- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (27 Disember 2018). The Small Swedish Town of Kalmar Has a Massive
History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/kalmar-0011226
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/kalmar-0011226
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Bandar Kalmar merupakan
salah sebuah bandar yang paling bersejarah, tidak hanya di Sweden, tetapi di
seluruh Scandinavia. Bandar ini terletak di bahagian tenggara Sweden dan
berlokasi berhampiran pantai Baltik. Bandar Kalmar memiliki tempat yang sangat
dekat dalam hati masyarakat Scandinavia dan juga pelancong-pelancong dari seantero
dunia yang datang melawat banyak bangunannya yang mengagumkan,
bangunan-bangunan di bandar yang pernah menjadi pusat keagamaan dan kerajaan.
ISTANA
KALMAR
Memandangkan bandar
Kalmar memiliki kedudukan yang penting pada masa dahulu, kawasan indah ini,
dengan populasi yang tidak melebihi 30 000 orang, memiliki banyak contoh seni
bina zaman pertengahan Renaissance. Terdapat sebuah kubu yang mempunyai kualiti
binaan terbaik masih lagi kekal terpelihara di Scandinavia moden, iaitu Istana
Kalmar yang keluasannya mencecah beberapa ekar.
Sebuah tembok bulat
yang besar saiznya, dilengkapi dengan tembok-tembok berlubang (untuk
menempatkan meriam), berdiri dengan megah di kawasan tersebut. Benteng dan
menara-menara di kubu berkenaan juga tidak kurang hebtanya, walaupun kesemua
binaan ini pernah menghadapi banyak serangan dahsyat. Secara keseluruhan,
terdapat sebanyak 22 buah pengepungan dikenakan ke atas Istana Kalmar namun
kesemua kesempatan ini tidak berupaya menumpas dan merampas pemilikan kuasa ke
atas istana berkenaan.
![]() |
Dataran Lama di bandar Kalmar |
Kesemua ruangan dalam
istana, berserta dengan dewan-dewan dan bilik-bilik peribadinya telah dibaiki
dan dibina semula dengan ciri Renaissance. Namun, hanya struktur istana utama
sahaja masih lagi merupakan binaan asal. Kebanyakan ruangan dalamnya menjalani
pembinaan semula pada abad ke-19.
Sebuah lagi bangunan
bersejarha penting yang terdapat di Kalmar adalah gereja yang masih digunakan
sebagai rumah ibadah di sana. Gereja ini terletak di dataran besar di bandar
baru. Bandar baru itu dibangunkan pada kurun ke-17. Gereja Kalmar didirikan
dengan menghadap bangunan dewan utama bandar, iaitu sebuah lagi bangunan yang
menonjol di sana.
Kalmar sering dikaitkan
dengan Dinasti Vasa yang bertanggungjawab membina istananya dengan ciri zaman
pertengahan. Istana ini direka-bentuk oleh salah seorang arkitek Sweden
termasyhur, iaitu Nicodemus Tessin the Elder. Beliau merupakan pendokong seni
bina gaya Baroque dan secara khusus cenderung ke aliran yang dikenali sebagai
klasik baroque. Gereja tersebut ditonjolkan dengan corak perhiasan yang sangat
tipikal dengan Baroque di samping penggunaan beberapa motif yang agak liar.
Terdapat juga motif-motif Gothic di ruangan luar yang mana motif tersebut agak
mirip dengan motif yang terdapat di Gereja Lutheran. Perhiasan-perhiasan di
gereja ini bersifat lebih ringkas berbanding gereja Katolik.
![]() |
Gereja Kalmar |
Keindahan di ruangan
dalam Gereja Kalmar jauh lebih mengagumkan. Gaya Baroque juga lebih jelas
terserlah di ruangan tersebut. Terdapat sebuah alat muzik organ di bahagian
bangunan ini. Sejumlah katakom turut diyakini masih wujud di tingkat bawah
tanah bagi rumah ibadah tersebut.
Muzium Kalmar terletak
di sebuah kilang besi yang telah diubahsuai bangunannya. Pamerannya yang paling
terkenal adalah penciptaan semula ‘Kronan’, iaitu sebuah kapal perang Sweden
yang karam pada tahun 1676.
SEJARAH
PANJANG KALMAR
Kalmar telah dihuni
sejak Zaman Batu lagi. Dikatakan bahawa bandar tersebut ditubuhkan oleh seorang
raja dan pendeta Norway, Olaf. Bandar Kalmar menjadi pusat perdagangan yang
sibuk menjelang kurun ke-13. Ia lazim memainkan fungsi sebagai kediaman diraja
dan menjadi tempat perjumpaan antara para paderi, sekaligus menyumbang kepada
kedudukan bishop Kalmar sebagai salah seorang paling penting di Scandinavia.
Pada tahun 1337, sebuah
perjanjian yang dikenali sebagai Kalmar Union (Kesatuan Kalmar) ditandatangani
di sini. Perjanjian ini bertanggungjawab menyatukan monarki Denmark, Sweden dan
Norway. Bandar Kalmar meraih kemewahan lantaran lokasinya yang strategik.
Namun, kelebihan yang dimilikinya itu juga merupakan satu sumpahan baginya. Hal
ini kerana kedudukan geografinya itu membawa maksud Kalmar perlu bertindak
sebagai benteng paling hadapan dalam konflik yang tercetus antara Sweden dan
Denmark. Malahan, nama bandar ini juga diambil bagi merujuk kepada konflik
antara dua negara itu, iaitu Perang Kalmar. Bandar ini mengalami kerosakan
teruk di tangan Denmark, di mana hal ini mendorong raja-raja Vasa untuk
membangunkan semula bandar Kalmar.
Ramai penghuninya
dibunuh semasa bandar itu sekali lagi menghadapi tempoh pengepungan, kali ini
dalam Perang Scania. Ironinya, menjelang kurun ke-18, Kalmar mengalami
penderitaan disebabkan oleh kejayaan tentera Sweden itu sendiri. Pasukan tentera
Sweden berjaya menguasai seluruh Scania dan hal ini membawa maksud ancaman
daripada Denmark juga turut terhapus. Pada tahun 1689, raja Sweden yang bernama
Charles XI bertindak memindahkan markas tentera laut ke sebuah lokasi lain.
Pemindahan ini membawa kepada kemerosotan bandar Kalmar. Bandar tersebut
kemudiannya menjadi pusat perindustrian wilayah dan pada hari ini, ia merupakan
ibu kota bagi Wilayah Kalmar.
MELANCONG
KE KALMAR
Terdapat sejumlah besar
penginapan disediakan baik di dalam mahupun di sekitar bandar Kalmar. Bandar
ini mempunyai banyak muzium, termasuklah muzium yang mengkhususkan pada pameran
seni moden dan dinosaur.
Laluan pejalan kaki
juga banyak disediakan di sana. Semasa musim panas, sukan-sukan air seperti
berkayak turut tersedia. Kalmar dihubungkan dengan Pulau Oland menerusi
Jambatan Oland, salah sebuah jambatan terpanjang di Eropah.
![]() |
Jambatan Oland pada waktu matahati terbenam |
SUMBER
- Scott, F.D. 1998. Sweden, the nation’s history. SIU Press
- Brown, M.A. 1887. Sweden no longer a Terra.
- Linden, M. Simonsen, D. Solberg, A.A. Melve, I and Tveter, W.M. 2009, June. Kalmar union, a confederation of Nordic identify federations. In TERENA Networking Conference.
- Get link
- X
- Other Apps