempen ini dilancarkan dengan tujuan untuk melindungi para pedagang
Akkadia dari ancaman pemerintah Burushanda. Lebih daripada itu, teks ini juga
mendakwa bahawa Sargon pernah merentasi Laut Mediterranean dan berlabuh di
Cyprus.
![]() |
| Peta Empayar Akkadia dan arah pelancaran kempen ketenteraan |
PEWARISAN
TAMPUK KUASA EMPAYAR AKKADIA
Pemerintahan Sargon berlangsung
dari tahun 2334SM sehingga kemangkatannya pada tahun 2279SM. Kedudukannya
digantikan oleh Rimush, salah seorang putera beliau. Pemerintah kedua Empayar
Akkadia ini berkuasa selama hampir 9 tahun dan mempamerkan usaha yang
bersungguh-sungguh dalam mengekalkan kesejahteraan empayar. Sejumlah
pemberontakan tercetus semasa pemerintahannya, namuN Rimush berupaya
menanganinya dengan jaya.
Menurut sumber tradisi,
Rimush dibunuh oleh pegawai-pegawainya sendiri. Kedudukannya digantikan oleh
abangnya, Manishtushu. Memandangkan adiknya meraih kejayaan dalam menstabilkan
urusan dalam empayar, maka Manishtushu berpeluang untuk menumpukan sumber
kekuatannya pada urusan luar. Selain melancarkan kempen ketenteaan, Manishtushu
juga meningkatkan hubungan perdagangan antara Empayar Akkadia dan kuasa-kuasa
asing. Seperti pendahulunya, Manishtushu juga dibunuh oleh pegawai-pegawainya
sendiri.
Pemerintahan Rimush dan
Manishtushu sering dilupakan oleh sejarah lantaran mereka diapit oleh dua orang
pemerintah terulung Empayar Akkadia, iaitu Sargon dan Naram-sin.
Naram-sim merupakan
pemerintah keempat Empayar Akkadia. Beliau adalah cucu kepada Sargon dan putera
kepada Manishtushu. Pada zaman pemerintahannya yang berlangsung dari tahun
2254SM hingga 2218SM, Empayar AKkadia mengecap masa kemuncaknya. Naram-sim
menyambung usaha penaklukan bapa dan datuknya dengan melancarkan serangan ke
atas wilayah-wilayah di bahagian barat Iran dan bahagian utara Syria.
Berikutan kejayaan yang
diperolehi dalam ekspedisi-ekspedisi ketenteraan yang dilancarkan olehnya, maka
Naram-sim mengambil gelaran ‘Raja Empat Penjuru Alam’. Lebih daripada itu,
Naram-sin turut meraih status sebagai ‘dewa hidup’ (living god) dan sebuah upacara yang mengisytiharkan status
kedewataannya ini dilangsungkan atas permintaan rakyat jelata sendiri, jika
menurut satu inskripsi.
Sebuah stele, yang
dikenali sebagai Stele Kemenangan Naram-sin (kini disimpan di Muzium Louvre,
Perancis) ada mengambarkan Naram-sin sebagai seorang yang tubuhnya lebih besar
berbanding figura-figura lain di sekelilingnya. Turut dirincikan bahawa beliau
memakai sebuah topi bertanduk. Kedua-dua ciri ini cenderung mewakili statusnya
sebagai ‘dewa hidup’.
Selain kejayaannya
dalam lapangan ketenteraan, Naram-sin juga direkodkan telah menyelaraskan rekod-rekod
penyata empayar. Tambahan lagi, dengan melantik beberapa orang puterinya
sebagai paderi tertinggi bagi kultus-kultus penting yang terdapat di
negara-negara kota Mesopotamia, Naram-sin berupaya meningkatkan prestij dan
signifikasi keagamaan Empayar Akkadia dengan lebih jauh.
![]() |
| Stele raja Naram-sin, pemerintah Empayar Akkadia |
Selepas pemerintahan
agung Naram-sin berakhir, Empayar Akkadia mula mengalami keruduman. Putera
merangkap pewaris Naram-sin iaitu Shar-Kali-Sharri terpaksa berhadapan dengan ancaman-ancaman
luar, justeru Akkadia menumpukan seluruh sumbernya untuk meningkatkan
pertahanan sempadan. Walau bagaimanapun, beliau masih berupaya mengekalkan
kekuasaan empayar dan menghindarkannya dari terus melemah.
Namun setelah
kemangkatan Shar-Kali-Sharri, perebutan takhta mula tercetus. Beberapa buah
negara kota di selatan Mesopotamia mengambil kesempatan tersebut untuk meraih
kemerdekaan sekaligus mengakibatkan Empayar Akkadia kehilangan kuasa dan
autoriti ke atas wilayah berkenaan. Dua orang pemerintah terakhir Empayar
Akkadia adalah Dudu dan Shu-Turul. Menjelang masa-masa pemerintahan mereka,
bangsa Akkadia tidak lagi berdiri sebagai sebuah empayar. Sebaliknya, ia hanya
berkuasa ke atas wilayah-wilayah di sekeliling ibu kotanya sahaja.
ADAKAH
PENAMAT EMPAYAR AKKADIA DILANJUTKAN LAGI DENGAN PERUBAHAN IKLIM?
Pengakhiran buat
Empayar Akkadia tiba sekitar tahun 2150SM. Menurut catatan-catatan tradisi,
keruntuhan Empayar Akkadia diakibatkan oleh pembalasan yang diturunkan oleh
para dewa. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Naram-sin telah mengisytiharkan
dirinya sebagai ‘dewa hidup’ dan hal ini dianggap sebagai suatu perbuatan megah
diri yang melampau.
Sejarahwan-sejarahwan
purba menganggap sifat tersebut sebagai penyebab kemurkaan para dewa, yang mana
kemurkaan tersebut dilampiaskan ke atas para pewarisnya. Kemurkaan ini
dihadirkan dalam bentuk serangan bangsa Gutia, sebuah bangsa gasar dari
Pergunungan Zaros yang bertanggungjawab menggempur dan menghancurkan Empayar
Akkadia.
![]() |
| Bangsa Gutia menyerang bangsa Akkadia yang mempertahankan empayar mereka |
Ilmuwan moden pula
menghadirkan sejumlah hipotesis lain dalam cubaan untuk memunasabahkan lagi
ketumbangan empayar pertama di dunia itu. Antara lain yang dikemukakan adalah
ketidakcekapan pentadbiran, hasil tuaian yang tidak memberangsangkan,
pemberontakan negara-negara kota, dan hentaman meteor gergasi. Kebelakangan
ini, ilmuwan menumpukan kepada pendapat yang menyebutkan bahawa perubahan cuaca
sebagai punca ketumbangan Empayar Akkadia dan sejumlah bukti dilampirkan bagi
menyokong hipotesis berkenaan.
Pada tahun 1993,
dilaporkan bahawa Empayar Akkadia mengalami kemarau panjang dan bencana ini
dianggap sebagai punca keruntuhannya. Analisa-analisa mikroskopik ke atas
kelembapan tanah yang dikumpulkan dari tapak-tapak arkeologi Akkadia di utara
mengemukakan bukti bahawa pernah berlaku kemarau yang teruk pada sekitar
2200SM.
Petanda-petanda
berlakunya kemarau ini juga boleh dilihat menerusi rekod arkeologi, di mana
beberapa buah kota Akkadia di dataran utara ditemui dengan keadaan yang
mengisyaratkan bahawa ia ditinggalkan secara tiba-tiba. Perpindahan penduduk di
situ ke wilayah selatan turut dilaporkan di dalam tablet-tablet tanah liat.
Apapun, para penyelidik
masih tidak dapat menemukan pemahaman yang jelas tentang penyebab berlakunya
kemarau. Faktor-faktor seperti perubahan corak angin dan arus laut, serta
letusan gunung berapi besar-besaran di Anatolia antara yang dicadangkan.
Hipotesis berkenaan
berlakunya kemarau yang diusulkan oleh Dr. Harvey Weiss dari Universiti Yale
ini mempunyai penyokong dan pengkritik yang tersendiri. Salah satu kritikan
yang dilontarkan terhadap hipotesis ini adalah dapatan data, termasuklah data
berkenaan teras-teras laut dari Laut Merah dan Teluk Oman yang dikumpulkan,
tidak cukup tepat untuk mewujudkan perkaitan antara kemarau dan perubahan yang
berlaku dalam Empayar Akkadia.
Walau bagaimapun,
kebelakangan ini, sejumlah staglamit dari sebuah gua di Iran telah dikumpulkan
dan diselidik oleh sepasukan pakar yang diketuai oleh Dr. Stacy Carolin.
Walaupun gua ini terletak di bahagian timur Empayar Akkadia yang kedudukannya
jauh melangkaui sempadan empayar berkenaan, ia secara langsung berlokasi
menentang arah tiupan angin. Dalam erti kata lain, kebanyakan debu yang ada di
sana berasal dari padang pasir Syria dan Iraq.
Berdasarkan hakikat
bahawa debu dari padang pasir mengandungi amaun magnesium yang lebih tinggi
berbanding batu kapur tempatan yang membentuk staglamit gua, maka para
penyelidik berupaya mengenal pasti debuan pada lantai gua pada zaman tertentu.
Semakin tinggi ketumpatan magnesium, maka semakin berdeu lantai gua dan
seterusnya, ia mengisyaratkan bahawa semakin kering keadaan padang pasir tempat
ia berasal.
Tambahan lagi,
staglamit boleh dikenal pasti usianya secara tepat dengan menggunakan kronologi
uranium-thorium. Hasil daripada ujian yang dilakukan, didapati bahawa terdapat
dua zaman kemarau panjang, yang salah satunya berlaku pada zaman ketumbangan
Empayar Akkadia dan berpanjangan selama 290 tahun.
![]() |
| Staglamit gua yang ditemui di Syria dan Iran membantu pakar mengkaji tentang Empayar Akkadia |
Setelah tumbangnya
Empayar Akkadia, Mesopotamia dikuasai oleh bangsa Gutia, walaupun tidak banyak
maklumat yang dimiliki tentang zaman ini. Menjelang tahun 2100SM, Dinasti
Ketiga Ur muncul sebagai kuasa besar sekaligus menandakan kembalinya kuasa ke
tangan bangsa Sumeria setelah mereka tunduk di bawah pemerintahan bangsa
Akkadia selama beberapa tempoh.
Walaupun
dokumen-dokumen pada masa itu sekali lagi ditulis dalam bahasa Sumeria, bahasa
itu sendiri kemudiannya mengalami kepupusan. Sememangnya, pada zaman Akkadia,
penggunaan bahasa Sumeria digantikan dengan bahasa Akkadia. Berikutan besarnya
pengaruh yang dimiliki oleh Empayar Akkadia, maka bahasa Akkadia menjadi lingua
franca di rantau berkenaan dan ia terus digunakan oleh tamadun-tamadun
Mesopotamia berikutnya, seperti Assyria dan Babylonia walaupun dalam bentuk
yang telah diubahsuai.
SUMBER
- Anon. 2001. The Sargon Legend. The Electronic Text Corpus of Sumerian Literature, Faculty of Oriental Studies. University of Oxford.
- Dalley, S. 2018. Sargon. Encyclopedia Britannica.
- DHWTY. 2019. Sargon of Akkad: Familiar and Legendary Tales of a Famous Mesopotamian King.
- Ersek, V. 2019. How climate change caused the world’s first empire to collapse.
- Gill, N. 2018. Akkadian Empire: The World’s First Empire.
- Gill, N. 2018. Naram-Sin.
- History on the Net. 2019. The Akkadian Empire.
- New World Encyclopedia. 2016. Akkadian Empire.
- New World Encyclopedia. 2015. Sargon I.
- The Editors of Encyclopedia Britannica. 2014. Akkad.
- The Metropolitan Museum of Art. 2004. The Akkadian Period (ca. 2350-2150 B.C.).
- Wilford, J. 1993. Collapse of Earliest Known Empire is Linked to Long, Harsh Drought.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Runtuhnya Empayar Pertama Dunia’
- Get link
- X
- Other Apps







