- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mvslim. (2 Julai 2017). This Muslim Woman was Born a Spanish Slave, Then Became
a Royal Advisor.
https://mvslim.com/muslim-woman-born-spanish-slave-became-royal-advisor/
https://mvslim.com/muslim-woman-born-spanish-slave-became-royal-advisor/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Lubna merupakan satu
contoh yang baik untuk menampilkan seorang wanita yang berupaya membina namanya
sendirian. Jika anda tidak pernah mendengar tentang beliau, mari luangkan masa
sejenak untuk menambahkan lagi pengetahuan. Lubna merupakan seorang wanita
kurun ke-10 yang kompeten dalam pelbagai lapangan. Beliau berkhidmat di istana
diraja Andalusia pada zaman pemerintahan Dinasti Umayyah. Lubna adalah seorang
penyair, pustakawati, ahli matematik dan juga setiausaha istana.
Walaupun ahli intelek
wanita yang memegang keddukan di istana diraja bukanlah suatu perkara yang aneh
pada zaman Umayyah di Andalusia, akan tetapi ia juga bukanlah perkara
kebiasaan. Lubna bukanlah satu-satunya wanita yang berkhidmat di istana sultan,
akan tetapi beliau tergolong dalam kumpulan yang kecil itu.
Dalam erti kata lain,
beliau merupakan seorang wanita yang berperibadi kuat dan mampu berdikari
dengan keluasan pengalaman yang setara dengan mana-mana ahli politi atau
pentadbir yang kita kenali pada hari ini. Jika beliau hidup di zaman moden,
mungkin beliau berupaya melakukan sebarang pekerjaan.
Lubna hidup pada kurun
ke-10 Masehi dan meninggal dunia pada tahun 984 Masehi. Beliau merupakan
setiausaha istana peribadi Sultan Abd al-Rahman III dan puteranya. Beliau
dilahirkan sebagai hamba perempuan yang berbangsa Sepanyol. Namun, beliau
berupaya meningkat tangga prestij dan hidup di istana diraja Andalusia.
Memandangkan beliau
tidak memiliki latar belakang kerabat diraja mahupun bangsawan, kedudukannya
sebagai setiausaha peribadi sultan mengisyaratkan betapa tingginya kepercayaan
dan penghormatan yang diberikan kepadanya. Beliau juga digalaskan
tanggungjawab untuk menyelia perpustakaan diraja. Sebahagian sejarahwan
menyebutkan bahawa beliau adalah pakar perolehan, dengan menguruskan lebih 500
000 buah buku di perpustakaan berkenaan.
Beliau turut dilaporkan pernah
mengembara ke seluruh Timur Tengah demi mendapatkan buku untuk ditambahkan ke
dalam koleksi perpustakaannya. Antara lokasi yang pernah dikunjunginya adalah
Kaherah, Damsyik dan Baghdad. Lubna merupakan salah seorang pengembara solo wanita
yang pertama. Lebih daripada itu, perpustakaan yang diselia olehnya itu
merupakan salah satu perpustakaan paling penting dan masyhur di zaman itu.
Menggalaskan tugas
berkenaan di bahu seorang wanita menjadi bukti betapa besarnya kepercayaan yang
diletakkan terhadap Lubna. Hal ini juga boleh menjadi hujah balas terhadap
dakwaan yang mengatakan bahawa wanita Islam tidak diberikan penghormatan yang
selayaknya sepanjang sejarah.
Sebagai seorang
jurutulis, Lubna sempat menambahkan beberapa buah karya untuk dimasukkan ke
dalam koleksi perpustakaan diraja Cordoba. Selain menyalin manuskrip, beliau
turut menterjemahkan sejumlah teks sejarah Yunani yang amat penting, yang kalau
bukan kerana sumbangannya itu, berkemungkinan ia hilang ditelan zaman.
Terdapat kisah yang
menceritakan bagaimana beliau meluangkan masa di jalan-jalan di bandar Cordoba
untuk mengajarkan kanak-kanak tentang persamaan matematik. Tidak dapat
diragukan lagi bahawa beliau merupakan seorang guru yang sangat hebat dan
berpengaruh memandangkan kanak-kanak yang diajarnya itu seringkali kembali
bertemu dengannya untuk menuntut lebih banyak ilmu.
Lubna adalah seorang
wanita yang amat unik kerana beliau mencapai kedudukan yang sangat tinggi walau
berasal-usul daripada latar belakang sebagai seorang hamba. Beliau sesuai
dijadikan sebagai ikon inspirasi buat Muslimah masa kini.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Lubna: Wanita Muslim Dari Seorang Hamba Kepada Penasihat Raja’
- Get link
- X
- Other Apps

